Friday, March 16, 2012

Malaysia Youth Empowered By Tsunami In Japan

Alhamdulillah, my short piece on MAYC Global Relief's efforts in Ishinomaki last October was published in Utusan Malaysia on Thursday with relatively minor truncations for brevity, which nevertheless did deliver the majority of the message intended. I am hence posting my full submission below as much for the record as to ensure the entire message does appear in some media in complete form; e.g. one of the quotes was from a non-Malay participant of the team, which showcases MAYC as still being 1Malaysia in nature.



Antara tanggungjawab utama mana-mana pemimpin organisasi belia adalah melaksanakan program membina jati-diri, mengasuh nilai-nilai murni seperti budipekerti dan mendedahkan golongan muda kepada ilmu serta pengalaman yang tak dapat dikecapi dengan usaha peribadi.

Pada 16 October tahun lepas, 20 belia sukarelawan dari kelab-kelab gabungan MAYC seluruh negara telah ke Jepun untuk menyertai kerja-kerja pemulihan pasca tsunami yang melanda pesisir Timur Laut pulau Honshu pada 11 March 2011. Pemergian mereka ke Jepun selama 10 hari adalah hasil kerjasama MAYC Global Relief bersama rakan NGO kami di Jepun, Peace Boat.

Sepanjang masa di Jepun, para sukarelawan Malaysia bertindak bukan sekadar tenaga-kerja tugas pemulihan, tetapi juga secara langsung mengharumkan nama baik negara sambil menaikkan semangat para penduduk setempat yang melihat golongan belia dari negara asing pun sedia berganding bahu membantu mereka dalam usaha baik-pulih, walau 7 bulan sudah berlalu sejak bencana melanda.

Kenapa MAYC Global Relief Ke Jepun

Bencana kekadang melanda di setiap penjuru dunia dan lazimnya, sukarelawan dari Malaysia menumpukan usaha dan sumbangan pemulihan ke negara-negara membangun atau serantau. Contohnya, apabila berlaku tsunami di Acheh, Indonesia dan bencana banjir di Thailand, sukarelawan Malaysia dilaung sebagai antara kumpulan sukarelawan dari luar negara bencana yang pertama sampai serta terserlah keikhlasan menyumbang dalam usaha pemulihan.

Namun MAYC Global Relief memilih untuk menghantar sukarelawan ke Jepun, sebuah negara yang lebih maju dari segi teknologi mahupun ekonominya berbanding negara kita. Sebagai pemimpin belia, ini kami laksanakan atas dasar memupuk nilai membalas budi dengan mengirim tenaga-kerja seberapa mampu kepada sebuah negara dan masyarakat yang amnya telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara kita dari sejak Malaya merdeka lagi.

Kebetulan juga, negara Jepun sebagai sebuah negara yang kaya serta maju teknologinya, walaupun ditimpa bencana, ia tidak memerlukan apa-apa sumbangan peralatan mahupun kewangan untuk membaik-pulih kawasan yang dilanda tsunami. Malah, jemputan untuk melabur ke kawasan tersebut yang dilaporkan mediamasa tempohari juga lebih untuk mempercepatkan pembangunan semula. Tetapi apa mereka benar-benar kekurangan adalah tenaga-kerja belia untuk melaksanakan kerja-kerja yang sudah pun dikenal-pasti.

Sesungguhnya kepada warga MAYC, sumbangan negara-bangsa Jepun menjangkau lebih dari apa yang dikecapi oleh rakyat Malaysia amnya hasil dari pelaburan ekonomi mahupun perpindahan teknologi dari syarikat-syarikat terkemuka negara tersebut. Sejak mantan Naib Presiden MAYC, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengemukakan Dasar Pandang Ke Timur sebagai salah satu dasar pembangunan negara, MAYC telah menerapkan nilai Bushido kepada ahli-ahlinya melalui pendekatan MENJAROH.

MENJAROH, atau pendekatan MENtal, JAsad dan ROH, menerapkan ciri-ciri Amanah, Berani, Disiplin, Rajin serta Setia dalam program-program belia yang merangkumi aspek-aspek politik, ekonomi dan masyarakat. Ke lima-lima ciri ini seiras dengan pembawaan Bushido yang diterapkan ke seluruh masyarakat Jepun dari zaman, pra-Sengoku Jidai, yakni hampir 10 abad yang lepas, hinggalah ke sekarang, menerusi prinsip-prinsip koprat syarikat-syarikat gergasi seperti Mitsubishi, Mitsui, Sumitomo dan sebagainya.

