Minggu hadapan amat bermakna bagi penggerak belia tanah-air. Pada 6-8 Januari akan berlangsung Mesyuarat Agung Majlis Belia Malaysia (MBM) yang pertama di bawah Akta Pertubuhan Belia Dan Pembangunan Belia 2007 (Akta Belia 2007). Sejak beberapa bulan yang lepas, persatuan-persatuan belia tanahair bergegas mengemaskinikan pendaftaran, keahlian lama dan baru serta barisan kepimpinan, seiring dengan keperluan pendaftar serta persedian ke Mesyuarat Agung tersebut.
Penulis juga agak terlibat dalam membangkitkan semula pergerakkan kelab-kelab gabungan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (PKBM) atau lebih dikenali dengan singkatan Inggerisnya, MAYC (Malaysian Association of Youth Clubs).
MBM akan membawa lebih 400 wakil serta pemimpin majlis-majlis belia negeri bersama-sama dengan persatuan-persatuan belia kebangsaan, seperti MAYC, Belia 4B, HYO (Hindu Youth Organisation), Pengakap, ABIM, YMCA dan lain-lain, untuk duduk semeja, membincangkan isu-isu pembangunan belia melalui pertubuhan. Organisasi-organisasi tersebut merupakan NGO-NGO yang boleh dikatakan asal dan asas pembangunan negara sejak tahun 60-an dan 70-an lagi.
Akta Belia 2007 telah membawa perubahan besar kepada intipati serta perjalanan kelab-kelab belia di Malaysia. Pertama sekali, ia memudakan keahlian, sekaligus kepimpinan kelab-kelab tersebut. Contohnya, apabila dahulunya Presiden-Presiden kelab mungkin mencecah 60 tahun, jauh melepasi tafsiran umur belia, kini keahlian kelab-kelab tersebut sekalipun dihadkan ke belia bawah 40 tahun! Ini kini merupakan syarat dalam pendaftaran semua pertubuhan belia.
Akta Belia 2007 ini juga mewujudkan Pendaftar Belia (RoY), berasingan dari Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang dahulunya menerima pendaftaran kelab-kelab belia sekali dengan pertubuhan-pertubuhan lain. Ini supaya RoY boleh memberi tumpuan khusus kepada pertubuhan belia dan ia menjadi sebahagian dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Akta Belia juga memperkasakan MBM sebagai saluran bantuan utama kepada persatuan-persatuan belia negara.
Kenapakah saya menceritakan hal ini berjela-jela kepada pembaca. Ini kerana perubahan kepada kelab-kelab belia tersebut memberi makna besar kepada orang-orang muda di seluruh negara. Apabila bermulanya pergerakkan NGO belia di Malaysia, memang ia majoritinya dipelopori oleh orang-orang muda. Para pemimpinnya pun dari golongan belia dan walaupun ada yang kemudian berjaya dalam perniagaan serta politik, jatidiri mereka datangnya dari aktiviti belia.
Pertubuhan-pertubuhan belia yang awal menjadi kilang-kilang yang melahirkan pemimpin negara, seperti Tun Dr Mahathir (MAYC), Tun Abdullah Badawi (GPMS), TS Tengku Razaleigh Hamzah (MAYC). Pada peringkat kepimpinan nasional sekarang, para bekas pemimpin belia juga masih kelihatan memainkan peranan, termasuklah Datuk Seri Noh Omar (Belia 4B), Datuk Saifuddin Abdullah (PKPIM) dan tak boleh dilupakan, DS Anwar Ibrahim (PKPIM serta ABIM).
Malangnya, pada tahun-tahun kebelakangan, kerana tiadanya had umur pada persatuan belia sebelum Akta Belia 2007 diwartakan, persatuan-persatuan belia tersebut semakin tua purata keahliannya. Lebih buruk lagi, persatuan belia bukan sekadar diiktiraf kilang, tetapi dipergunakan oleh sesetengah pemimpinnya sebagai asas kuasa politik dan ekonomi peribadi. Kepentingan peribadi begini telah kian mencemarkan kemurnian pergerakkan belia senegara.
Akta Belia 2007 telah sedikit-sebanyak memaksa pembersihan pertubuhan-pertubuhan belia dari anasir-anasir negatif tersebut. Namun, perceraian keahlian lama dengan anak-anak muda yang kini terpaksa menerajui kepimpinan secara mendadak cukupr mencabar. Para pemimpin persatuan belia kini dimudakan sebanyak 20-30 tahun dari dahulunya, dengan kepimpinan amnya berumur pertengahan ke akhir 30-an, sementara pelapis ada juga dalam lingkungan 20-an!
Namun 'peralihan kuasa' kepada generasi muda ini juga perlu kerana generasi baru amnya cukup berbeda pandangan hidup serta aspirasi berbanding golongan lebih tua. Zaman di mana aktiviti membina jatidiri mudah diperturunkan dari generasi lama ke baru kian sayup pergi, manakala era baru menunjukkan perbezaan ketara antara sudut pandang serta pendekatan yang diambil antara generasi-generasi yang kadangkala beza umurnya baru 5-10 tahun!
Oleh itu, cabaran mempermudakan program-program belia supaya lebih relevan untuk belia muda haruslah dipikul oleh abang-abang yang tidak terlalu tua dan tak banyak beza corak pandangan dan pola pemikirannya. Cabaran yang akan semakin terlihat juga adalah dalam mempersiapkan pelapis untuk menerajui persatuan dalam masa yang singkat, tanpa keselesaan terdahulu apabila pendedahan dilakukan dari kelab, kawasan, negeri ke negara tanpa tergesa-gesa.
Walau apa pun cabaran yang bakal dihadapi, peralihan kuasa persatuan-persatuan belia ini hanyalah membawa makna sekiranya bebas dari unsur-unsur negatif yang lepas. Golongan muda perlukan pendedahan kepada hidup berpersatuan dan sayang sekali sekiranya NGO-NGO kita yang begitu lama membantu masyarakat tidak terus memainkan peranan, terutama sekali sewaktu anak-anak muda kian menolak pemimpin politik sebagai idola.
Anak muda, golongan belia memerlukan panduan, halatuju. Adalah menjadi harapan penulis agar halatuju ini boleh diilhamkan, ditunaskan, diolah dan diasah sendiri oleh kepimpinan belia yang muda, bebas belenggu fikirannya, bertamadun serta berminda 1Malaysia, Merdeka, Menjejak Wawasan. Agar harapan ini mula tercapai di ambang peralihan kuasa persatuan-persatuan belia kita.
Kepada e-Patriot SSS,
ReplyDeleteSempena kita melangkah ke tahun 2010, kami di Satu Sekolah Untuk Semua (SSS) ingin menghulurkan setinggi perhargaan dan terimakasih kepada Tun/Tan Sri/Puan Sri/Dato Seri/Datin Seri/Tunku/Tengku/Tuan/Puan di atas sokongan padu yang kami terima terhadap kempen SSS ini.
Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk kita sama-sama menyemarakkan lagi sokongan terhadap kempen ini dengan melibatkan saudara mara dan sahabat handai yang masih belum lagi menandatangai petisyen kempen ini di SINI dan juga para bloggers untuk menzahirkan sokongan masing-masing dengan mempamirkan logo SSS di laman blog masing-masing.
Terima kasih sekali lagi atas sokongan padu yang diberikan. Kami amat menghargainya.
Salam Sejahtera,
“SATU BAHASA, SATU BANGSA, SATU NEGARA”
Admin SSS