2 Kenyataan Media baru dikeluarkan yang perlu dibalas oleh saya sebagai Pengasas dan Ahli MPT Parti Bersatu. Pengasas Bersatu tinggal 5 dari 7 yang asal, di mana salah seorang yang hilang awal dahulu pun antaranya akibat rebutan kuasa, tetapi pada masa itu, kita belum berkuasa dalam kerajaan. Kini kuasa dalam kerajaan terlihat lebih mempengaruhi tindakan, sikap dan keputusan.
Saya kurang setuju dengan elemen-elemen kedua-dua kenyataan media Ketua Penerangan Parti Bersatu, YB Senator Dr Radzi Jidin yang kini juga Menteri Pendidikan, bertarikh 7 Mei dan 9 Mei 2020. Ramai juga penggerak asal parti menolaknya, tetapi ia disokong pula oleh penulisan saudara Wan Saiful Wan Jan sebagai MPT. Padahal ada unsur-unsur kenyataan-kenyataan Ketua Penerangan tersebut yang melanggar prinsip parti, khususnya:
1 - Hak Ahli Bersatu Bertentangan Pendapat
Perkara 5 dalam Kenyataan 7 Mei 2020 yang menidakkan hak ahli untuk ingkar dengan pendirian Parti kelihatan keterlaluan. Konteks yang diberikan sebagai contoh adalah ekstrim yakni menyokong gabungan parti politik 'lain', tetapi untuk kemudian menyatakan gugur keahlian kerana tidak setuju dengan pendirian Parti yang ditentukan oleh kepimpinan melanggar semangat penubuhan Bersatu. Bersatu diasaskan juga oleh tokoh-tokoh yang dibuang oleh UM NO kerana bertentangan pendapat dengan Presiden UM NO pada masa itu.
Perbezaan pendapat yang ikhlas untuk kebaikkan parti seharusnya diraikan dalam Bersatu. Memandangkan MPT Bersatu tidak pernah bersetuju menyertai apatah lagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional, kalau benar gugur keahlian mana-mana ahli yang menyertai gabungan politik yang tak diluluskan sebagai dasar parti, mengikut lojik Ketua Penerangan, kesemua ahli Bersatu yang kini menyertai kerajaan Perikatan Nasional gugur keahliannya!
2 - Bersatu Bermaruah, Bukan Berkomplot
Perkara 3 dalam Kenyataan 9 Mei 2020 pula lebih buruk lagi! Ia memberi pengakuan seolah-olah kepimpinan Parti Bersatu sudah berbulan-bulan bukan sekadar berbincang tetapi merancang untuk keluar dari Pakatan Harapan di seluruh peringkat parti! Kenapakah Ketua Penerangan akui bagi pihak kesemua kepimpinan Bersatu bersekongkol dalam usaha ini? Apa lojiknya kita berkempen bersama di PRK Tanjung Piai dan PRK Kimanis bersama komponen PH lain serta Warisan - malah saya teringat Ketua Penerangan sendiri memuji usaha DAP di Tanjung Piai dalam MPT!
Saya selaku Ahli MPT menyangkal sekeras-kerasnya yang ada satu usaha besar di semua peringkat parti untuk Bersatu menderhakai persetujuan bersama Pakatan Harapan selama berbulan lamanya sebelum kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan. Yang boleh diakui adalah adanya usaha mempertahankan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri selama beliau sedia berkhidmat, tetapi ia tidaklah terlanjur sehingga meninggalkan rakan-rakan seperjuangan PH kita yang bertungkus-lumus bersama-sama menyelamatkan Negara dari Kleptokrat pada PRU 9 Mei 2018.
Sekiranya benar ada pemimpin Bersatu yang sedia merancang untuk mencabuli perkesepakatan PH tanpa provokasi, ia adalah suatu usaha yang tidak bermaruah sekaligus melanggar prinsip tegar parti. Apabila Majlis Presiden PH bersetuju pada 21 Februari 2020 untuk menyerah kepada Tun Dr Mahathir bila masanya yang terbaik untuk beliau berundur, tiada sebab lagi untuk kita bertelagah dalam PH, malah suara-suara sumbang walaupun deras menuntut pengundurannya pun lenyap.
Kalaupun Dr Ketua Penerangan sendiri ada terlibat dalam usaha mengeluarkan Bersatu dari PH, tolonglah jangan palitkan kami yang tidak bersubahat sama dalam tindakan tak bermaruah ini. Terutama sekali, janganlah palitkan juga YAB Tan Sri Presiden kita yang dalam mesyuarat MPT dan kemudian secara peribadi kepada saya menyatakan beliau tidak terlibat dalam apa-apa usaha awal menuju trajedi 24 Februari 2020.
Fikirkanlah juga, jika seluruh rakyat Malaysia percaya akan kenyataan Ketua Penerangan tentang perkara ini, parti politik malah organisasi manakah akan percayakan integriti kita untuk sedia bersama dengan Bersatu dalam satu gabungan?
3 - Jelas Sekarang Kedudukan Tun Dr Mahathir
Perkara 4 dalam Kenyataan 9 Mei 2020 juga menyatakan lagi bahawa usaha membawa Bersatu keluar dari PH direstui oleh Tun Dr Mahathir. Saya rasa perkara ini sudah berulang terjawab dan kini pihak Ketua Penerangan terdesak untuk membuktikannya setelah Tun Dr Mahathir sendiri mengemukakan usul tak percaya ke atas YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kalau benar Tun Dr Mahathir merestui kerajaan Perikatan Nasional ini, kenapakah beliau pula yang sendiri mengemukakan usul tersebut?
