Sunday, August 09, 2015

Mampukah Najib Bertahan Sehingga Perhimpunan Agung UMNO 2015?

Sudah semakin maklum bahawa DS Najib menerima sambutan sopan namun dingin dari perwakilan di Mesyuarat Agung Bahagian Pasir Gudang yang dirasmikannya pada semalam. Walaupun nasihat Ketua Bahagian Pasir Gudang merangkap Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin agar perwakilan berlaku sebagai tuan rumah yang baik terhadap DS Najib sebagai tetamu kehormat amnya dipatuhi, namun ini tidak menghalang para perwakilan untuk menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap Perdana Menteri serta Presiden Parti paling dilanda musibah dalam sejarah UMNO.

DS Khaled sendiri telah dengan penuh hormat membuka jalan menunjukkan rasa kurang senang rakyat terhadap kepimpinan BN serta UMNO dengan 3 perkara benar disarung pahit yang disampaikannya sewaktu mengalu-alukan kedatangan DS Najib. Tetapi kejutan terbesar kepada DS Najib sendiri berlaku sewaktu beliau menyampaikan ucapannya, yang tidak disahut walau tepukan gemuruh apatah lagi sorak ketawa seperti pengalaman sebelumnya. Hanya tepuk sopan melayan sahaja dapat diumpannya, malah apabila beliau menanyakan kepada perwakilan sama ada mahukan BR1M diteruskan, ada sahutan,"Tidak!"

Tenyata teori "Cash Is King" yang diamalkan pentadbiran DS Najib hasil nasihat kolot punahsihat-punahsihatnya termasuk dari luar negara sudah mula diisytihar GAGAL oleh akar-umbi UMNO.

DS Najib yang juga nekad mencabar perwakilan sama ada sedia jika beliau mendedahkan segala pekung di dadanya pasti terkesan sekali lagi apabila cabarannya disahut pula dengan laungan,"Dedahlah!"  Tak puas dengan itu, pada penghujung perasmian majlis tersebut, sebuah memorandum yang memintas benteng pengawal peribadi serta punahsihat-punahsihat PMO, telah diserahkan kepadanya. Melalui memorandum tersebut, akar-umbi UMNO Pasir Gudang mengesa agar DS Najib 'berehat' dari jawatan dan mendesak supaya pemilihan parti disegerakan, bukan dilambatkan lagi selama 18 bulan seperti diputuskan MKT UMNO.

Kegelisahan yang disampaikan secara terbuka di Pasir Gudang pasti akan dihadapi berulang-ulang oleh DS Najib dengan nada semakin meruncing sepanjang musim mesyuarat Bahagian UMMO. Malah blogger ini merasakan sudah menjadi hampir terlalu sukar untuk melindungi DS Najib di luar mahupun di pejabat dari suara akar-umbi UMNO seluruh negara yang merintih terhadap kepimpinannya. Di Kedah pula, DS Mukhriz Mahathir, Menteri Besar Kedah, telah menimbulkan persoalan sama tentang perlunya kelancaran siasatan ke atas 1MDB selain mempertahankan TSMY! Sayap-sayap UMNO Langkawi juga mendesak percutian DS Najib!

Soalnya sekarang, sejauh manakah DS Najib sanggup bertahan sebagai Perdana Menteri jika suara-suara halus ini semakin bergabung menjadi tempikan desakan #UndurNajib menjelang turunnya berduyun-duyun ahli-ahli UMNO ke Perhimpuman Agung UMNO (PAU) tahun ini? Berani serta cukup kentalkah jiwanya menghadapi kemungkinan di boo secara terbuka dari luar hingga ke dalam dewan? Sediakah beliau digelar lembap serta 'wajar undur' dari pentas oleh para pembahas usul di PAU mahupun menghadapi laungan "Undur Najib!" yang termungkin menggegarkan Dewan Merdeka PWTC nanti?

Tidak boleh dipersoalkan lagi bahawa Rakyat ternanti-nanti pemergian DS Najib serta yang terdekat dengannya dari tampuk kepimpinan. Tak hairanlah apabila mendengar sambutan Hari Raya DS Najib di Pekan yang kononnya dihadiri 60,000 pengunjung jauh lebih kecil jumlah pengunjungnya berbanding dengan ratusan-ribu yang membanjiri Rumah Terbuka Kementerian Dalam Negeri yang bertuan-rumahkan DS Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri baharunya. Rakyat mahukan orang baru sebagai Perdana Menteri dan akar-umbi UMNO kini mendesak mewakili mereka. Kenapakah DS Najib bertahan lagi bila orang dah tak sudi?

Saya syorkan, siapa-siapa yang kebetulan atau tidak bertemu nanti dengan DS Najib, pesan-pesanlah kepada beliau... sudahlah, rehat sahaja... berundur... selagi kami Rakyat masih sedia memaaafkan salah-silapmu..


No comments:

Tangential Malay Search Results