Thursday, November 04, 2010

Bantuan Banjir Utara Oleh MAYC Kebangsaan

Banjir di Kedah dan Perlis merupakan yang paling buruk pernah dialami sejak beberapa tahun sudah. Tempat yang dilanda banjir juga agak berlainan, dari Utara hingga mencecah ke rumah Tun Dr Mahathir di Kepala Batas sekalipun. Diharap ia tidak melarat ke Pendang dan Gurun pula.

Yang merunsingkan ramai teman-teman yang terlibat adalah, walaupun hujan lebat sudah berhenti ketika ini, paras air tetap naik hasil air yang dilepaskan dari empangan-empangan di Kedah dan Selatan Thailand untuk mengelak dari empangan pecah. Ini memuramkan harapan banjir ini akan cepat surut. Sekiranya hujan lebat kembali, alamatnya semakin lamalah mangsa terpaksa kekal di pusat penempatan, malah mungkin semakin ramai akan terjejas!

MAYC Kebangsaan bergerak bersama Veteran MAYC, Wira Perkasa Kedah dan Pemuda UMNO Batu Kawan dalam usaha menghantar bantuan ke Kedah dan Perlis. Kepada mereka yang ingin menyumbang bantuan, pusat pengumpulan bantuan MAYC dibuka di 31, Tingkat Rusa 7, Taman Selamat, 14000, Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. Sms juga ke talian 0174917817 dan 016-518-9854.

Bantuan yang paling diperlukan adalah air mineral dan makanan 'segera', sama ada berbetuk makanan bertin seperti sardin, ataupun roti dan mi segera. Segala bantuan yang dikumpul MAYC akan disalurkan melalui Bilik Gerakan Banjir MAYC Negeri Kedah beralamat di Kompleks Darul Aman, Jabatan Belia dan Sukan, Jalan Stadium, Alor Star, Kedah. Perjalanan ke Perlis ternyata lebih rumit dan akan dikhabarkan kemudian.

Saya telah merakamkan podcast juga di sini sebentar tadi. Bantulah kami membantu warga 1Malaysia lain yang berkeperluan menghadapi bencana.

Tuesday, November 02, 2010

Menanti Galas... Dan Batu Sapi Juga Agaknya... Sementara 1Malaysia Dilupakan Sahaja...

Saya semakin kecewa yang keutamaan masih sering tidak diberikan kepada kepentingan rakyat majoriti di Malaysia. Contoh terkini yang dirasai oleh MAYC ialah kelewatan pihak berkuasa memutuskan sah atau tidaknya Mesyuarat Agung MAYC, sama ada yang 31 Julai atau 26 September. Surat pembatalan Mesyuarat Agung 26 September contohnya dikatakan kini hanya menanti tandatangan YB Menteri Belia dan Sukan sejak awal minggu lepas.

Alasan terkini kedengaran tentang kelewatan segala tindakan ini adalah kerana kesibukkan Menteri di PRK Galas. Ini menimbulkan kerunsingan dan kehairanan begitu ramai ahli MAYC, terutama apabila terlihat Menteri Belia dan Sukan hadir di pertandingan akhir Piala Malaysia pada malam 30 Oktober 2010. Ada yang bertanya sama ada masa depan MAYC sebagai sebuah gergasi Belia tidak sepenting sebuah pertandingan bolasepak!

Adakah para penasihat Menteri Belia dan Sukan merasakan semua pemain malah termasuk penyokong bolasepak akan merasa terhutang budi kepada beliau hasil kehadirannya di pertandingan tersebut? Bukankah beliau hanya sekadar seorang penonton VIP di kacamata para peminat dan pemain bolasepak tersebut? Padahal, warga belia MAYC kini ternanti-nanti seorang Menteri yang begitu terserlah kepimpinannya sehingga memilih pihak yang benar dalam isu MAYC!

Para pembantah Mesyuarat Agung 26 September juga kesal tindakan hasil lebih 50 bantahan mereka ke atas Mesyauarat Agung tersebut masih belum dilaksanakan manakala tindakan hasil dari 2 bantahan ke atas Mesyuarat Agung 31 Julai dilaksanakan 'sepantas-kilat'! Ada yang tertanya-tanya sama ada sebabnya adalah kerana salah seorang dari 2 pembantah kepada Mesyuarat Agung 31 Julai merupakan seorang YB dari BN yang bukanpun lagi Belia?

Apakah bantahan seorang YB lebih bernilai dari bantahan sebegitu banyak kelab belia gabungan yang mewakili ribuan ahli MAYC? Apakah sebuah perlawanan bolasepak patut didahulukan berbanding keputusan masa depan sebuah organisasi belia yang ulung? Apakah sebuah Pilihanraya Kecil (PRK), walau betapa simbolik, patut menjadi keutamaan masa seorang Menteri berbanding tugas-tugas yang bakal membawa impak besar kepada PRU13 nanti?

Apakah Kementerian Belia dan Sukan benar-benar menghayati prinsip 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan? Warga MAYC semakin sangsi dan berharap ini segera ditangani pihak Menteri.

Tangential Malay Search Results