- YB Lim KS memberi gambaran seolah-olah Menteri-Menteri kerajaan semua begitu berkuasa, sehingga boleh sedia menguburkan periuk nasi mana-mana pegawai kerajaan tanpa selesai perjalanan soal-siasat yang wajib dilaksanaan demi mencapai keputusan adil untuk semua pihak. Orang-orang muda harus dididik yang seorang menteri sekalipun haruslah mematuhi undang-undang dan peraturan.
- YB Lim KS memberi gambaran seolah-olah asal adanya suara bantahan lantang tentang salah-laku seorang pekerja kerajaan sudah memadai untuk dipecat! Alangkah zalimnya sekiranya demikian! Tidakkah lebih baik penyiasatan dijalankan dahulu untuk mendapatkan keputusan yang lebih adil. Lagi pun, penerimaan suara yang paling deras sahaja selalu seolah menerima, malah memaafkan kekerasan!
- YB Lim KS memberi gambaran seolah-olah sekiranya tindakan lambat diambil dari yang beliau harapkan, ianya kerana kehendak menteri semata-mata dan beragenda politik. Mungkinkah ini memberi gambaran keperibadian beliau sendiri sebagai pemimpin politik? Adakah semua tata-bicara YB Lim KS untuk merebut kuasa politik sahaja? Di manakah kebenaran?
Hidup penuh peraturan, walau cara berjalan atau makan-minum. Untuk orang Islam, sunatnya ada, kepada yang bukan, kelazimanlah setidak-tidaknya menjadi aturan. Kalaulah begitu, sudah tentu peraturan mesti wujud untuk mengadili sesuatu kesalahan, kerana kalau tidak, kebatilan akan membawa kezaliman sebelum pun kebenaran dapat bersua muka! Yang diperlukan adalah sabar. Ini yang sepatutnya dididik oleh YB Lim KS, bukan tohmahan sembarangannya.
Sebenarnya, mungkin tak patut saya menggunakan salah-laku YB Lim KS sebagai contoh di sini. Beliau seorang ahli politik pembangkang yang belum berpengalaman mentadbir. Lebih baik saya mempersoalkan kepada seorang pemimpin kerajaan yang pernah menjalankan tugas sebagai menteri.
Contohnya semalam, YB TS Syed Hamid menuduh saya dan teman-teman berlaku salah kerana tak mengikut perlembagaan MAYC dalam menjalankan Mesyuarat Agung MAYC Kebangsaan pada 31 Julai. Tetapi masalahnya, TS Syed Hamid mengajar kami, kerana MAYC pimpinannya melanggar perlembagaan selama 5 tahun dengan tidak mengadakan Mesyuarat Agung! Nasib baiklah kami tak menerima pengajarannya yang ini dihalalkan oleh kedudukan menterinya dahulu.
Mungkinkah YB Lim KS belajar atau mengambil iktibar tentang pentadbiran dari TS Syed Hamid? Melihat TS Syed Hamid gembira menerajui MAYC tanpa berMesyuarat Agung, tanpa perlu menyediakan kunci kira-kira setiap tahun, tanpa menghormati apa-apa peraturan, sekadar berlandaskan kedudukan dan kuasa menterinya, apakah mungkin YB Lim KS mendapat didikan pentadbiran dari orang yang seumpama TS Syed Hamid dalam hal tersebut?
Alhamdulillah, Menteri Pelajaran kita, TS Muhyiddin Yassin, bukan begitu orangnya. Saya bersyukurlah yang sekolah-sekolah kebangsaan yang ada di bawah penjagaannya pasti mendidik anak-anak tentang peraturan hidup, termasuklah kebenaran yang membawa keadilan, agar menjauhi kebatilan benih kezaliman. Pegawai kerajaan yang begitu hina dipandang rakyat pun boleh diadili dengan saksama di bawah kementeriannya. Inilah yang harus diteladani Belia.
No comments:
Post a Comment