Saturday, June 30, 2012

Percaturan Politik Punca Pembatalan MAYC?

Tarikh 7 Julai 2012 seharusnya tercacat sebagai tarikh berkat bagi Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kebangsaan. Pada tarikh tersebut, sebuah Mesyuarat Agung pemilihan yang menyatukan semula MAYC seharusnya dilangsungkan. Malangnya, rentetan penghancuran budaya Belia MAYC yang berlanjutan sejak tahun 2002 demi kepentingan politik individu, Mesyuarat Agung tersebut mungkin sekali akan membawa MAYC ke ambang pembatalan sebagai sebuah organisasi.

Kisah bagaimana sebuah organisasi yang dikagumi pada penghujung abad lepas, tapak latihan kemimpinan hebat tokoh seagung Tun Dr Mahathir dan pembangunan jutaan warga Belia sejak sebelum Merdeka boleh kini bakal punah sama-sekali akan jurublog rekodkan di sini dengan harapan ia dapat dielakkan menjelang 7 Julai 2012 kelak.

Rencana DS Shabery Cheek

Pada bulan Oktober lepas, DS Shabery Cheek telah memutuskan untuk menyelamatkan MAYC dari pembatalan melalui sepucuk surat yang dengan jelas memberi garis-panduan menuju perpaduan:

1 - Kepimpinan MAYC diserahkan ke tangan Jawatankuasa pilihan TS Syed Hamid Albar yg dipilih pada Mesyuarat Agung bertarikh 26 September 2010. Ini berniat menyejukkan hati para penyokong TS Syed Hamid Albar serta anak-anak buahnya.

2 - Penyerahan kuasa tersebut bersyaratkan MAYC Kebangsaan mengadakan Mesyuarat Agung pemilihan yang baru menjelang bulan Mac 2012. Mesyuarat Agung tersebut disyaratkan juga wajib menyatu-padukan kembali kedua pihak yang berbalah.

Syarat diadakan Mesyuarat Agung tersebut berniat memuaskan hati pihak lagi satu yang dipimpin barisan Pengerusi-Pengerusi Negeri, Kawasan serta ahli Jawatankuasa Pro-tem pimpinan YB Suraya Yaacob, termasuklah jurublog, anak bekas Presiden MAYC sebelum TS Syed Hamid, iaitu TS Sanusi Junid. Ia juga berdasarkan kesedaran DS Shabery yang dengan menyegerakan peralihan kepimpinan MAYC, generasi baru akan berupaya ke hadapan tanpa gangguan berterusan hasil perbalahan orang-orang lama MAYC.

3 - Untuk menjamin kepatuhan kepimpinan MAYC dibawah kePresidenan Mustaffa Mat Arof, disertakan syarat bahawa sekiranya Mesyuarat Agung pemilihan dan penyatuan MAYC Kebangsaan tidak diadakan menjelang Mac 2012, MAYC Kebangsaan pasti terbatal.

Mustaffa Ingkar Menteri Bermodalkan Jajaan Nama Perdana Menteri

Malangnya, Mustaffa telah mengingkari arahan DS Shabery, bukan sekadar dengan menunda Mesyuarat Agung pemilihan MAYC tetapi dengan memerangi secara berterus-terusan para Pengerusi Negeri serta Kawasan yang dahulunya berbalah dengan beliau sebagai pilihan TS Syed Hamid Albar dan kuncu-kuncunya seperti Datuk Zaini Ahmad, Tuan Syed Rahman Tuan Kuning serta Tuan Hashim.

Mustaffa melakukan pengingkaran beliau terhadap arahan DS Shabery dengan bermodalkan kedudukan beliau sebagai seorang Naib Ketua Pemuda Bahagian di Pahang yang kononnya rapat dengan pejabat Perdana Menteri, termasuklah Setiausaha Politik DS Najib, Datuk Sahlan serta YB Norol Azali, Naib Ketua Bahagian Bera. Sesungguhnya, kemungkinan besar DS Najib sendiri tidak tahu-menahu tentang tindak-tanduk Mustaffa, cuma sekadar ditunggang nama baiknya.

Maka Mustaffa ke hulu-hilir menjaja ide yang MAYC Kebangsaan setuju menunda Mesyuarat Agung Pemilihan sehingga selepas PRU 13. Ini dilakukannya tanpa adanya apa-apa usul pun yang dicadangkan apatah lagi diluluskan untuk menunda Mesyuarat Agung pemilihan 2012 tersebut pada Mesyuarat Agung tahunan MAYC pada Disember 2011. Pihak KBS, dan pasti juga pejabat Perdana Menteri juga tidak pernah meminda arahan DS Shabery tersebut.

