Showing posts with label Pemuda UMNO. Show all posts
Showing posts with label Pemuda UMNO. Show all posts

Sunday, October 13, 2013

Kenyataan Calon Ketua Pemuda Malaysia, Akhramsyah Sanusi, Bersabit Keputusan Pemilihan 2013

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu pada pemilihan ini. Jalinan hubungan serta persahabatan baru yang terjalin dari Masjid Tanah ke Penampang, JB ke Bachok, Pokok Sena ke Kuantan, serta banyak lagi, amatlah dihargai.

Saya juga ingin merakamkan rasa puas hati bahawa setidak-tidaknya sepanjang tempoh 3 minggu lepas, laungan Hidup Melayu kembali ke bibir Pemuda setelah meninggalkannya begitu lama. Jelas Pemuda mahukan laungan tersebut kembali dan saya harap pemenang-pemenang pemilihan menyedari hakikat yang masih perlunya ada peranan Pemuda sebagai pendesak, bukan beraktiviti liberal dan progresif semata-mata.

Terdapat pelbagai perkara boleh dipelajari dari pemilihan ini, yang banyak sekali perlu diperbaiki. Contohnya, tata-etika berkempen yang berubah-ubah sehingga terlalu memberi kelebihan kepada penyandang mana-mana jawatan, jelas terlihat pada keputusan sayap-sayap Pemuda dan Wanita. Pengalaman saya dalam melalui pertandingan ini insya Allah akan saya rakamkan dalam sebuah buku untuk diamati oleh semua yang berminat.

Di sini, saya ingin merakamkan juga rasa syukur saya yang mahkamah rayuan telah menolak rayuan majalah Kristian Herald untuk membolehkannya menggunakan Kalimah Allah. Ini merupakan kejayaan gabungan NGO Islam serta Melayu dalam mempertahankan hak serta aqidah ummah. Saya juga ingin mengucapkan 'Selamat Hari Raya Aidil Adha' kepada semua umat Islam.

Akhir kata, saya ingin mengesyorkan semua perwakilan UMNO yang layak memilih barisan kepimpinan UMNO yang baru pada 19 Oktober ini, pilihlah Datuk Paduka Mukhriz bin Tun Dr Mahathir sebagai salah seorang Naib Presiden kita. Terima kasih.

Ikhlas, Akhramsyah Sanusi
Di Perkarangan Kompleks Mahkamah Putrajaya

Wednesday, October 09, 2013

Kenyataan Akhramsyah Sanusi, Calon Ketua Pemuda, Tentang Tohmahan Tony Pua Terhadap Utusan Dan Pendaftar Pertubuhan (ROS)

KENYATAAN AKHBAR
Tarikh : 10 Oktober 2013 Masa : 9.00 pagi Tempat : Sunway Hotel, Seberang Perai, Pulau Pinang

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera.
Terima kasih di atas kesudian rakan-rakan media untuk hadir ke sidang media hari ini.
Sidang media ini diadakan dengan tujuan untuk menyatakan pendirian saya mengenai isu penghinaan Ketua Publisiti DAP, Tony Pua ke atas Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan akhbar Utusan Malaysia.


Anjing Yang Setia

Tony Pua mungkin tersilap merujuk gelaran "anjing" kepada ROS dan akhbar Utusan Malaysia itu, yang sebenarnya ditujukan kepada dirinya sendiri kerana beliau dilihat begitu setia dan konsisten ‘menyalak' demi mempertahankan tuannya dalam parti DAP. 

Sebagai graduan salah sebuah universiti tersohor di dunia, adalah agak meragukan sekiranya Tony Pua tidak faham punca sebenar (root cause) tentang isu pemilihan CEC berbanding dengan pemikiran seekor anjing.

Untuk makluman semua, yang buat pemilihan CEC adalah parti DAP, yang tidak menghantar surat jemputan kepada perwakilan adalah di kalangan pengurusan tertinggi DAP, yang tidak tahu menggunakan perisian Microsoft Excel adalah juga di kalangan pengurusan DAP dan yang paling penting aduan yang dibuat kepada ROS adalah dari kalangan ahli-ahli DAP sendiri.

Justeru itu, mengelarkan ROS dan Utusan Malaysia sebagai ‘anjing' UMNO dan mengaitkan ketiga-tiganya adalah satu perbuatan yang bertentangan dengan logik akal manusia. Ini berbeza dengan tabiat dan pemikiran seekor anjing yang pasti akan menyalak setiap kali tetamu datang ke rumah tuannya, walaupun sebenarnya tetamu tersebut adalah daripada kalangan saudara terdekat tuannya.

Perlu diingat UMNO dahulu pun pernah diharamkan ROS pada tahun 1988. Ini menunjukkan kewibawaan dan profesionalisma ROS dalam menjalankan tugasnya memantau pertubuhan-pertubuhan termasuk DAP juga.

("Maybe Oxford grads are just good to be barking dogs", which I believe it is not true)


Kesimpulan

Saya secara peribadi serta mewakili rakan-rakan Pergerakan Pemuda UMNO dari seluruh pelusuk tanahair ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak ROS yang telah menjalankan tugas mereka berdasarkan aduan-aduan yang dibuat oleh ahli-ahli DAP. Ini menunjukkan bahawa walaupun sebagai agensi kerajaan di bawah pentadbiran parti Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO, ROS tidak memilih bulu dalam melaksanakan tugas yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka walaupun aduan-aduan tersebut dibuat oleh ahli-ahli parti pembangkang sekaligus menunjukkan ketelusan, kepercayaan dan kebergantungan rakyat kepada agensi kerajaan yang selama ini dilabelkan dengan pelbagai persepsi negatif.

Kami juga ingin menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada akhbar Utusan Malaysia yang berterusan melaksanakan tanggungjawab sosialnya dalam membawa suara akar umbi ahli DAP yang mahukan satu proses pemilihan parti DAP dijalankan secara telus, walaupun selama ini Utusan Malaysia seringkali dikaitkan sebagai milik parti UMNO dan hanya membawa suara orang Melayu sehingga dituduh sebagai akhbar bersifat rasis. Kini terbukti tuduhan tersebut tidak benar kerana Utusan juga menjadi penyambung lidah dan keluh kesah ahli-ahli akar umbi DAP yang majoritinya bukan Melayu.

Sebagai seorang ahli UMNO, sebuah parti yang meletakkan kesucian agama Islam sebagai salah satu asas penting dalam penubuhan dan perlembagaannya, saya mendesak Tony Pua memohon maaf secara terbuka kepada seluruh ahli UMNO, kakitangan ROS dan kakitangan Utusan Malaysia di atas tindakannya yang begitu biadap dan celupar sehingga melangkaui batas serta nilai-nilai murni kehidupan masyarakat yang selama ini hidup harmoni dan memahami serta menghormati pegangan agama masing-masing serta sensitiviti antara pelbagai kaum.

AKHIR SEKALI, SAYA INGIN MENGESYORKAN AGAR SETIAUSAHA AGUNG DAP, YAB LIM GUAN ENG, MELETAK JAWATAN ATAS KEGAGALANNYA MENTADBIR DAP SEHINGGAKAN MENGAKIBATKAN DAP KINI DI AMBANG PEMBATALAN PENDAFTARANNYA. MUNGKIN TUGAS YAB LIM SEBAGAI KETUA MENTERI PULAU PINANG TERLALU BERAT UNTUK DIPIKUL BERSAMA DENGAN TUGAS SETIAUSAHA AGUNG PARTI DAP, WALLAHUALAM PUNCA KEGAGALANNYA, TETAPI JANGANLAH BIARKAN PEMIMPIN PARTI DAP LAIN MENJADI MANGSA SEMATA-MATA UNTUK MENUTUP KECACATAN PERLAKSANAAN TANGGUNGJAWAB YAB LIM SEBAGAI SETIAUSAHA AGUNG DAP.

"Demi Agama, Bangsa dan Tanahair"


Yang Ikhlas,

AKHRAMSYAH MUAMMAR UBAIDAH BIN SANUSI

Friday, September 27, 2013

Kenyataan Akhramsyah Sanusi, Calon Ketua Pemuda UMNO, Tentang Kontroversi Enchant1MST

Blogger dan Pemuda UMNO ini ingin menggesa kerajaan Malaysia untuk menyiasat dengan seberapa segera pelan membina pusat 1Malaysia Spiritual Tourism di Negeri Pahang oleh kumpulan Enchant (Enchant1MST). Ini kerana usaha tersebut pasti akan mencetuskan kemarahan pelbagai pihak, sekaligus mencemar wadah 1Malaysia yang dibawa oleh kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak, terutama sekali dengan pengakuan pemaju yang projek tersebut telah menerima kelulusan bantuan peruntukan kerajaan Malaysia!

