Tahniah dan syabas diucapkan kepada skuad bolasepak 'Harimau Muda' atas kejayaan memenangi Piala AFF Suzuki buat julung kalinya dan menimbulkan perasaan begitu positif sehinggakan DS Najib tergerak untuk mengisytihar cuti umum untuk hari terakhir 2010. Tun Dr Mahathir juga pernah mengisytiharkan cuti sedemikian selepas Malaysia memenangi pertandingan bolasepak sebagai tuan rumah pada sukan SEA 1989. Namun perbezaan wujud antara kedua situasi ini.
Pada 1989, Tun Dr M mengisytiharkan cuti bukan sekadar meraikan kemenangan bolasepak ataupun pingat-pingat sukan SEA yang lain. Yang diraikan juga adalah penglibatan rakyat dalam menjayakan sukan SEA tersebut. Pada waktu itu, Malaysia bukanlah semaju sekarang, namun hebat dalam pelbagai olahraga dan sukan seperti hoki, sepak takraw dan bolasepak.
Bezanya dengan situasi dihadapi DS Najib adalah, sudah begitu lama rakyat Malaysia mendahagakan kejayaan sukan seumpama semalam, maka pengisytiharan cuti menumpukan rakyat kepada pentingnya Malaysia kembali setidak-tidaknya sebagai kuasa serantau dalam arena sukan. Namun kunci kepada kejayaan berterusan Malaysia dalam arena sukan adalah penglibatan individu yang membawa kemenangan kepada pasukan.
Individu manakah yang saya maksudkan? Dalam hal ini, saya tidak memaksudkan para pemain sahaja. Saya juga tidak memaksudkan ahli-ahli politik mahupun pemimpin persatuan, walaupun menteri yang lazimnya silih berganti mahupun pengaruh istana, ampun Tuanku. Yang saya maksudkan adalah penglibatan pakar-pakar kesukanan pembawa kejayaan, khususnya K Rajagobal yang ternyata kehebatannya sebagai jurulatih bolasepak Malaysia.
Maka jurublog ini berharap, dalam keghairahan kemenangan, dan perebutan hasil darinya, janganlah kita lupa untuk meraikan para hero di sebalik tabir seperti K Rajagobal dan pasukan teknikalnya sekaligus memastikan keunggulan bolasepak negara untuk dekad depan.
1 comment:
Tahniah untuk Malaysia!
Tahniah juga kepada semua pemain-pemain Timnas Indonesia dan Harimau Malaysia, mereka bermain dengan penuh semangat kesukanan dan profesional. Tiada pergaduhan langsung.
Post a Comment