Showing posts with label Muhyiddin. Show all posts
Showing posts with label Muhyiddin. Show all posts

Saturday, February 27, 2016

Penggantungan Jawatan TSMY Membuka Jalan Pengunduran Najib

Jurublog melihat analisa dan komen bersabit penggantungan jawatan Timbalan Presiden UMNO banyak berkisar sama ada ia menepati perlembagaan, menzalimi Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) atau semata-mata demonstrasi kuasa Majlis Tertinggi mendisiplin walau pemimpin berjawatan kedua tertinggi parti. Namun yang lebih jelas pada jurublog adalah tindakan tersebut akhirnya lebih mempermudahkan pengunduran atau pemaksaan keluar DS Najib dari jawatan Presiden UMNO, sekaligus Perdana Menteri Malaysia.

Bagaimanakah mungkin DS Najib berundur apabila para pengkritiknya dari dalam parti satu-persatu berjaya diketepikannya? Selesai memaksa pengunduran DS Mukhriz Mahathir dari jawatan MB Kedah, penggantungan TSMY seharusnya mengukuhkan kedudukannya terutama sekali dengan gambaran sokongan padu Majlis Tertinggi UMNO sehingga begitu menghampakan segenap lapisan akar-umbi UMNO, apatah lagi rakyat jelata yang sudah tak sabar untuk menjatuhkan kerajaan BN pimpinan DS Najib menjelang PRU14.

Antara sebab jurublog berpendapat DS Najib sama ada bakal beundur atau dipaksa keluar dari jawatannya adalah:

1 -  Dengan pergantungan jawatan TSMY, tiada lagi halangan untuk DS Zahid Hamidi untuk mengambil alih kepimpinan parti dengan pengunduran DS Najib. Ini adalah senario yang lebih selesa bagi DS Najib sekiranya beliau merasakan sudah tiba masanya untuk berundur, kerana hilang kerisauan yang salah-lakunya akan disiasat sehingga boleh kepenjara. Soalnya sekarang adalah sama ada DS Najib yakin akan kesetiaan DS Zahid selepas memegang tampuk kuasa.

2 - Pergantungannya juga membuang kekangan terakhir terhadap TSMY bertindak dengan lebih agresif terhadap DS Najib. Ramai para penyokong TSMY mahupun musuh DS Najib yang sebelum ini kecewa atas apa yang dilihat sebagai reaksi tidak sepadan olehnya apabila dizalimi dan dihina selepas dilucutkan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri tempohari. Namun sebagai seorang 'orang kuat' parti dan bekas pejawat awam, beliau berkemungkinan menaruh harapan untuk memperbetulkan keadaan melalui Majlis Tertinggi UMNO (MT).

Harapan tersebut kini tinggal puing-puing, lalu TSMY, bebas dengan kekangan jawatan 'membantu' Presiden telah mula membuat pendedahan-pendedahan yang lebih perit tentang salah-laku DS Najib bersabit 1MDB, SRC dan sebagainya. Adalah dijangkakan beliau juga akan merancakkan pergerakkan #UndurNajib baik di kalangan ahli-ahli UMNO, mahupun mana-mana pihak yang sedia berganding bahu untuk menyelamatkan negara demi cinta Malaysia, bukan habuannya.

3 - Perasaan tak puas hati tentang cara penggantungan TSMY sudah mula diluahkan di pelbagai peringkat parti; perkara pokoknya adalah MT tiada bidang kuasa untuk menggantung seorang Timbalan Presiden yang dipilih. Inilah sebabnya apabila Anwar Ibrahim enggan meletak jawatan Timbalan Presiden UMNO dahulu, beliau terpaksa dipecat sbg ahli sebagai satu-satunya cara mengeluarkannya dari jawatan tersebut. Tetapi kini, MT melanggar perlembagaan parti sewenang-wenangnya untuk menggantung TSMY.

Antara tindakan yang mungkin diambil dan agak mudah digerakkan oleh mana-mana pemimpin peringkat Cawangan sekalipun adalah melaporkan kesalahan melanggar perlembagaan tersebut ke Pendaftar Persatuan (ROS). Ini akan membuka jalan baru memaksa pergantungan TSMY diketepikan, sekaligus melemahkan kedudukan DS Najib, jika UMNO menerima keputusan ROS untuk mengelak dari parti diharamkan semula.

Maka pesanan jurublog kepada para pembaca sekelian, janganlah terlalu negatif terhadap pemecatan TSMY dari jawatan Timbalan Presiden UMNO, kerana ia mungkin membawa seribu-satu hikmah menuju ke arah yang dicita seluruh rakyat pencinta negara Malaysia, yakni #UndurNajib....

Tuesday, November 24, 2015

Pemecatan Datuk Hamidah Oleh MKT UMNO 'Separuh Masak'?

Alhamdulillah, tuduhan terhadap penulisan jurublog kononnya pertukaran masa serta tempat mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO adalah 'mengarut' terbukti tidak. Mesyuarat MKT berlangsung di Parlimen semalam, dan apa yang disyaki berlaku dilaksanakan, ada yang 'separuh masak', ada seperti dirisaukan. Risau sangat MKT pimpinan Najib akan tanggapan orang tentang pertukaran masa dan tempat, siap menjadi bahan hebahan media lagi penjelasan kenapa dilaksanakan di parlimen... tapi itu alasan sahaja...

Apa yang MKT putuskan seperti dijangkakan?

1 - TS Muhyiddin Yassin (TSMY) dihalang merasmikan 3 Sayap serentak seperti tradisinya, kononnya atas permintaan ketiga-tiga Ketua Sayap. Alasan ia permintaan dari Ketua Sayap hanya munasabah jika dari Ketua Wanita, DS Shahrizat Jalil yang nyawa politiknya serta keselamatan suaminya dari dipenjarakan hasil skandal NFC bergantung juga kepada ihsan DS Najib. Tetapi YB-YB Khairy Jamaluddin (KJ) dan Mas Ermiyati pasti tiada halangan mendengar ucapan perasmian TSMY, terutama Pemuda yang ramai simpati terhadap beliau.

Sebenarnya keputusan ini akan memberi cabaran baru yang juga peluang kepada KJ khususnya - beliau seringkali digambarkan sebagai 'lalang' tempohari kerana kelihatan mendampingi TSMY tetapi pada masa sama sedia terus berkhidmat dan akur kepada Presiden, terutama di dalam Kabinet 1MDB....

2 - Setiausaha Agung UMNO, YB Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, telah mengumumkan garis-panduan baru sewaktu Perhimpunan Agung UMNO tahun ini (PAU2015), di mana persidang dilangsungkan secara tertutup, tanpa media mahupun tayangan langsung ke TV-TV sekitar PWTC seperti lazimnya, kecuali untuk ucapan Presiden. Sebaliknya, 2 Naib Presiden, DS Zahid Hamidi dan DS Hishamuddin akan membuat sidang media di hujung setiap hari persidangan... DS Shafie Apdal dikecualikan! Ini kita komen lagi kemudian...

Kemudian ada juga keputusan separuh masak...

3 - Datuk Hamidah, Ketua Wanita Gopeng dan mantan Ketua Penerangan Wanita Kebangsaan serta mantan Exco Perak dipecat! Dipaparkan imej menunjukkan beliau pernah diberi surat tunjuk sebab menjemput Tun Dr M berucap di Ipoh, mungkin sekala untuk mengkritik DS tentang skandal 1MDB. Kenapa 'Separuh Masak'? Melihat surat tunjuk-sebab tersebut, kelihatan lama, bulan Mei dikeluarkan?! Kalau betul salah, kenapa harus menunggu sehingga bulan November untuk dipecat?

Surat Tunjuk Sebab Ke Datuk Hamidah Pada Bulan Mei 2015

Jurublog mengesyaki Datuk Hamidah bukanlah tokoh parti yang dirancang pemecatannya pada Mesyuarat MKT Misteri ini. Peluang terlalu keemasan telah terbuka dengan ketidak-hadiran TSMY dan DS Shafie Apdal, mahupun beberapa orang Menteri Besar yang bersimpati terhadap TSMY, DS Mukhriz Mahathir, DS Zambry Kadir serta DS Khaled Noordin. Sebuah perbincangan tergesa-gesa di antara DS Najib dan orang-orang kanannya seperti di imej bawah sejurus sebelum mesyuarat MKT memberi gambaran ada perubahan rancangan...

Perbincangan Sulit Sebelum Mesyuarat MKT

Maka, jurublog mengesyaki pemecatan Datuk Hamidah hanyalah menggantikan rencana awal memecat seorang tokoh lebih tinggi jawatannya dalam parti. Siapa? Wallahualam... pembaca sendiri boleh membuat andaian. Walaupun kita simpati dan hormat Datuk Hamidah yang juga bukan calang-calang orangnya, beliau wirawati UMNO yang diiktiraf mantan MB Perak, TS Tajol Rosli sebagai penggerak usaha yang berjaya menjatuhkan kerajaan PR Perak dan mengembalikan kerajaan BN di sana. 

Tetapi... rasanya beliau mangsa perubahan sasaran ketagihan rejim DS Najib menunjukkan kuasa dengan memecat!

Ada kawan-kawan yanb setia mempertahankan parti tertanya-tanya apa yang patut di'spin' sebagai sebab Datuk Hamidah dipecat. Jawapan jurublog:

"Tak payah spin, ikhlas sahaja cakap Datuk Hamidah dipecat sebab menjemput Tun Dr M berucap di mana beliau mengkritik DS Najib tentang isu 1MDB. Mengkritik DS Najib tentang hal 1MDB sekarang sudah menjadi dosa besar parti di mana sesiapa pun boleh dipecat kerananya. TSMY pun dah dibuang dari jawatan TPM sebab mengkritik tentang skandal 1MDB dan kini tak dibenarkan merasmikan 3 Sayap sebab risau beliau mengkritik lagi DS Najib ttg 1MDB. Tapi kalau nak pecat TSMY tak berani, kalau Datuk Hamidah takat Ketua Wanita Bahagian sahaja, beranilah nak pecat."

Pesanan peribadi jurublog ke Datuk Hamidah: "Datuk Midah syahid (politik) hari ni... tak perlu siksa macam kami yg masih belum syahid dan terkial-kial nak jawab kenapa masih dalam UMNO yg sudah bukan UMNO lagi. Semoga kita selamatkan UMNO dan menyambut kembalinya Datuk Midah ke UMNO nanti atau kita syahid bersama, insya Allah..."

#UndurNajib

Ikhlas, @AMUbaidahS

Thursday, November 19, 2015

Mesyuarat Misteri 24 November 2015 ... Beranikah Najib II ?!?

Jurublog ini mendapat maklumat demikian malam tadi:

1 - Datuk Ab Rauf Yusoh, Setiausaha Kerja UMNO, sedang dengan 'senyap-senyap' menjemput ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO ke sebuah mesyuarat di Parlimen pada 24 November 2015, bermula jam 6 petang.