Dalam sejarah Islam, perlumbaan penarikan pelawat ke pusat-pusat keagamaan semata-mata demi menjana ekonomi sesuatu tempat telah terbukti mencetuskan rasa tidak puas hati sehinggalah berlaku peperangan. Menerusi Surah Al-Fil, umat Islam diajar bagaimana Abrahah, seorang pemimpin Habsyah telah menempa kemusnahan apabila beliau menyerang Mekah kerana pusat keagamaan yang dibangunkannya gagal menyaingi Ka'abah di Mekah sebagai daya tarikan para saudagar pada zaman itu.

Ternyata, niat adalah penting dalam pembinaan bangunan-bangunan keagamaan. Ianya haruslah pertamanya berlandaskan niat menunaikan kehendak keagamaan, bukan berdasarkan kehendak perniagaan yang ternyata begitu keduniaan! Sebagai pemimpin beragama Islam, saya bukan sahaja terpanggil untuk mengkritik projek Enchant1MST ini kerana ia tidak sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara, tetapi kerana niat pembinaannya yang melencong jauh dari nilai keagamaan.

Apabila kita melihat penggunaan 1Malaysia serta imej YAB Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri diputar-belitkan untuk mempromosikan, malah seolah-olah menghalalkan program Enchant1MST ini, yang dirisaukan bakal menempah keaiban, saya terpanggil untuk membuat gesaan ini kepada pihak berkuasa; siasatlah program Enchant1MST dan ambilah tindakan dengan seberapa segera terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam memajukannya.

HIDUP MELAYU!

Calon Anda... Akhramsyah Sanusi

Rujukan: http://enchant1mst.com/index.html

Wednesday, September 25, 2013

Pergerakkan Pemuda Lari Dari Halatuju

Setelah menapak ke 10 negeri setakat ini dalam usaha memahami masalah Pemuda di peringkat Cawangan, suatu yang jelas terbukti adalah ramai di kalangan Pemuda, terutama sekali dari golongan lebih berpengalaman, merasa gelisah tentang halatuju kita. Ramai yang menimbulkan isu-isu perlaksanaan seperti terlihat pada projek BL1M, tetapi dalam keselesaan berteh-tarik, isu halatuju pasti timbul.

Ramai tidak memahami kenapa Pemuda pada peringkat pusat begitu membisu walaupun dalam isu yang membabitkan akidah ummah seperti tuntutan penggunaan Kalimah Allah oleh pendakwah agama lain! Bukankah tugas Pemuda untuk mempertahankan hak ummat Islam di negara kita ini selain dari memajukan Agenda Melayu ke hadapan? Kalau bukan, apakah halatuju yang ingin dibawa oleh kepimpinan Pemuda yang sedia-ada?

Inilah sebabnya kebanyakan perwakilan Pemuda yang sempat bertemu-bual agak sedia untuk menerima wadah Hidup Melayu! Tiada yang salah tentang wadah tersebut. Ia sesuai walau pada zaman ini kerana ia wadah perjuangan parti UMNO, yakni Persatuan Kebangsaan MELAYU Bersatu. Perwakilan Pemuda gembira ada yang saya ingin menumpukan diri serta Pemuda ke arah perjuangan Agenda Melayu, bukan seronok beraktiviti sahaja dengan rakan-kongsi Barisan Nasional.

Thursday, September 19, 2013

Teks Ucapan Pada Sidang Akhbar Mengumumkan Tawaran Diri Untuk Dipilih Ke Jawatan Ketua Pergerakkan Pemuda UMNO Malaysia Oleh Akhramsyah Sanusi

Assalamualaikum Warahmatullah i Wabarakatuh,
 
Salam Sejahtera, Salam Satu Malaysia,
 
Terima Kasih atas kehadiran semua di sini pada hari ini, baik dari kalangan wakil media dan terutama sekali kawan-kawan yang sudi melepaskan diri dari tugas harian untuk bersama-sama.
 
Nama saya Akhramsyah Muammar Ubaidah bin Sanusi, lazimnya dikenali sebagai Akhram sahaja. Sebagai pengenalan, saya seorang anak kelahiran DEB (Dasar Ekonomi Baru). Pendidikan awal saya di Maktab Rendah Sains MARA Balik Pulau, Pulau Pinang sehinggalah berjayanya saya menggenggam segulung ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia dari Imperial College, London semua hasil dasar kerajaan pimpinan UMNO yang berlandaskan Dasar Ekonomi Baru.
 
Dengan bermodalkan ilmu tersebutlah, saya berjaya menarik perhatian sebuah syarikat minyak antarabangsa yang terkemuka mengambil saya sebagai serorang profesional. Selama 16 tahun saya bertugas sebagai seorang jurutera, konsultan sehingga kini mencapai peringkat pengurusan syarikat tersebut. Dalam masa itu, saya berpeluang bekerja di luar negara, menimba ilmu serta pengalaman teknikal mahupun organisasi, untuk kemudian di bawa pulang demi memajukan negara bangsa. Segala peluang serta kejayaan ini bertitik-tolak dari perjuangan UMNO, dan saya bersyukur atas pengorbanan pemimpin-pemimpin Melayu yang berjasa terhadap kami generasi muda.
 
Namun, sejak kebelakangan ini, telah tertimbul rintihan pada peringkat akar-umbi parti, terutama sekali pada golongan muda, yang UMNO terlihat seperti tidak dapat lagi menjaga kebajikan mereka. Segala usaha serta dasar kerajaan yang baik dilancarkan, tetapi kurang mengena sasaran, dan ini menimbulkan kerunsingan. Rintihan akar umbi Pemuda juga timbul tentang sentuhan kepimpinan yang dikatakan tak cukup kerap sampai ke bawah. Dan lebih parah lagi, ada orang muda yang kini menuduh Pemuda sebagai tidak lagi mendesak, tidak lagi menjulang obor perjuangan Agenda Melayu.
 
Oleh itu, memandangkan rintihan kawan-kawan, jiran-jiran serta penyokong tentang perlunya perubahan kepimpinan Pemuda, saya dan keluarga saya telah mengambil keputusan mengorbankan kerjaya saya untuk menawarkan diri, dengan rendah diri, sebagai calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Agenda yang akan saya bawa insya Allah sekiranya terpilih sebagai Ketua Pemuda yang baru adalah menghidupkan kembali agenda perjuangan Melayu yang seharusnya menjadi tanggungjawab Pemuda UMNO. Oleh itulah, laungan Pemuda haruslah tidak lain dari HIDUP MELAYU!
 
Terima Kasih. Saya membuka majlis kepada soalan...
 
Ikhlas dari Calon Anda, Akhramsyah Sanusi

Sunday, September 15, 2013

Salam Hari Malaysia: Pemimpin Harapanku

Blogger ini agak terkejut apabila penulisan tentang niat bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia semalam mencetuskan perbincangan rancak di Media Sosial Malaysia sehingga melonjak ke Media Arus Perdana. Syukur alhamdulillah, niat saya agar perbincangan demi menempatkan Pemuda  UMNO sekali lagi sebagai penggerak agenda Melayu sudah bermula. Ini memperteguhkan lagi niat untuk menjadi calon pemilihan Ketua Pemuda.
 
Semalam saya telah mengunjung ke Pasir Salak untuk menyertai program Ambang Hari Malaysia yang dimajukan oleh teman akrab saya, penyandang gelaran Juara Sajak Patriotik Gapena sekarang, saudara Azmi Ismail. Berikut sajak yang saya sampaikan...
 
Pemimpin Harapanku
 
Pemimpin,
Padamu Ku Amanahkan Masa Depan Negara Bangsa,
 
Tak Ku Peduli Warna Kulit Mu,
Asal Melayu Di Jiwa,
Asal Malaysia Di Hati,
Bukan Sekadar Manggis dan Pisang,
Yang Gelap dan Kuning Di Luar,
Tetapi Putih Penjajah Di Dalam...
 
Tak Ku Peduli Tubuh Mu,
Kurus, Gemuk atau Sasa,
Asal Tubuh Mu Sedia Berdiri,
Menahan Bedil dan Peluru,
Menahan Dari Tertimpa Anak Cucu Waris Ku...
 
Tak Ku Peduli Asal Mu,
Miskin, Kaya, Bangsawan Atau Jelata,
Asal Yang Makmur Rakyat Semua,
Bukan Yang Rakus-Rakus Di Sisi Mu Sahaja...
 
Tak Ku Peduli Ilmu Mu Dari Mana,
Biar Pondok,
Mahupun Dari Menara Gading Nun Jauh Di Sana Datangnya,
Asalkan Minda Mu Diperah Untuk Kesejahteraan Kita Semua,
Bukan Ilmu Menjadi Selendang Riak Semata-Mata...
 
Ku Ingin Pemimpin...
Yang Mendengar Apabila Ku Merintih,
Ku Ingin Pemimpin...
Yang Lantang Bila Diri Ku Terkedu,
Ku Impikan Pemimpin...
Yang Tegak Benar Di Lautan Kepalsuan,
Ku Rindukan Pemimpin...
Yang Berjuang Untuk Ku Mati-Matian!
 
