Saturday, April 25, 2009

Penanti Dinanti Apa Nak Jadi...

Apa nak jadi di Penanti? Ini adalah antara persoalan yang berlegar di minda pemerhati politik tanah air. Saya fikirkah mahu melakukan analisa terperinci tentang ini, apabila saya diperkenalkan kepada blog baru ini yang agak ... tengok aje lah! Susah saya nak tambah kepada apa dihujahkan di blog tersebut, melainkan perkembengan terkini yang terus memeningkan!

Setidak-tidaknya, bagi BN, diharapkan kemelut siapakah bakal memimpin kempen di Penanti diharapkan dapat mula dijelaskan di mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO tempohari. Tetapi, perlantikan Datuk Seri Zahid Hamidi sebagai Ketua Perhubungan Negeri Pulau Pinang, merangkap sudah pasti pengempen utama UMNO di Penanti semakin membingungkan.

UJIAN KEPADA DS ZAHID HAMIDI

OK-lah, saya akui, pilihan DS Zahid adalah lebih baik dari mengekalkan Pak Lah sebagi Ketua Perhubungan Negeri. Saya juga merasakan bekas Timbalan Pak Lah, Datuk Rashid, mahupun bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Hilmi Yahaya (yang pernah merawat saya semasa di MRSM Balik Pulau dulu) kurang sesuai sebagai Ketua Perhubungan Pulau Pinang yang baru. Malangnya juga, calon kegemaran saya, Datuk Ahmad Ismail, masih digantung!

Makanya, cari punya cari, ada hikmahnya DS Najib memilih untuk meletakkan ketiga-tiga Naib Presiden UMNO ke negeri-negeri seperti Pulau Pinang, di mana pemimpin-pemimpin utama UMNO tidak sebulu. Tetapi perlantikan DS Zahid ke kepimpinan UMNO Pulau Pinang semestinya merunsingkan untuk DS Zahid sendiri, kerana;

  • DS Zahid dahulunya 'General' DS Anwar Ibrahim yang memulakan serangan ke atas Tun Dr Mahathir.

  • Kemudian DS Zahid 'baiah' kepada Pak Lah atas dasar pesanan orang tuanya yang berguru kepada datuk beliau, Tok Guru Abdullah Fahim.

  • Namun pada pemilihan UMNO yang lepas, DS Zahid mengakui kesetiaan awalnya kepada DS Najib kerana beliau mula berjawatan politik di pusat atas ihsan beliau.

Tahulah orang politik ini sebahagian dari evolusinya adalah bertukar-tukar 'tuan'. Malangnya, perubahan haluan seperti dilakukan DS Zahid pasti menimbulkan tandatanya... kerana beliau berupaya ber'tuan'kan musuh ketat tuan lamanya... Ini mungkin petanda kehebatan DS Zahid sebagai seorang ahli politik, dan ini memang susah untuk dinafikan, tetapi saya juga merasakan, perlantikan DS Zahid ini merupakan suatu ujian kesetiaan untuk beliau...

BN KECELARUAN PILIHAN PERTANDINGAN, CALON MAHUPUN TAHAP USAHA

Menarik sekali juga apabila kita melihat, MKT UMNO telah memutuskan supaya keputusan sama ada UMNO akan mendorong BN untuk bertanding di DUN Penanti dilakukan oleh Biro Politik UMNO, yang lazimnya dipimpin oleh Presiden UMNO, DS Najib sendiri. Ada 3 kecelaruan keputusan yang harus dileraikan oleh Biro tersebut, dan DS Zahid pasti akan teruji buat pertama kalinya dalam persoalan:

  1. Sama ada BN patut bertanding? Kalau ya, kenapa, dan kalau tidak, bagaimana hendak menepis pendapat yang ini kerana BN dan UMNO kecut!

  2. Siapakah calon yang terbaik? Calon lama yang pernah menang dan kalah di Penanti ataupun calon yang baru?

  3. Tahap usaha bagaimanakah patut digunakan untuk merebut DUN Penanti?Adakah patut ia diserahkan kepada Perhubungan Negeri sahaja, ataupun diusahakan seperti PRK-PRK lain sebelum ini?

Saya sendiri sudah pun memberikan hujah kenapa BN harus mengimbangi amanah mentadbir dengan tanggungjawab berpolitik. BN harus bertanding tetapi usaha digembling oleh Perhubungan Negeri sahaja, sementara pemimpin BN Pusat mahupun negeri-negeri lain, menumpukan perhatian kepada pemulihan ekonomi. Orang-orang macam kita yang memang nyebok dan tak banyak tanggungjawab kerajaan ni boleh la campur... LOL.