2 - Ada sumber mengatakan bahawa mesyuarat tersebut merupakan mesyuarat MKT yang dibawa ke hadapan dari tarikh asal 27 November 2015 mengikut takwim MKT bagi tahun 2015. Malah, mesyuarat asalnya seperti biasa dijadualkan bermula jam 3 petang di PWTC pada tarikh tersebut.

3 - Malam tadi, TS Muhyiddin Yassin (TSMY) bertolak ke luar negara dan dijangka pulang hanya pada 25 November 2015! Pada masa yang sama, DS Shafie Apdal diberitakan masih di luar negara juga sambil mengerjakan umrah!

Andaian yang boleh dengan segera dibuat dari maklumat di atas adalah, sudah ada komplot untuk menyegerakan mesyuarat MKT di tempat luar dari pemantauan para penggerak UMNO yang mungkin bersimpati terhadap TSMY, maka... adakah ini usaha untuk memecat atau menggantung keahlian TSMY sementara beliau di luar negara dan tak dapat menyelamatkan nyawa politiknya di gelanggang saksama? Begitu 'mengancam'kah tindak-tanduk TSMY sebelum ini kepada UMNO yang beliau harus dipecat atau digantung secara 'pukul curi' ini?

Jurublog difahamkan usaha menyingkirkan TSMY ada juga dilambung oleh Datuk Puad Zarkashi serta disambut dahulu oleh Datuk Azalina Othman pada mesyuarat MKT lepas, tetapi terlalu amat sangat gagal, dan topik mesyuarat beralih ke isu-isu lain. Mungkin juga ia gagal mendapat sambutan ahli-ahli MKT kerana mereka menghadapi para penyokong TSMY yang begitu ramai membanjiri jalan masuk ke Menara Tun Hussein pada hari tersebut. Ada juga mungkin tak sampai hati memecat seorang rakan setia sambil direnung wajahnya...

Kalaulah usaha sebelum ini gagal, tak hairanlah jika usaha terkini dirancang secara senyap-senyap dan tanpa kehadiran TSMY mahupun DS Shafie Apdal untuk memastikan kejayaan. Mungkinkah dalam keghairahan mereka memukul-curi, para pengomplot juga akan mengusulkan pemecatan DS Shafie, Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Dr M dan TS Sanusi Junid sekali? Alang-alang kan... deme ni lupa mungkin yang ada tokoh-tokoh ini yang menjadi lebih merbahaya kepada kepimpinan UMNO bila di luar parti!

Ada juga ura-ura yang pelbagai ide baru sedang dipertimbangkan untuk memperkebalkan kedudukan DS Najib dari dijatuhkan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU2015). Mungkin ini sebenarnya akan diusulkan? Contohnya, ada ide yang PAU2015 akan tertutup langsung dari pemerhati luar (selain DS Rosmah) kecuali ucapan Presiden! Ada yang ingin menyekat TSMY dari merasmikan Mesyuarat Agung 3 Sayap seperti tradisinya dilakukan Timbalan Presiden. Ucapan-ucapan pembahas pula dikatakan perlu 'diluluskan' urusetia PAU2015!

Kalaulah benar ini sebenarnya agenda sebenar Mesyuarat MKT Rahsia yang sedang diatur pada 24 November, maka mungkin lebih baik juga TSMY dan mana-mana wira sebenar bangsa dikecualikan dari bersekongkol dari usaha menidakkan lagi hak ahli-ahli UMNO. Silap-silap tak lama lagi, para pemimpin lain di peringkat Bahagian dan Cawangan pun akan dirancang pemecatan mereka, alang-alang nak buat parti serta kerajaan macam hak sendiri. Inikah legasi DS Najib akhirnya? Atau sediakah beliau sedar, berundur, sebelum terlambat...

Saturday, November 14, 2015

Senario Menjatuhkan Najib... Ada Caranya!

Semakin lama, rakyat Malaysia kelihatan kian putus harapan tentang peralihan kepimpinan negara. Tempohari, kelulusan bajet 2016 yang mengecewakan rakyat sehingga gegula BR1M pun tak terdaya menampung peningkatan kos hidup rakyat terutama kononnya golongan sasaran 40% terendah pendapatannya, para pemimpin pro-Najib, termasuk ahli kabinet 1MDB, jelas mengutamakan populariti dari kepimpinan sebenar melalui sokongan kepada tabiat Vape yang membahayakan kesihatan, kononnya selamat!

Dalam senario kepimpinan yang terlihat dengkel ide, ketandusan keberanian dan tiada keupayaan memperbetulkan kesalahan-kesalahan Perdana Menteri, DS Najib, apatah lagi bagi memaksa pengunduran beliau dari tampuk kepimpinan, terlalu mudah bagi rakyat hilang harapan untuk masa depan negara. Malah dengan pendedahan-pendedahan seperti salahguna dana Tabung Haji serta Kumpulan Wang Amanah Pesara (KWAP) untuk menyelamatkan projek Dana Riba 1MDB kesayangan DS Najib, ramai yang kesangsian peluang menunaikan Haji sekalipun!

Maka di sini, blogger ini ingin memberi suntikan harapan kepada pembaca sekelian yang kiranya Allah SWT menerima doa kita agar Malaysia diselamatkan dari kerenah DS Najib serta kuncu-kuncunya, pasti jalan akan dibuka untuk menyegerakan pengunduran DS Najib. Suntikan harapan ini dalam bentuk senario apa yang mungkin berlaku pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 (PAU2015) pada bulan Disember ini. Harus dinyatakan di sini, apa yang bakal dikongsi hanyalah suatu senario, kemungkinan, sebagai tatapan demi menyuntik harapan dan bukan hasutan...

1: Pada akhir 22 November 2015, berlaku insiden yang mematahkan segala usaha untuk menjatuhkan atau mengecualikan TS Muhyiddin Yassin (TSMY) dari jawatan Timbalan Presiden UMNO. Insiden berlaku tak semena-mena apabila dalam ucapan rasmi Presiden Obama dalam lawatannya ke Malaysia, beliau secara spontan memuji DS Najib kerana tak membuang TSMY dari jawatan UMNOnya walau ada perbezaan pendapat, kononnya berbeza dengan tindakan Tun Dr M terhadap Anwar Ibrahim dahulu.

Insiden terlalu mengejut yang segera disambut ucapan terima kasih serta bidasan terbaru TSMY terhadap isu 1MDB tidak terbalas oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO), malah juga menguatkan suara TSMY menjelang PAU2015.

2: PAU2015 bermula pada malam 8 Disember 2015 secara tradisinya dengan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO (3 Sayap) oleh Timbalan Presiden parti, TSMY. Seperti dirisaukan oleh PMO, TSMY telah memberikan ucapan berapi-api, memperingati para perwakilan 3 Sayap akan pendedahan penyelewengan kerajaan DS Najib yang lepas dan juga membongkar isu-isu baru tentang salah-laku pentadbiran UMNO sendiri! TSMY mengakhiri ucapan dengan seruan agar seluruh perwakilan UMNO, bermula dengan 3 Sayap bersuara dan mendesak agar DS Najib menyedari kesalahannya dan jika perlu, berundur!

3: Ucapan perasmian TSMY disambut dengan kenyataan-kenyataan media pedas dari Naib Presiden parti, merangkap pemerhati Mesyuarat 3 Sayap, DS Shafie Apdal, menyokong seruan TSMY. Sokongan kepada seruan TSMY juga diberi oleh para perwakilan induk mahupun 3 Sayap dari Johor, Sabah, Kedah dan Terengganu. Ia dikecam oleh beberapa pihak seperti Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Jamal "Sekinchan", yang menyumpah setia akan mempertahankan kepimpinan DS Najib walau berlumuran darah!

4: Para Ketua 3 Sayap membuka mesyuarat masing-masing dengan cara berbeza keesokan harinya. DS Shahrizat Jalil mengutuk sekeras-kerasnya seruan TSMY, namun ini tidak dapat menghalang perwakilan wanita meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kenaikan kos sara hidup keluarga. Datuk Mas Ermiyati mengambil jalan tengah, menyokong hak Puteri bersuara tentang kegusaran rakyat serta ahli parti terhadap Presiden tetapi sebagai 'Sayap termuda' mengelak dari mendesak pengunduran Presiden.

Namun paling mengejutkan semua pihak, terutama PMO, YB Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda menyambut dengan lantang seruan TSMY, sehingga di penghujung ucapannya, menyemarakkan perwakilan Pemuda agar sebulat suara bangun melaungkan Hidup Melayu dan Undur Najib! Perwakilan Pemuda yang berucap pula setiap seorang bertalu-talu mendesak pengunduram DS Najib, kecuali perwakilan Pemuda Pahang yang keluar dewan, mengecualikan diri dari seruan Undur Najib tersebut sebagai tanda hormat kepada pemimpin senegeri.

5: Mesyuarat tergempar Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) dipanggil pada malam 9 Disember, menyusul Mesyuarat 3 Sayap. Selesai Mesyuarat MKT sekitar jam 1 pagi, sebelum berita rasmi tersebar melalui media masa, ia kongsi melalui media sosial ke seluruh negara bahawa:
a: TSMY dipecat dari parti atas sebab melanggar disiplin dengan mengabaikan tugasnya menyokong Presiden malah menimbulkan perpecahan dengan seruannya agar DS Najib berundur.
b: DS Shafie Apdal dan YB Khairy Jamaluddin kedua-duanya digantung keahlian selama tiga tahun, sekaligus juga mengecualikan mereka dari Pemilihan UMNO yang bakal berlangsung dalam 2 tahun lagi.
c: Tindakan akan diambil juga ke atas semua yang bersuara menyokong seruan TSMY sejurus selesai PAU2015.
d: DS Zahid Hamidi diumumkan memangku jawatan Timbalan Presiden parti, suatu tindakan yang tiada peruntukannya dalam perlembagaan UMNO dan tak pernah dilakukan dalam sejarahnya. Saudara Azwan Harun pula diumumkan memangku jawatan Ketua Pemuda UMNO.

6: Pada pagi 10 Disember, sebelum Ucapan Presiden membuka Mesyuarat induk PAU2015, media melaporkan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi meluahkan rasa kecewanya terhadap keputusan MKT memecat TSMY dan menggantung DS Shafie Apdal serta YB Khairy Jamaluddin. Beliau khususnya memberi penekanan pergantungan menantunya YB Khairy sebagai suatu kezaliman ke atas seorang anak muda harapan parti dan negara.

Para penganalisa politik yang sempat dipetik berpandangan ini petanda penarikan sokongan blok Tun Abdullah Badawi dari DS Najib. Ura-ura juga timbul yang segolongan besar para pemimpin veteran UMNO tidak akan hadir ke PAU2015 sebagai tanda protes terhadap keputusan MKT.  Ada juga para perwakilan yang ditemu-bual membuat pemerhatian yang kelihatan anggota polis kelihatan lebih ramai hadir di sekitar PAU2015, dengan lori-lori FRU juga kelihatan di luar Bangunan UMNO, Putra World Trade Centre (PWTC).

