Thursday, September 07, 2006

Analisa Politik Semasa Sekitar Pendukung Kepimpinan Pak Lah (atau Kenapa Sambutan Dingin Terhadap Cadangan Tun Salleh Abbas)

Agak terdesak sedikit masa dan tenaga saya untuk mengembangkan lagi penulisan dalam hal bahaya inflasi yang menghantui ekonomi negara serta perbezaan falsafah ekonomi Pak Lah dan Tun Dr M. Maka, saya memilih untuk rilek sejenak sambil meransangkan perbincangan tentang tunjang kepimpinan Pak Lah.

Pak Lah seorang ahli politik yang berpengalaman dan didukung oleh ramai pengikut yang setia. Walaupun kesetiaan oleh golongan pro-Pak Lah tradisional mungkin digugat tempohari akibat tuduhan 'pelelong negara' yang dilemparkan terhadapnya secara langsung dan tidak langsung oleh Tun Dr M, namun sokongan Pak Lah masih kental dikalangan penyokong profesional beliau.

Ini termasuk bukan sahaja golongan yang sudah dilabel 'Tingkat 4', iaitu golongan muda, kebanyakannya anak-anak kakitangan kerajaan yang baru menceburi bidang politik dan perasan mereka 'mewakili generasi profesional muda'; ia juga termasuk segolongan ahli politik yang sudah lama menjadikan alam politik alam kerjaya mereka sambil mengekalkan imej profesional mereka.

Golongan veteran politik profesional yang pro-Pak Lah ini amnya merupakan pengikut-pengikut Tun Musa Hitam, bersama-sama dengan Pak Lah dalam 'Team B', yang pernah menentang Tun Dr M pada pemilihan UMNO tahun 1987, dibawah kepimpinan Tunku Razaleigh Hamzah (KuLi).

Perlu dijelaskan di sini yang golongan penyokong Pak Lah ini bukanlah kumpulan Team B yang merupakan penyokong-penyokong KuLi yang, selain dari Dato' Ibrahim Ali, amnya mengambil kedudukan berkecuali dalam sengketa Pak Lah <-> Tun Dr M. Ia juga tidak termasuk pemimpin-pemimpin utama Team B atau kemudian Semangat 46 yang jelas bermaafan dengan Tun Dr M seperti Dato' Rais Yatim dan Dato' Kadir Sheikh Fadzir.

Golongan veteran ini termasuk Setiusaha Agung UMNO sekarang, Dato' Radzi Sheikh Ahmad dan bekas pemimpin BBC, Dato' Shahrir Samad.

Saya ingin memberi perhatian lebih kepada Dato' Radzi dalam penulisan saya pada hari ini, bukan sahaja kerana Dato' Shahrir amnya lebih dikenali, tetapi juga kerana sebagai Setiuasaha Agung UMNO pimpinan Pak Lah, Dato' Radzi merupakan general rasmi utama Pak Lah dalam pertempurannya dengan Tun Dr M.

Siapakah Dato' Radzi Sheikh Ahmad ini yang begitu tekun melawat itik dan dusunnya di Kubang Pasu dua kali dalam minggu sebelum pemilihan UMNO Bahagian tersebut yang beliau sendiri akui sudah lama tidak dijenguknya?

Penting bagi rakyat Malaysia mengetahui bahawa, Dato' Radzilah pemimpin UMNO yang secara tidak langsung mengakibatkan krisis kehakiman berlaku pada tahun 1988. Kerana itulah beliau kini disyaki berusaha mendalangi penutupan usaha meninjau kembali krisis tersebut secara mendalam yang diusulkan oleh Tun Salleh Abbas.

Tiadakah yang hairan bahawa pada masa segala jenis tohmahan dan tuduhan dilontarkan ke arah Tun Dr M dalam usaha pincang untuk menidakkan persoalan yang dibangkitkan beliau tentang kelemahan kepimpinan Pak Lah, kenapakah kerajaan tidak terus sahaja mengorek kudis sejarah krisis kehakiman pada zaman Tun Dr M. Kalau benar Tun Dr M bersalah dalam hal tersebut, kenapa tidak dedahkan sahaja segalanya.

