Saya rasa mual melihat tindak-tanduk kepimpinan politik kita tentang hal layanan buruk terhadap kepala lembu. Yang sibuk dilayan adalah tuduhan orang dan cepat dicari orang untuk dihukum-hakam. Tetapi masalah pokok tidak ditangani!Masalah pokok yang saya maksudkan bukanlah perpindahan kuil... itu sebenarnya tidak harus menjadi isu kecuali diperbesar-besarkan oleh juak-juak kerajaan Pakatan negeri Selangor juga! Yang saya maksudkan adalah masalah nilai!
Khususnya:
Khususnya:
- Di manakah nilai kita sebagai suatu masyarakat majmuk apabila kefahaman tentang agama jiran sewarganegara tiada, sehinggakan bukan sekadar kepala lembu dipijak, tetapi makanan Halal dimaksudkan 'tanpa babi' sahaja dan sesuatu kaum dianggap seagama semua!
- Dimanakah terletaknya hormat rakyat terhadap pemimpin apabila kepala Menteri Besar boleh diproksikan kepala lembu dan disepak-sepak sewenang-wenangnya apabila tidak setuju dengan tindak-tanduk beliau? Kemarahan rakyat terhadap pemimpin tidak memberikan rakyat lesen terbuka untuk biadap tanpa had ke atas pemimpin.
- Dimanakah nilai sejarah, apabila para pembangkang, khususnya PKR, begitu ghairah menyepak kepala lembu sambil lupa itulah simbol Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang digabungkan dengan Parti KeAdilan Nasional untuk menjadi PKR sekarang! Kalau nilai sejarah parti yang dibanggakan pun orang PKR boleh lupa dalam emosi menyepak 'kepala sendiri', tak hairanlah melihat mereka lupakan sejarah perjuangan lama, mahupun janji-janji baru!
- Dimanakah nilai kepimpinan kita apabila yang dipentingkan adalah memberi kepuasan emosi kepada rakyat, bukan menangani persisihan pendapat antara kaum dengan memperbetulkan hubungan serta pegangan nilai! Sibuk menuding jari ke arah lain atau berselindung disebalik dalih-dusta, sama saja pada mana-mana parti... BILA NAK DIPUPUK NILAI MURNI?
Inilah di sebalik porak-perandanya negara! Bilakah kita akan kembali kepada pegangan nilai sebagai panduan arah-tuju negara bangsa! Saya sudah mual...
No comments:
Post a Comment