Wednesday, January 28, 2009

Aduhai UMNO... Kawan DiLawan, Lawan DiKawan

Selesai pulang dari Perak tempohari setelah berjumpa dan bercerita dengan teman-teman Pemuda UMNO di sana, saya mengambil peluang menyampaikan khabar, salam serta berita sekitar Darul Ridwan ke Ayah. Amnya berita terhangat dan menghangatkan hati Pemuda merupakan kisah YB Nasarudin Hashim, atau 'YB Nasa', yang baru mengisytiharkan dirinya melompat ke PKR.

Lantaran saya menyampaikan berita ke Ayah, beliau melafazkan kata-kata hikmah yang pernah disebutnya berkali-kali hingga perhimpunan agung UMNO suatu masa dahulu:

Kenapakah kita begitu cepat
BerMusuh dengan Kawan dan
BerKawan dengan Musuh?

Beliau mengakui YB Nasa sebagai kawan, yang setahunya begitu setia dengan perjuangan UMNO. Sebagai kawan lama, beliau tak dapat menerima yang pautan nilai YB Nasa boleh begitu cepat luntur hingga sanggup berpindah parti semata-mata kerana kalah pertandingan UMNO, sebagai pencabar pula! Kerunsingan Ayah dapat dirasakan walau diganggang telefon bimbit saya...

Persoalannya, apakah kita Pemuda UMNO dalam kehangatan suasana terlalu lekas memburukkan nama YB Nasa dengan tuduhan 'kecewa', 'rakus' dan sebagainya. Apakah tidak mungkin yang beliau ikhlas dengan pendapatnya yang lebih mudah untuknya berkhidmat kepada pengundinya dengan menyertai PKR? Apakah yang menyebabkan beliau tidak mampu berkhidmat sebagai ADUN BN? Mungkinkah ketiadaan sumber, peruntukan atau kewangan peribadi?

Gaji kedudukan lama YB Nasa sebagai Pengerusi FELCRA lumayan bukan sahaja untuk keperluan dan kehendak keluarganya, tetapi juga dapat disalurkan sebagai derma dan bantuan peribadi untuk keperluan para pengundinya. Apakah saluran kewangan ini sudah diatur-ganti? Apakah mungkin kekeruhan hasil dari pertandingan merebut jawatan Ketua Bahagian juga tidak ditawas dengan cukup sempurna, maka menyulitkan jalan kerjanya untuk berkhidmat sebagai ADUN?

Ini harus dipantau dengan berhemah. Ternyata, kekalahan dalam pertandingan tidak semestinya menghasilkan jauh hati, dengki dan kemarahan sehingga seorang pemimpin yang sudah lama setia tiba-tiba meninggalkan parti. Seperti YB Nasa, YB Datuk Hamdi Abu Bakar, atau 'YB Hamdi', seorang lagi kawan lama Ayah dan ADUN Pengkalan Baharu, juga kalah dalam pertandingan UMNO. Malah beliau kalah dicabar setelah memimpin Bahagian Beruas selama 5 penggal.

Tetapi YB Hamdi tetap setia dengan parti. Kenapa? Apakah perbezaan keadaan YB Nasa dan YB Hamdi. Kedua-duanya orang yang sudah lama berkhidmat dengan setia untuk parti dalam pelbagai peringkat. Kedua-duanya tidak pernah menyertai kem Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam UMNO, malah merupakan seteru-seterunya di Perak. Orang-orang seperti YB Hamdi mahupun YB Nasa amnya dihormati, walaupun kalah bertanding, kerana mereka berbudi pada parti.

Saya rasa analisa yang menyatakan keperibadian YB Nasa comot dan bermotif 'pembelot' berdasarkan kepentingan diri adalah suatu pemerhatian yang cetek lantas tidak membantu UMNO menyelesaikan masalah. Apa, adakah mungkin rakyat Bota memilih YB Nasa kembali sebagai ADUN DENGAN MAJORITI YANG MENINGKAT pada masa calon-calon BN lain ditolak bulat-bulat oleh Tsunami Politik Mac 2008 jika keperibadiannya begitu comot dan rakus sekali?

Dan kini, kita melihat BN Perak diura-urakan dalam proses menarik ADUN-ADUN Pakatan Rakyat pula untuk melompat menyertai parti komponen-komponen. Apakah tidak membingungkan apabila terlihat kita bersedia berkawan dengan lawan-lawan, para musuh kita ini, untuk merebut kuasa? Padahal, kawan yang sedia ada dengan sewenang-wenangnya dimusuhi?

Apakah mungkin yang TINDAKAN YB NASA BERNIAT LEBIH MURNI, YAKNI SEBAGAI USAHA BELIAU MENCELIKKAN MATA PEMIMPIN, PENGGERAK MAHUPUN AKAR UMBI UMNO? Sudah pernah kan pemimpin UMNO meninggalkan kita untuk mencelikkan mata...

Setidak-tidaknya, tindakan YB Nasa haruslah membuka minda Pemuda UMNO, jika bukan UMNO secara amnya, yang zaman kita selesa hingga berupaya bercarik-carik berkelahi dalam pertandingan dalam parti sudah berakhir. Sudah tiba masanya kita kembali ke zaman pertandingan yang berhemah, bersopan dan tidak berdendam antara yang kalah-menang.

Kalaulah benar ura-ura Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali bersedia meletakkan jawatan Ketua Perhubungan Negeri Perak akibat kejadian ini, semestinya ada pengajaran dan iktibar yang harus ditimba. Sebelum kita anak-anak muda terlupa kata-kata hikmah orang-orang tua tentang kawan...

2 comments:

Berita dari gunung said...

Saya hampir ingin bersetuju dengan anda dari sudut, Nasa mungkin terasa berat menjaga kawasan tanpa punca kewangan seperti dulu.

Saya lebih berminat melihat peranan seorang ketua jurulatih yang berusaha menjaga hati pemain-pemainya bila tewas, supaya kekecewaan segera dipulihkan. Mungkin Tajol terlupa ....

Quantum Metal Consultant said...

Politik itu satu langkah ke belakang untuk mencorak seribu langkah ke depan.

Tangential Malay Search Results