Tetapi, ada juga isu-isu lain yang harus dipertimbangkan. Contohnya, bagaimanakah cara terbaik untuk mengecualikan 'tokoh-tokoh' yang membawa kekalahan kepada BN dari kempen di Penanti, seperti Khairy Jamaluddin, DS Samy Vellu mahupun Pak Lah sendiri? Tambah pula, adakah wajar Tan Sri Koh Tsu Koon diberikan peluang memimpin usaha ini bagi BN Pulau Pinang sebagai ketua parti komponen Gerakan?

PAKATAN RAKYAT DAN PKR PUN CELARU... TETAPI SAMPAI BILA?

Nasib baik bagi BN, Pakatan Rakyat dan PKR pun banyak celaru masih buat masa ini. Contohnya:

  • ADUN penyebab kemelut ini, si Fairus, tiba-tiba didapati tiada bukti pula untuk dihukum rasuah oleh SPRM. Namun, beliau tetap tidak mahu menarik balik perletakan jawatannya... dah bosan kut... atau 'fed-up'? Oh ya... dia nak sambung belajar!... Hai PKR... PKR... pilih calon pun...

  • Sekarang kerana kepelikan terlihat di sebalik perletakan jawatan Fairus, ada ura-ura yang beliau sebenarnya dipaksa pergi oleh kepimpinan PKR. Ini sekaligus mencetuskan khabar yang DS Anwar Ibrahim sendiri mungkin mahu bertanding di DUN Penanti!

  • Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, telah secara terbuka meluahkan rasa kecewanya terhadap kemelut ini, terutama sekali dengan drama perletakan jawatan Fairus. Hmmm... ni Lim Guan Eng memang tak puas hati sebab Fairus letak jawatan ke, atau panik kemungkinan DS Anwar jadi ADUN Penanti dan Timbalan Ketua Menteri I beliau?!

Namun begitu, saya masih yakin yang kebencian Pakatan Rakyat terhadap BN akan terus menyatu-padukan mereka menjelang PRK Penanti nanti. Soalnya, adakah rakyat masih sedia memilih gabungan parti yang agendanya berdasarkan benci semata-mata? Wallahualam...

Oh ya, jangan lupa mengudi 'Poll' saya yang pertama di sebelah atas kanan laman blog ... tentang Penanti ni la!

2 comments:

deepthroat said...

Tulisan saudara membayangkan kekecelaruan pemikiran calon exco pemuda umno yang tewas.

Kekalahan BN dalam pilihanraya kecil Bukit gantang dan bukit selambau seharusnya menjadi panduan kepada keputusan BN untuk samada bertanding atau tidak di Penanti. Yang pastinya, peluang BN untuk kalah di Penanti adalah besar. Penanti adalah kubu terkuat PKR dalam kawasan parlimen Pmtg Pauh.

Kekalahan dan kemenangan BN bukan terletak atas bahu seorang pemimpin sahaja malah perlu dipertanggungjawabkan kepada semua pemimpin di semua peringkat dalam parti.

Saya setuju jika saudara menyatakan beberapa tokoh tertentu menyumbang kepada kekurangan sokongan terhadap BN seperti Samy Vellu yang jelas ditolak oleh India malah juga oleh Melayu dan Cina. Saya kurang setuju dengan pandangan saudara terhadap Tun Abdullah walaupun begitu saya menghormati pandangan saudara kerana saya faham dari sudut mana pandangan saudara terbentuk.

Sebagai orang Pulau Pinang saya lebih memahami politik Pulau Pinang. Saya juga lebih maklum situasi dan senario di Penanti.

Politik Pulau Pinang tidak sama dengan politik Kedah atau negeri-negeri lain kecuali Perak dan Selangor yang lebih mirip kepada Pulau Pinang. Begitulah politik di Kepala Batas dan Tasek Gelugor dengan Permatang Pauh walaupun ketiga-tiga kawasan ini majoritinya Melayu.

Ahmad Ismail, idola saudara, adalah salah satu penyebab kepada kekalahan di Pmtg Pauh semasa PRK. Saya tetap hormati dan sanjung keberanian Ahmad Ismail dalam isu tersebut, akan tetapi saya tidak bersetuju dengan masa dan tempat kenyataan itu dibuat.

