Monday, September 03, 2007

Gara-Gara Kesombongan Menteri, Bakal Putus Talian Rumpun Akibatnya?

Saya baru kembali dari kenduri meraikan pernikahan seorang sepupu di Jakarta. Dalam kemeriahan sambutan, tiada seorang pun dari wakil rumpun keluarga kami dari Malaysia yang bisa lari dari persoalan yang kini menjadi tanda-tanya kebanyakan rakyat Indonesia,”Kenapakah orang Malaysia begitu sombong terhadap orang Indonesia?"

Dalam selok-belok bicara yang merapatkan silaturahim keluarga, sudah tentu soalan tersebut di utarakan dengan penuh sopan dan kebingungan yang ikhlas. Namun, di sekitar Jakarta pada hujung minggu, rata-rata terlihat sepanduk, lakaran di dinding malah sayup-sayup masih terdengar pekikan yang mengutuk sikap sombong Malaysia terhadap Indonesia dengan nada yang lebih perit.

Mungkin ada yang menuding jari kearah kejadian pemukulan hakim karate dari Indonesia oleh anggota Polis DiRaja Malaysia tempohari sebagai punca kemarahan. Mungkin ada juga yang percaya rasa tidak puas hati jiran serumpun kita adalah hasil dari pemaparan media Indonesia akan pelbagai kes yang kurang enak seperti pemukulan Nirmala Bonat, isu Ambalat atau pembuangan pekerja haram Indonesia.

Walaupun benar mungkin terlalu banyak insiden kurang enak yang sudah berlaku terutama sekali dalam tempoh beberapa tahun ini di antara dua Negara. Semestinya benar juga yang pemukulan Donald Luther telah menjadi tunas kemarahan yang baru. Namun, yang menimbulkan kemarahan meluap-luap hingga hari ini, hampir 2 minggu selepas kes pemukulan tersebut bukanlah kejadian tersebut.

Yang menjadi punca kemarahan tidak terhingga masyarakat Indonesia terhadap Malaysia hingga ke hari ini tidak lain dan tidak bukan, kesombongan Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Syed Hamid Albar, yang dengan angkuhnya, enggan memohon maaf secara rasmi bagi pihak kerajaan Malaysia atas kejadian tersebut!

Rakyat Indonesia majoritinya serumpun Melayu dengan majoriti rakyat Malaysia. Malah, hubungan kekeluargaan juga wujud di antara rakyat bukan pribumi kedua-dua Negara. Maka seharusnya nyata pada hemah Datuk Seri Syed Hamid yang rumpun Melayu sedia bermaaf-maafan.

Pada masa yang sama, Melayu pantang dilayan sombong. Kalau ada salah dan silap, terutama sekali antara keluarga, yang bersalah haruslah terus memohon maaf, walaupun jika kesilapan tersebut tidak disengajakan. Yang penting tata-susila, sopan-santun dan budi-pekerti antara kita. Ketua Polis Tan Sri Musa Hassan sendiri mengakui kesalahan polis kita dan sudah pun meminta maaf kepada Donald.

Apa yang nak ‘eksyen’ sangat Datuk Seri Syed Hamid, bukankah ternyata kita pada pihak yang salah. Bukannya Indonesia itu Negara yang tidak berkait dengan kita. Indonesia bukan sahaja jiran terdekat, malah tunas rumpun Melayu berlegar di antara kepulauannya berpantulan bumi Champa. Rakyat Indonesia juga tak habis-habis berbudi kepada Malaysia dan pembangunannya.

Sekarang akibat angkuh, bongkak sombong dan eksyennya Datuk Seri Syed Hamid, Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) sudah mempertikaikan silaturahim Indonesia terhadap Malaysia sebagai Negara ‘serumpun’.



Sewaktu Singapura membantah pembinaan Jambatan Bengkok mengganti Tambak Johor, Datuk Seri sedia akur kehendak Singapura, walaupun darah bapa Datuk Seri mungkin panas sebentar. Ya lah, kalau dengan Singapura tu, mungkin akur bukan kerana bebal atau dayus seperti ada yang menuduh, tetapi akibat Datuk Seri Syed Hamid merasakan hormat sekali terhadap Lee Kuan Yew. Mana boleh sombong.

Ada yang mengatakan usaha Datuk Seri Syed Hamid mengetengahkan calon Malaysia sebagai Setiausaha Agung OIC dan Komanwel gagal sebab Datuk Seri sombong hingga tak merujuk betul-betul pendapat semua pihak. Tapi ini mungkin tidak benar, mungkin Datu Seri ikhlas memilih, cuma kurang bernasib baik.

