Wednesday, March 03, 2010

Hari Ini Dalam Sejarah: Saya Setuju Dengan Pak Lah!

Teramat jaranglah perkara ini berlaku, sehingga tergerak saya dari fokus kerja untuk merakamkannya... saya setuju dengan Pak Lah! Jangan salah sangka, ini bukan bermakna saya sekarang sudah berubah haluan, tetapi kalau musuh terkeji pun cakap betulnya kita harus sokong, apatah lagi nasihat pemimpin lama yang walaupun banyak salah, telah pun kalah dan budi lepasnya masih dikisah.

Kenyataan Pak Lah yang manakah menggerakkan saya untuk menulis perkara ini? Kenyataan yang saya petik di sini:

Abdullah bagaimanapun mengingatkan BN supaya tidak menganggap kerapuhan pakatan pembangkang ketika ini secara automatik akan menjadikan BN lebih kuat.

''Yang lebih penting saat ini ialah BN dan UMNO kena pastikan ia lebih kuat dan mampu untuk berjasa memperjuangkan program-program pembangunan untuk rakyat," katanya.

Kata beliau: ''Setakat nak kuat hanya apabila pembangkang menghadapi masalah, kekuatan itu kelak akan meleset.

''Yang penting, biarlah apa yang kita cakapkan sebelum ini hendakkan pembaharuan dapat meyakinkan rakyat bahawa BN tetap teguh dan mampu membela nasib mereka."


Saya rasa ahli politik dari planet Marikh atau mana-mana alam songsang lain sahajalah yang ada kemungkinan tidak bersetuju dengan pendapat Pak Lah di atas. Malah, kepimpinan BN kini harus waspada akan kelekaan yang mungkin mula menular di kalangan akar-umbi mahupun diri mereka sendiri apabila melihat Pakatan, terutama PKR, begitu kucar-kacir.

Kalaulah saranan untuk bermuhasabah diri ini tidak cukup, ingatlah yang tunjang kekuatan Pakatan bukannya PKR, tetapi PAS, dan parti tersebut masih utuh walau dilanda gelombang-badai dalamannya sendiri. Jangan diharap kekuatan parti PAS akan terhakis sepertimana PKR dengan terserlahnya kerakusan kuasa dan dosa liwat DS Anwar. Malah, PAS mungkin menjadi lebih kuat dengan punahnya PKR!

Akhir kata, apakah mungkin Pak Lah kini sudah bangun dari lena yang hampir menghancurkan negara di bawah tampuk kepimpinannya dahulu? Kata-kata di atas mengingatkan kita akan Pak Lah yang lama, pasca PRU-11! Apa yang berbeza dengannya dahulu dengan sekarang ya? OH YA! TINGKAT 4 DAH TAK ADA! Silap-silap, KJ pun dah lama tak bisik kat dia! Alhamdulillah....

1 comment:

mawar berduri said...

Tu suara KJ...nak ckp sendiri tak berani bro!

Tangential Malay Search Results