7: Ahli-ahli MKT yang tiba dan menuju ke Dewan Merdeka di mana PAU2015 bakal bermula dikerumuni ahli-ahli serta pemerhati UMNO yang melontarkan pelbagai kata kesat, cabaran serta menunjukkan kemarahan mereka terhadap keputusan mereka. Pergaduhan juga tercetus di beberapa lokasi, termasuk di cafe Riverside, di mana para penyokong tegar DS Najib dan TSMY bertembung. Pihak Polis mula membuat penangkapan bagi mengamankan keadaan dan Restoran Nagas di mana insiden jerit-menjerit berlaku di arah tutup sementara.

8: Presiden UMNO, DS Najib tiba-tiba timbul di belakang pentas Dewan Merdeka setelah majoriti ahli MKT tiba. Rupa-rupanya beliau telah menyusup masuk bersama DS Rosmah di awal pagi dan bersembunyi di bilik menunggu belakang pentas tersebut. Mesyuarat Agung segera dimulakan walaupun ada perwakilan yang masih dalam perjalanan ke dewan memikirkan masih awal kerana DS Najib tidak diisytihar tiba seperti biasa diiringi barisan hormat 3 Sayap dan sebagainya. Semua yang menunggu DS Najib di luar tergesa-gesa ke dewan.

9: Makanya, apabila DS Najib memulakan ucaptamanya, keadaan di Dewan Merdeka masih belum tenang. Ramai ahli MKT serta perwakilan masih terasa pedih tohmahan dari ahli-ahli yang menjerit di luar. Perwakilan yang masih lagi dalam proses masuk ke dewan juga mengganggu-gugat suasana sehingga perhatian terhadap ucapan Presiden ternyata terjejas, sehinggakan DS Najib tetiba terpaksa berhenti berucap sejenak.

Sekitar seminit selepas beliau berhenti becakap, keadaan dewan masih belum tenang, tetiba terdengar jeritan lantang dari balkoni atau anjung tingkat atas dewan,"Woi, duduklah semua! Diam! Janganlah biadap dekat Presiden"

10: Jeritan tersebut ternyata dari mulut Ketua Bahagian Sungai Besar, Jamal Sekinchan. Jeritan tersebut segera disambut laungan boo dari ramai para perwakilan terdekat, termasuklah dari Segamat, Semporna, Tampin yang duduk berdekatan dengan perwakilan Sungai Besar. Bermulalah pula kejadian tolak-menolak yang tersebar ke seluruh kawasan balkoni yang padat dengaj perwakilan, sesetengahnya masih sedang berjalan mencari kerusi mereka, sehingga akhirnya berlaku sesuatu yang amat tidak diingini...

Seorang perwakilan yang tidak jelas dari mana, cuma dikenali Puteri UMNO kerana memakai baju kurung 'pink' Puteri, hasil dari kejadian tolak-menolak, terjatuh dari balkoni atas menimpa perwakilan yang di bawah. Kejadian hanya menggemparkan perwakilan yang melihat dari bawah, sementara tolak-menolak bertukar menjadi tumbuk-menumbuk di balkoni.

11: Tiba-tiba seorang dari barisan perwakilan G10 Pemuda yang duduk di barisan hadapan bangun, menuding jari ke Presiden yang masih tercegat di podium pentas dewan dan berkata,"Tengok tu, pirahla lembap punya Presiden, saudari Puteri dah jatuh cedera pun boleh tercegat diam lagi! UNDURLAH NAJIB!" Jeritannya mula disambut perwakilan G10 Pemuda bersama sesetengah perwakilan induk yang melaung bertalu-talu,"Undur Najib! Undur Najib!"

Laungan tersebut tidak lama berterusan tapi kerana ia kemudian disambut jerit-menjerit dan tolak-menolak dari perwakilan yang masih setia dengan Presuden. Tumbuk-menumbuk kemudian merebak ke lantai utama Dewan Merdeka. Ada para perwakilan yang menyatakan kemudian bahawa melihat walau DS Najib masih tercegat, kelu di podium, DS Zahid Hamidi, Naib Presiden, DS Hishamuddin dan Setiausaha Agung Datuk Tengku Adnan Mansor kelihatan ligat berbincang di pentas, berakhir dengan DS Zahid bangun dan seolah-olah memberi isyarat.

12: Datuk Tengku Adnan pula bingkas bangun menghampiri Pengerusi Tetap dan membisikkan sesuatu kepadanya. Pengerusi Tetap, TS Badruddin Amiruldin bersuara akhirnya dari pentas mengisytiharkan,"Bertenang-bertenang para perwakilan sekelian, Perhimpunan Agung ini ditangguhkan sementara untuk kita kembali tenang. Ahli MKT dan perwakilan dijemput beredar dari dewan dengan tenang. Pihak Polis akan hadir juga tak lama lagi untuk membantu menenangkan keadaan." Beliau terpaksa mengulang-ulang beberapa kali... tetapi...

13: Para perwakilan yang pertama keluar dewan terkejut mendapati kejadian tolak-menolak, tumbuk-menumbuk dan huru-hara telah menular ke luar dewan! Rupa-rupanya kejadian di dewan yang tayangkan secara langsung ke seluruh PWTC telah mencetuskan pelbagai kejadian juga di luar dan anggota Polis yang ada kelihatan terdesak mengamankan keadaan, sehinggalah anggota FRU merempuh masuk, menggunakan teknik-teknik mengawal rusuhan untuk mengamankan keadaan di sekitar PWTC!

14: Ahli-ahli MKT diiring sebaik boleh ke Tingkat 38 Menara Dato Onn oleh para-para pegawai peribadi mereka. Dalam perjalanan, mereka menerima tohmahan perwakilan dan ada yang tercedera hasil balingan botol air mineral ke arah mereka. DS Rosmah pula telah diiring Polis terus ke kediaman peribadi keluarga Perdana Menteri di Taman Duta. Adalah dikatakan yang DS Rosmah asalnya ingin menyertai MKT ke Bangunan UMNO tetapi dihalang Polis. Beliau hanya dapat mengarahkan agar tidak dihantar ke Seri Perdana, Putrajaya, tetapi ke Taman Duta sahaja.

15: Keesokan harinya, PWTC dikelilingi Polis dan hanya para Perwakilan serta mereka yang bertugas seperti pihak media, pengusaha restoran, pegawai-pegawai Bangunan UMNO serta PWTC, dibenarkan. Kebanyakan perwakilan tetap setia hadir dan dewan berdengung dengan seribu tandatanya melihat barisan MKT sudah sedia hadir di pentas kecuali DS Najib yang jelas tidak hadir. DS Rosmah juga bukan di kalangan pemerhati. Mesyuarat Agung bermula dengan pembentangan usul tergempar oleh Naib Presiden, DS Hishamuddin Tun Hussein.

16: DS Hishamuddin memulakan pembentangannya dengan penuh hiba, menyatakan bagaimana kejadian pada hari sebelumnya sebagai titik hitam sejarah UMNO, dengan ramai yang cedera, namun syukur tiada yang terkorban. Hibanya menyaingi perasaannya sewaktu insiden MH370 dan MH17 berlaku. Beliau kemudian mengusulkan untuk persetujuan perwakilan, perubahan kepimpinan UMNO yang sudah pun mendapat sokongan MKT, untuk memperbaiki keadaan parti dan negara.

17: MKT sebulat suara mengusulkan agar:
a: DS Najib dibenarkan bersara dari jawatan Presiden parti serta Ketua Bahagian Pekan, sekaligus meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Pekan. Beliau malah sudah pun pergi bercuti ke luar negara.
b: DS Zahid Hamidi dilantik sebagai Pemangku Presiden parti sementara DS Hishamuddin dilantik memangku jawatan Timbalan Presuden parti bagi tempoh 3 tahun.
c: DS Shafie Apdal dan YB Khairy Jamaluddin dimaafkan atas kesalahannya tempohari dan kembali ke jawatan-jawatan mereka sebelumnya, yakni Naib Presiden serta Ketua Pemuda.
d: TSMY dimaafkan dan dihidupkan semula keahliannya, namun beliau gugur dari jawatan Timbalan Presiden tetapi kekal di jawatan Ketua Bahagian Pagoh. Beliau juga akan dijemput mempengerusikan Lembaga Disiplin parti dengan mandat khas memperjuangkan ketelusan dalam kepimpinan negara.
e: Bagi mengukuhkan kepimpinan teratas parti dengan pengalaman, Tengku Razaleigh Hamzah diangkat ke jawatan pemangku Naib Presiden parti bagi tempoh tiga tahun.
f: Semua jawatan lain parti kekal bersama penjawat, baik dari peringkat MKT, 3 Sayap mahupun Bahagian terus ke Cawangan selama 3 tahun untuk membolehkab parti memfokus terhadap pemulihan.
Perwakilan PAU2015 meluluskan usul tergempar tersebut dengan sebulat suara. Sejurus Pengerusi Tetap mengisytiharkan usul lulus sebulat suara, laungan-laungan Hidup Melayu, Hidup UMNO dan Hidup Zahid berkumandang.

----

Berikut senario yang mungkin berlaku di mana DS Najib berundur dari kedudukannya dan negara diberi peluang kembali ke haluan yang lebih perihatin tentang keperluan rakyat sementara salah-laku seperti 1MDB dapat mula diselesaikan dengan telus. Ia juga senario yang tidak melibatkan Tun Dr M sebagai penggerak utama ataupun sokongan! Niat blogger ini semata-mata bagi memberi gambaran yang masih ada harapan keadaan kepimpinan diperbetulkan. Kita sebagai rakyat haruslah menaruh harapan dan terus berdoa... berdoa Undur Najib dengan aman...

Ikhlas, @AMUbaidahS

Tuesday, September 08, 2015

Beranikah Najib ... ?

Penulisan hari ini bukanlah perlian mahupun sindiran, tetapi sesuatu persoalan ikhlas berlandaskan pemerhatian jurublog ini terhadap musibah politik yang terkini melanda Malaysia, kepimpinan Melayu dan kerajaan DS Najib khususnya. Ia juga berunsur penilaian prestasi kumpulan pro-Najib menangani cabaran terhadap kepimpinan beliau... pada amnya gagal lah, sebab kiranya mereka menuju kejayaan, sudah pasti warkah ini akan bernada lain. Maka yang dipersoalkan di sini adalah, beranikah DS Najib meneruskan perancangan seterusnya untuk mempertahankan dirinya?

