Showing posts with label TSMY. Show all posts
Showing posts with label TSMY. Show all posts

Wednesday, November 25, 2020

Bila Berkecuali Tidak Memadai: Belanjawan 2021

Penulis melihat keputusan YBM Tengku Razaleigh Hamzah, atau KuLi, untuk berkecuali dalam pengundian Belanjawan 2021 sebagai tertib beradab namun tetap mnengecewakan. Secara simboliknya, penangan tindakan berkecuali YBM memang sesuai, juga melukakan usaha kerajaan PN, tetapi ia tidaklah memadai sebagai tanda penolakkan beliau terhadap keabsahan kerajaan tersebut.

Tinjauan rambang yang dilakukan penulis bersabit harapan Rakyat terhadap tindakan Ahli-Ahli Parlimen adalah untuk memutuskan sesuatu sesuai dengan mandat mereka sebagai wakil rakyat, terutama bagi undian Belanjawan 2021. Walau ada yang melihat Titah Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong (DYMM YDPA) seolah-olah mewajibkan sokongan terhadap kerajaan, tetapi LEBIH RAMAI mahukan undian tersebut lebih mengambil kira musibah yang kini menghadapi Rakyat yang mengundi Ahli-Ahli Parliament tersebut.

Malah ada sesetengah pihak yang dahulunya bersemangat menyokong KuLi apabila YBM mula bersuara mengkritik kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) dan kemudian mencabar keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini keliru dan tertanya-tanya, bukankah mengalahkan undian Belanjawan 2021 merupakan cara paling sesuai serta segera untuk menamatkan riwayat kerajaan tersebut? Sekiranya seseorang Ahli Parlimen ikhlas membangkang dan mengkritik Belanjawan 2021 sekaligus keabsahan kerajaan PH, semestinya wajib mereka menolaknya!

Tindakan berkecuali sebagai bantahan simbolik akhirnya malah mungkin membawa kepada berjayanya Belanjawan 2021 diluluskan walaupun dengan jumlah undi kurang dari separuh Dewan Rakyat!

Ahli-Ahli Parliamen tak perlu risau pendapat Rakyat yang amnya kecewa dengan Belanjawan 2021 yang mensesiakan jumlah gergasi yang diperuntukan dengan menyalurkan kepada peluang-peluang projek besar selain perbelanjaan yang terang-terangan berunsur politik. Malah, Belanjawan 2021 juga jelas tidak berpandukan Titah DYMM YDPA yang  menekankan Kelangsungan Hidup Rakyat dan Pemulihan Ekonomi seiring dengannya! Bukan pembinaan bangunan kerajaan baru atau menghidupkan agensi politik!

Tambahan pula, sejak malam tadi, ura-ura menular yang Peruntukan Ahli-Ahli Parliamen akan ditambahkan lagi sehingga melebihi RM4 Juta bagi setiap Parlimen yang menyokong Belanjawan 2021 ini! Benarkah perkara ini? Inikah rahsia di sebalik ''peruntukan khas'' Jabatan Perdana Menteri bernilai RM 1 Ribu Juta?  Bukankah initiative sesuatu yang berbaur rasuah? Adakah yang BERKECUALI JUGA DAPAT sekiranya ia membawa kepada kelulusan Belanjawan 2021 dengan undi kurang separuh Dewan? 

Akhir kata, Belanjawan 2021 haruslah DITOLAK oleh semua Ahli Parlimen yang ikhlas menolaknya, selain mencabar keabsahan kerajaan PN pimpinan TSMY. Berkecuali buat undian ini merupakan pilihan yang menderhakai mandat Rakyat.

Monday, November 02, 2020

3 November Tarikh Awal Ujian Keikhlasan Dan Keupayaan Kerajaan PN: Mesyuarat Bank Negara Dan OPR

Walaupun seluruh dunia pada hari ini, 3 November 2020, menanti permulaan undian Pilihanraya Presiden di Amerika Syarikat, Rakyat Malaysia seharusnya menumpukan perhatian kepada sebuah mesyuarat penting yang hanya berlaku setiap 2 bulan di Bank Negara Malaysia. Malah pada hemah penulis, keputusan Bank Negara hari ini terhadap apa-apa perubahan kepada OPR merupakan ujian jitu pertama akan keikhlasan dan keupayaan kerajaan Perikatan Nasional.