Ada yang menuduh yang dengan kebebasan yang diberikan Pak Lah, Datuk Seri Syed Hamid terlalu bersedia mengampu Amerika Syarikat dan kian mangabai teman-teman lama dan setia di ASEAN, OIC dan Komanwel. Sombongnya terserlah apabila beliau lebih bersedia mengutuk Palestin dari membantu. Mungkin Datuk Seri terlalu arif akan kelebihan mengampu kuasa besar lebih dari menngamankan kawan.

Sewaktu Banjir di Kota Tinggi dahulu, Datuk Seri seolah-olah sombong tak melawat, hinggalah hari Pak Lah sendiri melawat kawasan parlimen Datuk. Ya lah kita faham yang Datuk Seri Syed Hamid lebih mementingkan Perdana Menteri dari rakyat kawasan parlimennya. Mungkin bukan kerana sombong, tapi menurut kepentingan.

Apakah ongkos sombong-tidaknya Datuk Seri Syed Hamid dalam insiden yang lain ini?

  1. Mungkin maruah Negara tergadai sedikit dalam hal jambatan bengkok. Tapi tak apa, mungkin Datuk Seri Syed Hamid rasa kita boleh hidup tanpa maruah.

  2. Mungkin kepimpinan Negara di peringkat antarabangsa tergugat akibat kegagalan calon-calon OIC dan Komanwel kita, tetapi tak apa, kita boleh hidup tanpa kepimpinan pada peringkat antarabangsa.

  3. Mungkin Malaysia semakin kehilangan amalan prinsip mengamankan dan manbantu kawan seperti Palestin. Tapi tak apa, hidup Datuk Seri Syed Hamid mungkin lebih senang dan makmur di bawah telunjuk Amerika Syarikat.

  4. Mungkin Datuk Seri Syed Hamid sendiri bakal kalah pilihanraya akibat sombong Datuk Seri pada waktu banjir di Kota Tinggi. Saya agak yakin Negara akan terus membangun tanpa kehadiran Datuk Seri di dalam kabinet.

Namun, apakah bakal ongkos sombongnya Datuk Seri Syed Hamid terhadap Indonesia dalam isu yang seharusnya begitu mudah ditangani ini?

  1. Bersediakan Melayu Malaysia diceraikan dari rumpun terdekatnya di Indonesia?

  2. Bersediakan kaum-keluarga di Malaysia berfungsi tanpa bantuan pengasuh dan pembantu rumah Indonesia?

  3. Bersediakah Malaysia memacu ekonomi tanpa buruh mahir dan kasar dari Indonesia?

  4. Bersediakah Malaysia menanggung kerugian pelaburan di Indonesia, destinasi pelaburan utama negara kita pada hari ini?

Maaflah Datuk Seri Syed Hamid Albar, kos kesombongan Datuk Seri mungkin sudah terlalu tingi untuk ditampung rakyat negara kita.

Pada peringkat awal pemerintahan kerajaan Pak Lah, Tan Sri Abdullah Ahmad telah diberhentikan perkhidmatan dari pengurusan New Straits Times (NST) akibat tindakannya yang dikatakan menghina kerajaan Arab Saudi. Pada masa itu hampir musim haji dan pihanraya pun hampir tiba...

Bulan Ramadhan hampir tiba, bulan yang melihat paling banyak buruh Indonesia meninggalkan negara, lazimnya untuk kembali atau silih-berganti. Pilihanraya pun hampir tiba. Mungkin tiba masanya Pak Lah memecat salah seorang ahli kabinetnya sebelum keadaan melarat. Melayu lazimnya akan tarima sekiranya Datuk Seri Syed Hamid Albar dipecat kerana terlalu sombong...

6 comments:

Nik said...

Saudara, sebenarnya lebih ramai rakyat Malaysia yang dibunuh, dirompak, dicederakan dan dirogol oleh rakyat negara jiran serumpun, berbanding dengan insiden Nirmala, Hakim Karate dll.

Dalam keluarga saya sendiri pernah dirompak, diikat dan diugut oleh mereka. Kenalan saya dipaksa memakan jam rolex selepas dikencing oleh mereka, kerana jam itu tiruan.

35% banduan di Malaysia ialah warga asing, iaitu 14,520 orang. Adakah rakyat Malaysia pernah membakar bendera Indonesia?