Apakah perancangan yang dimaksudkan? Ia termasuklah agenda mesyuarat Majlis Tertinggi (MKT) UMNO pada 9 September 2015 dikhabarkan akan membawa usul pemecatan beberapa orang pemimpin UMNO, termasuklah Timbalan Presiden, TS Muhyiddin Yassin, dan Naib Presiden, DS Shafie Apdal, yang kedua-duanya kelihatan selesa kekal dalam jawatan-jawatan parti mereka walaupun setelah dipecat dari kabinet kerajaan tempohari. Kedua-dua tokoh ini kini terus mendesak agar isu 1MDB dan derma RM2.6B diperjelaskan dengan lebih baik oleh Perdana Menteri dengan cara sopan serta tertib, melalui ucapan-ucapan di majlis-majlis parti.

Selain dari itu, ada juga ura-ura yang ada lagi tokoh UMNO yang rapat dengan TS Muhyiddin serta DS Shafie yang bakal dipecat. Di antaranya, DS Mukhriz Mahathir, MB Kedah, YB Dato' Abdul Aziz Sheikh Fadzir, Wakil Rakyat Kulim Bandar Baharu, DS Ahmad Said, mantan MB Terengganu, Datuk Hamidah Osman, bekas Ketua Penerangan Wanita UMNO serta Datuk Jumat Idris, Wakil Rakyat Sepanggar. Jurublog ini lebih suka ketengahkan jawatan Parlimen tokoh-tokoh tersebut dan ini akan difahami pembaca kemudian, sekaligus memberi petanda kenapa perbincangan nasib tokoh-tokoh ini diketepikan.

Persoalan keberanian DS Najib, menjadi tanda-tanya kerana di antara pertimbangan yang kelihatan kurang diperberatkan oleh kem pro-Najib dalam mempertahankan ketua mereka adalah:

1 : TS Muhyiddin serta DS Shafie tidak boleh dipecat dari jawatan mereka kerana mereka dipilih mengikut perlembagaan parti oleh perwakilan semasa pemilihan tahun 2013. Maka, sekiranya mereka mahu dikeluarkan dari Majlis Tertinggi, atau lebih penting lagi kepada DS Najib, jika beliau mahu mengecualikan TS Muhyiddin dari kedudukan yang secara serta-merta akan memangkunya sama ada sebagai Perdana Menteri atau Presiden UMNO, tokoh-tokoh ini harus dipecat! Tetapi, tokoh-tokoh ini tidak melanggar apa-apa peraturan parti, maka apakah alasan yang akan dapat diterima akar-umbi, mahupun ahli-ahli MKT yang harus mengundi persetujuan kepada apa-apa usul pemecatan ahli?

2 : Yang hairannya, lebih mudah bagi MKT memutuskan untuk memecat Tun Dr Mahathir hasil dari penyertaannya dalam perhimpunan Bersih 4.0. Walaupun Tun Dr M berjaya meng'hijack' pentas perhimpunan tersebut dan jelas menyokong BN sebagai parti pilihannya dalam PRU14, pengaruhnya telah mendefinisikan Bersih 4.0 bukan sebagai perhimpunan anti-kerajaan BN tetapi anti-DS Najib dari kekal sebagai Perdana Menteri, yakni perhimpunan #UndurNajib. Kerana ia menyerang kepimpinan seorang Presiden UMNO, Tun Dr M boleh diusulkan pemecatannya di MKT, cuma beranikah DS Najib melakukan demikian? Dan jikalau dalam kes ini tak berani, kenapa boleh berani pula mepertimbangkan pemecatan TS Muhyiddin dan DS Shafie?

3 : Kedua-dua tokoh tersebut merupakan Wakil Rakyat Barisan Nasional. Pemecatan kedua-dua Ahli Parlimen ini dari UMNO akan sekaligus mengeluarkan mereka dari susunan wakil-wakil rakyat BN di Parlimen di mana DS Najib memegang majoriti yang amat kecil sekali! Dengan pemecatan tersebut juga, ia mengenepikan halangan bagi tokoh-tokoh ini bersekongkol dalam undi tak percaya terhadap kerajaan... dah kena buang kan? Pada masa yang sama, ia membuka jalan bagi kedua-dua tokoh tersebut dilantik ke PAC sebagai wakil bukan BN untuk bukan sekadar terus mendesak akan ketelusan isu 1MDB, tetapi juga terlibat secara langsung dalam siasatan di peringkat Parlimen!

4 : Pembuangan TS Muhyiddin juga akan semakin memperkuatkan kedudukan DS Zahid Hamidi yang sekaligus menjadi orang nombor 2, bukan sahaja di dalam kerajaan, tetapi di dalam parti! Pada masa ini cita-cita DS Zahid untuk menerajui parti bukan sekadar hasil 'kesetiaan' beliau kepada DS Najib, tetapi kerana adanya penghalang yang nyata dalam jawatan Timbalan Presiden yang sedia ada. Walau sebelum pembuangan TS Muhyiddin dari jawatan Timbalan Presiden, populariti DS Zahid jelas melonjak di kalangan orang-orang besar UMNO, terlihat sekali pada kehadiran di majlis-majlis beliau walau berbanding dengan majlis-majlis DS Najib sendiri! Apakah DS Zahid akan kekal setia apabila sudah menjadi no 2? Beranikah DS Najib mengujinya?

5 : Sekali lagi dinyatakan di sini bahawa jurublog kehairanan dari manakah datangnya keyakinan pada pihak DS Najib jika benar ada rencananya memecat TS Muhyiddin serta DS Shafie dari UMNO, mememandangkan tiada pun strategi DS Najib untuk menyelamatkan dirinya menjadi setakat ini. Malah walaupun pemecatan TS Gani Patail serta tindakan ke atas para pegawai SPRM dan Polis tempohari berjaya melambatkan pengadilan beliau dari salah-guna kuasa, dari segi politik, ia semakin melenyapkan apa-apa sisa keyakinan rakyat terhadap ketelusan pentadbirannya. Dalam senario dikelilingi kegagalan berulang-ulang, wajarkah DS Najib berani lagi mengambil tindakan yang drastik?

Akhir kata, wallahualam apa tindakan yang bakal diambil MKT nanti terhadap tokoh-tokoh UMNO yang disebut di atas. Tetapi pada jurublog ini, agak menghairankan jika DS Najib berani bertindak demikian, sehingga ia menimbulkan tanda-tanya, ide siapakah usul pemecatan tokoh-tokoh ini dan adakah ia berniat untuk menguntungkan tokoh UMNO selain dari Presiden UMNO? YANG NYATA, ADALAH LEBIH WAJAR DAN POPULAR DI MATAHATI RAKYAT AGAR MKT MEMPERTIMBANGKAN PEMECATAN SEORANG TOKOH, YAKNI DS NAJIB SENDIRI, DARI KEAHLIAN SEKALIGUS JAWATAN PRESIDEN PARTI DEMI MENYELAMATKAN NEGARA DARI MUSIBAH YANG BERTERUSAN... ATAU SETIDAK-TIDAKNYA MENGESYORKAN DENGAN SEBAIK-BAIKNYA AGAR DS NAJIB BERUNDUR SAHAJA... WALLAHUALAM...

Monday, September 27, 2010

Mengenal Antara Betul Dengan Batil Dalam Hujah Pemimpin

Tempohari saya melihat pelbagai contoh di mana anak-anak muda, Belia, dikelirukan oleh tabiat sesetengah pemimpin. Media-masa hari ini ghairah menceritakan tentang bagaimana pemilihan pemimpin PKR melalui pelbagai rintangan dan kepincangan. Namun mana-mana orang muda yang berlaku salah sering dipimpin oleh pemimpin-pemimpin lama yang sepatutnya berlaku lebih matang, terutama sekali kerana segala gelagat mereka bakal dicontohi.

Melihat pula tuduhan YB Lim Kit Siang terhadap TS Muhyiddin Yassin baru-baru ini. YB Lim KS mungkin berniat baik, menuntut supaya salah-laku di kalangan pendidik di sekolah-sekolah kebangsaan ditangani dengan segera, tetapi dalam keghairahannya, beliau juga terlanjur. Apabila menjawab, TS Muhyiddin menjelaskan bahawa mengikut undang-undang, beliau tidak boleh menghukum guru-guru yang tertuduh kerana ia di luar bidang kuasa Menteri Pelajaran!

Jawapan TS Muhyiddin mantap antara lain kerana ia penuh dengan kebenaran dan menangani pelbagai kebatilan yang timbul hasil tuduhan YB Lim KS. Kebatilan apa? Bukankah tuduhan YB Lim KS cuma sekadar tuduhan dan mainan politik sahaja? Pada saya tidak, kerana YB Lim KS seorang pemimpin pembangkang yang unggul di Malaysia. Oleh itu, sudah tentu ramai orang muda yang meneladaninya. Malangnya, dengan tuduhan beliau:

  1. YB Lim KS memberi gambaran seolah-olah Menteri-Menteri kerajaan semua begitu berkuasa, sehingga boleh sedia menguburkan periuk nasi mana-mana pegawai kerajaan tanpa selesai perjalanan soal-siasat yang wajib dilaksanaan demi mencapai keputusan adil untuk semua pihak. Orang-orang muda harus dididik yang seorang menteri sekalipun haruslah mematuhi undang-undang dan peraturan.

  2. YB Lim KS memberi gambaran seolah-olah asal adanya suara bantahan lantang tentang salah-laku seorang pekerja kerajaan sudah memadai untuk dipecat! Alangkah zalimnya sekiranya demikian! Tidakkah lebih baik penyiasatan dijalankan dahulu untuk mendapatkan keputusan yang lebih adil. Lagi pun, penerimaan suara yang paling deras sahaja selalu seolah menerima, malah memaafkan kekerasan!

  3. YB Lim KS memberi gambaran seolah-olah sekiranya tindakan lambat diambil dari yang beliau harapkan, ianya kerana kehendak menteri semata-mata dan beragenda politik. Mungkinkah ini memberi gambaran keperibadian beliau sendiri sebagai pemimpin politik? Adakah semua tata-bicara YB Lim KS untuk merebut kuasa politik sahaja? Di manakah kebenaran?

Hidup penuh peraturan, walau cara berjalan atau makan-minum. Untuk orang Islam, sunatnya ada, kepada yang bukan, kelazimanlah setidak-tidaknya menjadi aturan. Kalaulah begitu, sudah tentu peraturan mesti wujud untuk mengadili sesuatu kesalahan, kerana kalau tidak, kebatilan akan membawa kezaliman sebelum pun kebenaran dapat bersua muka! Yang diperlukan adalah sabar. Ini yang sepatutnya dididik oleh YB Lim KS, bukan tohmahan sembarangannya.

Sebenarnya, mungkin tak patut saya menggunakan salah-laku YB Lim KS sebagai contoh di sini. Beliau seorang ahli politik pembangkang yang belum berpengalaman mentadbir. Lebih baik saya mempersoalkan kepada seorang pemimpin kerajaan yang pernah menjalankan tugas sebagai menteri.