Pemimpin,
Pada Mu Terpikul Harapan Negara Bangsa,
Jangan Kau Sia-Siakan Amanah Ini,
 
Untuk Ku, Untuk Mu,
Ku Mahu Pemimpin Bangun!
Ku Mahu Pemimpin Gagah Ke Hadapan!
Ku Mahu Pemimpin Ikhlas, Berani,
Sedia Mengabdikan Diri
Demi Memimpin Ku Ke Malaysia Jaya...
 
Ikhlas Nukilan,
Akhramsyah Sanusi
Pasir Salak, 15 September 2013
 
Calon Anda...
 

Saturday, September 14, 2013

Apakah Di Sebalik Niat Blogger Ini Bertanding Jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia?

Beberapa blog serta halaman media sosial lain telah mula memberi komen tentang kemungkinan Blogger ini bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada pemilihan ini. Banyak persoalan dan andaian timbul tentang niat, taktik serta kemungkinan pencapaian saya apabila berentap dengan Ketua Pemuda yang bukan sekadar mempertahankan kedudukannya, tetapi juga sedang menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan.
 
Blogger ini tak akan dapat menjawab semua persoalan ini dalam satu posting sahaja, namun, bersedia untuk memulakan perbincangan tentang pertandingan ini dengan mengesahkan bahawa pada masa ini, memang menjadi niat saya untuk bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Insya Allah, blogger ini akan melakukan deklarasi rasmi tidak lama lagi, tetapi ingin saya berkongsi niat di sini dahulu demi menghormati warga sosial media yang mula menimbulkan persoalan ini secara serius.
 
Persoalan asas kita sebagai orang Melayu yang beragama Islam apabila membuat sesuatu adalah, apakah niat di sebalik perbuatan tersebut. Maka di sini, ingin blogger ini mengakui yang niat bertanding ke jawatan ini adalah kerana saya ingin mengabdikan diri, BERGANDING BERSAMA kawan-kawan, untuk MENGEMBALIKAN KEGEMILANGAN ke PERGERAKKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA berlandaskan nilai-nilai keIKHLASan dalam PERJUANGAN serta BERSATU dalam meLAKSANAKAN AGENDA MELAYU.
 
Pengupasan Niat serta Agenda akan diteruskan dalam perbincangan. Blogger ini berharap kawan-kawan Pemuda UMNO mahupun sahabat-sahabat serta bekas Pemuda UMNO di ruang Media Sosial sudi menyertai perbincangan membentuk wadah baru Pemuda UMNO Malaysia yang dirasakan perlu dibawa oleh saya sekiranya berjaya merebut jawatan Ketua Pemuda tersebut.
 
Agenda Pemuda UMNO pimpinan saya bukanlah agenda saya sendiri, tetapi haruslah membawa harapan seluruh masyarakat Melayu amnya, dan kesemua warga muda UMNO khususnya.
 
Ikhlas dari calon anda... Akhramsyah Sanusi

Friday, September 04, 2009

Bagan Pinang Peluang Keemasan Barisan Nasional Membuktikan Transformasi

Pilihanraya Kecil ke-9 akan diadakan di Bagan Pinang, Port Dickson, berikutan meninggalnya ADUN mukim tersebut, YB Azman Mat Nor. Bagan Pinang merupakan kubu UMNO. Sebelum ini, PRK-PRK diadakan di kawasan-kawasan yang kalaupun dahulunya kubu, akibat perjalanan masa, sejarah dan pola kepedudukan, telahpun bertukar menjadi lubuk Pakatan, seperti Parlimen Gopeng serta kerusi-kerusi wakil rakyat sekitar Permatang Pauh.

Soalnya, adakah UMNO dan BN mampu memilih calon sesuai untuk bertanding di DUN tersebut? Pilihan calonlah amnya kelemahan terbesar UMNO sejak PRU-12 lagi. Di 3 dari 8 PRK sebelum ini, faktor kelemahan calonlah menjadi punca kekalahan, terutama sekali di Kuala Terengganu dan Permatang Pasir. Pada satu-satunya PRK di mana UMNO hampir menang, calon dipilih tepat, malangnya terkena tempias kebencian terhadap Ketuanya yang merupakan ikon korupsi.

Di Bagan Pinang, sudah ada 2 calon, anak-beranak(!) yang sedia sesuai untuk diketengahkan. Kedua-duanya mempunyai ketokohan, kebolehan dan latar-belakang menarik lagi tidak memalukan. Yang bapa mempunyai sejarah curahan jasa kepada masyarakat setempat. Yang anak pula profesional berjaya, petah berbicara baik lantang di pentas mahupun berbisik seberang meja dan sudah mula membela sebagai Naib Ketua Pemuda.

Tan Sri Isa Samad, sang bapa, kini pasti dibibir para pemimpin UMNO sebagai calon paling tepat, memandangkan beliau bukan sahaja sekadar Ketua Bahagian Teluk Kemang di mana terletaknya Bagan Pinang, malah pernah menjadi MB Negeri Sembilan seketika dahulu. Sang anak, Mohd Najib bin TS Isa, juga bukan calang-calang orangnya, lucu, peramah dan tak kurang ketokohan sehingga berdiri sebagai calon ulung Pemuda UMNO Negeri Sembilan ke pemilihan exco Pemuda.

Tan Sri Isa Samad di majlis kepimpinan bersama Datuk Puad Zakarshi, Datuk Mukhriz Mahathir dan Ayah (Tan Sri Sanusi Junid - di luar gambar) menjelang pemilihan UMNO 2008

Menarik sekali, kedua-dua anak-bapa ini juga pernah menjadi mangsa percaturan politik seorang ikon politik durjana yang terkemuka dari Rembau. Punyalah bimbang si durjana tersebut akan 'persaingan' dari sang bapa untuk menjadi Perdana Menteri, sehinggakan TS Isa dimalukan oleh Lembaga Disiplin UMNO kongkongan rejim Pak Lah dan digantung keahliannya. Si anak pula dimatikan harapan menangnya pada pemilihan Pemuda UMNO baru-baru ini.

Akan tetapi, sejarah kemelut UMNO ini tidak menjejaskan, malah meningkatkan lagi daya tarik calon-calon berdua kepada pengundi. Bukan sahaja anak tempatan yang disegani, tetapi jauh dari berkait dengan anasir-anasir negatif dalam UMNO, mereka malah dimusuhi dan pernah dimangsai ikon-ikon korupsi yang dibenci rakyat tersebut! Kalaupun ada calon lain yang leih baik dari dua ini untuk UMNO, diharap diketengahkan, tetapi tak mungkin ada yang jelas musuh ikon korupsi!

Soalnya sekarang, sang bapa atau anakkah akan dipilih untuk tampil ke hadapan? Lazimnya dalam UMNO, selagi sang bapa berumur politik, sang anak puas berlegar di tepi pentas, bersedia tetapi tak gopoh untuk ke arena kuasa. Oleh itu, kemungkinan besar TS Isalah bakal dipilih di antara mereka berdua. Namun, memandangkan TS Isa sudah ke peringkat Parlimen sekaligus memegang kedudukan Naib Presiden UMNO sebelum ini, mahukah beliau kembali ke Negeri?

Dalam senario beginilah, mungkin pintu akan dibuka untuk sang anak, Mohamad Najib, menampilkan diri sebagai calon. Umur politik sang bapa mungkin masih ada, tetapi di tahap yang berbeza. Penampilan Najib juga akan memberi kesempatan untuk UMNO menunjukkan bahawa ia juga dipelopori pemuda yang berwibawa, profesional, berkebolehan dan walaupun anak pemimpin, tidak gemuk rasuah serta hidup-mati di riba kuasa orang tuanya semata-mata.

Kita berentap kembali di Bagan Pinang... insya'Allah...

Thursday, July 02, 2009

Antara Ketua Pengawas Dan Pemangku Ketua Pemuda - Bhgn II

Saya pernah menulis bagaimana konflik kian mekar di Pemuda UMNO antara 'Ketua Pengawas'nya, YB Khairy Jamaluddin atau KJ dengan 'Pemangku' Ketua Pemuda, YB Dato' Razali Ibrahim. Kini pertembungan antara kedua-dua pemimpin ini pasti meruncing hasil 'pengiktirafan' PAS bahawa Dato' Razalilah pemimpin Pemuda yang lebih sesuai berinteraksi dengan Ketua Pemuda Pas, Nasharuddin Hassan Tantawi.

Ini jelas apabila Razali dan Nasharuddin bersama-sama terlihat berusaha menghidupkan lagi muafakat demi perpaduan Melayu menerusi cadangan "wacana" antara Pergerakan Pemuda kedua-dua parti yang merupakan usaha terkini PAS untuk merapati jurang persefahaman dengan UMNO. KJ tak nampak pun...