Tidak terlalu ramai Rakyat Malaysia mungkin menyedari yang setiap 2 bulan, Kadar Pinjaman Dasar Semalaman atau Overnight Policy Rate (OPR) boleh diturunkan, dinaikkan atau dikekalkan oleh Bank Negara. Mesyuarat tersebut penting bukan sahaja untuk diperhatikan institusi-institusi kewangan dan perniagaan-perniagaan besar, tetapi memberi kesan kepada seluruh Rakyat. Ini kerana perubahan OPR ini memberi kesan kepada naik-turunnya kadar pinjaman oleh bank-bank dan semua institusi kewangan kepada seluruh Rakyat!

Maka dengan Covid19 kini melanda, sehinggakan Baginda Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong (DYMM YDPA) menitahkan perlunya Parlimen meluluskan Belanjawan 2021 yang menumpukan Kelangsungan Hidup termasuk dalam pemulihan ekonomi, penetapan OPR pada hari ini jelas sebagai ujian pertama Kerajaan PN. Ini memandangkan penurunan OPR akan memberi panduan jelas kepada semua institusi peminjam di Malaysia untuk mempertimbangkan penurunan kadar pinjaman mereka kepada semua pelanggan. Ia juga sekaligus membuka ruang untuk pinjaman baru diluluskan dengan secara teorinya memudahkan kelayakan meminjam dengan penurunan kadar bayaran balik bulanan. 

Oleh itu, sekiranya kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal mempengaruhi keputusan Bank Negara pada hari ini untuk menurunkan OPR, apakah ada keupayaan pada mereka untuk mendapatkan sokongan Parlimen untuk Belanjawan 2021? Malah pasti akan ada yang bakal mempersoalan keikhlasan Kerajaan PN dalam usaha ini, padahal kadar OPR Malaysia sekarang pada tahap 1.75% boleh dikatakan masih tinggi berbanding negara-negara lain, malah ada negara lain, terutama Negara OECD tetapi termasuk juga Singapura, yang kini mengamalkan atau diambang pengamalan kadar negatif!

Ramai yang dirujuk Penulis berpendapat yang Bank Negara sendiri bersedia menurunkan OPR, mungkin juga secara lebih mendadak, sebanyak 0.5%, namun lebih berkemungkinan sekadar 0.25% buat kali ini ke 1.5%, berdasarkan keputusan-keputusannya sejak Covid19 melanda. Namun, yang merunsingkan ramai adalah desas-desus melalui media yang bersifat acah-acah dan juga keputusan Bank Negara untuk mengekalkan kadar OPR 1.75% pada mesyuarat bulan September 2020 kerana kononnya keredaan senario Covid19 di Malaysia, padahal ekonomi, terutama kedudukan kewangan Rakyat masih parah!

Maka, adalah harapan seluruh Rakyat yang menyedari kepentingan keputusan hari ini yang OPR akan diturunkan. Malah, ia seharusnya dilihat sebagai penurunan pertama yang memulakan rentetan penurunan OPR, yang pada hemah Penulis seharusnya disasarkan ke paras 0.5% menjelang pertengahan ke akhir 2021 demi Kelangsungan Hidup Rakyat. Inilah cabaran keikhlasan dan keupayaan kerajaan Perikatan Nasional menjelang Belanjawan 2021.

Ikhlas,
Akhramsyah M U Sanusi
Ahli Ekonomi Tenaga
(Energy Economist)

Thursday, May 28, 2020

SUK BERSATU PATUT BERUNDUR DIRI KERANA MELAMPAUI KUASA DAN HILANG KEPERCAYAAN AHLI

Merujuk perkara di atas, warga Bersatu hari ini tercengang melihat 5 pucuk surat melucutkan keahlian 5 Ahli Parlimen Bersatu yang ditandatangani Setiausaha Kerja (SUK) Bersatu, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Bin Yahya, tular di media sosial. Sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi malah salah seorang Pengasas parti, saya ingin menegaskan bahawa surat tersebut tidak mungkin sah walaupun jika benar ia ditandatangani oleh SUK Bersatu. 