Contohnya semalam, YB TS Syed Hamid menuduh saya dan teman-teman berlaku salah kerana tak mengikut perlembagaan MAYC dalam menjalankan Mesyuarat Agung MAYC Kebangsaan pada 31 Julai. Tetapi masalahnya, TS Syed Hamid mengajar kami, kerana MAYC pimpinannya melanggar perlembagaan selama 5 tahun dengan tidak mengadakan Mesyuarat Agung! Nasib baiklah kami tak menerima pengajarannya yang ini dihalalkan oleh kedudukan menterinya dahulu.


Mungkinkah YB Lim KS belajar atau mengambil iktibar tentang pentadbiran dari TS Syed Hamid? Melihat TS Syed Hamid gembira menerajui MAYC tanpa berMesyuarat Agung, tanpa perlu menyediakan kunci kira-kira setiap tahun, tanpa menghormati apa-apa peraturan, sekadar berlandaskan kedudukan dan kuasa menterinya, apakah mungkin YB Lim KS mendapat didikan pentadbiran dari orang yang seumpama TS Syed Hamid dalam hal tersebut?

Alhamdulillah, Menteri Pelajaran kita, TS Muhyiddin Yassin, bukan begitu orangnya. Saya bersyukurlah yang sekolah-sekolah kebangsaan yang ada di bawah penjagaannya pasti mendidik anak-anak tentang peraturan hidup, termasuklah kebenaran yang membawa keadilan, agar menjauhi kebatilan benih kezaliman. Pegawai kerajaan yang begitu hina dipandang rakyat pun boleh diadili dengan saksama di bawah kementeriannya. Inilah yang harus diteladani Belia.

Sunday, May 31, 2009

Penanti Kemenangan Besar... Untuk Rakyat Dan Barisan Nasional!

Keputusan rasmi PRK DUN Penanti mungkin menunjukkan kemenangan besar untuk PKR, tambah pula apabila ketiga-tiga calon bebas hilang wang cengkeram pertandingan mereka. Namun, apabila diperhalusi, dapat dilihat yang keputusan PRK tersebut merupakan tamparan hebat kepada agenda merebut kuasa Anwar Ibrahim. Maksud saya:
  1. Jumlah pengundi yang keluar hanyalah 46.15% peratus yakni 7,100 daripada 15,384 pemilih berdaftar di DUN tersebut. Ini menunjukkan rakyat menerima pesanan Barisan Nasional yang inilah PRK membuang masa, membazir dan tidak relevan dalam perjalanan hidup rakyat.

  2. Difikirkan yang setidak-tidaknya PKR akan mendapat sokongan padu dari penyokong setianya mahupun pendukung kuasa DAP lain di Pulau Pinang, seperti ahli-ahli PAS. Namun, terlihat jumlah pengundi yang mengundi calon PKR cuma ~38% dari jumlah pengundi keseluruhan, yakni 6,052 undi sahaja!

  3. Prestasi calon bebas tidak terlihat hebatnya kerana undinya pecah tiga, tetapi jumlah undi sebanyak 1,294 yang diraih ketiga-tiganya sebenarnya hebat memandangkan DUN Penanti dikatakan kubu kuat PKR di kawasan Parlimen DS Anwar Ibrahim sendiri! Apa sudah jadi sama PKR?

  4. Akhir kata, Penanti sebagi suatu peristiwa atau tapak susunan agenda politik DS Anwar Ibrahim ternyata gagal. Rakyat lebih mempedulikan hal penyelesaian masalah ekonomi sekarang dan pelbagai isu lain sekarang. Malah, dari segi politik pun, lebih ramai tertunggu-tunggu keputusan muktamar PAS. Malah DS Anwar sendiri mungkin lebih memperdulikan menang-tidaknya Husam Musa dari kemenangan Dr. Mansor Othman !

Pendek kata, sebagai suatu strategi politik, ternyata DS Najib dan Barisan Nasional membuat keputusan tepat untuk tidak bertanding di Penanti. Pada dasarnya, kelihatan rakyat juga memahami mesej yang ingin diajukan BN, bahawa PRK yang dijadi-jadikan seperti di Penanti, kerana kononnya penyandang nak melanjutkan pelajaran (!), hanya membuang masa dan tidak membawa manfaat.

Ada ura-ura menyatakan DS Anwar merancang supaya salah seorang lagi dari pemegang kerusi Parlimen atau DUN PKR meletak jawatan semata-mata untuk diadakan PRK lagi. Diharap ini tidak berlaku. Tahulah DS Anwar tak sabar-sabar nak merebut kuasa, tetapi fikirkanlah tentang rakyat seketika. Ambilah iktibar dari Penanti dan timba teladan dari pemimpin BN seperti TS Muhyiddin yang sibuk menangani masalah rakyat...

Sunday, October 05, 2008

Percaturan Terakhir Rejim Pak Lah Menjelang 8 Oktober?

Ternyata apa yang dilakarkan sebelum ini tentang kemelut di peringkat MKT pada bulan Ramadhan kian membawa kenyataan baru buat UMNO. Berita yang menyusup dari mulut ke mulut, sms lagi sms dan kini blog berblog adalah persetujuan 4 mata Pak Lah dan Datuk Seri Najib Tun Razak yang Presiden UMNO sekarang tidak akan mempertahankan jawatannya menjelang Mac 2009, malah akan berundur dari jawatan-jawatan kerajaannya pada 8 Oktober ini.

Namun sudah tentu reaksi pertama sesiapa yang menerima berita ini adalah,"Betul ke? Boleh percaya ke Pak Lah akan kotakan janji yang ini, apabila terlalu banyak sebutan manis dahulu beliau ingkari?"

Jelas sekarang yang Pak Lah sedang membuat percaturan terakhir demi menyelamatkan riwayat politiknya, cita-cita menantunya, kekayaan anaknya dan kesenangan penyokong setianya yang lain. Di antara gerakan beliau:

  1. Menghantar perutusan demi perutusan merayu Najib supaya menyokong kehendaknya untuk kekal lama sedikit lagi di tampuk kuasa. Ini telah dicuba beberapa kali dan tetap gagal.

  2. Atas nasihat menantunya KJ yang tersayang, disuruhnya Datuk Zahid Hamidi bertanding jawatan Timbalan Presiden parti, walaupun bekas Ketua Pemuda tersebut lebih layak dan hampir tentu menang jika Naib Presiden sahaja menjadi sasarannya.

  3. Digerakkan jalinan sahabatnya untuk memberi gambaran yang akar umbi masih mahukan Pak Lah kekal sebagai Presiden UMNO. Ini bakal disusul pula dengan satu lagi mesyuarat MKT, diikuti mesyuarat BN, di mana usul mengekalkan beliau akan dipertahankan habis-habisan.

  4. Sebagai langkah berjaga-jaga, ahli-ahli Tingkat 4 akan disusup masuk ke pejabat DS Najib. Ini bukan semata-mata menjaga kedudukan beliau sekarang, tetapi juga untuk memastikan sekiranya pupus riwayat politik Pak Lah, peninggalannya seperti KJ, Kamal dan hubungan 'erat' sengan Singapura kekal abadi!

Fasal 2, 3 dan 4 akan dihuraikan lagi...

Datuk Zahid Hamidi Diperkudakan Khairy

Ayahanda Datuk Zahid Hamidi merupakan murid Tok Guru Abdullah Fahim, yakni nenda Pak Lah, di Sekolah Agama Idrisiah Kuala Kangsar. Oleh itu, bagi meleraikan kesangsian kepadanya sebagai penyokong Anwar Ibrahim dahulu, Datuk Zahid telah berikrar setianya kepada Pak Lah sebagai Perdana Menteri, kononnya berasaskan wasiat ayahnya. Kerana itulah Zahid diangkat ke kabinet pada zaman Pak Lah.

Menjelang Syawal, Datuk Shabery Cheek telah menimbulkan seribu tanda-tanya dengan teori beliau yang mungkin akan ada 'kuda hitam' muncul mencabar kedudukan Timbalan Presiden UMNO. 'Bola tanggung' ini disambut pengisytiharaan Datuk Zahid akan niatnya bertanding untuk jawatan tersebut. Datuk Shabery juga seorang yang diberi kepercayaan oleh Pak Lah sebagai 'generalnya', setelah beliau berpaling tadah dari gurunya KuLi.

Permainan media Datuk Shabery bukan seperti wayang kulit kelaziman UMNO, malah berunsur kebaratan... ala Tingkat 4. Sememangnya ide untuk Datuk Zahid bertanding Timbalan Presiden bukannya datang sendiri, dan tidak pernah dicetuskan oleh bekas tuan politiknya DS Najib. Beliau sebenarnya diarahkan oleh Pak Lah untuk bertanding. Kononnya ini untuk memastikan TS Muhyiddin yang dianggap Pak Lah sebagai dalang kejatuhannya, tidak 'menang percuma'.

Pada mulanya, saya pun memikirkan pencalonan Datuk Zahid sebagai Timbalan merupakan suatu cara untuk memecah-belahkan gandingan Najib-Muhyiddin demi menyelamatkan Pak Lah dari kubur politik. Tetapi menurut seorang ahli Majlis Tertinggi, Datuk Zahid diarahkan demikian untuk menyelamatkan hidup politik Khairy Jamaluddin! Teori terbaru adalah, KJ merancang untuk ber-'cai' dengan Datuk Zahid sebagai calon Ketua Pemuda beliau!

Tetapi kelihatan seperti usaha menyelamatkan Pak Lah mahupun menantunya melalui pencalonan Datuk Zahid mungkin gagal ala 'lompat kerusi' Anwar Ibrahim, dengan tiba-tiba munculnya begitu ramai calon-calon Timbalan Presiden lain, termasuklah kuda yang 'lebih hitam', Ketua Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamad.

Inilah bahananya bila KJ ingin bermain kuda-kuda politik, akibat dia 'tak reti', menjadi olokan pula akibatnya pemilihan UMNO nanti!

Pergerakkan Jalinan Sahabat Pak Lah

Pada hari ini, timbul pula fenomena baru. Rupa-rupanya setelah lebih seminggu gagal mempertahankan Pak lah menerusi kempen sms dan khabar angin yang tak menjadi, Datul Reezal Merican dan Che Alwi 'Al-Ketereh' kini berusaha menggerakkan usaha baru untuk menyelamatkan Pak Lah. Mereka merancang untuk mendapatkan nombor IC atau Pasport Ketua-Ketua Bahagian, kononnya sebagai tanda rayuan akar-umbi supaya Pak Lah kekal berkuasa.

Apa? HAHAHAHAHAHAHA!

Itulah reaksi awal saya apabila mendengar tentang usaha baru ini. Tetapi ada lagi. Kononnya di antara yang memukul canang membantu Reezal dan Che Alwi adalah tidak lain dari Tan Sri Senator Jins Samsuddin bersama sekelompok besar sahabat-sahabat lama Pak Lah! Betul, percaya lah...

