Monday, March 26, 2007

Kenapakah Pilihanraya Harus Diadakan Pada Tahun 2007... BUKAN Kerana Anwarlah!

Dewasa ini telah diperkatakan oleh segenap lapisan masyarakat yang pilihanraya umum bakal diadakan pada akhir tahun ini. Ini walaupun Pak Lah tidak perlu mengisytiharkan pilihanraya sebelum tahun 2009 memandangkan mandat teguh yang dipegang oleh beliau hasil kemenangan besar pada awal tahun 2004.

Lazimnya dikatakan yang Pak Lah ingin mendahulukan pilihanraya tersebut kerana:

  1. Bimbangnya beliau yang menjelang awal tahun 2008, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berupaya bergiat dengan lebih aktif dalam politik selesai tempoh penggantungan hasil pemenjaraan DSAI kerana jenayah rasuah.
  2. Berita 'kekuatan ekonomi' yang digembar-gemburkan oleh media di bawah penguasaan Tingkat 4.
  3. Pengagihan dana RMK9 kepada para penyokong UMNO serta BN yang berterusan secara langsung dan tidak langsung sejak akhir tahun lepas.

Ini semua dikatakan membawa petanda yang pilihanraya akan diumumkan sejurus selepas pengumuman belanjawan 2008, apabila pengagihan dana kepada rakyat pula akan diadakan, mungkin sekali di penghujung atau selesainya Syawal.

Walaupun saya bersetuju yang ada kemungkinan besar Pak Lah berniat demikian, Tangen yang ingin saya ambil adalah 3 sebab di atas bukanlah sebab kenapa Pak Lah ingin mengisytiharkan pilihanraya menjelang akhir 2007.

Sebenarnya, apalah sangat yang perlu ditakutkan oleh Pak Lah tentang menjelmanya semula Anwar Ibrahim ke arena politik. Walaupun Anwar mungkin lebih berupaya memangkinkan usaha dan meningkatkan prestasi pihak pembangkang, tetapi dari segi jentera politik, pihak pembangkang tetap mengalami kelemahan terutama di luar kawasan di mana mereka sudah sedia aktif selama lebih setengah abad.

Anwar tanpa jentera UMNO untuk mendukungnya bagaikan singa yang telah dikasi.

Yang sepatutnya lebih membimbangkan Pak Lah adalah prestasi ekonomi dan kenaikan kos hidup rakyat yang semakin menghimpit, terutama bagi golongan makan gaji dan berpendapatan rendah. Golongan ini lazimnya dari kalangan bangsa Melayu, dan initiatif-initiatif kerajaan, walaupun manis dimulut, ternyata menanduskan kocek, dengan naiknya kos tol, api serta minyak, dan memeritkan hati, apabila kemudahan DEB diancam oleh "jaguh Hitam" Pak Lah sendiri.

Mana tidaknya Tingkat 4 merasakan perlu untuk menggembar-gemburkan, malah sedikit-sebanyak me-reka berita yang ekonomi negara sekarang kian kukuh. Mungkin penduduk Tingkat 4 perlu melindungi diri dari tuduhan bahawa nasihat dan daya-fikir OxBridge yang mentah tidak ubah liat-hanyirnya berbanding pandapat anak muda lepasan universiti lain yang sama kurang berpengalaman.

Orang-orang lama lazimnya tahu yang niat disebalik azam Pak Lah memajukan tarikh Pilihanraya ke akhir 2007 adalah semata-mata untuk menguatkan kedudukan politiknya di dalam UMNO. Ternyata pemimpin yang paling kuat dalam UMNO sekarang adalah Dato' Seri Najib Tun Razak. Inilah sebabnya Anwar menumpukan serangannya bertubi-tubi kearah Najib, bukan Pak Lah. Kalau ada komplot lain tu, tak tahu lah, tetapi ternyata Najib lebih penting kepada UMNO.

Ini adalah kedudukan yang kurang selesa untuk Pak Lah, kerana beliau lebih memerlukan Najib dari sebaliknya untuk kekal berkuasa. Adakah patut ketua harus mengharapkan sokongan nombor dua sebegini rupa... tidak terancamkah Pak Lah? Mungkin Najib datang dari darah bangsawan yang terbukti setia kepada ketua walaupun beliau lebih berpengaruh, seperti bapanya juga. Tetapi ingatlah yang bapanya juga sedia dan lekas mengambil alih apabila ketuanya rebah...

Maka Pilihanraya Umum kelak akan membolehkan Pak Lah melakukan beberapa perkara:

  1. Mengalihkan kerusi pencalonan dari penyokong-penyokong Najib atau pemimpin UMNO lain, seperti penyokong Tun Dr. M dan Tengku Razaleigh Hamzah (KuLi). Ini memberi peluang para pemimpin tersebut diberikan kedudukan yang mampu dipergunakan untuk pertandingan dalam parti.
  2. Pengalihan kerusi ini digandingkan dengan pengagihan dana sempena 'persiapan Pilihanraya Umum', yang sebenarnya untuk mengukuhkan kedudukan penyokong Pak Lah untuk bertanding dalam Pemilihan UMNO peringkat Cawangan dan Bahagian kelak. Ini terutama sekali di Bahagian-Bahagian yang mana UMNO tidak memegang kerusi Wakil Rakyat atau ADUN dan dikuasai pemimpin yang kuat mengkritik seperti Seremban dan Cheras.
  3. Memberi peluang untuk jentera jaguh-jaguh Pak Lah dengan senyap 'mengalahkan' calon UMNO yang 'kurang sesuai' pada hemah para penasihat politik beliau semoga kekalahan tersebut memincangkan kedudukan para pemimpin tersebut di kaca-mata ahli-ahli Bahagian.

Tidak hairanlah yang Pilihanraya 2007 bakal diadakan sekitar setahun sebelum Perhimpunan Agung UMNO. Sebelumnya, pemilihan pemimpin UMNO pada peringkat Cawangan serta Bahagian mesti diadakan. Makanya rakyat tidak harus hairan yang tiada kebimbangan pada Pak Lah akan risiko mandat besarnya tidak mungkin dimenanginya lagi. Apalah perlunya mandat besar dari rakyat kiranya Pilihanraya 2007 akan tetap memperkukuhkan kedudukannya dalam UMNO.

Tetapi ini rancangan Pak Lah semata-mata. Beliau memang seorang perancang yang hebat, seperti dilihat di kacamata TV rakyat Malaysia setiap malam. Adakah rancangan Pak Lah akan membuahkan hasil yang diimpikannya? Mampukah Pak Lah membuahkan hasil dalam bidang politik yang kononnya beliau memang ahli, bukan seperti bidang-bidang lain seperti ekonomi? Wallahualam... Adakah Pak Nujum yang berupaya menilik berdasarkan prestasi Pak Lah hingga kini?

1 comment:

susanloone said...

hi
thanks for sending me your article. that's good. got lots of points. keep on blogging :=)

Tangential Malay Search Results