Ini kerana apabila Perlembagaan Bersatu digubal dahulu, kita para Pengasas Bersatu telah memastikan ia melindungi hak ahli, waima ahli biasa yang tak berjawatan sekalipun kerana ingin mengelakkan senario yang ditimpa parti UMNO di mana ahli boleh dipecat mengikut kehendak serta kepentingan pemimpin tertinggi seperti berlaku kepada TS Muhyiddin Yassin dan DSU Mukhriz Mahathir.

Malah, sekiranya Lembaga Disiplin Bersatu memutuskan seorang ahli Bersatu harus dipecat setelah siasatan serta perbicaraan, ia haruslah kemudian melalui proses rayuan dan keputusan muktamad masih terletak kepada Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi. Sefaham saya, Ahli-Ahli Parlimen yang dimaksudkan, yang antara lain terdiri dari Pengerusi, Timbalan Presiden dan Ketua Armada parti, belum dihantarkan surat tunjuk sebab atas apa-apa salah-laku sekalipun! MPT Bersatu pun belum bersidang sejak 24 Februari 2020, sesuai dengan larangan PKP dan PKPB.

Malangnya, jika benar surat tersebut ditandatangani oleh Kapten Suhaimi, beliau sudah bukan sahaja melampaui batas kuasanya sebagai pegawai parti, tetapi juga melanggar prinsip BerAmanah dan BerMaruah sekaligus mengancam Bersatu nya parti kita. Oleh itu, saya menyarankan Kapten Suhaimi berundur dari jawatan SUK Bersatu dengan segera memandangkan desakkan terus-menerus diterima agar beliau diberhentikan.

Mungkin ada hikmahnya Kapten Suhaimi berundur diri akhirnya dari jawatannya sebagai SUK Bersatu kerana sudah lama beliau dikhuatiri dibebani tugas-tugas lain seperti Pengerusi Badan Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan selain tanggungjawab asalnya sebagai Ketua Bahagian Bersatu Batu. Ini juga akan memberi peluang beliau menumpukan perhatian juga kepada tugas barunya sebagai Pengerusi GLC Asia Aero-Technic. 

Ikhlas,
AKHRAMSYAH MUAMMAR UBAIDAH BIN TS SANUSI
Ahli Bersatu #007
Pengasas dan Ahli MPT Bersatu

Saturday, May 09, 2020

JANGAN KERANA KUASA PERJUANGAN TERGADAI

2 Kenyataan Media baru dikeluarkan yang perlu dibalas oleh saya sebagai Pengasas dan Ahli MPT Parti Bersatu. Pengasas Bersatu tinggal 5 dari 7 yang asal, di mana salah seorang yang hilang awal dahulu pun antaranya akibat rebutan kuasa, tetapi pada masa itu, kita belum berkuasa dalam kerajaan. Kini kuasa dalam kerajaan terlihat lebih mempengaruhi tindakan, sikap dan keputusan. 

Saya kurang setuju dengan elemen-elemen kedua-dua kenyataan media Ketua Penerangan Parti Bersatu, YB Senator Dr Radzi Jidin yang kini juga Menteri Pendidikan, bertarikh 7 Mei dan 9 Mei 2020. Ramai juga penggerak asal parti menolaknya, tetapi ia disokong pula oleh penulisan saudara Wan Saiful Wan Jan sebagai MPT. Padahal ada unsur-unsur kenyataan-kenyataan Ketua Penerangan tersebut yang melanggar prinsip parti, khususnya:

1 - Hak Ahli Bersatu Bertentangan Pendapat

Perkara 5 dalam Kenyataan 7 Mei 2020 yang menidakkan hak ahli untuk ingkar dengan pendirian Parti kelihatan keterlaluan. Konteks yang diberikan sebagai contoh adalah ekstrim yakni menyokong gabungan parti politik 'lain', tetapi untuk kemudian menyatakan gugur keahlian kerana tidak setuju dengan pendirian Parti yang ditentukan oleh kepimpinan melanggar semangat penubuhan Bersatu. Bersatu diasaskan juga oleh tokoh-tokoh yang dibuang oleh UM NO kerana bertentangan pendapat dengan Presiden UM NO pada masa itu. 