Maka budi yang dibalas oleh para sukarelawan MAYC Global Relief di kawasan tsunami adalah dari jasa penerapan nilai jati-diri organisasi belia kami sendiri sepanjang lebih 3 dekad lamanya. Pada masa yang sama, ia juga memberikan peluang atau jalancara baru untuk golongan belia Malaysia merapatkan silaturahim dengan para belia Jepun. Sesungguhnya hubungan yang terjalin hasil bantuan pada masa mereka kesusahan kami harap akan menghasilkan talian yang utuh buat usaha jangkamasa panjang.

Mengejar Ilmu, Menyelami Budaya

Manfaat tambahan yang juga dikecapi oleh sukarelawan ke Ishinomaki, Jepun tersebut adalah ilmu dalam bidang penyelenggaraan sukarela serta baik-pulih bencana. Walau tempoh mereka ke sana hanyalah beberapa hari, ilmu yang ditimba dengan penyertaan dalam misi pertama ini sudah pun kami mula terapkan dalam rencana pembangunan organisasi MAYC Global Relief, termasuklah perancangan misi kedua kami ke sana yang dirancang untuk penghujung bulan April atau awal Mei tahun ini.

Selain itu, kebetulan kerja-kerja pemulihan ekonomi yang melibatkan sukarelawan mendedahkan mereka kepada pengalaman yang tak mungkin dialami di negara sendiri. Contohnya, sukarelawan di Ishinomaki telah ditugaskan untuk membantu masyarakat nelayan mempercepatkan process penyemaian tiram-tiram di pesisir pantai. Tugasan tersebut bukanlah ringan kerana cabaran fizikal, termasuklah menahan dari kesejukan yang tak lazim dirasai di Malaysia. Namun sukarelawan bersemangat hasil dari pengalaman baru yang dikecapi.

Sukarelawan juga dipupuk dengan budaya-kerja Jepun yang berdisiplin tanpa mengira tugasan mahupun jawatan. Menurut saudara Vimal, seorang sukarelawan beragama Hindu yang terlepas sambutan awal hari Deepavali akibat menyeratai misi tersebut,"Deepavali kita dapat raikan setiap tahun, tahun-tahun sebelum ini dan tahun-tahun kemudian pun dapat saya alami semula, tetapi pengalaman bersukarela ke Ishinomaki seperti ini mungkin sekali seumur hidup dapat peluang untuk dirasai."

Misi Kedua

Maklum-balas seperti ini dari para sukarelawan berserta dengan penghargaan yang kami terima dari rakan NGO Peace Boat telah memperkukuhkan azam kami di MAYC Global Relief untuk memberikan peluang kedua bagi para sukarelawan belia untuk menyertai usaha baik-pulih sekali lagi. Ini sebahagian dari rencana jangkamasa panjang MAYC Global Relief untuk membina organisasi yang menawarkan pengalaman bersukarela yang berlainan bagi golongan belia.

Menurut Ketua Misi Pertama, saudara Saiful Anuar Baig,"Sebagai sukarelawan, MAYC Global Relief menggunakan pendekatan berlainan yakni pergi membantu selepas keadaan bencana sudah reda, tetapi masih ada lagi keperluan bantuan tenaga-kerja belia untuk memulihkan kembali kawasan yang terjejas. Ini juga memberi peluang sukarelawan kami menimba ilmu dan pengalaman yang boleh dibawa pulang seperti proses mengkitar semula sisa bencana tsunami yang diamalkan di Jepun."

Seperti juga Misi Pertama, kejayaannya hanyalah boleh dicapai dengan bantuan para penaja koprat dari Malaysia seperti CIMB Islamic dan kumpulan Dynac bersama-sama organisasi-organisasi Jepun seperti Peace Boat serta Kumon. Adalah menjadi harapan kami untuk menjalin hubungan jangkamasa panjang juga dengan para penaja yang sedia-ada, mahupun yang baru, untuk terus menjayakan lagi program-program kami, bermula dengan Misi Kedua ke kawasan tsunami Jepun.

Segala usaha kami sebagai pemimpin belia adalah untuk membina jati-diri anak-anak muda yang merupakan masa depan negara. Walau tsunami amnya membinasakan, di Jepun kami harap pengalaman menyeratai kerja baik-pulih pasca tsunami ini melambung nilai kualiti dan taraf anak-anak muda kita ke tahap yang setanding dengan mana-mana kumpulan belia di peringkat global.

Akhramsyah Muammar Ubaidah bin Tan Sri Sanusi
Pengerusi, MAYC Global Relief

No comments:

Tangential Malay Search Results