Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu pada pemilihan ini. Jalinan hubungan serta persahabatan baru yang terjalin dari Masjid Tanah ke Penampang, JB ke Bachok, Pokok Sena ke Kuantan, serta banyak lagi, amatlah dihargai.
Saya juga ingin merakamkan rasa puas hati bahawa setidak-tidaknya sepanjang tempoh 3 minggu lepas, laungan Hidup Melayu kembali ke bibir Pemuda setelah meninggalkannya begitu lama. Jelas Pemuda mahukan laungan tersebut kembali dan saya harap pemenang-pemenang pemilihan menyedari hakikat yang masih perlunya ada peranan Pemuda sebagai pendesak, bukan beraktiviti liberal dan progresif semata-mata.
Terdapat pelbagai perkara boleh dipelajari dari pemilihan ini, yang banyak sekali perlu diperbaiki. Contohnya, tata-etika berkempen yang berubah-ubah sehingga terlalu memberi kelebihan kepada penyandang mana-mana jawatan, jelas terlihat pada keputusan sayap-sayap Pemuda dan Wanita. Pengalaman saya dalam melalui pertandingan ini insya Allah akan saya rakamkan dalam sebuah buku untuk diamati oleh semua yang berminat.
Di sini, saya ingin merakamkan juga rasa syukur saya yang mahkamah rayuan telah menolak rayuan majalah Kristian Herald untuk membolehkannya menggunakan Kalimah Allah. Ini merupakan kejayaan gabungan NGO Islam serta Melayu dalam mempertahankan hak serta aqidah ummah. Saya juga ingin mengucapkan 'Selamat Hari Raya Aidil Adha' kepada semua umat Islam.
Akhir kata, saya ingin mengesyorkan semua perwakilan UMNO yang layak memilih barisan kepimpinan UMNO yang baru pada 19 Oktober ini, pilihlah Datuk Paduka Mukhriz bin Tun Dr Mahathir sebagai salah seorang Naib Presiden kita. Terima kasih.
Ikhlas, Akhramsyah Sanusi
Di Perkarangan Kompleks Mahkamah Putrajaya