Setelah menapak ke 10 negeri setakat ini dalam usaha memahami masalah Pemuda di peringkat Cawangan, suatu yang jelas terbukti adalah ramai di kalangan Pemuda, terutama sekali dari golongan lebih berpengalaman, merasa gelisah tentang halatuju kita. Ramai yang menimbulkan isu-isu perlaksanaan seperti terlihat pada projek BL1M, tetapi dalam keselesaan berteh-tarik, isu halatuju pasti timbul.
Ramai tidak memahami kenapa Pemuda pada peringkat pusat begitu membisu walaupun dalam isu yang membabitkan akidah ummah seperti tuntutan penggunaan Kalimah Allah oleh pendakwah agama lain! Bukankah tugas Pemuda untuk mempertahankan hak ummat Islam di negara kita ini selain dari memajukan Agenda Melayu ke hadapan? Kalau bukan, apakah halatuju yang ingin dibawa oleh kepimpinan Pemuda yang sedia-ada?
Inilah sebabnya kebanyakan perwakilan Pemuda yang sempat bertemu-bual agak sedia untuk menerima wadah Hidup Melayu! Tiada yang salah tentang wadah tersebut. Ia sesuai walau pada zaman ini kerana ia wadah perjuangan parti UMNO, yakni Persatuan Kebangsaan MELAYU Bersatu. Perwakilan Pemuda gembira ada yang saya ingin menumpukan diri serta Pemuda ke arah perjuangan Agenda Melayu, bukan seronok beraktiviti sahaja dengan rakan-kongsi Barisan Nasional.
No comments:
Post a Comment