Showing posts with label Gaza. Show all posts
Showing posts with label Gaza. Show all posts

Sunday, January 11, 2009

Gaza - Kenapakah Israel Menyerang Sekarang? Apakah Tindakan Susulan Yang Sesuai?

Pembunuhan beramai-ramai masyarakat Palestine di Gaza oleh rejim Zionis Israel yang berhelah serangan balas terhadap Hamas bermula dengan agak mengejut. Kenapakah ia berlaku sekarang, padahal kegiatan Hamas memperjuangkan hak rakyat Palestine tak pernah putus-putus, cuma sekadar berubah kehangatan serangannya sesekala? Sudah tentu ada sesuatu yang mencetuskan keganasan terbaru ini.

Blogger ini mula-mula memikirkan pemimpin rejim Israel, Ehud Olmert, tidak perlu mempopularkan diri sebagai membunuh 'pengganas' kerana beliau tidak akan terlibat lagi pada pilihanraya umum Israel pada 10 Februari ini. Namun kini tercetus pula pemikiran yang mungkin peperangan ini akan digunakan beliau untuk kekal di tampuk kuasa. Selain itu, ada juga kemungkinan keganasan tersebut didalangi para perebut jawatan Perdana Menteri (PM) Israel yang lain.

Buat pengetahuan, Menteri Luar Tzipi Livni, Menteri Pertahanan Ehud Barak dan Ketua Pembangkang, Benjamin Netenyahu semua bakal merebut kerusi PM tersebut. Malah rakyat Israel sendiri berfikir keganasan terbaru di Gaza akibat kemelut politik dalaman Israel, yang kini menyebabkan parti Buruh pimpinan Ehud Barak semakin popular! Alangkah sedihnya yang kematian ratusan anak-anak kecil tak berdosa di Gaza semata-mata kerana rebutan kedudukan PM Israel!

Selain sebab politik, ada juga kemungkinan besar tindakan terkini rejim Israel adalah akibat tekanan ekonomi Amerika Syarikat (AS). Kenapa? Ini bukan soal sumbangan senjata mahupun bantuan lain seperti penyelidikan dan dana dari AS ke Israel. Ini soal kesempitan ekonomi tersebut kini mengancam sumbangan dana AS ke negara Mesir bernilai ribuan juta USD setahun!

Mesir merupakan negara teluk yang paling berupaya mengancam atau setidak-tidaknya menumpulkan bilah Israel yang terhunus di leher rakyat Palestin. Tentera Mesir terkenal sebagai satu-satunya tentera Arab moden yang berjaya merebut kembali terusan Suez dari Israel pada Yom Kippur (dikenali juga sebagai perang Ramadhan atau perang Oktober). Namun kemampuannya terkunci sejak pembunuhan Anwar Sadat dengan 'rasuah' dana dari AS.

Malang bagi Israel, rasuah dana AS ke Mesir kini ternyata terancam akibat kemelesetan ekonomi, terutama dengan ketibaan Barack Obama. Memandangkan Presiden Hosni Mubarak semakin terancam kedudukannya akibat kerapatan hubungan kerajaannya dengan negara-negara durjana tersebut, putusnya dana AS pasti akan mengancam hubungan dua hala Mesir<->Israel. Mesir pasti akan lebih bersedia membantu masyarakat Palestin dalam menangani keganasan Israel.

Oleh itu, ada juga kemungkinan yang Israel kini mengganas kerana inilah peluang terakhir untuk melakukan demikian sebelum kekuatan Mesir untuk menangani ancaman ketenteraannya dilepaskan dari gari rasuah dana AS! Oleh itu, ekonomi juga mungkin penyebab pembunuhan beramai-ramai anak-anak kecil yang tak berdosa tersebut.

Beginilah berolah sejarah keganasan Israel dan Barat, di pacu kepentingan politik persendirian ataupun keperluan ekonomi dalaman, tanpa bersifat perkongsian. Mungkinkah kita perlu mengolah cara lain untuk menangani keganasan Israel, selain kecaman, rundingan dan boikot, yang walau murni niatnya, terlihat terbatas kejayaannya sebelum ini? Mari kita fikirkan bersama...

Tangential Malay Search Results