- Pengakuan pihak penyiasat yang bantahan diterima ROY tentang Mesyuarat Agung 26 September jauh lebih banyak dari yang diterima membantah Mesyuarat Agung 31 Julai. Begitu banyak bantahan yang diterima sehingga ROY tak dapat bertemu dengan semua pembantah, malah bantahan terus menerus diterima tanpa putus!
- Kerunsingan ROY yang sekiranya kedua-dua Mesyuarat Agung MAYC terbatal, maka ada risiko kuasa mentadbir MAYC akan direbut kembali oleh AJK TS Syed Hamid, atau lebih khusus lagi, oleh Tuan Syed Rahman. Malah, ada sekumpulan pemimpin MAYC, baru mahupun veteran, yang mengesyaki ini memang rencana Tuan Syed Rahman untuk melanjutkan cengkaman mautnya ke atas MAYC.
- Implikasi pembatalan Mesyuarat Agung 26 September adalah ia menjadi mercu tanda kegagalan muktamad TS Syed Hamid dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Presiden MAYC! Dahlah 5 tahun tak mampu melaksanakan Mesyuarat Agung, apabila dilaksanakan, hanya kerana terpaksa hasil ancaman Mesyuarat Agung 31 Julai dan kemudian, penuh kepincangan sehingga boleh terbatal!
Atas dasar perkara 3. di atas, ada juga para pemimpin MAYC yang merasakan tidak mungkin ROY berani bertindak membatalkan Mesyuarat Agung 26 September. Ini kerana, TS Syed Hamid tempohari dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, SPAD. Maka, sekiranya TS Syed Hamid terbukti tiada keupayaan mentadbir sebuah persatuan belia sekalipun, apakah mungkin beliau ada keupayaan memikul tanggungjawab memimpin SPAD!
TS Syed Hamid memang lazim diburu kontroversi, bukan sekadar di MAYC, tetapi juga dalam tempoh beliau beraksi sebagai seorang 'Menteri Kanan', terutama sekali pada zaman pentadbiran Pak Lah. Contohnya:
- Sebagai seorang Menteri Luar, beliau terlibat dalam keputusan membatalkan pembinaan 'Jambatan Bengkok' sebagai usaha menambat hati para pemimpin Singapura. Keputusan ini menimbulkan kemarahan oleh segenap lapisan masyarakat yang merasakan sebagai seorang anak kelahiran Pulau Pinang yang diberi tempat di Kota Tinggi, TS Syed Hamid seharusnya lebih menghargai budi dan aspirasi rakyat Johor.
- Usaha Malaysia mempertahankan hak atas Pulau Batu Putih di mahkamah antarabangsa, ICJ, juga mula terungkai pada zaman beliau sebagai Menteri Luar. Walaupun keputusan diturunkan sejurus selepas TS Syed Hamid meninggalkan jawatan tersebut, penggunaan gambar-gambar palsu yang membawa padah terhadap integriti para peguam Malaysia di mahkamah berlaku sewaktu TS Syed Hamid masih bertanggungjawab.
- Sebagai Menteri Dalam Negeri pula, TS Syed Hamid bertanggungjawab atas penyalah-gunaan kuasa ISA apabila memenjarakan seorang wartawan Sin Chew atas alasan 'menyelamatkan' yang dipenjarakan tersebut!
- Baru-baru ini, TS Syed Hamid dipanggil sebagai saksi perbicaraan kes rasuah Ketua Pengarah Imigresen untuk menyangkal tuduhan yang rasuah diambil semata-mata untuk mengisi tabung politik beliau! Mungkin inilah yang menyebabkan beliau begitu sensitif hingga sedia menudah sembarangan orang pemfitnah dan pembohong!
Kembali ke MAYC, harus dinyatakan di sini bahawa pelbagai persoalan yang timbul sekarang tentang Mesyuarat Agung 26 September hanyalah berbangkit kerana cara Mesyuarat Agung tersebut diuruskan. Para ahli kelab-kelab gabungan mungkin bersedia memaafkan kepincangan seperti Mesyuarat Agung tersebut dipanggil oleh suatu AJK yang tidak lagi sah, malah, tidak mencukupi kuorum, dsb. Tetapi yang paling tak boleh diterima adalah budaya pilih kasih oleh Tuan Syed Rahman.
Pada Mesyuarat Agung 31 Julai, kami yang hadir bertekad untuk hadir juga ke mana-mana Mesyuarat Agung yang mungkin menyusul dari malu-alahnya Tuan Syed Rahman. Namun selepas itu, ramai pemimpin kelab-kelab gabungan terkilan apabila melihat begitu banyak kelab gabungan tidak dijemput ke Mesyuarat Agung 26 September. Malah, kelab MAYC yang TS Syed Hamid menjadi ahli pun tak dijemput! Sebabnya? Sebab menyokong Mesyuarat Agung 31 Julai mungkin?
Ramai mengesyaki yang ini kerana Tuan Syed Rahman takut dipersoalkan tentang salah-laku pentadbiran selama lebih 5 tahun, terutama sekali di hadapan TS Syed Hamid. Ada kemungkinan TS Syed Hamid sendiri tidak perasan akan kelembapan pentadbiran Tuan Syed Rahman sehingga MAYC yang dahulunya gagah dengan lebih 900 kelab gabungan dan ratusan ribu ahli individu, kini tinggal segenggam lebih 300 kelab sahaja, itu pun atas usaha AJK Penaja pimpinan YB Suraya Yaacob.
Mungkin inilah sebabnya logo Harimau MAYC yang dicadangkan Tuan Syed Rahman untuk MAYC terbuang lidahnya! Alhamdulillah, kita mengembalikan lidah tersebut menjelang 31 Julai.
Niat saya dan teman-teman murni, untuk menyelamatkan MAYC. Oleh itu, kiranya ROY memutuskan samada mengesahkan mahupun membatalkan Mesyuarat Agung mana-mana pun, kami sedia terus menjalankan tanggungjawab. Kami dipilih memimpin MAYC bukan oleh ROY dan bukan oleh TS Syed Hamid. Kami dipilih oleh warga ahli MAYC sendiri. Masa depan MAYC tak patut dibiarkan bergantung kepada yang tersurat pada beberapa helai kertas...
Apabila bermesyuarat, jawatankuasa MAYC Kebangsaan 31 Julai menumpukan masa kepada aktiviti-aktiviti yang membina kemampuan ahli dan mengharumkan nama MAYC. Kami tidak sibuk memikirkan harta atau mengagihkan jawatan Pengarah syarikat-syarikat MAYC kepada ahli jawatankuasa TS Syed Hamid. Kami tak rasa terhalang pun tanpa kertas Hitam-Putih dari ROY, apatah lagi tanpa restu orang seperti Tuan Syed Rahman. Tanggungjawab kami kepada ahli...
Perjuangan Belum Selesai...
Kiranya sudi, saksikanlah saya di Astro Awani, program Meja Bulat, pada 8.15pm, Jumaat, 29 Oktober.
1 comment:
missed the program.
Post a Comment