HAHAHAHAHAHAHA!

Memang melucukan, tetapi tetap merbahaya, kerana dengan modal inilah mereka merencanakan mesyuarat MKT UMNO untuk diadakan sebelum 8 Oktober bagi membolehkan lagi usaha mendesak pengekalan kuasa Pak Lah. Atau mungkin rencana mereka untuk menggunakan mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang sudah pun dijadualkan pada jam 3.30 petang Rabu ini?

Kan teman setia Pak Lah, TS Koh Tsu Koon, baru sahaja menang kedudukan Presiden Gerakan tanpa bertanding, selesai menggoreng hidup-hidup maruah tokoh politik Melayu Pulau Pinang, Datuk Ahmad Ismail. Malah salah seorang calon Pemuda Gerakan pun baru-baru ini ada mengatakan UMNO patut mendapatkan persetujuan parti komponen BN lain untuk menggantikan Pak Lah... ada ka! Kureng...

Waspadalah semua ahli, terutama pemimpin UMNO, Pak Lah dan para pengikutnya kelihatan bersedia melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa..

Tingkat 4 Berpindah Tuan Ke DS Najib

Bagi anak-anak muda, bukan sahaja dalam UMNO, malah di seluruh negara, perkembangan inilah yang paling menimbulkan kerunsingan di antara gerak percaturan sekitar peralihan kuasa awal ini. Rancangan melantik mentor Khairy Jamaluddin di Oxford dahulu, yakni Omar Mustapha Ong, sebagai Setiausaha Politik ataupun Penasihat Ekonomi DS Najib di Kementerian Kewangan membawa petanda jelas akan adanya rancangan ini.

Malah Omar Mustapha Ong terlihat sudah pun mengatur langkah membawa ahli tingkat 4 lain masuk ke pejabat baru mereka, walaupun sebelum perlantikan beliau diisytiharkan rasmi lagi! Di antara mereka yang sudah mula disusup masuk adalah 'penasihat media', Hardev Kaur, yang berbau perisik Singapura ala Brendan Pareira.

Bagaimanakah mungkin Omar Mustapha Ong ini berjaya menyelinap masuk ke pejabat DS Najib? Mungkin kerana beliaulah antara ahli Tingkat 4 yang paling licik sekali. Pada masa ahli Tingkat 4 berebut-rebut mencari tenggek di pejabat Pak Lah, Omar dengan sabar memohon tempat di sis DS Najib, dengan bantuan teman-temannya Abdul Razak Baginda dan Rohana Tan Sri Mahmood. Dengan cara tersebut, beliau berjaya mendapatkan label 'orang Najib'.

Namun hubungan Omar dengan Tingkat 4 tidak dapat disembunyikan, memandangkan beliaulah bekas ketua kumpulan ini sejak masa di Universiti lagi. Omarlah yang menjadi 'Tok Guru' KJ di Oxford sebagai senior beliau sehingga KJ diberi kepercayaan menjadi penyunting majalah Ethos edaran kumpulan pelajar Malaysia elitis tersebut di England.

Sempena nama majalah inilah Omar kemudian menamakan syarikat pakar perunding beliau, Ethos Consulting, yang ditubuhkan bersama rakan akrab beliau Datuk Zaki Zahid, yakni agen utama KJ di Tingkat 4 Pak Lah. Ternyata sepanjang zaman Pak Lah berkuasa, Ethos Consulting merupakan pakar perunding projek kerajaan yang paling digemari, terlibat dengan pelbagai kegagalan Pak Lah, termasuklah koridor-koridor dan peranapan industri otomotif negara.

Pembaca yang ingin tahu bolehlah melawat sendiri pejabat syarikat Omar Mustapha Ong yang kini bernama Ethos & Co, di bangunan TSH Group, syarikat berkait dengan Datuk Kalimullah Hassan. Menarik sekali, bangunan TSH ini juga menempatkan pejabat Koridor Utara atau NCER, pimpinan orang setia Pak Lah dan penghubungnya dengan Tan Sri Vincent Tan, Datuk Anuar Zaini. Ia juga merupakan pejabat Tune Money yang dipimpin Tengku Zafrul al-Avenue Capital...

Alangkah sedihnya bagi anak-anak muda se-Malaysia kiranya pemergian Pak lah tidak mematikan riwayat kuasa penderhaka generasi kami di Tingkat 4. Adalah harapan kami yang ini tidak terjadi.

Percaturan Yang Lebih Menyelamatkan KJ Dari Pak Lah?

Menarik sekali apabila dilihat percaturan terakhir tersebut di atas tak tentu menguntungkan Pak Lah sangat, tetapi jelas menguntungkan Khairy Jamaluddin dan teman-temannya di Tingkat 4. Sayang sangatkah Pak Lah kepada KJ, atau mungkinkah...

Mungkin tak patut kita persoalkan sayang Pak Lah ini. Kalaulah Pak Lah sedia bertukar kementerian sekalipun untuk menjamin kekayaan anak kandungnya, mana mungkin tidak beliau membakar dirinya demi masa depan sang menantu... Wallahualam...

Kemaskini...

Ada ura-ura menyatakan yang Pak Lah akan berusaha untuk menunda Mesyuarat-Mesyuarat Bahagian ke bulan Febuari pada hari ini! Kononnya ia memberi lebih masa bagi para pemimpin dan perwakilan Cawangan UMNO ke Bahagian untuk dibeli! MashaAllah!

Monday, September 29, 2008

Analisa Hasil Keputusan Mesyuarat MKT UMNO 26/9/2008: Keputusan MENANG-menang Ala Pulau Batu Putih Untuk Pak Lah

Pada waktu menulis, 5 Ketua Bahagian UMNO sudah pun mengisytiharkan niat Bahagian mereka untuk mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden serta Timbalan Presiden parti bulan depan. Selain dari Bahagian Cheras, Titiwangsa dan Besut yang dilaporkan sebelum ini, nampak gaya Ketua-Ketua Bahagian Batu Pahat serta Shah Alam juga turut melafazkan niat yang sama.

Ini menunjukkan perbezaan paling lahir antara senario politik UMNO sebelum dan selepas mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi UMNO (MKT) pada hari Jumaat lepas, yakni 26 September 2008. Terlihat selain dari pemimpin bawahan serta ahli-ahli biasa UMNO melahirkan hasrat Pak Lah berundur dari jawatannya secepat mungkin, kini pemimpin-pemimpin besar parti parpangkat Ketua Bahagian ke atas semakin terbuka kelantangannya.

Tetapi sebelum kita merumuskan MENANG dan menang di tangan siapa pasca 26 September, haruslah kita mendedahkan rentetan peristiwa serta agenda yang dibawa ke mesyuarat MKT tersebut.

Pak Lah Meredah MKT Mencari Selamat

Sejurus sebelum mesyuarat tersebut, telah pun berlangsung 2 lagi mesyuarat MKT yang beragenda memantapkan kedudukan Pak Lah sebagai Presiden UMNO, namun sebaliknya melemahkan lagi pegangan kuasanya. Malah selesai mesyuarat MKT pada minggu sebelumnya, ada akhbar pro-kerajaan yang berani memaparkan bagaimana Pak Lah begitu didesak berundur oleh pemimpin-pemimpin tertinggi parti sehinggalah DS Najib bertindak melindunginya.

Walaupun ada yang mengecam DS Najib kerana laporan yang beliau terampil melindungi Pak Lah dari kritis berterusan ketika mesyuarat, namun tindakan Najib ternyata bijak kerana ia kemudian membolehkannya:
  1. Menunjukkan dirinya masih memegang kepada sopan-santun Melayu yang menghormati ketua walau yang lemah dan penghindarnya ke tampuk kuasa.

  2. Pada masa yang sama, paparan bagaimana Najib melindungi Pak Lah di MKT menunjukkan beliau jelas lebih berpengaruh namun tidak rakus kuasa.

  3. Ia juga membuka jalan untuk DS Najib menggubah penyelesaian krisis sesuai dengan kepentingan politiknya.

Ternyata kedudukan Pak Lah sebagai Presiden, beserta kerabat serta sahabat politik beliau semakin parah. Malah, kemungkinan Pak Lah tidak mendapat pencalonan yang mencukupi untuk mempertahankan jawatannya telah diutarakan secara terbuka di MKT oleh Ketua Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz. Mamandangkan ancaman yang melanda, dikhabarkan bahawa beliau dan anak-anak buahnya di Tingkat 4 kemudian telah merangkakan strategi baru yakni:

  1. Menunda Perhimpunan Agung UMNO bersama pemilihan ke bulan Jun 2009.

  2. Menunda Mesyuarat-Mesyuarat Bahagian ke bulan April 2009.

  3. Memperkuatkan kedudukan Pak Lah dengan menukar-ganti kementerian Pak Lah dengan DS Najib, dengan harapan Datuk Mohd Nor Yaacob dapat mengawal keadaan di Kementerian Kewangan.

  4. Sepanjang masa ke bulan April, segala hasil yang boleh diagihkan dari Kementerian Pertahanan akan digunakan untuk memperkuatkan kedudukan politik Pak Lah.

  5. Memastikan Pak Lah menang tanpa bertanding sebagai Presiden UMNO, atau setidak-tidaknya, menguburkan usaha mencalonkan DS Najib ke jawatan tersebut.

Untuk menggerakkan strategi tersebut, Pak Lah terpaksa memanggil satu lagi mesyuarat MKT. Maka menurut maklumat dalaman, beliau telah mencuba dahulu untuk mendapatkan persetujuan DS Najib untuk menunda Perhimpunan Agung serta Mesyuarat-Mesyuarat Bahagian. Seperti diduga, DS Najib membantah cadangan tersebut, namun segala sebab teknikal yang diberikan beliau tidak diendahkan.

Khabarnya Pak Lah termakan hasutan orang-orang terdekat dan menganggap DS Najib hanya mencari helah. Maka beliau pun mula memasang kakinya di MKT untuk menyokong strategi baru tersebut.

Strategi Pak Lah Dipatahkan Keluhuran Perlembagaan UMNO

Malang bagi Pak Lah, DS Najib bukan berhelah, tetapi telah mengutarakan isu-isu teknikal yang benar dan jitu. Sekiranya Pak Lah berkomplot dengan Setiausaha Agung UMNO, Dato' Tengku Adnan Tengku Mansur, mungkin beliau dapat dinasihatkan tentang masalah-masalah tersebut. Malangnya, Pak Lah telah sekali lagi berpaut kepada pemikiran anak-anak buahnya di Tingkat 4 yang Sijil Ijizah Berjela Hebat-Hebat Belaka, Namun Pengalaman Dan Bijaksana Tidak Seberapa.

