Penulisan hari ini bukanlah perlian mahupun sindiran, tetapi sesuatu persoalan ikhlas berlandaskan pemerhatian jurublog ini terhadap musibah politik yang terkini melanda Malaysia, kepimpinan Melayu dan kerajaan DS Najib khususnya. Ia juga berunsur penilaian prestasi kumpulan pro-Najib menangani cabaran terhadap kepimpinan beliau... pada amnya gagal lah, sebab kiranya mereka menuju kejayaan, sudah pasti warkah ini akan bernada lain. Maka yang dipersoalkan di sini adalah, beranikah DS Najib meneruskan perancangan seterusnya untuk mempertahankan dirinya?
Apakah perancangan yang dimaksudkan? Ia termasuklah agenda mesyuarat Majlis Tertinggi (MKT) UMNO pada 9 September 2015 dikhabarkan akan membawa usul pemecatan beberapa orang pemimpin UMNO, termasuklah Timbalan Presiden, TS Muhyiddin Yassin, dan Naib Presiden, DS Shafie Apdal, yang kedua-duanya kelihatan selesa kekal dalam jawatan-jawatan parti mereka walaupun setelah dipecat dari kabinet kerajaan tempohari. Kedua-dua tokoh ini kini terus mendesak agar isu 1MDB dan derma RM2.6B diperjelaskan dengan lebih baik oleh Perdana Menteri dengan cara sopan serta tertib, melalui ucapan-ucapan di majlis-majlis parti.
Selain dari itu, ada juga ura-ura yang ada lagi tokoh UMNO yang rapat dengan TS Muhyiddin serta DS Shafie yang bakal dipecat. Di antaranya, DS Mukhriz Mahathir, MB Kedah, YB Dato' Abdul Aziz Sheikh Fadzir, Wakil Rakyat Kulim Bandar Baharu, DS Ahmad Said, mantan MB Terengganu, Datuk Hamidah Osman, bekas Ketua Penerangan Wanita UMNO serta Datuk Jumat Idris, Wakil Rakyat Sepanggar. Jurublog ini lebih suka ketengahkan jawatan Parlimen tokoh-tokoh tersebut dan ini akan difahami pembaca kemudian, sekaligus memberi petanda kenapa perbincangan nasib tokoh-tokoh ini diketepikan.
Persoalan keberanian DS Najib, menjadi tanda-tanya kerana di antara pertimbangan yang kelihatan kurang diperberatkan oleh kem pro-Najib dalam mempertahankan ketua mereka adalah:
1 : TS Muhyiddin serta DS Shafie tidak boleh dipecat dari jawatan mereka kerana mereka dipilih mengikut perlembagaan parti oleh perwakilan semasa pemilihan tahun 2013. Maka, sekiranya mereka mahu dikeluarkan dari Majlis Tertinggi, atau lebih penting lagi kepada DS Najib, jika beliau mahu mengecualikan TS Muhyiddin dari kedudukan yang secara serta-merta akan memangkunya sama ada sebagai Perdana Menteri atau Presiden UMNO, tokoh-tokoh ini harus dipecat! Tetapi, tokoh-tokoh ini tidak melanggar apa-apa peraturan parti, maka apakah alasan yang akan dapat diterima akar-umbi, mahupun ahli-ahli MKT yang harus mengundi persetujuan kepada apa-apa usul pemecatan ahli?
2 : Yang hairannya, lebih mudah bagi MKT memutuskan untuk memecat Tun Dr Mahathir hasil dari penyertaannya dalam perhimpunan Bersih 4.0. Walaupun Tun Dr M berjaya meng'hijack' pentas perhimpunan tersebut dan jelas menyokong BN sebagai parti pilihannya dalam PRU14, pengaruhnya telah mendefinisikan Bersih 4.0 bukan sebagai perhimpunan anti-kerajaan BN tetapi anti-DS Najib dari kekal sebagai Perdana Menteri, yakni perhimpunan #UndurNajib. Kerana ia menyerang kepimpinan seorang Presiden UMNO, Tun Dr M boleh diusulkan pemecatannya di MKT, cuma beranikah DS Najib melakukan demikian? Dan jikalau dalam kes ini tak berani, kenapa boleh berani pula mepertimbangkan pemecatan TS Muhyiddin dan DS Shafie?
