Tetapi kini semakin jelas tiada keMelayuan pada parti PAS apabila tak cukup Sultan diderhaka, kini sejarah pula diputar-belitkan untuk menutup malu kesalahannya. Dan seperti biasa, sejarah UMNO-lah menjadi sasaran putar-belit penulis veteran dan blogger PAS, MSO, untuk menghalalkan perilaku haram PAS, tanpa beliau menyedari dosa baru pula diolah dengan perbuatannya.
Sudah ada seorang blogger yang cuba menjelaskan perbezaan antara sejarah dan putar-belit PAS, tetapi di sini ingin saya perincikan lagi serta mencetus fikiran. Di antara pemerhatian saya:
- Saudara MSO yang manyamakan derhaka Datuk Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin dengan ingkarnya Tan Sri Mohd Ghazali Jawi, terhadap DYMM Paduka Seri Sultan Idris pada tahun 70-an banyak merujuk kepada penulisan Mokhtar Petah. Malangnya, terlalu banyak perbalahan fakta di antara mereka, baik dari segi tempoh krisis (2 tahun atau berbulan?) mahupun kedudukan Pemuda UMNO yang menurut Mokhtar, menyokong Sultan Idris.
- Dari segi skala, tidak diketengahkan bahawa ingkarnya TS Ghazali merupakan tindakan peribadi beliau serta penyokongnya, manakala UMNO Perak pada masa itu berpecah antara pengikut Sultan dan MB. UMNO pusat pimpinan Tun Abdul Razak pula berkecuali. Ingkarnya DS Ir Nizar bukanlah tindakan peribadi, malah didukung bukan sahaja PAS Perak, tetapi semua parti komponen Pakatan di peringkat Nasional! (Anwar pun!)
- Pada waktu Ghazali juga, kedudukan BN sebagai kerajaan negeri tidak menjadi persoalan, cuma kedudukan MB-nya dipertikaikan. Malah, apabila krisis dileraikan UMNO pusat di bawah pimpinan Tun Hussein Onn dengan perletakan jawatan TS Ghazali, perjalanan kerajaan tidak terlalu terjejas. Krisis sekarang berbeza kerana punca hilangnya kuasa DS Ir Nizar kerana hilangnya kepercayaan majoriti ADUN terhadap kerajaan beliau.
- Sepanjang masa UMNO wujud, ia tidak pernah lari dari peranannya mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan. UMNO menghormati Sultan-Sultan sebagai lambang kepimpinan Melayu, kedudukan agama Islam dan memartabatkan adat-budaya dari nobat ke bahasa Melayu itu sendiri. Oleh itu, walaupun apabila dalam perbalahan, tak pernah pemimpin UMNO hilang sopan sehingga me'mohon derhaka'...
Akhir kata, walaupun saya sering sedih melihat perceraian anak-anak muda kita dari sejarah, namun kemarahan timbul apabila sejarah diperalatkan oleh orang-orang tidak bertanggung-jawab untuk menjelaskan dosa terhadap rakyat. Cukuplah PAS menggunakan agama dan DAP serta PKR menunggang idealisme palsu semata-mata untuk merebut kuasa. Tidakkah mereka sedar dosa mereka kepada rakyat apabila mereka melarutkan lagi krisis kerajaan negeri Perak ini?
Rakyat jelata kini rimas apabila melihat krisis ekonomi dunia kian melanda industri eksport negara. Krisis ini memerlukan tumpuan kepimpinan negara mahupun negeri-negeri untuk ditangani dengan sebaik-baiknya, maka pemimpin mahupun rakyat seharusnya tidak lagi membazir masa dalam sepak-terajang politik antara parti.
Dengan memperkenankan peralihan kerajaan Perak, DYMM Seri Paduka Sultan Azlan telah mengelakkan dari krisis politik negeri berlarutan hingga menjejaskan tumpuan kerajaan BN dari krisis ekonomi. Kehilangan tumpuan inilah apa bakal berlaku sekiranya baginda memperkenankan pembubaran DUN Perak seperti dipohon DS Nizar tempohari. Keputusan baginda mungkin boleh dipertikaikan dari segi perundangan, tetapi ia jelas lebih Adil untuk rakyat.
Sudah tentu rakyat memerlukan para pemimpin memberi lebih tumpuan kepada usaha memakmurkan rakyat serta negara yang kini diancam kepapaan, bukan ahli politik yang tak putus mengejar kuasa semata-mata... Diharap celik mata saya tentang keadilan kepada rakyat yang dibawa perkenan DYMM Seri Paduka Sultan Azlan dalam hal ini kini berjangkit kepada para pembaca... DAULAT TUANKU!
Kita "berterima kasih " kepada Nizar dan Pakatan Rakyat atas tindak tanduk yg bodoh ini kerana sebenarnya untuk politik jangka panjang mereka telah menghilangkan sokongan majoriti senyap dan sokongan akan beralih kpd UMNO dan BN jika Najib bijak menggunakan isu ini. Orang melayu telah sedar siapa PR sebenarnya. Biarlah ahli2 parti mereka shj yg mengundi menyokong PR dlm PR 13 nanti. Barangkali ini sudah kehendak Allah untuk mengembalikan kuasa kpd tempat asal.
ReplyDelete