Jurublog melihat analisa dan komen bersabit penggantungan jawatan Timbalan Presiden UMNO banyak berkisar sama ada ia menepati perlembagaan, menzalimi Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) atau semata-mata demonstrasi kuasa Majlis Tertinggi mendisiplin walau pemimpin berjawatan kedua tertinggi parti. Namun yang lebih jelas pada jurublog adalah tindakan tersebut akhirnya lebih mempermudahkan pengunduran atau pemaksaan keluar DS Najib dari jawatan Presiden UMNO, sekaligus Perdana Menteri Malaysia.
Bagaimanakah mungkin DS Najib berundur apabila para pengkritiknya dari dalam parti satu-persatu berjaya diketepikannya? Selesai memaksa pengunduran DS Mukhriz Mahathir dari jawatan MB Kedah, penggantungan TSMY seharusnya mengukuhkan kedudukannya terutama sekali dengan gambaran sokongan padu Majlis Tertinggi UMNO sehingga begitu menghampakan segenap lapisan akar-umbi UMNO, apatah lagi rakyat jelata yang sudah tak sabar untuk menjatuhkan kerajaan BN pimpinan DS Najib menjelang PRU14.
Antara sebab jurublog berpendapat DS Najib sama ada bakal beundur atau dipaksa keluar dari jawatannya adalah:
1 - Dengan pergantungan jawatan TSMY, tiada lagi halangan untuk DS Zahid Hamidi untuk mengambil alih kepimpinan parti dengan pengunduran DS Najib. Ini adalah senario yang lebih selesa bagi DS Najib sekiranya beliau merasakan sudah tiba masanya untuk berundur, kerana hilang kerisauan yang salah-lakunya akan disiasat sehingga boleh kepenjara. Soalnya sekarang adalah sama ada DS Najib yakin akan kesetiaan DS Zahid selepas memegang tampuk kuasa.
2 - Pergantungannya juga membuang kekangan terakhir terhadap TSMY bertindak dengan lebih agresif terhadap DS Najib. Ramai para penyokong TSMY mahupun musuh DS Najib yang sebelum ini kecewa atas apa yang dilihat sebagai reaksi tidak sepadan olehnya apabila dizalimi dan dihina selepas dilucutkan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri tempohari. Namun sebagai seorang 'orang kuat' parti dan bekas pejawat awam, beliau berkemungkinan menaruh harapan untuk memperbetulkan keadaan melalui Majlis Tertinggi UMNO (MT).
Harapan tersebut kini tinggal puing-puing, lalu TSMY, bebas dengan kekangan jawatan 'membantu' Presiden telah mula membuat pendedahan-pendedahan yang lebih perit tentang salah-laku DS Najib bersabit 1MDB, SRC dan sebagainya. Adalah dijangkakan beliau juga akan merancakkan pergerakkan #UndurNajib baik di kalangan ahli-ahli UMNO, mahupun mana-mana pihak yang sedia berganding bahu untuk menyelamatkan negara demi cinta Malaysia, bukan habuannya.
3 - Perasaan tak puas hati tentang cara penggantungan TSMY sudah mula diluahkan di pelbagai peringkat parti; perkara pokoknya adalah MT tiada bidang kuasa untuk menggantung seorang Timbalan Presiden yang dipilih. Inilah sebabnya apabila Anwar Ibrahim enggan meletak jawatan Timbalan Presiden UMNO dahulu, beliau terpaksa dipecat sbg ahli sebagai satu-satunya cara mengeluarkannya dari jawatan tersebut. Tetapi kini, MT melanggar perlembagaan parti sewenang-wenangnya untuk menggantung TSMY.
Antara tindakan yang mungkin diambil dan agak mudah digerakkan oleh mana-mana pemimpin peringkat Cawangan sekalipun adalah melaporkan kesalahan melanggar perlembagaan tersebut ke Pendaftar Persatuan (ROS). Ini akan membuka jalan baru memaksa pergantungan TSMY diketepikan, sekaligus melemahkan kedudukan DS Najib, jika UMNO menerima keputusan ROS untuk mengelak dari parti diharamkan semula.
Maka pesanan jurublog kepada para pembaca sekelian, janganlah terlalu negatif terhadap pemecatan TSMY dari jawatan Timbalan Presiden UMNO, kerana ia mungkin membawa seribu-satu hikmah menuju ke arah yang dicita seluruh rakyat pencinta negara Malaysia, yakni #UndurNajib....