Friday, July 22, 2011

Demam Ayah Reda Sedikit, Terima Kasih Atas Doa

Semalam jurublog mengambil keputusan untuk ke Melaka bagi menyertai mesyuarat kerja pada sebelah petang. Ini memandangkan Ayah masih belum stabil, walaupun tekanan darahnya tanpa bantuan ubat tinggi sedikit dari hari sebelumnya; beliau masih memerlukan ubat-ubatan untuk kekal pada tahap yang dikira 'normal'. Saya agak yakin Ayah semakin lega, sekaligus tak mungkin cukup stabil untuk diberi rawatan lanjutan oleh Doktornya semalam.

Sekembali dari Melaka, jurublog mendapat berita baik yang secara peribadi menimbulkan rasa kecewa atas keputusan untuk kembali bertugas. Pertama sekali, jurublog kembali ke KL agak lewat dan terlepas dari menyertai acara doa selamat bagi Ayah yang diatur adik-adik, disertai oleh ramai keluarga dan sahabat akrab Ayah. Kedua, saya terlepas juga peluang melihat sendiri kedudukan Ayah yang semakin pulih di hospital.

Ayah pulih sedikit menjelang lewat petang semalam, tetapi masih dalam keadaan kritikal. Demamnya alhamdulillah sudah surut dan beliau buat kali pertama dapat berkomunikasi sepatah dua secara bertulis (beliau tak boleh bersuara kerana kerongkongnya dipenuhi tiub oksigen ke paru-paru) dengan Nyak (panggilan ibu jurublog) sebelum terlena kembali hasil lalian ubat. Pulihnya mungkin sedikit, tetapi kami bersyukur setidak-tidaknya keadaan beliau tidak semakin buruk.

Ayah, TS Sanusi Junid, masih memerlukan kiriman doa semua yang sudi memohon kurnia Allah swt untuk memulihkan kesihatan beliau. Semalam, keluarga dari Indonesia semakin ramai sampai dan semakin ramai kunjungan di terima di hospital, walaupun kebanyakan penunjung kecewa kerana tidak dapat masuk menjenguk Ayah. Namun kami berterima-kasih dan memohon semua untuk setidak-tidaknya mengirim doa sahaja. Wallahualam...

No comments:

Tangential Malay Search Results