Tiba-tiba... terbit pula KJ dengan sidang akhbarnya sendiri tentang usaha tersebut! Wah, sang Ketua Pengawas boleh pula mencadangkan yang perbincangan tidak patut 'dihadkan' kepada hal Islam dan perpaduan Melayu sahaja, tetapi isu-isu semasa juga! WOI! Orang Melayu bimbang tentang hal ni! Tau la sdr KJ minat 'isu-isu semasa', tapi biarla kita FOKUS tentang yang penting untuk orang Melayu, bukan sekadar isu diminat KJ! Dahlah lepas KJ SIBUK PULAK NAK JEMPUT PEMUDA BN LAIN JOIN SAMA! SABOTAJ KE?

Hari ini, Karpal Singh memberi sebab kenapa KJ tidak layak menjadi pemimpin Pemuda dalam perbincangan serius seumpama diterajui YB Dato' Razali dan Nasharuddin... Karpal tempik yang KJ "KORUPSI!" dalam Parlimen! Malang bagi UMNO yang kali ini Karpal di buang Dewan kerana menyatakan yang benar dipersetujui oleh Lembaga Disiplin UMNO sendiri...

Sunday, June 28, 2009

Kegusaran Terhadap Pindaan Perlembagaan UMNO

Pemuda UMNO Cawangan Bendang Baru yang diketuai penulis baru selesai mesyuarat tahunan pada hari Sabtu lepas. Ketua Pemuda Bahagian, saudara Norsaidi Nanyan berbesar hati menghadiri majlis dan sudi memberi sepatah-dua kata sebagai ucapan penangguhan mesyuarat.

Mesyuarat tahun ini agak santai kerana tiada pemilihan dan kami bersyukur dapat juga cukup kuorum untuk bermesyuarat! Namun yang mengecewakan adalah, mesyuarat tidaklah seharusnya sesantai ini, kerana bukan sahaja kita dalam usaha merebut kembali negeri Kedah dengan mempertahankan kedudukan BN di Langkawi, tetapi tahun ini Mesyuarat Agung UMNO akan meminda perlembagaan!

Tetapi kita di cawangan pun sebenarnya tertanya-tanya, kalau betul perlembagaan nak dipinda, mana dia usul yang nak dibawa untuk meminda? Kenapa tak dibawa ke mesyuarat cawangan untuk dibincang? Atau mungkinkah prosesnya hanya beberapa cawangan atau bahagian sahaja diberikan kepercayaan untuk berdebat dan berbincang tentang pindaan perlembagaan?

Proses apa pun hendak diambil untuk meminda perlembagaan UMNO, yang menimbulkan kegusaran penulis dan ramai ahli UMNO lain adalah bagaimana sesetengah cadangan pindaan diketahui ahli melalui akhbar! Contohnya, saya mendapat tahu yang ada cadangan melanjutkan usia 'Pemuda' ke 45 tahun. Dahlah cadangannya kita tak suka - tapi tak apa, kita buat usul mengekalkan umur Pemuda kat 40 - tapi kenapa tak dihebahkan khusus kepada ahli dulu?

Pindaan perlembagaan bukan hal remeh, tetapi satu proses seakan pembedahan organ yang rumit ke atas badan organisasi UMNO. Untuk memastikan pembedahan berjalan dengan lancar, segala kegusaran anggota yang mungkin menyebabkan halangan mahupun kegagalan haruslah ditangani dengan berhemah. Berhemah kerana kalau tidak, anggota yang tak diubat awal mungkin bernanah atau menjadi kanser padahal pembedahan difikirkan berjaya.

UMNO bukannya organisasi yang berdasarkan retorik semata-mata seperti PKR, di mana tak relevan yang ahlinya kini boleh mengundi pemimpin pusat, sebab DS Anwar Ibrahim yang bukan ahli pun lebih berkuasa sebagai 'penasihat'. UMNO bukan PAS di mana 'Mursyidul Am' tak diundi lebih berkuasa dari Presiden yang diundi. UMNO bukan (lagi?) parti milik Bapa-Anak/Menantu seperti DAP. UMNO parti yang pada dasarnya masih demokratik, maka haruslah diubat dengan betul.

Janganlah usaha pindaan perlembagaan ini menjadi suatu lagi peluang untuk pemimpin menunjuk gah. Janganlah pandai-pandai nak pinda perlembagaan di luar lingkungan memperkukuhkan amalan demokrasi dan mengelakkan dari gejala RASUAH dari terus menular di dalam parti. Janganlah kecualikan ahli pada mana-mana peringkat sekalipun untuk memberi maklum-balas mahupun ide tentang pindaan tersebut.

Dari usaha mempertuakan Pemuda dan cadangan seperti menaikkan kuorum untuk mesyuarat tahunan yang bakal membunuh Cawangan pada tahun bukan pemilihan, kenapa tidak pertimbangkan:
  1. Penggunaan semula perkataan RASUAH dalam semua perbincangan parti tentang 'Politik Wang'. Dah RASUAH tu cakap aje RASUAH! Kata nak benteras, tetapi kemudian maniskan pula namanya. Shakespeare menulis lebih kurang,"Bunga Ros dengan nama apapun tetap harum baunya". Maka RASUAH pun sama busuk perlakunya betapa dirempah namanya sekalipun!

  2. Pembatalan semua hukuman 'amaran' kepada ahli yang didapati bersalah mengamalkan RASUAH oleh Lembaga Disiplin. Kalau dah RASUAH tu, GANTUNG TERUS!!! Apa amaran-amaran lagi, BUAT MALU AJE! Tengoklah budak yang menang lepas kena hukum 'amaran' aje lepas buat RASUAH... sekarang bila ada PRK aje, dialah jadi MASALAH!

  3. Memberi jalan-cara jelas bagaimana menangani situasi apabila ahli didapati bersalah RASUAH di luar. Contohnya, sekiranya ahli dihukum kerana RASUAH selepas tangkapan bukan sahaja SPRM, tetapi Pesuruhjaya Sekuriti dan mana-mana pihak yang bersabit. Sebaiknya kalau diluar dah dihukum sebab RASUAH, secara serta-mertalah Lembaga Disiplin hukum untuk RASUAH dalam parti!

  4. Serta-merta melucutkan apa-apa jawatan parti dan menggantung hak ahli memegang jawatan sepanjang menjalani hukuman penjara atau apa-apa pergantungan di luar (bankrap atau tak layak menjadi pengarah syarikat) kerana didapati bersalah kerana RASUAH.

  5. Tetapi dalam meminda perlembagaan dan undang-undang kecil parti seperti di atas untuk membenteras RASUAH, kenalah disediakan peraturan jelas tentang duit minyak (had bayaran sepanjang kempen, kelayakan menerima, dsb), mengadakan keraian atau majlis semasa kempen, sumbangan kepada program semasa kempen dan sebagainya.

  6. Best juga kalau perlembagaan memberi hak mutlak berkempen kepada mana-mana ahli dalam pertandingan dalam parti. Ini masa kempen dalam parti tak boleh buat ceramahlah, tak boleh ada majlislah, mengarut aje. Parti politik apa macam ni?

OK, melalut sikit bab-bab akhir... tapi kalau simpan aje nanti nanah bang...

Thursday, May 28, 2009

Antara Ketua Pengawas Dan Pemangku Ketua Pemuda

Saya mendapat tahu yang Khairy Jamaluddin ada gelaran baru sekarang... 'Ketua Pengawas'. KETUA PENGAWAS? HAHAHAHAHAHA....

Apabila saya diberitahu oleh seorang yang rapat dengan pergolakan dalaman exco Pemuda, dikatakan gelaran ini diberikan oleh sesetengah exco setelah menerima surat pekeliling dari pejabat KJ menyatakan perlantikan Timbalan Ketua Sekretariat atau Biro Pemuda UMNO haruslah mendapat 'persetujuan' Ketua Pemuda. Ini menimbulkan kegusaran ramai ahli exco, terutama sekali yang menang pertandingan tempohari, kerana:
  1. Ahli exco yang memang bukan kem KJ tak sukalah kalau ada machai KJ hendak dilantik untuk menjadi 'spy' di biro mereka pula. Inilah disyaki akan berlaku dengan adanya syarat 'persetujuan'nya dalam perlantikan Timbalan mereka.

  2. Ahli exco ada juga sangsi ini cara untuk sama ada memastikan segala publisiti kerja baik mereka diraih tempiasnya oleh KJ ataupun mungkin lebih buruk lagi... mempermudahkan sabotaj dijalankan terhadap program-program!

