Wednesday, October 14, 2009

Apakah Sebabnya Kita Sibuk Bersidang?


Jurublog ini menerima rezeki politik baik tahun ini apabila terpilih sebagai perwakilan (G7) Langkawi ke Mesyuarat Agung UMNO tahun ini. Namun, jurublog ini juga agak bingung masih akan relevan tidaknya diri ini dalam persidangan yang bakal bermula esok.

Sebagai ahli UMNO, kita menerima amanat Presiden di sidang tertutup. Kemudian sebagai seorang Ketua Pemuda Cawangan, kita menerima 4 pendekatan dari TS Muhyiddin Yassin malam tadi yang boleh juga diguna-pakai oleh ahli UMNO amnya. Nasib baiklah kita tidak mengiktiraf kedudukan KJ sebagai 'Ketua Pemuda', kalau tidak, pening kita dibuatnya memandangkan dia pun ada 5 hal kononnya mahu diguna-pakai oleh Pemuda... kita tengok dia amalkan dulu la...

Soalnya sekarang, berapa banyakkah formula yang bakal diajukan perwakilan untuk diguna-pakai? Jurublog ini merasakan, cukuplah saranan dan panduan jelas dari DS Najib untuk perwakilan UMNO induk dan wadah TS Muhyiddin bagi sayap-sayap. Ide-ide lain seharusnya berasaskan pendekatan kedua-dua ini walaupun mungkin satu-dua 'tangen' yang memperkayakannya boleh juga diguna-pakai.

Setidak-tidaknya, kita semua tidak bingung disodok ide pelbagai, sehingga terpaksa terlalu lama masa diambil untuk meleraikan kemelut minda hingga tergendala pula amal yang dinanti-nanti rakyat! Perwakilan ke Perhimpunan Agung, bukan sekadar untuk membawa amanah pendapat akar-umbi Bahagian, tetapi juga bagi menerima panduan kepimpinan untuk tahun ke hadapan. Biarlah mesej ini jelas dan berpaut kepada kata-kata pemimpin-pemimpin utama kita.

Sebagai penjelasan, terus-terang dikatakan masih ada kebingungan di kalangan perwakilan, apatah lagi ahli UMNO, tentang konsep 1Malaysia. Bukankah lebih baik tumpuan diberi untuk memastikan mesej ini, sekiranya penting dihayati, jelas dibawa kembali ke akar-umbi kefahamannya? Usul-usul pindaan perlembagaan juga harus ditegarkan ertinya menjurus perlaksanaan. Ini perlu penekanan sebagai mekanisma baru dalam usaha membendung politik wang!

Mungkinkah kita sudah terlalu sibuk bersaing antara satu sama lain? Mungkinkah itu yang mengakibatkan perlumbaan tak berkesudahan walaupun di pentas haluan. Mungkinkah itu yang menyebabkan tugas yang seharusnya jelas, seperti menggubal usul-usul pindaan perlembagaan , menjadi celaru, hingga pada saat akhir pun ada pindaan diselitkan ke dalam beg Perwakilan?

Ku Kepingin Satu Kepimpinan,
Memandu Satu UMNO,
Membawa Satu Wadah,
Menjana Tenaga Keahlian,
Menyemarak Jiwa UMNO,
Menyorak BERANI BERUBAH!

No comments:

Post a Comment