Perlantikan DS Zahid Hamidi sebagai Ketua Perhubungan Pulau Pinang mungkin berkemampuan menyuntik semngat baru kepada UMNO Pulau Pinang. Tun Abdullah pun bersetuju dengan perkara ini.

Namun begitu kita perlu menyedari bahawa UMNO bukannya satu-satunya parti dalam BN. Pengerusi BN Pulau Pinang adalah pemimpin Gerakan. Kesilapan besar dalam setiap pilihanraya berlaku apabila UMNO berasa dan bertindak terlalu dominan dalam BN. Bukan sekadar itu, sepanjang masa UMNO berlagak seolah-olah komponen lain BN tidak perlu. Rakyat melihat perlakuan ini dari luar.

Keputusan PRU12 cukup jelas memperlihatkan pandangan rakyat terhadap UMNO dan BN; lebih-lebih lagi di Pulau Pinang. Penolakan BN adalah sebenarnya penolakan terhadap UMNO dan kuasa politik Melayu di Pulau Pinang. Kepincangan, salah guna kuasa dan perlakuan buruk oleh pemimpin-pemimpin BN terutamanya UMNO memperkukukan persepsi buruk terhadap BN. Satu kenyataan yang paling sukar difahami atau diterima oleh pemimpin-pemimpin UMNO.

Perubahan kepada struktur, peraturan dan individu kepimpinan dalam UMNO tidak memberi kesan lansung kepada tahap sokongan pemilih dalam pilihanraya. Laungan slogan baru tidak cukup jika tidak disokong dengan perubahan sikap dan mentaliti.

Di Penanti, kemampuan UMNO Permatang Pauh untuk memperlihat kesepakatan dan permuafakatan akan diuji. Bagi saya ini adalah sesuatu yang amat sukar dilakukan mereka.

Jika dalam bermesyuarat untuk membentuk jentera pilihanraya UMNO sendiri pun sudah bertelagah, bagaimana hendak mendapat sokongan rakyat? AJK UMNO Pmtg Pauh sudahpun membayangkan banyak mana wang yang dapat mereka perolehi dari pilihanraya di Penanti. Ini bukan tuduhan liar saya tetapi berdasarkan kepada apa yang diperkatakan oleh salah seorang dari mereka kepada saya. Jika sikap berterusan begini, mampukah UMNO merampas kerusi Penanti dari PKR?

Sejauh mana DS Zahid mampu membawa perubahan kepada UMNO Pulau Pinang adalah sesuatu yang dinantikan. Saya tidak mempertikaikan kemampuan dan ketokohan beliau cuma sangsi dengan kesungguhan UMNO untuk berubah diri, bukan sahaja di Pulau Pinang malah seluruh negara.

Sebagai Pengerusi Perhubungan Negeri sudah tentu DS Zahid akan mengepalai kempen UMNO di Penanti jika BN membuat keputusan bertanding, itupun jika PRK diadakan. Calon di Penanti tentunya dari UMNO sebagaimana sebelum ini dalam PRU. Persoalannya, BN PP diterajui oleh Koh Tsu Koon dari Gerakan. Perselisihan UMNO-Gerakan secara rasminya masih berlaku, tiada kenyataan damai dibuat setakat ini.

Mampukah gandingan ini berkerjasama memenangkan calon BN? Jika tidak menangpun pun, mampukah mengurangkan majoriti PKR dalam PRU lalu? Dalam PRK Pmtg Pauh lalu, DUN Penanti menunjukkan peningkatan sokongan kepada PKR yang diwakili oleh Anwar. Mungkin kerana faktor Anwar,atau mungkin juga kerana faktor lain.

70% pengundi Penanti, kaum Melayu. Dari jumlah ini berapa %kah akan menyokong BN? Sebahagian besarnya adalah AHLI BERDAFTAR UMNO, namun undinya ke pihak lain. Mengapa ini terjadi? Cina & India bagaimana pula? Apakah kata-kata Ahmad Ismail masih bermain di fikiran mereka? Jika ia, bagaimana ianya akan diterjemahkan ke atas kertas undi?

Bagaimana pula di Kedah yang dipengerusikan oleh orang Sabah, Shafie Afdal? Kedah berbeza dari Pulau Pinang di segi komposisi kaum. Mampukah UMNO Kedah kembali mendapat tempat di hati orang Melayu Kedah?

SARFAMS said...

Salam Blogger,

suatu entri yg menarik.

Teruskan penulisan Tuan.

Terima kasih



Ikhlas,

SARFAMS
http://sarfarizmalsaad.blogspot.com

Tangential Malay Search Results