Tindakan Tun Dr Mahathir sebenarnya secara langsung menyangkal dongeng yang segera dihebahkan ke akar-umbi Bersatu dan masyarakat Melayu sebelumnya bahawa ini semua perancangan beliau bagi menghalang DS Anwar Ibrahim dari menjadi Perdana Menteri. Kalau benar ia semua perancangan Tun Dr Mahathir, kenapakah beliau pula yang ingin menjatuhkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin? Beliau seharusnya gembira! Ternyata perubahan kerajaan ini bukan rancangan Tun Dr Mahathir tetapi usaha individu-individu lain. Siapa individu-individu tersebut akan terdedah juga pasti nanti.
Tun Dr Mahathir Menolak Kleptokrat
Pada 23 Februari 2020, Tun Dr Mahathir, pemimpin berusia hampir 95 tahun yang pada malam sebelumnya lewat tidur kerana meraikan kenduri kahwin cucunya, bukan sahaja mempengerusikan mesyuarat MPT. Dari jam 9am ke sekitar 11.30am beliau mempengerusikan mesyuarat Biro Politik parti. Dari 11.30am sehingga sekitar 2.30pm, beliau mempengerusikan MPT Bersatu. Selepas MPT, beliau dimaklumkan bahawa rombongan 'Ketua-Ketua Parti Melayu' sedang menantinya di kediaman peribadinya untuk menyambung perbincangan. Perbincangan di rumah Tun Dr Mahathir berakhir pada sekitar 5pm, itu pun kerana 'Ketua-Ketua Parti Melayu' bergegas ke Istana Negara untuk mengadap DYMM Yang DiPertuan Agong.
Dari jam 9 pagi sehingga 5 petang, melalui 3 mesyuarat berasingan, Tun Dr Mahathir ditekan untuk meninggalkan Pakatan Harapan untuk menubuhkan kerajaan baru. Hujah-hujah utama Tun Dr Mahathir konsisten menolak kerana beliau tak mahu mungkir janji kepada PH dan enggan bersekongkol dengan Kleptokrat. Tun Dr Mahathir TIDAK ke Istana Negara bersama 'Ketua-Ketua Parti Melayu' mahupun ke Sheraton Petaling Jaya walaupun ada yang menjaja beliau hadir di kedua-duanya. Tun Dr Mahathir dikhabarkan tidur sekitar 10.30 malam.
Saya tertanya-tanya sejak malam 23 Februari 2020, kalau tiada niat untuk menjatuhkan kerajaan oleh pihak-pihak tertentu pada tarikh tersebut, kenapakah Tun Dr Mahathir beliau didesak selama 8 jam sehingga ke rumah tak mengira usianya dan kenapakah sudah diatur temujanji mengadap DYMM Yang DiPertuan Agong petang itu? Mungkinkah keraian di Sheraton PJ malam itu berniat untuk menyambut perkara lain pada asalnya, tetapi gagal kerana Tun Dr Mahathir tak pernah bersetuju?
Langkah Ke Hadapan
Masih belum terlambat untuk menyelamatkan Bersatu. Saya baru sahaja menerima jemputan ke Mesyuarat MPT pada hari esok, 11 Mei 2020. Terkejut juga saya menerima jemputan kerana saya dimaklumkan MPT bermesyuarat (tidak rasmi?) semalam, 9 Mei 2020, tetapi saya tak dijemput. Saya harap MPT akan membincangkan macam mana untuk merapatkan barisan demi memastikan Bersatu berperanan penting sebagai sebuah parti dalam memerangi wabak Covid19. Saya juga berdoa desas-desus yang menyatakan mesyuarat esok berniat untuk menggugurkan keahlian Tun Dr Mahathir dan DS Mukhriz Mahathir berdasarkan Kenyataan-Kenyataan Ketua Penerangan tidak benar. Saya khuatir jika yang tak diingini berlaku, TS Muhyiddin akan tinggal satu-satunya Pengasas Bersatu yang masih Ahlinya nanti.
Wallahualam, segala yang baik dari Allah, yang buruk dari diriku sendiri.
Ikhlas,
AKHRAMSYAH MUAMMAR UBAIDAH BIN TS SANUSI
Ahli Bersatu #007
Pengasas dan AMPT Bersatu
Nuzul Quran, Ramadhan 1441 Hijrah
10 Mei 2020 Masihi
Perjuangan apa yang kamu cerita ni?? Mahathir anak beranak dan puak2 kamu jelas sekarang berjuang kerana kuasa kan?? You cakap tak serupa bikin. Semasa dalam kerajaan PH dulu cuba sebut apa perjuangan Bersatu kamu?? Yang rakyat nampak, Bersatu dijadikan TEROMPAH bilik tandas oleh DAP, masih tak sedar ke? Nasin Mahyuddin dan beberapa pemimpin sedar cepat. Kalau tidak Mahathir akan lingkupkan langsung kaum dan kepentingan melayu !! Sekarang sekali lagi Bersatu Mahathir mahu dan rela sekali lagi diterompahkan oleh sekutu2 DAP. Cuba sebut sekali lagi " Jangan Kerana Kuasa Perjuangan Tergadai" . Nak muntah orang melayu dengar. Kenapa tak berani nak publish??? Terasa ke?
ReplyDeletePodah lah lu
ReplyDeleteApa asas perjuangan BERSATU? Utk kuasa atau untuk peribumi Malaysia iaitu bangsa Melayu? Kalu dah hilang sokongan Melayu bermakna asas perjuangan korang la yg dah tersasar...hanya demi tembolok korang ja...tak payah nak cakap pasal perjuangan kalu hak Melayu Islam sendiri pn tak de telur nak pertahankan masa dalm PH...baik tukar je jadi parti BERSATUbuh dgn DAP ja
ReplyDelete