  3. Sebagai ahli politik, ahli-ahli exco tersebut juga mengharapkan dapat meraih sokongan melalui lantikan-lantikan tersebut... tetapi kalau ini di bawah 'persetujuan' KJ... ada la yang bakal tumpang tempias pula! (Dah la KJ ada sejarah memberi gambaran kepada para lantikan Pak Lah dahulu kononnya beliau terlibat dalam pilihan bapa mertuanya tersebut... dia belajar dari Anwar Ibrahim la tu!)

  4. Ahli exco yang geng KJ pula merasakan seperti KJ tidak mempercayai mereka!

Nescaya tindakan kurang bijaksana KJ ini semakin melemahkan kedudukan beliau. Walau dilihat masih ada Pemuda UMNO yang cuba memperbaiki keadaan sama ada dengan memberi maklum-balas kepada KJ dalam majlis mahupun sewaktu perjalanan mesyuarat exco, biro, dsb, tindak-tanduk YB Dato' Razali Ibrahim, yakni 'Pemangku' Ketua Pemuda UMNO, tidak membantu.

Dato' Razali sering digambarkan sebagai 'gentleman' yang tidak hidung tinggi terhadap perwakilan Pemuda walaupun sudah selesai pertandingan mahupun kini berjawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Ahli-ahli exco yang dirujuk juga menceritakan bagaimana Dato' Razali tetap memberi muka kepada KJ si Ketua Pengawas, walaupun beliau kini semakin mampir rasmi Pemangku Ketua Pemuda. Kematangan yang digambarkan Dato' Razali inilah kini mengancam kedudukan KJ.

Sudah pasti ada ketegangan di antara kedua-dua individu tersebut. Namun penulis diyakinkan ini bukanlah disebabkan oleh Dato' Razali.

Ada yang mungkin bertanya, kenapa penulis masih menulis demikian tentang KJ. Sebabnya adalah Pemuda UMNO memerlukan sinar, harapan, akan adanya jalan keluar dari kegelapan era rejim KJ memimpin Pemuda UMNO. Memang ada. Malah, hasil tindakan Ketua Pengawas di atas, semakin ramai exco Pemuda kini merancang program tanpa merujuk... malah sudah ada yang sama sekali tidak mempedulikan beliau! Nasib baiklah juga ada Pemangku Ketua Pemuda...

Saturday, May 02, 2009

Events Take A Turn For The Worse In Pemuda UMNO...?

Many things have been happening with my life, such as covering for my boss when he was away, negotiating 2 Suppy Contracts, getting stuck into some re-org input then going with the family to an 'away day' in Terengganu to boot (I'm still here!). And all this whilst still recovering from my slipped disc and suffering from a computer glitch that stops me from going on line at home!

Nevertheless, I was compelled to comment on the following development. Fyi, many Pemuda UMNO members were waiting for the announcement of this exco as a sign of KJ changing for the better, with a few moves to perhaps bridge the on-going disunity in the wake of his 'unlikely' 'win' as Ketua Pemuda. The announcement of the Ketua-Ketua Pemuda Negeri and the Exco Lantikan was hence critically viewed by many.

No one expects KJ not to appoint those most likely to be loyal to him. Indeed, I cannot fault the appointment of Sdr Maslin Sham as KP Perak and the appointment of Sdr Abu Jimi as KP Pahang is a nice surprise. Some were no brainers of course, with Dato' Rozabil being Treasurer and Sdr Areef being a Pemangku only, of course Sdr Mohsin was chosen as KP Perlis, despite his fierce independence during the contest.

However, there was clear disappointment with a couple of the Exco Lantikan and Ketua Pemuda Negeri choices, as they were seen as divisive and lacking tact that would otherwise be needed to re-unite the party. There also seemed to be awkward choices... for instance, why was Sdr Mohd Faizal Ramli made Exco Lantikan to represent Negeri Sembilan, which has no Exco members, when he was earlier dropped from being a YB? (Whilst this was then under KJ's influence?!)

There may not have been many choices, as for instance, many approached by KJ may well have said a flat no. Some who were 'tested' were happy to be invited so they could say 'NO!' loudly. (Hmmm... wonder why I know?) Nevertheless, those in the Klang Valley certainly and many other states ... too many other states ... will continue to grimance.

In any case, at least KJ's 'network' is more transparent now. Question then would be, would they survive his coming removal as Ketua Pemuda? Jeng, jeng, jeng...

OK... gotta get back to the wife now... ta! ;-)

Tuesday, March 31, 2009

Menanti Hero Melayu Baru Di Bukit Selambau...

Saya menerima pelbagai jemputan menarik untuk terlibat di PRK Bukit Selambau. Dua hari lepas, ada kawan mengajak saya ikut ke Bukit Selambau pada hari Jumaat ini. Masalahnya, mereka di antara ahli yang keluar dari UMNO bersama Tun Dr M dahulu dan amnya menyokong calon 'Parti Talipon', yakni bekas Ketua Cawangan di UMNO Bahagian Merbok, Mejar (Bersara) Anuar.

Hari ini saya menerima sms menarik juga:
Para Pemuda Akar Umbi yang amat-amat sayangkan Dato' Mukhriz. Esok 2/4/2009 Khamis, DMM akan melawat bilik gerakan BN di Bukit Selambau pada jam 2 ptg. Jom turun beramai-ramai untuk beri support!

Nampak gaya, kalah tak kalah, Dato' Mukhriz masih kekal sebagai hero yang berpaut dihati akar-umbi Pemuda UMNO di Kedah... walaupun diberitakan ramai perwakilan Kedah lari memangkah calon KP lain!

Untuk melengkapkan lagi alunan cerita hari ini, ada pemimpin tertinggi UMNO yang baru menang kedudukan baru-baru ini sedang disiasat Lembaga Disiplin. Yang menariknya, nama KJ terbit sekali lagi! Memandangkan beliau sudah pun didapati salah sekali dan sudah pun diberi 'amaran'... Adakah KJ ada rencana untuk meng-hero di Bukit Selambau, sekaligus mengancam kekalahan BN?

Akhir kata, mungkinkah sempat Dato' Razali Ibrahim tiba ke Bukit Selambau untuk diraikan dalam kempen sebagai Pemangku Ketua Pemuda UMNO baru? Wallahualam...

Sunday, March 29, 2009

Kita Kalah Pemilihan Pemuda...

Kita kalah pemilihan Pemuda tempohari. Dibilang 'kita' yang kalah kerana saya tidaklah kalah keseorangan. Kalaupun saya sendiri yang kalah tetapi Dato' Mukhriz Tun Mahathir dan majoriti 'papan'nya menang, saya mungkin masih menganggap 'kita' menang. Kalaupun Datuk Seri Khir Toyo dan majoriti 'papan'nya menang, saya boleh mengatakan 'kami' kalah, tetapi 'kita' menang.

Malangnya, YB Khairy Jamaluddin atau 'KJ' dan majoriti 'papan'nya menang, maka kita Pemuda UMNO kalah. Jelasnya kalah Pemuda apabila:
  • Kita Pemuda UMNO diherdik secara langsung oleh para perwakilan induk sebagai pengkhianat kerana melanggar saranan Datuk Seri Najib untuk Berani Berubah.

  • Pemuda juga harus malu yang pilihan ~38% dari kita, KJ, di-'boo' oleh perwakilan induk, orang-orang tua kita, setiap kali namanya sahaja disebut.

  • Kita Pemuda juga kalah apabila ditanya orang kampung bertubi-tubi kenapa harus KJ dipilih apabila akar-umbi lebih gemar yang lagi dua, apatah lagi rakyat tertarik dengan Dato' Mukhriz.

  • KJ sendiri harus ditanya kenapa kalau beliau pilihan popular majoriti Pemuda, kenapa polis harus mengiringinya kesini-sana sewaktu persidangan partinya sendiri, padahal pemimpin lebih tinggi darinya selamba berlegar di Riverside bersama Perwakilan.

APAKAH YANG BERLAKU PADA HARI-HARI TERAKHIR PEMILIHAN?

Satu buku telah diterbitkan sejurus sebelum pemilihan Pemuda, bukan Tuah dan Sial tetapi positif untuk KJ, yang menunjukkan beliau bakal menang. Kebanyakan perwakilan Pemuda tidaklah memandang serius kandungan buku tersebut, kerana berdasarkan pecahan sokongan antara 3 calon Ketua Pemuda yang dipaparkan bagi negeri mereka sendiri, ramai dapat melihat ramalan buku tersebut tidak tepat, malah lebih bersifat dakyah.

Namun, KJ menang dengan nisbah yang seumpama ramalan buku tersebut. Setelah berehat sepanjang hujung minggu selepas kekalahan kita, saya mula menganalisa kejadian sepanjang hari-hari terakhir pertandingan. Hasil pemantauan tersebut, saya menyedari yang buku tersebut merupakan sebahagian dari 'forward defence' atau hujah mempertahankan kemenangan mengejut KJ.

