Kekecohan politik di negeri Perak berterusan, bukan sahaja kerana orang-orang politik rancak merebut kuasa, tidak juga semata akibat Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa budaya lompat-melompat, tetapi juga hasil segelintir pemimpin yang tak mengerti akan hikmah dari wujudnya sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia. Kiranya mereka mengerti, mungkinkah lebih awal mereka tersedar akan 1 Saranan jelas dibawa oleh 3 Titah Raja-Raja yang berasingan baru-baru ini.
Raja-Raja Melayu dan kaum kerabat diraja bukanlah terhad perananannya dalam hal adat-istiadat serta keraian semata-mata. Peranan baginda sekelian juga tidak terhad kepada yang tersurat, yakni menjamin keunggulan Islam dan mempertahankan kedudukan kaum Melayu sebagai penduduk asal Malaysia.
Raja-Raja Melayu dan kaum kerabat juga, hasil kedudukan di tampuk kuasa negeri serta negara, berupaya memantau masalah, isu, peristiwa mahupun bencana yang bakal dihadapi rakyat tanpa apa-apa kepentingan sosio-politik. Contohnya, proses di mana pemimpin setiap negeri dan negara mengadap DYMM Raja-Raja Melayu sendiri tiap-tiap minggu untuk berbincang pelbagai isu membuka peluang teguran serta saranan diberi dari tampuk kuasa tersebut.
Apakah saranan yang dibawa seiring oleh ketiga-tiga titah Raja-Raja Melayu terkini, yakni DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Selangor dan YDP Agong? Saranan tersirat mahupun jelas yang dibawa oleh ketiga-tiganya adalah:
RAKYAT NEGARA KINI MENGHADAPI ANCAMAN DAN CABARAN KEMELESETAN EKONOMI, MAKANYA PEMIMPIN SEHARUSNYA BERHENTI BERPOLITIK, MALAH BERGANDING TENAGA UNTUK MENJAMIN KEMAKMURAN*.
Titah ini mungkin tersirat dalam jalancara peralihan kuasa ke Barisan Nasional yang diperkenankan oleh Sultan Perak. Tetapi ternyata, DYMM Paduka Seri Sultan Azlan dengan penuh bijaksana menjangka perlunya kemelut politik di Perak diselesaikan secepat mungkin dan seboleh-bolehnya, tanpa proses pilihanraya negeri yang pasti akan mengalihkan perhatian kepimpinan negara dari menangani cabaran kemelesetan ekonomi dunia.
Apabila Sultan Selangor bertitah akan kemurkaannya terhadap tingkah-laku pelbagai pihak, terutama mereka yang hilang peradaban dalam mencabar keputusan Sultan Azlan Shah, baginda dengan lebih jelas lagi memperkatakan akan pentingnya rakyat dan kepimpinan negara menumpukan perhatian kepada cabaran ekonomi serta kemakmuran rakyat.
DYMM Sultan Selangor juga bukanlah calang-calang Sultan. Baginda adalah seorang nasionalis ekonomi yang berjasa dalam mengekalkan milik Southern Bank Berhad di tangan kuasa Malaysia dan mengelakkan dari ia diambil-alih oleh kepentingan Singapura. Sebagai penggerak perbankan negara dibalik tabir, nasihat Sultan Sharafuddin Idris Shah haruslah diambil iktibar.
Titah ketiga pula disampaikan oleh DYMM YDP Agong sempena merasmikan pembukaan sesi Parlimen yang terkini. Dalam memperkenankan kejayaan peralihan kuasa, baginda juga memperingatkan para pemimpin kita akan pentingnya tumpuan terhadap masalah kemelesetan ekonomi. Menarik juga apabila diketahui Baginda YDP Agong berangkat bersantap dengan Paduka Seri Sultan Azlan Shah beberapa hari sebelum titahnya di Parlimen!
Nah, jelas panduan diberi oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan dan YDP Agong sendiri akan tumpuan yang harus diberi oleh para pemimpin kita. Atas sebab inilah saya dan sudah pasti ramai lagi rakyat yang berfikir tanpa ketaksuban politik, kecewa akan tingkah-laku ahli politik Pakatan Rakyat. Tak sudah-sudah perkenan Sultan Azlan Shah yang penuh berhemah dan merakyat disanggah semata-mata untuk merebut balik kuasa!
Apakah yang lebih penting untuk pemimpin-pemimpin seperti ini? Kemakmuran rakyat atau kekuasaan parti yang hanya menjinjing 'rakyat' dibibir sahaja. 'Rakyat' bukan sekadar jenama, bukan sebahagian slogan sahaja, tetapi juga merupakan tanggungjawab pemimpin yang dipilih. Apa guna pemimpin pada rakyat apabila kuasa yang diragut membuta-tuli akan ancaman terhadap kemakmuran negara?
Sekiranya DYMM Raja-Raja Melayu jelas melihat perkara ini dan ikhlas menegur, pun dengan biadap sekali terus disanggah, apakah rakyat akan dibela sekiranya kuasa berjaya direbut semula oleh orang politik sebegini?
* Ampun Tuanku sekiranya ada Duli-Duli Yang Maha Mulia atau kaum kerabat tertatap kata-kata ini, tetapi patik yang marhaen tak mampu berbahasa seindah bicara paduka baginda sekelian dan harus berbicara demikian untuk menjelaskan kepada masyarakat maya.
Dalam ketika melihat seolah UMNO rebah nampaknya PKR yang mula goyah.
ReplyDeleteHayat perkahwinan kontrak ala Pakatan akan kekal serasi jika pilihanrya berterusan.
penuh informasi.
ReplyDelete