Tetapi kenapakah Mustaffa begitu beria-ia melakukan demikian? Ini tidak lain kerana beliau berharap dengan kedudukan Presiden MAYC Kebangsaan ditangannya, beliau akan berjaya merebut tempat sebagai calon Wakil Rakyat Parlimen Jerantut menggantikan Ketua Bahagianna, YBM Tunku Azlan, pada PRU 13. Sesungguhnya kepentingan politik yang dikejarnya terbukti dengan kempen blog yang dilancarkan teman-temannya di Jerantut sejurus beliau disahkan Presiden MAYC Kebangsaan.

Bukan Mustaffa Pemula Budaya Menunggang MAYC Ke Jawatan Politik

Malah bukan Mustaffa seorang sahaja yang menunggang kedudukannya di MAYC untuk mencapai sasaran politik. Ada juga pemimpin lain dalam barisannya yang berlaku demikian. Tetapi Mustaffa bukanlah pemula budaya menunggang MAYC ke jawatan politik. Tokoh yang memulakan budaya ini tak lain dari Tan Sri Syed Hamid Albar.

Ramai pemerhati bersalah anggap apabila melihat TS Syed Hamid Albar maju dalam politik pada era Tun Dr Mahathir. Ramai menyangkakan yang ini kerana legasi ayahanda beliau sebagai bekas Ketua Pemuda UMNO. Samalah juga ramai berfikir beliau orang Johor kerana menjadi ahli Parlimen Kota Tinggi sekian lama, beliau sebenarnya orang Pulau Pinang. Sebenarnya, TS Syed Hamid diangkat ke kedudukan Menteri atau saranan TS Sanusi Junid kepada Tun Dr Mahathir agar seorang lagi pemimpin MAYC diberi peluang menyertai kabinetnya.

Malah, TS Syed Hamid yang tak jauh umur dari TS Sanusi menyedari perkara ini apabila memohon peluang menggantikan TS Sanusi sebagai Presiden pada tahun 2000. Beliau telah mengakui pada masa itu bahawa kedudukannya sebagai Presiden MAYC demi mengekalkan kedudukan politiknya. Oleh kerana mereka masih berkawan pada masa itu, TS Sanusi telah bersetuju. (Sesalan TS Sanusi direkodkan di blog beliau)

TS Syed Hamid Mempermainkan Mesyuarat Agung Demi Mengekalkan Kuasa

Usaha mengekalkan MAYC sebagai tunggangan politik beliaulah di sebalik pembatalan pencalonan DS Zahid Hamidi dengan pembatalan pendaftaran MAYC Negeri Perak dan Negeri Johor pada Mesyuarat Agung MAYC Kebangsaan tahun 2012. Ini juga di sebalik penundaan Mesyuarat Agung pemilihan 2004 kemudian kejadian baling kerusi pada Mesyuarat Agung pemilihan 2005 apabila TS Syed Hamid dicabar Naib Ketua MAYC Kawasan Jerantut, Mustaffa Mat Arof! Ini jugalah sebab kenapa MAYC Kebangsaan pimpinan TS Syed Hamid tidak mengadakan Mesyuarat Agung selama 5 tahun selepas tahun 2005.

Pak Lah sendiri apabila ditanya kenapakah TS Syed Hamid kekal dalam kabinet beliau pada masa beliau Perdana Menteri mengakui TS Syed Hamid dipilih kerana beliau masih Presiden MAYC Kebangsaan pada masa itu. Ramai yang tidak tahu yang kekalnya jawatan TS Syed Hamid adalah melalui salah-laku pengurusan Mesyuarat Agung MAYC Kebangsaan. Jelas jugalah Mustaffa telah menerima pengajaran ini dari TS Syed Hamid serta kuncu-kuncunya.

Tetapi adakah kepentingan serta tunggangan politik sahaja yang menjadi punca merudum hingga ke ambang pembatalan MAYC? Tidak sama-sekali. Malah isu harta MAYC Kebangsaan juga tak boleh dilupakan dan inilah juga antara sebab pokok kenapa jurublog serta 'tim'nya ditolak oleh kuncu-kuncu TS Syed Hamid sebagai pengganti kepimpinan. Kisah ini bersambung dengan perebutan harta tersebut.

Published with Blogger-droid v2.0.6

Tangential Malay Search Results