Tuesday, July 10, 2012

Perebutan Harta Di Sebalik Pembatalan MAYC?

Jurublog mendapatkan pendapat dari beberapa tokoh pemberita mengenai kisah tragedi yang melanda MAYC dan amnya mereka menyarankan agar pembaca segera dimaklumkan tentang perebutan harta di MAYC. Harta? Ya, harta...

Para pembaca yang mengikuti berita terkini MAYC mungkin telah berpeluang membaca bagaimana Mesyuarat Agung dilaksanakan pada 7 Julai 2012. Anda mungkin mahukan pendapat jurublog sebagai pemimpin kumpulan perwakilan MAYC yang dihalang serta dihalau dari menghadiri Mesyuarat Agung tersebut ataupun perasaan kita apabila disenarai-hitamkan. Namun kita memohon kesabaran sementara jurublog melengkapkan latar-belakang kemelut MAYC.

Kerana walaupun sdr Hasri Haidzir diangkat oleh minoriti perwakilan MAYC yang tidak dihalau menjadi Presiden MAYC Kebangsaan kini juga menunggang organisasi ini demi menjadi calon Parlimen Sik, Kedah, pada ramai pembaca, mungkin lebih menarik mengetahui beliau kini juga salah seorang Pengarah Wisma Belia Sdn Bhd.

Banyak sangatkah hartanya MAYC?

Harta MAYC dianggarkan bernilai RM30-40 Juta, dan itu anggaran nilai harta di Kuala Lumpur sahaja! Ini merangkumi tapak tanah serta bangunan Wisma Belia dan Wisma Tunku di Jalan Syed Putra, berdekatan Mid-Valley, Kuala Lumpur dan juga rumah kedai di Taman Shamelin Perkasa.

Wisma Belia terbina hasil usaha arwah Tunku Abdullah dan Tun Dr Mahathir sementara Wisma Tunku diusahakan pembinaannya sebagai tambahan kepada kompleks asal pada zaman Tan Sri Sanusi Junid menerajui MAYC Kebangsaan. Kepada seluruh warga MAYC, Kompleks Wisma Belia berkenaan bukan sekadar warisan pesaka tetapi merupakan simbol pembangunan jatidiri mereka sendiri yang lazim dikursus dan menjalin persaudaraan sesama Belia sambil beraktiviti mahupun bermesyuarat di situ.

Tetapi yang kita dengar MAYC ni banyak hutang kan?

Banyak juga hutangnya, sampai RM9-12 Juta dianggarkan pada suatu masa dahulu. Tetapi terkini difahamkan Datuk Seri Najib Tun Razak, penaung MAYC merangkap Menteri Kewangan, telah pun mengurangkan hutang MAYC ke RM3 Juta.

Tetapi MAYC kaya harta sahajakah? Mungkin harta sahaja ada tetapi pusingan wang tunai atau cashflow turnovernya tidak ada?

Mana mungkin tidak ada? Padahal sewa dewan besar PKBM di Wisma Belia sahaja adalah RM3,000 se-acara (sehari). Bilik tumpangannya, walaupun murah, banyak, lumayan serta popular, terutama sekali untuk rombongan-rombongan pelajar serta Belia dari luar Kuala Lumpur. Agro-Bank masih menyewa ruang cawangannya di tingkat bawah Wisma Belia dan rumah kedai di Shamelin Perkasa pun bersewa!

Malah, pada penghujung tahun 2000, sejurus sebelum peralihan kuasa dari TS Sanusi Junid ke TS Syed Hamid Albar, MAYC Kebangsaan berupaya membayar balik hutang dengan bayaran bulanan RM50,000 sebulan dan pada masa sama mengerakkan aktiviti-aktiviti kelab, kawasan serta negeri gabungan dgn dana bantuan selain sokongan lain.

Maksudnya, MAYC suatu organisasi yang bukan sekadar kaya harta, tetapi mampu menjana keuntungan lumayan bagi kegunaannya?

Benar, maka apa-apa dongeng tentang parahnya kedudukan kewangan MAYC, terutama setelah sebahagian besar hutangnya dilupuskan atas ihsan Datuk Seri Najib Tun Razak, hanyalah kepalsuan serta fitnah terhadap keupayaan bekas para pemimpinnya. Ian juga menjadi sebab kenapa MAYC terus-menerus menjadi rebutan orang-orang yang berjiwa kerdil.

Apabila ditanyakan kepada kelab-kelab gabungan serta sesetengah kawasan dan negeri, sudah lama bantuan mahupun program peringkat Kebangsaan tidak sampai 'ke bawah'. Ada yang mengharapkan ini akan diubah pada zaman pentadbiran Mustaffa Mat Arof, namun kehampaan terus melanda.

Jadi untuk manfaat siapakah harta MAYC menjadi rebutan?

Sang rakus yang merebut harta MAYC sudah terlalu ramai dari zaman ke zaman, tetapi yang terkini kelihatan terlebih zalim dan rakus, sekaligus bertopengkan suatu agensi kerajaan yang tak disangka serta malang sekali berkait secara langsung dengan Jabatan Perdana Menteri! Kita sambung lagi selepas ini.

Tangential Malay Search Results