Monday, November 02, 2020

3 November Tarikh Awal Ujian Keikhlasan Dan Keupayaan Kerajaan PN: Mesyuarat Bank Negara Dan OPR

Walaupun seluruh dunia pada hari ini, 3 November 2020, menanti permulaan undian Pilihanraya Presiden di Amerika Syarikat, Rakyat Malaysia seharusnya menumpukan perhatian kepada sebuah mesyuarat penting yang hanya berlaku setiap 2 bulan di Bank Negara Malaysia. Malah pada hemah penulis, keputusan Bank Negara hari ini terhadap apa-apa perubahan kepada OPR merupakan ujian jitu pertama akan keikhlasan dan keupayaan kerajaan Perikatan Nasional.

Tidak terlalu ramai Rakyat Malaysia mungkin menyedari yang setiap 2 bulan, Kadar Pinjaman Dasar Semalaman atau Overnight Policy Rate (OPR) boleh diturunkan, dinaikkan atau dikekalkan oleh Bank Negara. Mesyuarat tersebut penting bukan sahaja untuk diperhatikan institusi-institusi kewangan dan perniagaan-perniagaan besar, tetapi memberi kesan kepada seluruh Rakyat. Ini kerana perubahan OPR ini memberi kesan kepada naik-turunnya kadar pinjaman oleh bank-bank dan semua institusi kewangan kepada seluruh Rakyat!

Maka dengan Covid19 kini melanda, sehinggakan Baginda Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong (DYMM YDPA) menitahkan perlunya Parlimen meluluskan Belanjawan 2021 yang menumpukan Kelangsungan Hidup termasuk dalam pemulihan ekonomi, penetapan OPR pada hari ini jelas sebagai ujian pertama Kerajaan PN. Ini memandangkan penurunan OPR akan memberi panduan jelas kepada semua institusi peminjam di Malaysia untuk mempertimbangkan penurunan kadar pinjaman mereka kepada semua pelanggan. Ia juga sekaligus membuka ruang untuk pinjaman baru diluluskan dengan secara teorinya memudahkan kelayakan meminjam dengan penurunan kadar bayaran balik bulanan. 

Oleh itu, sekiranya kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal mempengaruhi keputusan Bank Negara pada hari ini untuk menurunkan OPR, apakah ada keupayaan pada mereka untuk mendapatkan sokongan Parlimen untuk Belanjawan 2021? Malah pasti akan ada yang bakal mempersoalan keikhlasan Kerajaan PN dalam usaha ini, padahal kadar OPR Malaysia sekarang pada tahap 1.75% boleh dikatakan masih tinggi berbanding negara-negara lain, malah ada negara lain, terutama Negara OECD tetapi termasuk juga Singapura, yang kini mengamalkan atau diambang pengamalan kadar negatif!

Ramai yang dirujuk Penulis berpendapat yang Bank Negara sendiri bersedia menurunkan OPR, mungkin juga secara lebih mendadak, sebanyak 0.5%, namun lebih berkemungkinan sekadar 0.25% buat kali ini ke 1.5%, berdasarkan keputusan-keputusannya sejak Covid19 melanda. Namun, yang merunsingkan ramai adalah desas-desus melalui media yang bersifat acah-acah dan juga keputusan Bank Negara untuk mengekalkan kadar OPR 1.75% pada mesyuarat bulan September 2020 kerana kononnya keredaan senario Covid19 di Malaysia, padahal ekonomi, terutama kedudukan kewangan Rakyat masih parah!

Maka, adalah harapan seluruh Rakyat yang menyedari kepentingan keputusan hari ini yang OPR akan diturunkan. Malah, ia seharusnya dilihat sebagai penurunan pertama yang memulakan rentetan penurunan OPR, yang pada hemah Penulis seharusnya disasarkan ke paras 0.5% menjelang pertengahan ke akhir 2021 demi Kelangsungan Hidup Rakyat. Inilah cabaran keikhlasan dan keupayaan kerajaan Perikatan Nasional menjelang Belanjawan 2021.

Ikhlas,
Akhramsyah M U Sanusi
Ahli Ekonomi Tenaga
(Energy Economist)

No comments:

Tangential Malay Search Results