Siti Ramona ABdul Rahman said...

saya setuju dengan Nik, kita tak de pun bising dan jadikan isu diplomatik bila orang dia merompak, membunuh merogol dan lain lain. tak ingat ke bulan lepas orang acheh minta kita simpan lagi orang dia pasal sana tak de kerja, takut jenayah meningkat....apa yang nak minta ampun maaf sangat.

you should realise this happened because their media went overboard, dah carry cerita panas aje, jadi panaslah rakyat semua....

da real deal said...

ranvebApalah nak kirakan seorang hakim karate yg tak bisa mempertahankan dirinya mungkin kerana mulutnya yang cabul, dengan sokongan serta bantuan yang di hulurkan setiap kali ada bencana alam di Indonesia.

Kalaupun menteri luar negara kita itu sombong, seharusnya negara Indonesia itu lebih bersyukur ada jiran seperti kita dan bukan yahudi seperti titik merah di peta dunia itu.

Dzurij said...

Tersentuh hati melihat penulisan saudara. Rakyat Indonesia bukan sahaja jiran serumpun, malahan kebanyakan dari mereka adalah jiran seagama. Berdasarkan pengalaman saya yang sering bertegur sapa dan bermesra dengan rakyat Indonesia, mereka ini sama sahaja seperti kita. Pokok pangkalnya, saya percaya manusia jika dilayan dengan baik akan membalas dengan cara yang baik juga.Tidak perlu tuding jari pada Rakyat Indonesia, lambakan mereka di negara kita juga diselia dan dikawal oleh pemerintah negara.Manusia itu sama sahaja disisi Allah...yang membezakan hanya Iman dan Taqwa.

Abu said...

Saya berpendapat Menteri Luar tidak seharusnya meminta maaf pada Indonesia bagi pihak Malaysia sebab mereka yang bertindak memukul jurulatih karate semua telah dihukum mengikut undang2 negara termasuk mereka yang mendera rakyat Indonesia.

Undang2 yang lebih ketat dan tegas harus diwujudkan termasuk hukuman rotan mandatori terhadap pendatang2 haram tidak kira dari asal mana negara mereka.
Kebanjiran pendatang haram ini melibat soal keselamatan dan kedaulatan negara dan menimbulkan banyak masalah sosial.

Kalau nak minta maaf maka Indonesia juga harus mohon maaf pada Malaysia di mana rakyat mereka banyak melakukan jenayah rompak, bunuh, rogol, memasuki negara Malaysia secara haram dan lain2.
Berjuta2 wang rakyat Malaysia dibelanjakan hanya untuk menanggung kos penghantaran and penginapan mereka yang ditangkap termasuk majoritinya dari Indonesia.

Tanggung jawab pemerintah Indonesia menanggung kos makan minum dan paling penting urusan menghantar balik rakyat mereka yang begitu ramai ditangkap memasuki negara secara haram kerja tanpa permit.

Apakah rakyat Indonesia merasakan mereka boleh melakukan sesuka hati mereka?

Diplomat Indonesia harus dipanggil untuk beri keterangan dan penjelasan laporan2 media termasuk statement2 dari pegawai pemerintah negara Indonesia sendiri yang bertindak mengapikan rakyat Indonesia.

Jiran seagama mahupun serumpun tak bermakna undang2 dan kedaulatan negara diketepikan.

Satya said...

Saudara saudari sekalian,

Saya bersetuju dengan pendapat bahawa Malaysia seharusnya memohon maaf kepada Indonesia secara rasmi atas pemukulan hakim karate tersebut.

Memang benar bahawa ramai di kalangan rakyat Indonesia yang telah menimbulkan gejala yang pelbagai di sini, dan benar pula bahawa kerajaan Indonesia tidak memohon maaf secara rasmi.

Namun, secara prinsipnya, jika kita telah menyalahi pihak yang lain, kita tidak seharusnya mengutamakan ego kita. Memohon maaf sahajalah. Tiada gunanya kita mengagung-agungkan di mulut sahaja, budaya kita yang mengutamakan adab dan kesopanan. Kita seharusnya mempraktikannya.

Jika kita memohon maaf kepada pihak yang disalahi kita, walaupun pihak yang sama tidak meminta ampun atas kesalahannya terhadap kita, maka murnilah sikap kita. Ia mencerminkan kelebihan etika dan bukan kelemahan dari apa jua segi.

Sama ada negara tersebut berkait atau tidak dari segi rumpun, agama, dan lain-lain, tidak penting, pada pandangan saya. Jika kita menyalahi pihak/negara lain, haruslah kita memohon maaf.

Walau bagaimanapun, berkenaan dengan isu pemulangan pekerja-pekerja haram Indonesia, saya berpendapat bahawa ia bukan suatu kesalahan negara kita.

Saudara,

Saya rasa saya kurang membaca tentang hal ini, tetapi bilakah Syed Hamid Albar mengutuk Palestin, dan apakah kutukannya?

Tangential Malay Search Results