Penulis merasa gusar apabila dalam kerancakan perbalahan tentang dasar anti-Islam Presiden Perancis, akhirnya yang dilapor media perdana Malaysia adalah komen sosial-media oleh DS Najib Razak mengenai kritikan Tun Dr Mahathir terhadap Presiden Macron tersebut. Malah lazim mengetahui hubungan intim DS Najib dengan pihak pembekal peralatan ketenteraan Perancis sehingga hasilnya adalah kontrak kapal-selam Scorpene yang dibeli sewaktu beliau Menteri Pertahanan.
Namun begitu, lebih merunsingkan penulis ini lagi adalah terlihat seolah-olah tiada tindakan jelas kerajaan bertindak-balas terhadap kesangsian yang timbul apabila kerajaan Perancis berlaku begitu anti-Islam. Ini seharusnya membawa kepada kesedaran risiko besar berpunca dari terlalu banyak peralatan kritikal pertahanan negara dibekalkan dan masih diselenggarakan oleh syarikat-syarikat Perancis!
Perancis bukan sekadar membekalkan kapal selam Scorpene ke Malaysia, malah kesemua kapal Frigate kelas KD Maharaja Lela dibekalkan teknologinya oleh syarikat Perancis dan masih didukung penyelenggaraannya oleh pembekal-pembekal negara tersebut! Malah, menjadi bahan kritikan utama yang pembuatan kapal-kapal tersebut oleh anak-anak syarikat Boustead Holdings milik majoriti Lembaga Tabung Angkatan Tentera terlalu kurang unsur perkongsian teknologinya Ini bermaksud TLDM masih terpaksa bergantung kepada bantuan kepakaran Perancis!
Pembekalan ketenteraan Perancis tidak terhad kepada TLDM sahaja, contohnya, TUDM masih menggunakan kapalterbang Airbus A400M yang dibekalkan syarikat Airbus Defence and Space yang mana pemegang saham terbesarnya Perancis (11.1%). Penulis difahamkan malah kapalterbang-kapalterbang tersebut masih diselenggarakan oleh anak syarikat Airbus di Malaysia. Seharusnya amatlah mencemaskan apabila peralatan ketenteraan negara kita masih bergantung kesiap-sediaannya kepada pakar-pakar runding dari sebuah negara yang Presidennya sedia memaparkan dirinya sebagai anti-Islam.
Daripada begitu teruja dengan komen-komen sinis seorang bekas Perdana Menteri yang sedang menanti hukuman rasuah sekaligus merupakan rakan dagang rapat pembekalan peralatan tentera dari Perancis, saya lebih sedia mengamati kritikan Tun Dr Mahathir. Saya oleh itu mengesyorkan pihak Kerajaan Malaysia untuk menilai kembali seluruh hubungan ketenteraan terutama bekalan peralatan dari Perancis, baik apa-apa pergantungan sedia ada terhadap kapal-kapal selam Scorpene, kapal-kapal Frigate, kapalterbang Airbus A400M mahupun apa-apa rencana untuk masa hadapan, yang berkait dengan Perancis wajar setidak-tidaknya ditangguhkan kalau tidak dibatalkan sama-sekali.
Kerana sesungguhnya, bukan sekadar aneh tetapi membahayakan jika sebuah negara majoriti dan berkepimpinan Islam seperti Malaysia boleh terus yakin akan keikhlasan rakan kongsi ketenteraan dari negara yang dipimpin seorang yang anti-Islam seperti Macron sekarang.
Ikhlas,
Akhramsyah M U Sanusi
Mantan Ahli Lembaga Pengarah, Lembaga Tabung Angkatan Tentera
No comments:
Post a Comment