Saya semakin kecewa yang keutamaan masih sering tidak diberikan kepada kepentingan rakyat majoriti di Malaysia. Contoh terkini yang dirasai oleh MAYC ialah kelewatan pihak berkuasa memutuskan sah atau tidaknya Mesyuarat Agung MAYC, sama ada yang 31 Julai atau 26 September. Surat pembatalan Mesyuarat Agung 26 September contohnya dikatakan kini hanya menanti tandatangan YB Menteri Belia dan Sukan sejak awal minggu lepas.
Alasan terkini kedengaran tentang kelewatan segala tindakan ini adalah kerana kesibukkan Menteri di PRK Galas. Ini menimbulkan kerunsingan dan kehairanan begitu ramai ahli MAYC, terutama apabila terlihat Menteri Belia dan Sukan hadir di pertandingan akhir Piala Malaysia pada malam 30 Oktober 2010. Ada yang bertanya sama ada masa depan MAYC sebagai sebuah gergasi Belia tidak sepenting sebuah pertandingan bolasepak!
Adakah para penasihat Menteri Belia dan Sukan merasakan semua pemain malah termasuk penyokong bolasepak akan merasa terhutang budi kepada beliau hasil kehadirannya di pertandingan tersebut? Bukankah beliau hanya sekadar seorang penonton VIP di kacamata para peminat dan pemain bolasepak tersebut? Padahal, warga belia MAYC kini ternanti-nanti seorang Menteri yang begitu terserlah kepimpinannya sehingga memilih pihak yang benar dalam isu MAYC!
Para pembantah Mesyuarat Agung 26 September juga kesal tindakan hasil lebih 50 bantahan mereka ke atas Mesyauarat Agung tersebut masih belum dilaksanakan manakala tindakan hasil dari 2 bantahan ke atas Mesyuarat Agung 31 Julai dilaksanakan 'sepantas-kilat'! Ada yang tertanya-tanya sama ada sebabnya adalah kerana salah seorang dari 2 pembantah kepada Mesyuarat Agung 31 Julai merupakan seorang YB dari BN yang bukanpun lagi Belia?
Apakah bantahan seorang YB lebih bernilai dari bantahan sebegitu banyak kelab belia gabungan yang mewakili ribuan ahli MAYC? Apakah sebuah perlawanan bolasepak patut didahulukan berbanding keputusan masa depan sebuah organisasi belia yang ulung? Apakah sebuah Pilihanraya Kecil (PRK), walau betapa simbolik, patut menjadi keutamaan masa seorang Menteri berbanding tugas-tugas yang bakal membawa impak besar kepada PRU13 nanti?
Apakah Kementerian Belia dan Sukan benar-benar menghayati prinsip 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan? Warga MAYC semakin sangsi dan berharap ini segera ditangani pihak Menteri.
No comments:
Post a Comment