Saya faham sekiranya rakyat bingung akan motif di sebalik demonstrasi jalanan yang diusahakan oleh Pakatan Rakyat yang bertopengkan 'Gabungan Mansuh ISA' (GMI) semalam. Demonstrasi tersebut jelas gagal; pengelola mengakui 'penangguhan' usaha menyerahkan memorandum anti-ISA ke DYMM YDP Agong, di antara lain disebabkan terlalu sedikit penyokong Pakatan turun padang kali ini, sekitar hanya ~5 ribu, orang jauh sedikit dari ratusan ribu yang diwar-warkan.
Lebih buruk dari itu, demonstrasi tersebut mencemarkan nama baik negara di kaca-mata pengunjung apabila porak-peranda perasarana bandaraya KL akibat pertembungan gerombolan GMI dengan polis. Saya sendiri melihat bagaimana kegusaran terpahat di muka para pelancong asing di sekitar KL Sentral akibat ketiadaan teksi untuk pergi-balik ke kota. Apakah mungkin terlintas di hati warga asing yang menonton aksi GMI secara langsung? KL sebahaya Bangkok/Jakarta?
Kalaulah benar rakyat mengutamakan pemansuhan ISA, lebih dari kesejahteraan ekonomi, keselamatan awam dan perpaduan, sudah tentu lebih ramai rakyat turun berdemonstrasi bersama-sama GMI. Tetapi ini tidak! Mungkinkah ini kerana warga kota tidak merasakan pentingnya melakukan demo untuk isu ini kerana ia tidak berbaloi memandangkan apa-apa kejadian seperti semalam bakal mengancam ekonomi, membahayakan orang awam dan menimbulkan perpecahan!
Lagi pun, DS Najib telah dengan penuh bijaksana meleraikan banyak dari kegusaran yang timbul hasil dari salah-guna ISA oleh pentadbiran Pak Lah. Langkah-langkah seperti membebaskan kurungan ISA, termasuklah yang dirasakan tak patut dikurung rejim Pak Lah, seperti BSA Tahir dan sesetengah pemimpin Hindraf, dan usaha terbuka untuk merombak Akta Keselamatan Dalam Negeri untuk mengelakkan salah-gunanya di masa akan datang amat dihargai.
Malah, warga KL dapat membandingkan sendiri aksi lebih sopan kumpulan pro-ISA, yang dipelopori gabungan MAGARAN, yakni NGO-NGO GGMM, Pewaris dan Perkasa. Mereka berkumpul di Pasar Seni untuk menunjukkan sokongan, kemudian sedia bersurai apabila digesa oleh Polis. Para pemimpin pro-ISA kemudian ber * kereta ke Istana Negara dan berjaya menyerahkan memorandum menyokong ISA dan usaha kerajaan merombaknya kepada Istana.
Apabila ditanya rakyat yang bingung seperti saya sama ada kumpulan pro-ISA ini juga berdemonstrasi kerana membangkang cadangan DS Najib untuk merombak ISA, mereka menjelaskan bahawa:
Kumpulan pro-ISA menyokong ISA dirombak supaya lebih sesuai dengan zaman pasca 50 tahun merdeka. Namun ISA haruslah kekal!
Kerana menghormati nasihat DS Najib supaya demonstrasi tidak diadakan, mereka tetap berkumpul untuk menunjukkan bahawa ada kumpulan rakyat prihatin yang mahu ISA dikekalkan.
Ha, kan lebih sopan cara yang dibuat oleh kumpulan pro-ISA ini? Mereka menghormati undang-undang negara, menerima nasihat pemimpin, malah tidak menyokong ISA membuta-tuli lalu menyerahkan cadangan bagaimana ia dapat dibaik-pulih! Pihak GMI pula, beria-ia menggerak penyokong mereka, termasuk para pelajar universiti, untuk berdemonstrasi tanpa jelas niatnya atau terlihat hasilnya selain porak-peranda. Seperti kata orang tua sayalah:
GMI/Anti-ISA seolah orang yang:
NIAT JAHAT, KERJA TAK RETI,
DOSA DAPAT, KERJA TAK JADI!
Manakala MAGARAN/Pro-ISA pula:
NIAT BAIK, KERJA RAPI,
PAHALA DAPAT, KERJA MENJADI!
Namun, akhir kata, yang paling rugi dalam kejadian semalam bukanlah warga KL, bukan juga pelancong mahupun para pendemonstrasi jalanan. Yang rugi sekali adalah Pemuda UMNO. Oleh kerana pemimpinnya, YB KJ, tidak tergerak melawan kata bapa mertuanya, yang baru sahaja menyarankan ISA dimansuhkan, maka Pemuda UMNO, telah terlepas peluang menunjukkan kematangan, kebijaksanaan mahupun keberaniannya sebagai sebuah kumpulan pendesak.Yang untung adalah MAGARAN dan pertubuhan-pertubuhan anggotanya sebagai gagasan NGO pendesak gantian untuk masyarakat Melayu...
*Kemaskini 1: Sebenarnya, yang menghantar memorandum MAGARAN/Pro-ISA ke Istana hanyalah seorang wakil sahaja ... dan tidak berkonvoi pun! Tak perlu demo-demo pulak...!!!