Buat pengetahuan mereka yang berminat tetapi tidak terlibat:

  1. Pada minggu terakhir pertandingan, jelas kepada semua perwakilan yang perlumbaan ke jawatan Ketua Pemuda hanyalah antara Dato' Mukhriz dan Datuk Seri Khir Toyo. Dianggar kedua-duanya ada undi jitu sekitar 200+ dari kubu-kubu yang tegar, manakala tugu KJ di Perak dan Kelantan sudah pun pecah, di mana undi jitu beliau hanya sekadar 100+. Namun, perebutan undi masih rancak untuk sekitar 200 undi yang masih 'liar'.

  2. Selesai ucapan DS Najib yang terlihat menyokong Dato' Mukhriz dengan menyebut slogan Berani Berubah pada perasmian mesyuarat Wanita, Pemuda dan Puteri, kem DS Khir kelihatan bersedia untuk aktiviti 'malam akhir', tetapi keesokan harinya, para pengikutnya kelihatan sedia bersantai dengan geng Mukhriz sambil tersenyum-tawa, sedia menerima kekalahan.

  3. Pengiraan undi Pemuda tergendala selama 4 jam hasil bantahan wakil-wakil calon kerana pada hemah mereka, kertas-kertas undi serta pengira undi yang terdiri dari para pelajar UITM terletak terlalu jauh untuk dipantau. Pengiraan undi hanya bermula pada jam 6.30 petang. Pengiraan undi dikatakan diulang paling kurang 4 kali!

  4. Berita 'kemenangan' KJ dan Dato' Seri Shahrizat Jalil mula diterbitkan oleh Malaysiakini sekitar masa pengiraan undi untuk Pemuda bermula. Saya pada mulanya menganggap ini sebagai dakyah pembangkang, tetapi kini merumuskan ini sebahagian dari 'forward defence' KJ lagi. Semua yang hadir di PWTC tahu yang DS Shahrizat bakal menang maka menggandingkan ini dengan 'kemenangan' KJ membawa 'mengesahkan berita' tersebut.

  5. Berita awal dari bilik pengiraan undi menyatakan Dato' Mukhriz menang, dan beliau memasuki dewan sekitar jam 9 malam. Namun keputusan rasmi masih belum diterbitkan. Sekitar jam 11 malam, KJ tiba dan keputusan kemenangan beliau, bersama dengan gandingan exco yang tak diduga, diumumkan. Majoriti perwakilan ternganga, baik di dalam dan di luar dewan.

BAGAIMANAKAH KJ BOLEH MENANG?

Punca kemenangan KJ adalah ~200 undi 'liar' atau yang 'belum dikunci' menjelang hari mengundi. Dari segi mathematik, undi tersebut memang cukup untuk memastikan kemenangan KJ asalkan ia dikunci dengan baik. Namun, dengan berselendangkan bau kekalahan, tak mungkin KJ dapat meraih undi tersebut kecuali dengan 'pemangkin' yang baik. Ye lah, ada yang panggil 'garam', ada juga menyebut 'barang', tapi saya katakan 'mangkin' di sini untuk mengelak tuduhan...

Pada masa ini, ada 2 tuduhan yang dilemparkan ke arah KJ dan sekutunya, yakni:

  1. Berlaku salah-laku pengiraan undi exco Pemuda, yang sekiranya terbukti, akan menimbulkan tanda-tanya juga terhadap kesahihan kemenangan KJ.

  2. KJ membeli undi pada malam terakhir, sekitar RM10k-20k, dan pengagihan sebenarnya bermula pada malam sebelumnya. SPRM dihalang bertindak kerana dikatakan pengagihan dilakukan juga DI SERI PERDANA!

NAMUN, PADA HEMAH SAYA, INI SEMUA TIDAK PENTING...

Saya tidak terlibat dalam mana-mana usaha ini. Ini kerana saya merasakan usaha ini tidaklah penting dari konteks ketentuan nilai di dalam Pemuda UMNO sekarang.

Pendek kata, apakah pentingnya sama ada KJ menang kerana salah-laku pengiraan undi ataupun rasuah. Malah, jika KJ menang tanpa muslihat sekalipun, apakah nilai yang dipegang perwakilan yang sedia memilih seorang pemimpin yang bukan sekadar belum matang tetapi membawa hina dengan cacat-cela pada perilakunya sebelum ini?! Dan sekiranya KJ syumul sekalipun, kenapakah pula kita memilih pemimpin yang terbukti ditolak oleh rakyat?

Persoalan saya yang sebelumnya, yakni 'Untuk Apa Perjuangan?', terlihat tidak terjawab oleh terlalu ramai calon dan perwakilan Pemuda tahun ini. Jika ada pun harapan pada UMNO, ia terlihat dengan keputusan majoriti kaum dewasa yang bukan sahaja memilih Timbalan Presiden serta Naib-Naib Presiden menurut lunas-lunas perjuangan yang ada nilainya.

Namun bibit-bibit keciciran nilai juga sudah mula ternampak di kalangan perwakilan induk apabila calon seperti Datuk Abdul Azeez Rahim terpilih sementara tokoh-tokoh lebih berwibawa seperti Datuk Abdul Ghani Othman dan Datuk Syed Ali Al-Habshee tidak sampai undinya ke Majlis Kerja Tertinggi. Saya yakin keciciran ini amnya berputik dari Pemuda...

PERJUANGAN BELUM SELESAI

Ternyata perjuangan kita belum selesai, tetapi setidak-tidaknya, persoalan, dialog, 'Untuk Apa Perjuangan?' sudah dimulakan. Niat saya bukan untuk popular, tetapi untuk mencelikkan mata. Walaupun saya redha dalam kekalahan, saya sedih yang KITA KALAH. Semoga kekalahan ini menjadi titik pemulaan kesedaran dan pembaharuan, kiranya tidak, sia-sialah segalanya dan mangsanya pasti zuriat Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya...

Mungkin sia-sia tidaknya pengajaran akan mula terjawab pasca aksi Pemuda di Bukit Gantang dan Bukit Selambau? Wallahualam...

Thursday, March 05, 2009

Apakah Perasaan Saudara/i Jika Dituduh Mengugut Bunuh Dan Diherdik Di Khalayak Ramai?

Bayangkanlah saudara-saudari sekelian tertuduh mengugut seseorang dengan peluru lalu dibilang 'celaka' pula. Sudah tentu akan timbul kemarahan atas orang yang menuduh, menghina, malah memfitnah tersebut? Apakah tindakan saudara/i apabila terserempak dengan penganiaya tersebut? Sudah tentu saudara/i tergerak untuk membidas kembali, setidak-tidaknya menuntut penjelasan.

Tempohari diwar-warkan berita pertembungan Ketua-Ketua Pemuda UMNO Selangor dengan YB Karpal Singh di perkarangan Parlimen. Pelbagai tuduhan kini diajukan terhadap Ketua-Ketua Pemuda tersebut, kononnya mereka 'menghalang' Karpal dari masuk dewan dan 'menimbulkan kekecohan'. Tetapi tidak ada pula yang menjelaskan apa yang berlaku dari kacamata Ketua-Ketua Pemuda tersebut.

Sebenarnya, mana-mana ahli Pemuda UMNO pun sekiranya terserempak dengan YB Karpal pasti akan menuntut penjelasan akibat penganiayaan beliau terhadap Pemuda. Tanpa soal-siasat, di pentas Dewan Parlimen mana semua sebutan suara dirakam dalam sejarah melalui 'Hansard'nya, Pemuda UMNO dituduh menghantar peluru dan digelar 'celaka' oleh Karpal. Apakah mungkin ada yang sabar kiranya Karpal di depan mata?

Ada. Ketua-Ketua Pemuda UMNO yang berdepan YB Karpal pada hari itu sebenarnya memohon penjelasan dengan penuh hormat akan kedudukan beliau sebagai seorang tua yang juga Pengerusi DAP. Mungkin ada kehangatan suasana, ya lah, Karpal baru sahaja menggelar mereka celaka dan menyelar nama dengan tuduhan menghantar peluru, siapa tak marah? Namun, dilihat juga yang mereka tidak menghalang Karpal apabila beliau mahu beredar ke Dewan.

Sebelum ada yang menuduh saya berat sebelah dan macam-macam lagi, bacalah penjelasan dari hati salah seorang Ketua Pemuda yang terlibat, Latt Sharizan Abdullah, KP PJU di sini dengan hati terbuka. Keikhlasannya terserlah apabila beliau tidak mencanang tindak-tanduk Wakil-Wakil Rakyat DAP yang kemudian menyerang Ketua-Ketua Pemuda UMNO tersebut. Yang jelas adalah:
  1. Ketua-Ketua Pemuda UMNO tersebut tidak merancang untuk berkonfrantasi dengan YB Karpal. Pertembungan berlaku secara kebetulan.