Sebabnya jelas, walaupun Tun Dr M bertindak keras terhadap Hakim-Hakim utama negara pada masa itu, tetapi sebelah mata rakyat sering tertutup dari fakta sejarah di mana badan kehakimanlah yang sebenarnya mula bertindak keras dan menyerang kerajaan Tun Dr M dengan mengharamkan UMNO tanpa mendapatkan dahulu kata putus ketentuan dari Pendaftar Pertubuhan.

Kenapakah Allahyarham Tan Sri Harun Hashim, seorang hakim yang berwibawa, bertindak demikian? Kerana beliau termakan hasutan serta dusta beberapa ahli Team B yang diketuai olah Dato' Radzi Sheikh Ahmad.

Dato' Radzi seorang peguam yang pintar. Beliaulah yang mengusulkan dan mendorong usaha 11 orang ahli UMNO untuk mencabar kesahihan pemilihan UMNO 1987 yang berakhir dengan kemenangan Tun Dr M sebagai Presiden dengan majoriti yang tipis. Dato' Radzilah yang menggunakan hubungan guaman, politik dan peribadi untuk mengatur supaya Hakim-Hakim yang terlibat dalam kes tersebut ada hubungan keluarga atau peribadi dengan KuLi dan Tun Musa.

Para hakim mahkamah kita pada masa itu mungkin berwibawa, tetapi mereka juga manusia biasa. Dan apabila berdepan dengan tuduhan yang membuktikan saudara dan teman mereka mungkin berpeluang merampas kepimpinan negara menerusi keputusan kehakiman mereka, naluri setiakawan dan persaudaraan mendorong mereka kearah pengharaman UMNO.

Dato' Radzilah pencanang di sebalik pengharaman UMNO tersebut.

Tetapi Dato' Radzi dalam canangannya terlupa yang para kakitangan awam yang berwibawa juga wujud di pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS). Kerana mereka tidak setuju dengan keputusan berat sebelah Hakim-Hakim tersebut, mereka memberi keutamaan kepada Tun Dr M dan para pengikutnya untuk mewujudkan UMNO Baru.

Tersalah langkah Dato' Radzi, dan apabila ini berlaku, beliau mendapati dirinya bukan sahaja pada pihak yang kalah pemilihan, tetapi terkandas sebagai penderhaka di luar UMNO Baru. Pada masa inilah Dato' Radzi membuat kesilapan yang parah buat badan-badan kehakiman negara. Dato' Radzi terus mencanang dalam usaha melagakan lagi para Hakim dengan UMNO Baru dan kerajaan pimpinan Tun Dr M. Perlagaan inilah yang menyebablan krisis kehakiman 1988.

Semua ini angkara Dato' Radzi. Kini beliau tergesa-gesa berusaha menutup segala usaha mengkaji semula apa yang berlaku pada tahun-tahun gelap 1987-88, sewaktu beliau memporak-perandakan alam politik, kerajaan dan kehakiman negara Malaysia.

Dato' Radzi tahu yang kalau beliau benarkan kajian semula dilakukan, ada risiko tinggi yang para penyokong Tun Dr M, malah ahli Semangat 46 sendiri yang masih ingat dan tidak dapat memaafkan Dato' Radzi, akan mendedahkan segala pekung yang sekian lama tersembunyi mengenai jenayah penderhakaan terhadap bangsa dan negara yang dilakukannya.

Inilah juga sebab kenapa Dato' Radzi dengan begitu tekun cuba menjahit-tutup mulut lantang Tun Dr M tentang kelemahan Pak Lah. Beliau takut yang dalam kelantangan Tun Dr M, mungkin ada tersasul-sebut antara bukti kelemahan Pak Lah adalah yang Dato' Radzi, orang yang paling bertanggungjawab dalam pengharaman UMNO, telah dilantiknya sebagai Setiausaha Agung UMNO pimpinannya.

Dato' Radzi ada menyatakan dalam temuramah dengan akhbar Star awal tahun ini yang beliau tidak bercadang bertanding lagi dalam pilihanraya akan datang. Alhamdulillah. Tetapi mungkin ada baiknya Dato' Radzi pergi lebih dahulu dari itu. Ternyata UMNO sekarang dan UMNO yang diderhakainya dahulu tidak memerlukannya kasih sayang sama seperti itik dan dusunnya di Kubang Pasu.

Tangential Malay Search Results