Antara Ijok, Telefon Bimbit Dan Perjuangan
Saya baru melawat halaman http://nursamad.blogspot.com/ dan melihat paparan sambutan ulangtahun kelahiran seorang pendekar Melayu yang masyhur Tan Sri A Samad Ismail, atau Pak Samad. Melihat gambaran zaman muda Pak Samad, sebelum beliau mula berentap mengasak kroni sang penjajah Inggeris, si Lee Kuan Yew, teringat saya akan kisah pertemuan beliau dengan Pemuda UMNO. Begini kisahnya...
Pak Samad dijemput berbicara dengan para pemimpin Pemuda UMNO sekitar zaman kepimpinan sementara Dato' Nazri Aziz. Pada sesi soal-jawab, beliau ditanya oleh seorang Pemuda, apakah perbezaan antara Pemuda UMNO sekarang dan Pemuda UMNO pada zaman Pak Samad.
Memang sesuai soalan ini diajukan kepada Pak Samad, selaku bekas pemimpin muda Melayu yang hebat di Singapura, beliau diantara pengasas Gerakan Angkatan Muda (Geram) dan PAP (People's Action Party). Beliau juga tidak putus usaha memperjuangkan kemerdekaan serta mempertahankan hak masyarakat Melayu pada era kelahiran Malaysia.
Namun selepas berfikir sejenak, jawapan Pak Samad ringkas,"Handphone". Perbezaan perjuangan Pemuda UMNO dahulu dan sekarang pada hemah Pak Samad adalah 'Handphone', Telefon Bimbit. Telefon Bimbit?
Bingung sejenak anak-anak muda UMNO tersebut, apabila tiba-tiba, seolah-olah dikurniakan Allah S.W.T. peluang menimba lagi ilmu dan pengalaman Pak Samad, berdering kedengaran bunyi telefon bimbit. Tergesa-gesa lebih separuh peserta majlis menoleh ke kocek, beg, meja, kerusi atau pautan lain telefon bimbit masing-masing. Ternyata seorang sahaja yang menerima panggilan, lalu peserta tersebut menjawab, dan tak sempat beredar dari bangkunya, sudah mula berbicara mesra (dengan taukeh mungkin) melalui telefon bimbitnya.
Pak Samad sambil tersenyum mengulanginya,"Handphone". Telefon Bimbit.
Kemudian dengan nada separa sinis, separa nasihat, Pak Samad menghuraikan pernyataannya, lebih kurang begini, kerana saya sendiri tidak hadir, tetapi tersampai juga bicara-katanya:
Pada zaman Merdeka dahulu, apabila Pemuda Melayu dan UMNO berbicara tentang perjuangan, tidak ada "Handphone" (Telefon Bimbit) yang mampu mengalihkan tumpuan perhatian dari prinsip, usaha dan matlamat perjuangan tersebut!
Retakan jantung-hati para pejuang kemerdekaan seperti Pak Samad dari melihat betapa deringan Telefon Bimbit berupaya mengalih perhatian mereka yang kononnya generasi baru pemimpin bangsa merupakan suatu papan-tanda bahaya kian melanda UMNO, Islam, Melayu dan Malaysia. Ternyata juga gejala Telefon Bimbit ini kian menjadi-jadi, terutama apabila Pemuda dukungan Tingkat 4 zaman Lah bukan sahaja kini tak ingin mengamati malah berupaya mengherdik dan sangsi akan nilai-nilai perjuangan generasi merdeka seperti Pak Samad.
Dan bukan yang Muda sahaja yang menghidapi penyakit Telefon Bimbit, yang baru habis Muda dan yang perasan masih Muda pun dijangkiti bersama hingga menular disegenap lapisan kepimpinan negara kita. Lihat sahaja gelagat kaum politik Malaysia di sekitar pilihanraya-pilihanraya kecil Batu Talam, Machap dan kini Ijok.
