Wednesday, April 07, 2010

2 Acara Menyingkap Sejarah, Menyentuh Masa Depan

Kesibukan hari penulis penuh dengan hidup berkeluarga, kenduri-kendara mahupun kerja, memberi ruang untuk hanya sedikit masa untuk 'ber-NGO', namun kedua-dua acara yang dimaksudkan tajuk dirasakan cukup bermakna untuk dikongsi.

Khamis lepas penulis ke Seremban bagi menunaikan janji kepada cikgu lama untuk berucap kepada para palajar beliau di Kolej MARA. Topiknya adalah Sejarah dari segi Teori Pengetahun atau 'Theory of Knowledge'. Ucapan penulis kepada para pelajar adalah pentingnya sejarah direlevankan dengan mengambil iktibar kejadian lepas dalam menyelesaikan persoalan yang timbul di masa kini. Antara contoh yang saya berikan:
  1. Kenapakah 16 September tidak dapat diterima oleh pemimpin generasi lepas untuk diraikan sebagai Hari Malaysia, lengkap dengan sambutan dan cuti awam? Kenapakah ini dapat dilaksanakan oleh DS Najib pula? Ini adalah kerana sejarah sebenar di sebalik 16 September 'ter'pilih sebagai hari Malaysia disatukan yang memeritkan hati generasi lama tetapi kini sudah kurang relevan untuk generasi sekarang, terutama golongan muda.

  2. Bagaimana usaha penulis dan ramai ahli ekonomi muda untuk menghapuskan subsidi gula pincang sedikit kerana kurangnya pemahaman tentang latarbelakang dan sejarah di sebalik dasar subsidi tersebut. Rupa-rupanya, dasar yang lama telah digubal dengan kajian penuh lengkap, merangkumi bukan sahaja ekonomi, tetapi juga isu-isu kesihatan, selera, keperluan tenaga, demografi dan pemakanan masyarakat miskin.

  3. Bagaimanakah memahami sejarah negara-negara dan masyarakat lain serta pengamatan budaya mereka dapat membantu dalam perhubungan kita dengan individu, bangsa, syarikat mahupun kerajaan tersebut.

  4. Dan lain-lain lagi...

Lebih berharga bagi saya adalah peluang duduk sejenak dengan cikgu-cikgu lama untuk bertukar cerita tentang perjalanan hidup masing-masing. Kagum juga saya mendengar yang mereka kini sibuk merancang 'aktiviti cuti', yakni melawat buat kali ketiga 'kampung angkat' mereka di Kambodia untuk berbakti kepada masyarakat! Pada kali kedua mereka ke sana, sekolah telah dibuka, kemudahan moden bersama dibangunkan dan pelbagai buku-buku ilmu dihadiahkan!

Alangkah bahagianya para pelajar Kolej MARA Seremban kerana diajar guru-guru yang pedulinya melepasi benteng rumah mahupun pesisir kolej, sehingga menjangkau masyarakat serantau sekali! Mereka mengambil inspirasi sejarah di mana negara kita pun nyaris sepapa Kambodia. Penulis masih terkedu sewaktu melepak makan tengahari dengan geng-geng MAYC Negeri Sembilan selepas itu, walaupun mengadap juadah ikan keli dan daging salai yang begitu enak!

Keesokan harinya, sejarah sekali lagi menjadi topik apabila penulis mewakili MAYC ke forum MalaysiakiniTV yang membincangkan Model Ekonomi Baru (MEB) atau lebih dikenali singkatan Inggerisnya, NEM. Seperti para pembaca dapat melihat dari petikan video di MalaysiakiniTV tersebut, sejarah menjadi cukup relevan dalam menentukan masa depan Malaysia, terutama sekali dalam penetapan dan perlaksanaan dasar sepenting NEM. Pentingnya:
  1. Menerima yang bukan semua yang dibawa oleh dasar, perlaksanaan dan usaha 'orang-orang lama' itu buruk. Lazimnya, kebaikan yang dibawa kerana niat telus pencadang dan ikhlas perlaksanaan oleh majoriti penggerak dasar. Janganlah pengalaman dari segelintir golongan atau secebis masa dijadikan panduan semata-mata.

  2. Janganlah ditidakkan Sejarah dengan label-label yang pelbagai, kerana tiada sumber pengajaran yang wujud selain dari singkapan sejarah. Usaha menggubal dasar seperti NEM akan senantiasa dilambung ombak pergolakan serta perubahan masyarakat. Maka ia haruslah direka dengan mengambil kira maklum-balas terbuka dari setiap lapisan masyarakat.

  3. Khusus bersabit isu ini, semua setuju yang NEP atau DEB dan NDP BERJAYA dalam memajukan dan menaik-tarafkan hidup masyarakat. Cuma kini, ia perlua diolah semula, sesuai dengan aspirasi rakyat negara kita sekaligus menangani salah-laku segelintir golongan yang mengambil kesempatan dam perlaksanaan-perlaksanaan dahulu. Ini juga pengajaran Sejarah NEP untuk NEM.
Dalam masa 2 hari, penulis menyertai 2 acara di mana sejarah menjadi bahan perbincangan dan membuktikan ia cukup relevan dalam membentuk masa hadapan. Diharap dalam tergesa-gesanya belia dan masyarakat muda mengejar masa hadapan, mereka tidak melupakan budi dan teladan yang dapat ditimba dari sejarah, walau betapa silam...

No comments:

Tangential Malay Search Results