Oleh itu, apabila cadangan untuk menunda Perhimpunan Agung ke bulan Jun 2009 dibentang, ia telah dengan serta-merta menerima bangkangan kerana menurut perlembagaan parti, Perhimpunan Agung boleh ditunda selama maksima 18 bulan sahaja. Oleh itu, Perhimpunan Agung UMNO haruslah diadakan paling lambat pun pada bulan Mei 2009 untuk mengelakkan UMNO dari diharamkan oleh Pendaftar Pertubuhan.

Hasil yang paling parah untuk Pak Lah dari bangkangan ini adalah persoalan kenapakah Pak Lah tidak tahu-menahu tentang halangan Perlembagaan tersebut? Ia juga menunjukkan Pak Lah tidak merujuk kepada Setiausaha Agung parti mahupun yang sepengetahuan dengannya dalam menggubak cadangan tersebut. Dalam kegagalan hasil kebingungan ini, dengan mudah sahaja strategi Pak Lah di patah-patahkan.

Tak kiralah betapa lincah dan lantangnya pedukung Pak Lah di MKT dalam usaha penundaan Mesyuarat Bahagian, kegagalan awal membuka peluang untuk mematahkan segala rencana. Tambah lagi dengan pelbagai halangan Perlembagaan seperti masalah had umur bertanding Pemuda dan Puteri yang mungkin membangkitkan kemarahan sekiranya apa-apa penundaan dilakukan serta kos pembatalan mesyuarat, rencana Pak Lah terhalang.

Namun, bila dilihat keputusan akhir MKT menunda Perhimpunan Agung ke bulan Mac 2009, ia seolah-olah berbau kemenangan buat Pak Lah. Tetapi benarkah begitu?

MENANG Najib Dan menang Pak Lah

Sebenarnya, keputusan untuk meneruskan sahaja Mesyuarat Bahagian seperti dijadualkan sementara menunda Perhimpunan Agung ke bulan Mac memberi banyak kelebihan kepada DS Najib dan pasukannya. Pak Lah pula kelihatan seolah-olah menang, tetapi kemelut di sebalik mesyuarat-mesyuarat MKT bertujuan memperkasakannya tersebut kini boleh dijadikan sebagai bukti jelas yang beliau tidak ikhlas apabila berjanji akan berundur dalam masa terdekat.

Maka menangnya Pak Lah kerana pada lahirnya, beliau berupaya kekal sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia setidak-tidaknya sehingga bulan Mac 2009, dan sepanjang masa tersebut berupaya menggerak jentera kerajaan untuk memantapkan kedudukannya. Namun ini bergantung kepada kemungkinan beliau menerima cukup pencalunan untuk mempertahankan kedudukannya...

Maka MENANGnya DS Najib kerana:

  1. DS Najib kini tidak perlu akur dengan pelan peralihan kuasa. Malah para penyokongnya kini boleh memukul canang secara terbuka untuk mencalunkan beliau sebagai Presiden UMNO dengan bukti utuh yang Pak Lah tidak ikhlas berdasarkan tindak-tanduknya baru-baru ini. DS Najib pula tidaklah rakus...

  2. Berita yang niat Pak Lah menunda Mesyuarat Bahagian dan Perhimpunan Agung adalah semata-mata untuk memperkukuhkan kedudukannya kini menyemarakkan lagi kemarahan akar-umbi parti terhadap beliau.

  3. Apabila DS Najib berjaya mendapatkan pencalunan yang mencukupi untuk bertanding jawatan Presiden, dan terutama setelah Pak Lah tidak cukup pencalunan, tempoh 4 bulan dari tamatnya Mesyuarat Bahagian terakhir pada bulan November hingga ke Mac memberikan beliau banyak masa untuk memperkukuhkan kedudukan. Itu pun kalau beliau tidak dilantik DYMM YDP Agong menjadi Perdana Menteri dari bulan Disember ini!

Lafazan niat pencalunan DS Najib oleh 5 Ketua Bahagian tersebut, termasuk dari Besut, yang dipimpin bekas penyokong setia Pak Lah, Datuk Idris Jusoh, membawa bukti keMENANGan awal DS Najib. Pak Lah pula tak cukup 58 Bahagian yang setia padanya. Paling banyak pun 47 Bahagian, dan 11 darinya di Pulau Pinang, yang kini tergoncang hasil layanan buruk terhadap Datuk Ahmad Ismail tempohari.

Insya'Allah... kita diselamatkan Allah dari bencana berterusan menjelang Syawal ini...

Akhir kata, ingin saya mengucapkan kepada semua pelayar blog ini Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan Maaf Zahir Batin. Blog ini akan ber'cuti raya' sebentar...

Sunday, September 28, 2008

Najib Mula Mendapat Sokongan Terbuka Ketua-Ketua Bahagian Merebut Presiden Pada Bulan Disember 2008

Pada sebuah majlis berbuka puasa bersama Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua-Ketua Bahagian UMNO Cheras dan Titiwangsa telah mengisytiharkan niat mereka untuk mencalonkan Datuk Sri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO pada mesyuarat Bahagian bulan depan.

Mereka, yakni YB Senator Datuk Syed Ali Al-Habshee (Cheras) dan Datuk Suleiman Mohamad (Titiwangsa) juga melafazkan niat untuk mencalonkan TS Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden parti, sebagai gandingan mantap bersama DS Najib untuk menyelamatkan parti dari kepincangan kepimpinan yang sedia ada.

Menarik sekali, ini tidak dilaporkan oleh mediamasa utama negara hari ini, walaupun acara tersebut ada menerima
sedikit liputan. Mungkin ada yang menghindar?

Kemaskini...

Rupa-rupanya, ada juga bahagian lain mencalonkan DS Najib sebagai Presiden UMNO selain dua yang dilaporkan di sini, dan ada pula mediamasa utama melaporkannya! Syabas UMNO Bahagian Besut dan Berita Harian! Yang mengejutkan sedikit, hebat sangatkah gandingan Najib-Muhyiddin sehingga Datuk Seri Idris Jusoh dan Berita Harian kedua-duanya meninggalkan Pak Lah?Diharapkan ia bukan wayang kulit dan kita bersyukur berhati terbuka Ramadhan...

Terima kasih Nitro atas komentar...

Monday, September 22, 2008

Apabila Penerangan Berunsur Pembohongan...

Sewaktu berkerja di negeri Belanda beberapa tahun lepas, saya berpeluang berteman-kawan dengan orang Islam dari pelbagai bangsa. Ada sekumpulan kami di perantauan yang sering bertemu di kedutaan Indonesia Den Haag untuk salat Jumaat. Di salah satu pertemuan tersebut pada bulan Ramadhan, minda saya dibuka oleh seorang berbangsa Afrika yang warak perwatakannya. Katanya:
In the month of Ramadhan, there is no Satan or Iblis to temp us towards wrong-doing. So we have no excuse for the sins that we choose to commit in this holy month. If someone chooses to commit a sin in the holy month of Ramadhan, it is because the person is a sinner in character and fasiq.
Dialih-bahasakan:
Pada bulan Ramadhan, tiada Syaitan atau Iblis untuk menggoda kita supaya melakukan kejahatan. Maka tiada helah bagi dosa-dosa yang kita sendiri memilih untuk dilakukan pada bulan mulia ini. Sekiranya seseorang itu memilih untuk membuat dosa pada bulan Ramadhan yang mulia ini, ternyata ia kerana beliau berwatak pembuat dosa, malah fasik.

Maka adalah dalam konteks ini saya kini melihat kelakuan sesetengah pemimpin-pemimpin Islam di Malaysia pada Ramadhan ini, yang fasiknya berdusta, berbohong dan memfitnah belaka. Contoh yang paling jelas semestinya Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang tak putus-putus memberikan harapan palsu kepada rakyat Malaysia yang kehausan kepimpinan yang jitu. Yang taksub pasti akan menelan lagi helah barunya atas kegagalan hari ini, tetapi bagi saya...

Yang pengikut-pengikut Pak Lah pula, kefasikan terlihat sejak Datuk Seri Najib Tun Razak melafazkan keakurannya terhadap kehendak akar-umbi UMNO sama ada menerima pelan peralihan kuasa ataupun menolaknya sambil menerima pencalonan ke jawatan Presiden. Betul, Najib serah kepada mesyuarat Bahagian. Kalau tak mahu Pak Lah, KJ dan Kamaluddin kekal berkuasa hingga 2010, tolaklah pelan peralihan kuasa dan calonkanlah DS Najib sebagai Presiden UMNO!

Tetapi sejak hari itu, pelbagai usaha dilakukan untuk menghalang pesanan DS Najib dari turun kebawah. Dahlah penjelasan Dato Radzi Manan selaku seorang Katua Bahagian yang tepat menghuraikan niat di hati DS Najib di halang dari media masa. Sms yang gelojoh mempertahankan Pak Lah seterusnya memfitnah DS Najib serta Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berleluasa disebarkan hasil kerja dalang-dalang seperti Che Alwi Al-Ketereh dan Wan Indra Putera.

Malah pada hujung minggu lepas, Ketua Penerangan UMNO Malaysia sendiri, Tan Sri Mat Taib melepaskan pembohongan rasmi beliau yang MKT UMNO tidak pun mendesak Pak Lah untuk meletak jawatan. Apakah ini? Kenapakah penerangan sudah menjadi pembohongan di Ramadhan ini? Taksub sangatkah mereka-mereka ini, atau mungkinkah mereka belum menyedari yang ia berunsur fasik?

Wallahualam...

Tuesday, September 16, 2008

Tahniah Anwar Ibrahim... 16 September 2008 Dalam Kenangan...

Belum tamat lagi pun 16 September, namun jenaka tersebut sudah pun berlegar rancak di ruang pesanan sms rakyat Malaysia:

Akhirnya kejayaan berpihak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada jam 2.45 petang tadi, dengan mendapat loncatan 30 kerusi plastik dan sebuah kabinet besi dari Pusat Perabot Courts Mammoth. Beliau telah mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri di hadapan GAMBAR Yang Di Pertuan Agong di rumahnya di Segambut. Turut hadir pimpinan tertinggi Parti PKR, DAP dan serpihan PAS 'liberal' bersama wakil Majlis Peguam. Syabas diucapkan...

Namun dalam kegirangan, teman-teman dalam UMNO dan BN harus bersyukur dan waspada akan begitu hampirnya Anwar mengecapi kejayaan. Masalah kita yang terkini sekali adalah kelekaan yang mungkin menyusupi riak, dilaukkan pula dengan kesediaan Pak Lah untuk mengakui kegagalan Anwar hasil usahanya. Ini walaupun tindakan Pak Lah sendiri tempohari dengan permainan ISA yang separuh masak dan tidak berkesan hampir menjahanamkan segalanya.

