Thursday, October 12, 2006

Apabila Putar-Belit Media Tidak Ke Mana Melainkan Mengancam Kedudukan Kerajaan UMNO (When Spinning Leads To No-Where - Part III)

Putaran berita sekitar laporan penyelidikan Dr TG Lim dan Dr ET Gomez di bawah naungan ASLI-CPPS mengenai peratusan pegangan ekuiti Melayu yang mempertikaikan pencapaian Dasar Ekonomi Baru dan penyambungnya, Dasar Ekonomi Nasional (DEB/DEN) sudah dibiar membara-semarak terlalu lama. Soalnya, kenapakah persoalan isu ini dibiarkan, malah pada awalnya diapi-apikan oleh media kawalan Tingkat 4 dan sekutu mereka?

Mungkinkah ini juga sebahagian usaha memperburukan nama Tun Dr M melalui keluarganya, memandangkan ASLI telah dibangunkan dan diketuai oleh anak beliau, Dato' Mirzan Mahathir? Persoalan ini timbul kerana tindakan Khairy Jamaluddin yang mengherdik penarikan balik hasil penyelidikan dan pohonan maaf Dato' Mirzan terhadap laporan ASLI-CPPS tersebut yang diakuinya kurang wajar.

Persoalan yang lebih merunsingkan adalah, kenapakah intipati laporan tersebut yang menimbulkan kontroversi tidak dibangkitkan apabila ia mula-mula dikemukakan kepada Unit Dasar Jabatan Perdana Menteri dan EPU sebagai bahan asas penggubalan RMK-9? Adakah ini kerana Unit Dasar JPM (sebahagian dari 'Tingkat 4') bersetuju dengan intipati laporan tersebut? Adalah harapan ramai yang ini bukanlah unsur 'Lah-isma' yang baru menjelma.

Ramai di kalangan profesional Melayu yang kononnya diwakili oleh anak-anak muda 'Tingkat 4' agak kecewa dengan kepincangan usaha kerajaan Pak Lah dalam mematikan isu ini. Kenapakah kenyataan Pak Lah dan pentadbirannya dalam menyangkal laporan tersebut tidak disertai hujah-hujah yang lebih tegar seperti:

  1. Pernilaian ASLI-CPPS yang ekuiti syarikat milik kerajaan (GLC) seperti TNB, Telekom dan MAS dinilai seolah-olah 70% dimilik Bumiputra (berdasarkan penguasaan GLC oleh kerajaan berkepimpinan UMNO) memanfaatkan Melayu lebih dari bangsa lain mempunyai beberapa kelemahan:

    • Ia tidak berdasarkan kepada pengagihan ekuiti sebenar, iaitu setara dengan demografi rakyat Malaysia yang merupakan pemilik sebenar saham kerajaan dalam GLC-GLC tersebut.
    • Tidak banyak syarikat Melayu atau Bumiputra yang 100% Bumiputra miliknya di kalangan pembekal dan pemegang kontrek GLC. Tambahan pula, banyak pemegang kontrek GLC bergantung kepada pelbagai syarikat lain yang lazimnya milik bukan Melayu ataupun asing.
    • Ia memberi tanggapan yang GLC-GLC pada zaman Pak Lah masih memberi keutamaan kepada syarikat pembekal Melayu, apabila sebenarnya, kebanyakan GLC di bawah naungan Khazanah kini mengutamakan syarikat pembekal milik asing yang memberi 'kos rendah' lebih dari syarikat Malaysia, tak kira milik Melayu atau bukan Melayu.

      Ini kerana, sesuai dengan prinsip 'Lah-isma', GLC-GLC Khazanah kini menumpukan perhatian kepada KPI, bukan lagi kepada usaha membangunkan industri tempatan melalui 'trickle-down effect'. Ajukan sahaja pertanyaan kepada MAS bagaimana pembekal-pembekal mereka kini dipilih dengan sistem yang tidak langsung memberi kepentingan kepada pembekal Melayu, mahupun syarikat Malaysia milik bukan-Melayu.
  2. Sebenarnya tatacara pengiraan peratusan milik Bumiputra yang begitu diperdebatan ini tidaklah begitu penting. Ini adalah Malaysia sebuah negara demokrasi. Oleh itu, apa-apa hak yang wujud bagi mana-mana golongan masyarakat Malaysia, sama ada menerusi pembahagian agama, bangsa, umur, jantina, dsb, hanya boleh dihapuskan atau dipinda dengan persetujuan majoriti rakyat Malaysia.