Perbezaan pendapat yang ikhlas untuk kebaikkan parti seharusnya diraikan dalam Bersatu. Memandangkan MPT Bersatu tidak pernah bersetuju menyertai apatah lagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional,   kalau benar gugur keahlian mana-mana ahli yang menyertai gabungan politik yang tak diluluskan sebagai dasar parti, mengikut lojik Ketua Penerangan, kesemua ahli Bersatu yang kini menyertai kerajaan Perikatan Nasional gugur keahliannya!

2 - Bersatu Bermaruah, Bukan Berkomplot

Perkara 3 dalam Kenyataan 9 Mei 2020 pula lebih buruk lagi! Ia memberi pengakuan seolah-olah kepimpinan Parti Bersatu sudah berbulan-bulan bukan sekadar berbincang tetapi merancang untuk keluar dari Pakatan Harapan di seluruh peringkat parti! Kenapakah Ketua Penerangan akui bagi pihak kesemua kepimpinan Bersatu bersekongkol dalam usaha ini? Apa lojiknya kita berkempen bersama di PRK Tanjung Piai dan PRK Kimanis bersama komponen PH lain serta Warisan - malah saya teringat Ketua Penerangan sendiri memuji usaha DAP di Tanjung Piai dalam MPT!

Saya selaku Ahli MPT menyangkal sekeras-kerasnya yang ada satu usaha besar di semua peringkat parti untuk Bersatu menderhakai persetujuan bersama Pakatan Harapan selama berbulan lamanya sebelum kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan. Yang boleh diakui adalah adanya usaha mempertahankan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri selama beliau sedia berkhidmat, tetapi ia tidaklah terlanjur sehingga meninggalkan rakan-rakan seperjuangan PH kita yang bertungkus-lumus bersama-sama menyelamatkan Negara dari Kleptokrat pada PRU 9 Mei 2018.

Sekiranya benar ada pemimpin Bersatu yang sedia merancang untuk mencabuli perkesepakatan PH tanpa provokasi, ia adalah suatu usaha yang tidak bermaruah sekaligus melanggar prinsip tegar parti. Apabila Majlis Presiden PH bersetuju pada 21 Februari 2020 untuk menyerah kepada Tun Dr Mahathir bila masanya yang terbaik untuk beliau berundur, tiada sebab lagi untuk kita bertelagah dalam PH, malah suara-suara sumbang walaupun deras menuntut pengundurannya pun lenyap.

Kalaupun Dr Ketua Penerangan sendiri ada terlibat dalam usaha mengeluarkan Bersatu dari PH, tolonglah jangan palitkan kami yang tidak bersubahat sama dalam tindakan tak bermaruah ini. Terutama sekali, janganlah palitkan juga YAB Tan Sri Presiden kita yang dalam mesyuarat MPT dan kemudian secara peribadi kepada saya menyatakan beliau tidak terlibat dalam apa-apa usaha awal menuju trajedi 24 Februari 2020.

Fikirkanlah juga, jika seluruh rakyat Malaysia percaya akan kenyataan Ketua Penerangan tentang perkara ini, parti politik malah organisasi manakah akan percayakan integriti kita untuk sedia bersama dengan Bersatu dalam satu gabungan?

3 - Jelas Sekarang Kedudukan Tun Dr Mahathir

Perkara 4 dalam Kenyataan 9 Mei 2020 juga menyatakan lagi bahawa usaha membawa Bersatu keluar dari PH direstui oleh Tun Dr Mahathir. Saya rasa perkara ini sudah berulang terjawab dan kini pihak Ketua Penerangan terdesak untuk membuktikannya setelah Tun Dr Mahathir sendiri mengemukakan usul tak percaya ke atas YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kalau benar Tun Dr Mahathir merestui kerajaan Perikatan Nasional ini, kenapakah beliau pula yang sendiri mengemukakan usul tersebut?