Anwar gagal sebenarnya kerana sudah ada harapan baru meniup, menyinar, menembusi kegelapan UMNO semenjak akhir minggu lepas. Kegagalan Anwar disebabkan kejayaan Tan Sri Muhyiddin membawa harapan baru yang Tun Dr M kini bersedia kembali ke UMNO bagi membantu KuLi dalam usaha menumbangkan Pak Lah dari tampuk kuasa.

Perjuangan masih belum selesai... dan masyarakat yang ikhlas mahukan perubahan juga pasti gembira melihat seorang gergasi sudah semakin bangun mengasah kuku dan menyuarakan wadahnya...

Tuesday, September 09, 2008

Antara Ahmad Ismail, Tun Dr Mahathir Dan Ezam Mohd. Nor

Hari ini akan berlangsung mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi UMNO dengan agenda utamanya untuk menangani isu kenyataan Datuk Ahmad Ismail yang kononnya berbaur perkauman. Menarik sekali, isu tersebut bukanlah yang terpenting untuk ditangani oleh Pak Lah dan ahli MKT UMNO pada hari ini.

Saya bukan berniat menyinggung perasaan di sini, tetapi amnya, masyarakat Melayu tidaklah begitu mementingkan isu kenyataan Datuk Ahmad Ismail buat masa ini. Ini kerana kami pernah mendengar kenyataan dan perbuatan yang lebih berbaur perkauman dari pemimpin-pemimpin semua parti, baik BN mahupun bukan BN, di Malaysia. Perbezaannya, orang Melayu amnya tidaklah sesensitif kaum Cina.

Tengok sahajalah bagaimana orang Melayu tak berapa kisah pun tentang penghinaan yang dihamburkan kepada kami yang kononnya mensia-siakan DEB. Orang Melayu juga tak berapa kisah apabila seorang anak Cina yang mempermainkan azan dan lagu Negaraku betapa dipertahankan perbuatannya oleh pemimpin Cina. Malah bila Islam dipertikaikan kedudukannya, kami tetap sabar menangkis segala usaha dan dakyah dengan emosi yang ala kadar sahaja.

Di internet, rata-rata sentimen anti-Melayu meleluasa, seperti persoalan yang sering ditimbulkan tentang sama ada Melayu benar-benar penduduk 'asal' Malaysia. Kami tak menuntut maaf kerana kesedaran bahawa wujudnya tamadun Melayu di Semenanjung ini sejak sebelum Masihi lagi. Malah, bila dibilang hero ulung Melayu Hang Tuah itu sebenarnya seorang Cina sekalipun, kami tak marah

Ini pun belum masuk cerita Hindraf lagi, yang menuduh Melayu pembunuh, penyamun, penyeleweng dan macam-macam lagi! Diraikan pula pemimpin Hindraf sehingga sekarang ada yang dah jadi wakil rakyat hasil tuntunan undi bukan Melayu... dan juga Melayu! Begitu pemaaf sekali Melayu!

Jadi orang Melayu amnya mungkin hairan sedikit dengan kemarahan yang ditujukan terhadap Ahmad Ismail oleh kaum Cina. Ada juga yang terkilan kerana ada pula pemimpin Melayu yang merasakan perlunya UMNO meminta maaf atau menyatakan kekesalan tentang kenyataan ini. Namun kepada orang Melayu, isu Ahmad Ismail bukanlah isu terpenting yang harus ditangani MKT UMNO hari ini.

Lebih penting bagi orang Melayu amnya, dan ahli-ahli UMNO khususnya, MKT UMNO haruslah meluluskan kemasukan semula Tun Dr Mahathir ke dalam UMNO hari ini. Tak perlulah MKT menunggu borang permohonan keahlian Tun Dr M. Benarkan sahaja pendaftaran Tun Dr M di Cawangan beliau dihidupkan semula. Semalam Tan Sri Muhyiddin sudah pun menyatakan persetujuan Tun untuk kembali ke pangkuan UMNO. Nah, tunggu apa lagi!

Inilah masanya Pak Lah dan kepimpinan UMNO menunjukkan budi-bahasa mereka terhadap pemimpin Melayu yang berjasa. Setidak-tidaknya, keinginan Tun Dr Mahathir untuk kembali ke UMNO haruslah diraikan dengan lebih semangat dari penerimaan semula Ezam Mohd. Nor tempohari.

Ezam, yang bukan sekadar meninggalkan UMNO, tetapi memburuk-burukan kepimpinan negara di Indonesia, memecah-belahkan lagi Melayu melalui PKR dan menghambur hina merata-rata dengan NGO-nya begitu diraikan kembalinya dahulu. Maka wajiblah MKT UMNO menyambut kepulangan Tun Dr M dengan lebih hebat lagi! Si Ezam bekas musuh perosak bangsa manakala Tun Dr M penabur budi dan pejuang Agama, Bangsa dan Tanah Air!

Maka di sini ingin saya rakamkan harapan ramai ahli muda UMNO yang kerdil ini supaya MKT mengutamakan kepentingan Melayu hari ini. Utamakanlah pengembalian pendekar Melayu ulung lagi berjasa kita, Tun Dr Mahathir, ke pangkuan UMNO sebelum kehendak kaum lain dilayani dengan apa-apa keputusan terhadap Datuk Ahmad Ismail.

Kemaskini 1...

Diharap pelayar halaman ini juga sudi membaca sendiri kenyataan akhbar Datuk Ahmad Ismail tentang isu yang membabitkannya, samada dengan ringkas atau yang berkait dengan pelbagai kenyataan dan pendapat lain. Lihat sahajalah betapa remehnya isu kenyataan Datuk Ahmad Ismail yang diwar-warkan oleh orang bukan Melayu. Padahal beliau pernah berjasa besar kepada mereka dahulu! Jelas pemimpin Melayu patut mengutamakan kepentingan Melayu dahulu!

Kemaskini 2...

Nampak MKT UMNO bukan lagi Melayu punya. Nampak seperti tak terlayan pun isu kemasukan semula Tun Dr M ke UMNO. Malah, Datuk Ahmad Ismail dizalimi sekali dengan digantung 3 tahun oleh MKT selepas perbincangan selama 3 jam!

3 JAM TAK CUKUP UNTUK MENERIMA SEMULA TUN DR M KA?!

3 JAM DAN AGENDA BANGSA LAIN DIBINCANGKAN SAHAJA?!

Tetapi jangan bimbang Datuk Ahmad Ismail. Menurut trend Pak Lah, kalau dah digantung tu, sekiranya Datuk terus lantang, ada peluang dilantik Menteri! Tak percaya, tanya Dato' Zaid Ibrahim...

Thursday, July 17, 2008

USFTA Penghalang Naiknya Muhyiddin Ke Mercu Kuasa?

Seperti biasa, apabila media masa Malaysia dilanda berita hangat, seperti kes jenayah DS Anwar Ibrahim, saya akan tercari-cari berita lebih penting yang mungkin sengaja ingin disembunyikan oleh kerajaan Pak Lah dengan sensasi. Ternyata pada minggu ini Pak Lah dan sekutunya ingin menyembunyikan permulaan semula rundingan perdagangan bebas dengan Amerika Syarikat, atau ringkasan Inggerisnya, USFTA.

Perlu diperingatkan atau didedahkan kepada rakyat Malaysia yang USFTA ini bukanlah perjanjian perdagangan adil, hanya bebas. Kenapa bebas tetapi tidak adil? Kerana perjanjian perdagangan yang adil semestinya memberi perlindungan kepada rakan dagang yang lebih lemah, seperti Malaysia, dan oleh itu, tidak mungkin bebas sepenuhnya. Mesti ada batasan untuk berlaku adil melindungi ekonomi dan persyarikatan Malaysia yang kerdil berbanding syarikat gergasi US.

Tetapi USFTA yang dirunding semula minggu ini bukan perjanjian perdagangan adil, tetapi bebas. Maka syarikat-syarikat dari Amerika Syarikat akan dibenarkan bukan sahaja bebas berniaga dan melabur. Syarikat Amerika juga akan bebas memerah pembekal dan pengguna tempatan, menindas syarikat lawan yang lebih kerdil dan membaham syarikat kawannya sekalipun di Malaysia.

Namun USFTA ini diwar-warkan oleh pihak kedutaan Amerika seolah-olah ia suatu pemberian yang lumayan dari mereka. Lebih banyak pelaburan Amerika akan masuk dibilangnya kerajaan, semakin tinggi jumlah jualan barang Malaysia di Amerika Utara diperdengarkan saudagar dan kian murah nanti barang-barang keperluan di pasaran diberitahunya kepada rakyat Malaysia. Ini semua bohong...

Mana bisa Amerika Syarikat dipercayai sebagai sebuah rakan kongsi perdagangan bebas? Amerika Syarikat, sebuah negara yang perang kemerdekaannya tercetus hasil pertelingkahan tentang cukai niaga, suatu kuasa besar yang melanggar undang-undang dunia dan menyerang Iraq semata-mata kerana minyak, yang menindas Palestin kerana Yahudi memiliki kunci tabung bank-bank peminjam perniagannya, mana boleh kita percaya sekali janji manis negara-bangsa ini?

Amerika Syarikat mahukan USFTA ini supaya kekayaan negara kita bisa dikaut untuk kepentingannya sendiri. Sekiranya mereka telus dan lurus dengan Malaysia, sudah pasti perjanjian yang dirundingi adalah berdasarkan perdagangan adil, dan dirunding bersama negara-negara lain di Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO), di mana Malaysia boleh saling bergantung perlindungan dalam rundingan bersama rakan-rakan niaga kerdil yang lain.

Tetapi kenapakah Tan Sri Muhyiddin di bilang mungkin terhalang naik 'ke atas' akibat USFTA ini? Ini kerana perundingan USFTA adalah di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang dipimpin oleh beliau. Memang betul, USFTA ini suatu lagi usaha Pak Lah melelong negara demi masa depan anaknya Kamaluddin dan dicanang sekali Khairy al-Oxfordi. Namun, mereka menunggang usaha TS Muhyiddin yang mungkin belum sedar kerana baru di MITI.

Sedarkan TS Muhyiddin yang menteri MITI sebelumnya, Tan Sri Rafidah Aziz, dibuang kerja antara lain kerana kelihatan begitu tegas menentang usaha perunding Amerika Syarikat membuka luas ruang perjanjian USFTA tersebut. TS Rafidah begitu berkesan sehingga perunding Amerika Syarikat berhenti langsung dari berunding! Walaupun TS Rafidah pernah terkena bidasan rakyat desa yang menentang USFTA, tetapi beliau sendiri pun berusaha menyekat...

Maka dibuang TS Rafidah dari kabinet. Kini Pak Lah menunggangi keupayaan dan profesionalisma TS Muhyiddin pula untuk melelong negara dengan USFTA ini. Adalah harapan saya agar TS Muhyiddin terdengar bisikan sedikit berita usaha ini, demi masa depan rakyat Malaysia... dan masa depan politiknya juga!

Tangential Malay Search Results