    Fikirlah sejenak, memandangkan DEB/DEN memberi kelebihan kepada majoriti rakyat Malaysia yang kiat berkembang % penduduknya (hampir 60% berbangsa Melayu dan Bumiputra), tiada kerajaan di Malaysia yang boleh kekal di tampuk pemerintahan atas agenda menghapuskan hak-hak yang kini dinikmati golongan majoriti ini menerusi DEB/DEN.


  3. Terlalu mudah DEB/DEN dituduh hanya memberi kepentingan kepada segelintir orang atasan UMNO dan komponen BN lain. Sebenarnya, DEB dinikmati oleh anak tani yang bermimpi ke Universiti dengan biasiswa, pengusaha kecil yang mengharapkan kontrek kecil untuk memulakan perniagaannya, kontraktor-kontraktor Kelas D, E dan F yang sedia menerima usaha membaiki dinding sekolah atau mencat bangunan sekalipun.

    Inilah golongan yang harus diyakinkan bahawa DEB/DEN tidak diperlukan lagi. Selagi ada golongan yang benar-benar percaya mereka memerlukannya, ia akan terus wujud kerana ia didukung oleh hak demokrasi majoriti negara ini yang merasakan keperluannya.


  4. Ke'tidak-adil'an DEB/DEN sebenarnya ditanggung oleh masyarakat Melayu dan Bumiputra juga. Mereka harus menerima yang dasar ini hanya mendukung setakat 30% pemilikan ekonomi negara oleh masyarakat pribumi, padahal masyarakat ini merupakan majoriti rakyat yang juga kian meningkat.

    Kenapakah pindaan DEB kearah pengagihan kemewahan negara menepati demografi negara tidak dicadangkan? Kenapakah usaha kearah menyama-ratakan pendapatan masyarakat Malaysia tidak diajukan, apabila statistik terkini menunjukan purata berpendapatan bulanan masyarakat Cina sehingga 2 kali ganda pendapatan masyarakat-masyarakat lain?


    Ini kerana berdasarkan prinsip muhibah, masyarakat majoriti Bumiputra Malaysia tidak rakus dan meredhai yang masyarakat Cina atau masyarakat serta golongan manapun berhak memegang kuasa ekonomi yang lebih berdasarkan usaha, ilham dan titik-peluh mereka. Kenapakah sifat toleransi masyarakat Melayu dalam hal ini tidak pernah diketengahkan?

Maka, tuduhan, sangkalan dan tikam-tepis di sekitar paparan pendapat penyelidik pimpinan ahli-ahli pemikir Malaysia yang kebetulan berbangsa bukan Bumiputra sebenarnya tidak membawa banyak makna selagi pengundi majoriti Bumiputra berpendapatan kecil atau kecil-sederhana menerimanya. Jadi kenapakah isu ini tetap dibiar membara?

Ada yang mengesyaki bahawa pendapat yang diajukan Dr Lim dan Dr Gomez ini dipegang juga oleh segolongan ahli Khazanah dan 'Tingkat 4'. Inikah sebabnya pendapat ini tidak disankal apabila dikemukakan ke 'Tingkat 4' dalam penggubalan RMK9? Mungkinkah isu ini belum lagi dimatikan oleh kerajaan kerana penasihat terdekat Pak Lah bersetuju dengan pendapat tersebut? Adakah ini suatu unsur baru 'Lah-isma' yang mula terserlah?

Namun kerana golongan Tingkat 4 tersebut tidak mewakili majoriti profesional muda segenerasi dengan mereka, apatah lagi penduduk Bumiputra majoriti yang disebut di atas, pendapat mereka juga seharusnya tidak relevan dalam konteks usaha mengekalkan, membaik-pulih atau meminda DEB/DEN. Oleh itu, bukankah lebih baik isu ini dimatikan langsung dengan segera oleh pentadbiran Pak Lah?

Melainkan Pak Lah sedia untuk UMNO menerima pukulan maut menjelang pilihanraya kelak....

1 comment:

A Voice said...

Tun Dr Mahathir is currently being criticised, disgrace, and discredited for voicing the people’s unhappiness and the country’s sovereignty. Yet, the issue raised has not been answered satisfactorily by the Prime Minister.

In facing this “onslaught”, Tun has written an open letter to all Malaysians dated 27th October, 2006 to explain why he is questioning the Government. Those wishing to read the letter and other open letters from Tun and his office can download from the following address:

http://www.savefile.com/projects/1034826

Since the mainstream media have stopped giving Tun opportunity to response, we hope you could help spread this letter to the people. The least would be to spread the web address to enable the people to download and read it.

Thank you.

Tangential Malay Search Results