Tindakan Tun Dr Mahathir sebenarnya secara langsung menyangkal dongeng yang segera dihebahkan ke akar-umbi Bersatu dan masyarakat Melayu sebelumnya bahawa ini semua perancangan beliau bagi menghalang DS Anwar Ibrahim dari menjadi Perdana Menteri. Kalau benar ia semua perancangan Tun Dr Mahathir, kenapakah beliau pula yang ingin menjatuhkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin? Beliau seharusnya gembira! Ternyata perubahan kerajaan ini bukan rancangan Tun Dr Mahathir tetapi usaha individu-individu lain. Siapa individu-individu tersebut akan terdedah juga pasti nanti.

Tun Dr Mahathir Menolak Kleptokrat

Pada 23 Februari 2020, Tun Dr Mahathir, pemimpin berusia hampir 95 tahun yang pada malam sebelumnya lewat tidur kerana meraikan kenduri kahwin cucunya, bukan sahaja mempengerusikan mesyuarat MPT. Dari jam 9am ke sekitar 11.30am beliau mempengerusikan mesyuarat Biro Politik parti. Dari 11.30am sehingga sekitar 2.30pm, beliau mempengerusikan MPT Bersatu. Selepas MPT, beliau dimaklumkan bahawa rombongan 'Ketua-Ketua Parti Melayu' sedang menantinya di kediaman peribadinya untuk menyambung perbincangan. Perbincangan di rumah Tun Dr Mahathir berakhir pada sekitar 5pm, itu pun kerana 'Ketua-Ketua Parti Melayu' bergegas ke Istana Negara untuk mengadap DYMM Yang DiPertuan Agong. 

Dari jam 9 pagi sehingga 5 petang, melalui 3 mesyuarat berasingan, Tun Dr Mahathir ditekan untuk meninggalkan Pakatan Harapan untuk menubuhkan kerajaan baru. Hujah-hujah utama Tun Dr Mahathir konsisten menolak kerana beliau tak mahu mungkir janji kepada PH dan enggan bersekongkol dengan Kleptokrat. Tun Dr Mahathir TIDAK ke Istana Negara bersama 'Ketua-Ketua Parti Melayu' mahupun ke Sheraton Petaling Jaya walaupun ada yang menjaja beliau hadir di kedua-duanya. Tun Dr Mahathir dikhabarkan tidur sekitar 10.30 malam.

Saya tertanya-tanya sejak malam 23 Februari 2020, kalau tiada niat untuk menjatuhkan kerajaan oleh pihak-pihak tertentu pada tarikh tersebut, kenapakah Tun Dr Mahathir beliau didesak selama 8 jam sehingga ke rumah tak mengira usianya dan kenapakah sudah diatur temujanji mengadap DYMM Yang DiPertuan Agong petang itu? Mungkinkah keraian di Sheraton PJ malam itu berniat untuk menyambut perkara lain pada asalnya, tetapi gagal kerana Tun Dr Mahathir tak pernah bersetuju?

Langkah Ke Hadapan

Masih belum terlambat untuk menyelamatkan Bersatu. Saya baru sahaja menerima jemputan ke Mesyuarat MPT pada hari esok, 11 Mei 2020. Terkejut juga saya menerima jemputan kerana saya dimaklumkan MPT bermesyuarat (tidak rasmi?) semalam, 9 Mei 2020, tetapi saya tak dijemput. Saya harap MPT akan membincangkan macam mana untuk merapatkan barisan demi memastikan Bersatu berperanan penting sebagai sebuah parti dalam memerangi wabak Covid19. Saya juga berdoa desas-desus yang menyatakan mesyuarat esok berniat untuk menggugurkan keahlian Tun Dr Mahathir dan DS Mukhriz Mahathir berdasarkan Kenyataan-Kenyataan Ketua Penerangan tidak benar. Saya khuatir jika yang tak diingini berlaku, TS Muhyiddin akan tinggal satu-satunya Pengasas Bersatu yang masih Ahlinya nanti. 

Wallahualam, segala yang baik dari Allah, yang buruk dari diriku sendiri. 
Ikhlas,
AKHRAMSYAH MUAMMAR UBAIDAH BIN TS SANUSI
Ahli Bersatu #007
Pengasas dan AMPT Bersatu
Nuzul Quran, Ramadhan 1441 Hijrah
10 Mei 2020 Masihi



Tangential Malay Search Results