3 : Kedua-dua tokoh tersebut merupakan Wakil Rakyat Barisan Nasional. Pemecatan kedua-dua Ahli Parlimen ini dari UMNO akan sekaligus mengeluarkan mereka dari susunan wakil-wakil rakyat BN di Parlimen di mana DS Najib memegang majoriti yang amat kecil sekali! Dengan pemecatan tersebut juga, ia mengenepikan halangan bagi tokoh-tokoh ini bersekongkol dalam undi tak percaya terhadap kerajaan... dah kena buang kan? Pada masa yang sama, ia membuka jalan bagi kedua-dua tokoh tersebut dilantik ke PAC sebagai wakil bukan BN untuk bukan sekadar terus mendesak akan ketelusan isu 1MDB, tetapi juga terlibat secara langsung dalam siasatan di peringkat Parlimen!
4 : Pembuangan TS Muhyiddin juga akan semakin memperkuatkan kedudukan DS Zahid Hamidi yang sekaligus menjadi orang nombor 2, bukan sahaja di dalam kerajaan, tetapi di dalam parti! Pada masa ini cita-cita DS Zahid untuk menerajui parti bukan sekadar hasil 'kesetiaan' beliau kepada DS Najib, tetapi kerana adanya penghalang yang nyata dalam jawatan Timbalan Presiden yang sedia ada. Walau sebelum pembuangan TS Muhyiddin dari jawatan Timbalan Presiden, populariti DS Zahid jelas melonjak di kalangan orang-orang besar UMNO, terlihat sekali pada kehadiran di majlis-majlis beliau walau berbanding dengan majlis-majlis DS Najib sendiri! Apakah DS Zahid akan kekal setia apabila sudah menjadi no 2? Beranikah DS Najib mengujinya?
5 : Sekali lagi dinyatakan di sini bahawa jurublog kehairanan dari manakah datangnya keyakinan pada pihak DS Najib jika benar ada rencananya memecat TS Muhyiddin serta DS Shafie dari UMNO, mememandangkan tiada pun strategi DS Najib untuk menyelamatkan dirinya menjadi setakat ini. Malah walaupun pemecatan TS Gani Patail serta tindakan ke atas para pegawai SPRM dan Polis tempohari berjaya melambatkan pengadilan beliau dari salah-guna kuasa, dari segi politik, ia semakin melenyapkan apa-apa sisa keyakinan rakyat terhadap ketelusan pentadbirannya. Dalam senario dikelilingi kegagalan berulang-ulang, wajarkah DS Najib berani lagi mengambil tindakan yang drastik?
Akhir kata, wallahualam apa tindakan yang bakal diambil MKT nanti terhadap tokoh-tokoh UMNO yang disebut di atas. Tetapi pada jurublog ini, agak menghairankan jika DS Najib berani bertindak demikian, sehingga ia menimbulkan tanda-tanya, ide siapakah usul pemecatan tokoh-tokoh ini dan adakah ia berniat untuk menguntungkan tokoh UMNO selain dari Presiden UMNO? YANG NYATA, ADALAH LEBIH WAJAR DAN POPULAR DI MATAHATI RAKYAT AGAR MKT MEMPERTIMBANGKAN PEMECATAN SEORANG TOKOH, YAKNI DS NAJIB SENDIRI, DARI KEAHLIAN SEKALIGUS JAWATAN PRESIDEN PARTI DEMI MENYELAMATKAN NEGARA DARI MUSIBAH YANG BERTERUSAN... ATAU SETIDAK-TIDAKNYA MENGESYORKAN DENGAN SEBAIK-BAIKNYA AGAR DS NAJIB BERUNDUR SAHAJA... WALLAHUALAM...
No comments:
Post a Comment