  2. Ketua-Ketua Pemuda tersebut hanya menuntut, malah memohon, penjelasan dan tidak melakukan kekasaran terhadap orang tua politik Malaysia tersebut, walaupun ada kehangatan hasil dituduh macam-macam.

  3. Ketua-Ketua Pemuda tersebut membuka jalan, memberi laluan untuk Karpal ke Dewan, walaupun beliau enggan memberi penjelasan di luar Dewan.

  4. Akhirnya, kekecohan sebenar bermula apabila Wakil-Wakil Rakyat DAP menyerbu Ketua-Ketua Pemuda UMNO tersebut pula.
Dalam penjelasannya, Latt merujuk kepada video U-Tube 8 minit yang merakamkan kejadian di laman web YB Lim Kit Siang. Ia membuktikan kejadian seperti yang dijelaskan olehnya. Yang menarik bagi saya adalah, video tersebut tidak lagi dapat dilihat di halaman pemimpin DAP tersebut, mungkin kerana ia jelas membuktikan kejadian berlaku seperti di atas?

Thursday, February 26, 2009

Terima Kasih Karpal, Ikhlas, Calon Exco No 18, Pemuda UMNO Malaysia...

Apabila saya terdengar YB Karpal Singh yang mengaku raja ('Singh is King') menyelar Pemuda UMNO kononnya 'Celaka', saya bersyukur. Ini bukan sahaja kerana ingin menyambut pahala sabar, tetapi kerana betul-betul berterima-kasih atas pengakuan yang pergerakan Pemuda, dengan barisan kepimpinan baru di kebanyakan Bahagian, telah berjaya menggasak beliau dengan begitu berkesan.

Apabila musuh mengherdik sebegitu, ternyata ia kerana kita 'membuat kerja' yang betul. Maka berdasarkan maklum-balas ikhlas dari Karpal, kita juga harus ikhlas berterima-kasih dan meneruskan lagi aktiviti mendesak serta membela agama, bangsa dan tanah air. Tak kiralah sama ada ia berlaku secara terancang ataupun secara tak sengaja seperti berlaku di Dewan Rakyat semalam.

Nampak gayanya, Karpal sekarang antara musuh yang paling banyak membantu kita. Contohnya, beliau dengan begitu berkesan sekali menyelar tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membawa budaya 'lompat-lompat' parti sejak selesai PRU-12 lagi; sampai dah makan tuan di Perak! Kemudian, Karpal berada di baris hadapan membantah tindakan Speaker DUN Perak, V. Sivakumar, menggantung Datuk Dr Zambry serta exconya dari menghadiri dewan.

Dah lah buat kerja untuk kita, sekarang Karpal memberi 'pujian' pula kepada Pemuda UMNO. Alhamdulillah... Tetapi kalau boleh YB Karpal, janganlah fitnah kami sama. Peluru 2 butir itu bukan dari Pemuda UMNO rasanya, sebab kami dah lama bilang, kalau YB atau yang sejenis dengannya mula melepasi had pantang-larang hingga menjejaskan keharmonian negara, kita ISA-kan sahaja! Buat apa susah- susah dengan peluru?!

Wednesday, January 28, 2009

Aduhai UMNO... Kawan DiLawan, Lawan DiKawan

Selesai pulang dari Perak tempohari setelah berjumpa dan bercerita dengan teman-teman Pemuda UMNO di sana, saya mengambil peluang menyampaikan khabar, salam serta berita sekitar Darul Ridwan ke Ayah. Amnya berita terhangat dan menghangatkan hati Pemuda merupakan kisah YB Nasarudin Hashim, atau 'YB Nasa', yang baru mengisytiharkan dirinya melompat ke PKR.

Lantaran saya menyampaikan berita ke Ayah, beliau melafazkan kata-kata hikmah yang pernah disebutnya berkali-kali hingga perhimpunan agung UMNO suatu masa dahulu:

Kenapakah kita begitu cepat
BerMusuh dengan Kawan dan
BerKawan dengan Musuh?

Beliau mengakui YB Nasa sebagai kawan, yang setahunya begitu setia dengan perjuangan UMNO. Sebagai kawan lama, beliau tak dapat menerima yang pautan nilai YB Nasa boleh begitu cepat luntur hingga sanggup berpindah parti semata-mata kerana kalah pertandingan UMNO, sebagai pencabar pula! Kerunsingan Ayah dapat dirasakan walau diganggang telefon bimbit saya...

Persoalannya, apakah kita Pemuda UMNO dalam kehangatan suasana terlalu lekas memburukkan nama YB Nasa dengan tuduhan 'kecewa', 'rakus' dan sebagainya. Apakah tidak mungkin yang beliau ikhlas dengan pendapatnya yang lebih mudah untuknya berkhidmat kepada pengundinya dengan menyertai PKR? Apakah yang menyebabkan beliau tidak mampu berkhidmat sebagai ADUN BN? Mungkinkah ketiadaan sumber, peruntukan atau kewangan peribadi?

Gaji kedudukan lama YB Nasa sebagai Pengerusi FELCRA lumayan bukan sahaja untuk keperluan dan kehendak keluarganya, tetapi juga dapat disalurkan sebagai derma dan bantuan peribadi untuk keperluan para pengundinya. Apakah saluran kewangan ini sudah diatur-ganti? Apakah mungkin kekeruhan hasil dari pertandingan merebut jawatan Ketua Bahagian juga tidak ditawas dengan cukup sempurna, maka menyulitkan jalan kerjanya untuk berkhidmat sebagai ADUN?

Ini harus dipantau dengan berhemah. Ternyata, kekalahan dalam pertandingan tidak semestinya menghasilkan jauh hati, dengki dan kemarahan sehingga seorang pemimpin yang sudah lama setia tiba-tiba meninggalkan parti. Seperti YB Nasa, YB Datuk Hamdi Abu Bakar, atau 'YB Hamdi', seorang lagi kawan lama Ayah dan ADUN Pengkalan Baharu, juga kalah dalam pertandingan UMNO. Malah beliau kalah dicabar setelah memimpin Bahagian Beruas selama 5 penggal.

Tetapi YB Hamdi tetap setia dengan parti. Kenapa? Apakah perbezaan keadaan YB Nasa dan YB Hamdi. Kedua-duanya orang yang sudah lama berkhidmat dengan setia untuk parti dalam pelbagai peringkat. Kedua-duanya tidak pernah menyertai kem Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam UMNO, malah merupakan seteru-seterunya di Perak. Orang-orang seperti YB Hamdi mahupun YB Nasa amnya dihormati, walaupun kalah bertanding, kerana mereka berbudi pada parti.

Saya rasa analisa yang menyatakan keperibadian YB Nasa comot dan bermotif 'pembelot' berdasarkan kepentingan diri adalah suatu pemerhatian yang cetek lantas tidak membantu UMNO menyelesaikan masalah. Apa, adakah mungkin rakyat Bota memilih YB Nasa kembali sebagai ADUN DENGAN MAJORITI YANG MENINGKAT pada masa calon-calon BN lain ditolak bulat-bulat oleh Tsunami Politik Mac 2008 jika keperibadiannya begitu comot dan rakus sekali?

Dan kini, kita melihat BN Perak diura-urakan dalam proses menarik ADUN-ADUN Pakatan Rakyat pula untuk melompat menyertai parti komponen-komponen. Apakah tidak membingungkan apabila terlihat kita bersedia berkawan dengan lawan-lawan, para musuh kita ini, untuk merebut kuasa? Padahal, kawan yang sedia ada dengan sewenang-wenangnya dimusuhi?

Apakah mungkin yang TINDAKAN YB NASA BERNIAT LEBIH MURNI, YAKNI SEBAGAI USAHA BELIAU MENCELIKKAN MATA PEMIMPIN, PENGGERAK MAHUPUN AKAR UMBI UMNO? Sudah pernah kan pemimpin UMNO meninggalkan kita untuk mencelikkan mata...

Setidak-tidaknya, tindakan YB Nasa haruslah membuka minda Pemuda UMNO, jika bukan UMNO secara amnya, yang zaman kita selesa hingga berupaya bercarik-carik berkelahi dalam pertandingan dalam parti sudah berakhir. Sudah tiba masanya kita kembali ke zaman pertandingan yang berhemah, bersopan dan tidak berdendam antara yang kalah-menang.

Kalaulah benar ura-ura Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali bersedia meletakkan jawatan Ketua Perhubungan Negeri Perak akibat kejadian ini, semestinya ada pengajaran dan iktibar yang harus ditimba. Sebelum kita anak-anak muda terlupa kata-kata hikmah orang-orang tua tentang kawan...

Maklum-Balas Awal Cadangan Pembubaran Sayap UMNO

Saya amnya lebih suka membuat komentar sendiri tentang isu, tetapi saya menerima maklumbalas awal yang cukup cantik dari Ketua Pemuda saya, saudara Nor Saidi Nanyan, tentang cadangan pembubaran sayap-sayap UMNO, termasuklah Putera, oleh YM Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen.