Di Batu Talam, masyarakat di alih perhatian dari isu-isu penting melalui gembar-gemburan 'boikot' PAS sambil UMNO berbisik-bisik di sebalik tabir akan kecundangnya Dato' Najib sekiranya kerusi UMNO tersebut gagal dipertahankan. Di Machap pula, suasana kempen diperhangatkan lagi dengan terbitnya cahaya yang kian malap, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Kini di Ijok, Anwar terus timbul, menunggang kuda barunya, Tan Sri Khalid Ibrahim, seorang wira yang telah dialihkan perhatian dari perjuangannya untuk bangsa.
Di sebalik jentera dan percaturan pilihanraya-pilihanraya kecil ini, wujud perangkaan, jalan-cara, usaha mempertingkatkan imej kekuatan Dato' Seri Anwar Ibrahim dan perlecehan kedudukan Dato' Najib Tun Razak. Kenapa? Sebab Anwar ingin merebut kuasa! Kenapa? Telefon Bimbit...
Dengan kuasa, nombor Telefon Bimbit sentiasa dicari orang. Dengan kuasa, terbitnya nombor Telefon Bimbit pada telefon yang berdering pasti menyegerakan jawapan. Telefon Bimbit...
Mana perginya perjuangan demi Agama, Bangsa dan Negara? Manakah usaha meleraikan pertelingkahan di antara dan dikalangan kaum? Tertinggal di luar perkiraan jika dilihat pemilihan calon Ijok, baik pembangkang mahupun kerajaan. Yang PKR menusuk usaha mendirikan parti bukan perkauman dengan memilih calon berdasarkan kaum untuk memastikan kemenangan. Yang MIC mengancam harmoni parti untuk menjamin kekalahan.
Ijok untuk menguatkan Telefon Bimbit Anwar...
Machap kelihatan sebagai sandiwara sambilan di antara Batu Talam dan Ijok, tetapi dengan memilih calon yang tak bisa menang, ternyata Lim Kit Siang menjamin kekuatan Telefon Bimbit anaknya di Melaka... Anwar pun pandai, perginya perkempen di penghujung pilihanraya kecil Machap semata-mata sebagai persediaan untuk Ijok... seumpama mencas tenaga Telefon Bimbitnya...
Dan di Batu Talam, PAS memboikot kerana ingin mengelakan dari kehabisan modal menjelang pilihanraya umum. Bukan modal wang sahaja, tetapi modal isu. Ye lah, kalau isu-isu hangat diketengahkannya terlalu awal sebelum pilihanraya umum , mungkin BN dan UMNO berupaya menanganinya dahulu.
Yang penting untuk PAS bukan isu diketengahkan secepatnya supaya rakyat mengecapi nikmat penyelesaian dengan seawalnya. Yang penting kepada PAS adalah dengan hanyir dan hapaknya isu-isu apabila tidak ditangani akibat dipendam, sengsara rakyat menjelang pilihanraya umum akan meningkat. Yang penting kepada PAS adalah kemenangan, walaupun didukung kesengsaraan rakyat yang mungkin boleh dielakkan.
Boikot Batu Talam berniat menguatkan Telefon Bimbit pemimpin-pemimpin PAS...
Memang penuh ilmu dan teladan Pak Samad. Semoga cukup panjang umur Pak Samad dan pejuang-pejuang generasinya untuk melihat nilai-nilai perjuangan yang lebih murni bangkit semula hingga berupaya mematikan deringan Telefon Bimbit yang kian nyaring. Insya'Allah.
4 comments:
this is a fascinating story, bro. i have always admired pak samad and has been a follower of nuraina's tuesdays with bapak since the start. inputs like this will make her forthcoming book a pure mouth-watering prospect. you have just made pak samad very current and relevant to our times here and now.
thanks bro.
dah ke ijok?
hi A.M,
thank you.
I remember Bapak meeting Umno Youth but that was an invitation by Nazri Aziz who was helming the movement.
Thanks again.
Nuraina
Thanks Kak Nuraina. So amended.
Tuan/Puan pemilik blog yang dihormati
Salam
Mohon maaf kerana mengacau. Jika Tuan/Puan sudi dan mempunyai masa, harap lawati Malaysiakita Posting terkini Tuan/Puan disenaraikan. Salam.
Post a Comment