Komen KP Langkawi:

Pengerusi Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen, mencadangkan supaya sayap-sayap UMNO (Puteri & Putera; Pemuda & Wanita juga kah?) dihapuskan untuk membenteras politik wang.

Camana nak terbang kalau tak ada sayap? Apa punya cadangan ni? Inilah tikus yang cuba memperbaiki labu...

Isunya, adakah punca politik wang daripada sayap ataupun tanpa sayap kita bebas dari politik wang? Siapakah yang menyuburkan politik wang? Siapakah sebenarnya yang beriya menghebohkan politik wang?

Apakah sakit kepala, kaki yang menjadi mangsa?

Sudah terlalu cantik rasanya hujah KP saya ni... :-) Namun kerana ini blog saya, ingin saya tambah lagi di sini:
  1. Bukankah tugas Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen dengan Lembaga Disiplin pimpinannya untuk membenteras politik wang? Maka adakah beliau melihat kebanyakan kes datang dari sayap atau dari induk parti?

  2. Apakah pendapat Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen apabila melihat kerjanya sekarang kelihatan dikerjakan oleh MACC? Adakah ini wajar ataupun lojik? MACC di bawah bidang kuasa siapa? Mengapakah pendapat tentang ini tidak dikeluarkan dahulu? Kami ahli UMNO semua kebingungan Tan Sri...

  3. Apakah motif mediamasa yang mengeluarkan pendapat ini? Adakah ia bakal disusuli oleh tindakan ganas MACC terhadap calon-calon sayap pula? Akan bakal adilkah tindakan ini kelak?

  4. Mungkinkah ini usaha untuk memperlekehkan Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen sendiri, secara langsung melumpuhkan lagi Lembaga Disiplin selepas peranannya dirampas MACC yang dikatakan juga dipengaruhi parti pembangkang di Parlimen?

Maaf YM Tan Sri dan sanak saudara yang mungkin terkilan memandangkan bapa serta anak saling berkawan dalam UMNO mahupun NGO, tetapi walau ahli biasa, kami juga bertanggungjawab memantau, mendesak dan menegur...

Thursday, December 11, 2008

Semata-Mata Dahagakan Kemenangan, Ingin Diceraikan Terus Pemuda Dari Sejarah

Saya tengah memilih isu untuk menyambung semula penulisan di sini; memang agak susah memilih, Bukit Antarabangsa lah, Sekolah Satu Aliran lah. Tetapi tercetus pula niat di hati untuk bercerita tentang usaha memekakkan telinga Pemuda, terutama sekali Perwakilan untuk pemilihan bulan Mac ini dari mendengar pendapat orang-orang lama.

Memanglah, begitu ramai yang ingin membisukan 'orang lama' paling glamer, Tun Dr M. Kata-katanya bukan sekadar pedas untuk sesetengah pihak, tetapi juga jitu dan sedia diterima-pakai oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia, apatah lagi orang-orang UMNO. Kini, terlihat usaha membisukan 'orang lama' lain, baik yang sudah bersara seperti Ayahanda saya, Tan Sri Sanusi Junid mahupun yang masih segar aktif seperti Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Orang-orang lama berjasa ini diherdik dan dituduh macam-macam, semata-mata untuk menghindar dari suara mereka didengari. Namun 'penutup mulut' orang lama ini mungkin terlupa atau bertuankan mereka yang begitu dahagakan kemenangan sehingga sanggup meneruskan perceraian generasi muda Melayu dari sejarah. Perceraian inilah antara ancaman yang memincangkan pergerakan Pemuda UMNO sekarang.

Tanpa sejarah, apakah kita? Bagaimanakah Pemuda bakal mempertahankan maruah, hak dan kepentingan Melayu tanpa memahami sejarah perjuangan kita sehingga ke hari ini. Apakah harta dan kuasa mencukupi untuk memperkasakan barisan kita, jika tiada semangat waja dari kesedaran akan hak yang bersandarkan sejarah? Iman mungkin membawa kemurnian pada diri, tetapi konteks duniawi tidak harus ditinggalkan, dan ini hanya boleh wujud dengan sejarah.

Mungkinlah kelompok anti-sejarah ini cukup sedia membisukan 'orang lama' kerana mereka pun bukanlah Melayu sebenarnya. Maka pada mereka, buat apa sejarah, yang penting hanya kuasa dan harta semata-mata. Biarlah anak muda pun menidakkan suara berpengalaman dari zaman keunggulan UMNO, sebab pada mereka, biarlah temberang meleluasa, biarlah sejarah kita sampai dah nak hilang, asalkan mereka sendiri Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.

Inilah yang dikatakan 'Orang-Orang Putus Jari, Datang Membawa Minyak Tanah Dan Korek Api' dan harus 'Kita Tentang, Kita Pijak, Sampai Lumat, Kerana Ia Menyalahi Hakikat...' Wallahualam...

Monday, November 10, 2008

Rasuah...

Saya tidak terkejut mendengar Datuk Mukhriz Mahathir (DMM) dituduh rasuah oleh segelintir pemimpin UMNO hasil kejayaannya mendapat pencalonan terbanyak, tetapi ini bukan kerana Mukhriz rasuah! Apa-apa kesangsian di hati saya, ia dileraikan apabila seorang Ketua Pemuda Bahagian menceritakan tempohari,"Saya sendiri calonkan Khairy, tetapi perwakilan nak Mukhriz, nak buat apa! Satu sen Mukhriz tak belanja, 200 lebih perwakilan mengundi pencalonannya!"

Mukhriz mendapat pencalonan terbanyak kerana sokongan padu dari bawah yang mahukan beliau sebagai Ketua Pemuda, dan kadangkala ini bercanggahan dengan pendapat atau kehendak para pemimpin Pemuda bahagian. Namun kenapakah beliau begitu tertuduh walau bukti satu habuk pun tak nampak? Ini kerana:

  1. Mukhriz sendiri tidak menyangka para perwakilan begitu menginginkan beliau dicalonkan untuk bertanding. Beliau dan kemnya dari awal lagi menyatakan kelayakannya bertanding pasti dengan pencalonan 'cukup makan'. Kalau ini gambaran beliau akan kelemahannya, ada para pemimpin yang tertanya-tanya dari manakah datang kekuatannya secara tiba-tiba!

  2. Ada pula pemimpin UMNO yang berpendapat rasuahlah cara termudah untuk mendapat sokongan dari ahli di mana-mana peringkat, baik Cawangan, Bahagian dan Kebangsaan. Kerana itulah apabila timbulnya fenomena sokongan 'dari bawah' seperti ini untuk Mukhriz, mereka kebingungan dan cukup bersedia buruk sangka, lalu menuduh. Sebenarnya mereka harus mencermin diri dan bertanya, kenapa saya hanya mampu main duit sahaja?

  3. Kemungkinan besar kekuatan sokongan akar-umbi terhadap Mukhriz telah menggemparkan bukan sahaja saingannya untuk jawatan Ketua Pemuda, tetapi pemimpin segenerasi dengannya yang kini terasa 'terancam'. Yang merunsingkan adalah bagaimana pesaing-pesaing ini cukup sedia menggunakan fitnah sebagai senjata menangani sokongan popular Mukhriz.

Tetapi tidak mengapa. Unsur-unsur negatif politik memang harus diharungi mana-mana pemimpin dalam perjuangan, namun yang penting adalah "Qulil haq walau ka nal muran" yakni ”Berkata benar walaupun pahit”. Dan di sini ingin saya lakarkan kisah rasuah yang lebih penting diperkatakan oleh perwakilan langsung ditangani oleh setiap ahli demi mengembalikan UMNO ke perjuangan asalnya.

1993: Seorang Ketua Bahagian ditanya anak buahnya bagaimana politik dibiaya. Dibawa anak buahnya dalam Perdana sekeliling desa. Ditunjuk titi baru merentas sungai. "Komisyen 5%," katanya. Kemudian ditunjuk pula bumbung baru sekolah. "Lagi 5%". Sambil menunaikan tanggungjawab sama-sama membiayai ongkos perjuangan.

2008: Anak buah kini kaya-raya walau sekadar Naib Ketua Pemuda sahaja. Dibawa Ketua Bahagian lamanya tadi dengan helikopter berlegar di udara kota. Ditunjuknya,"Tengok Dato', Jambatan, Wisma dan Asrama baru tu?" "Mana Dato'?",tanya Ketua Bahagian kembali kerana hanya terlihat tanah merah merata-rata. "Ha, Ha, Ha! 95%! 95%! 95%!,"gelak sang Dato' muda megah tak bertempat. Geleng kepala Ketua Bahagian lama...

Kita kalah kerana rakusnya pemimpin hingga terlupa tanggungjawab kepada rakyat rupanya. Bukankah sudah tiba masa untuk BERANI BERUBAH!?

Tangential Malay Search Results