Monday, July 13, 2009

Hari Ke 103...

Kita di hari ke-103 Datuk Seri Najib Tun Razak di tampuk kuasa sebagai Perdana Menteri Malaysia. Saya sebenarnya agak hairan dengan keghairahan pihak media meraikan 100 hari pertama DS Najib berkuasa. Keghairahan ini sebenarnya bukanlah berasaskan sesuatu kejadian atau budaya Malaysia, mahupun Asia, tetapi menumpang keghairahan lazim Barat yang berasaskan tempoh kedua Napoleon berkuasa selama ~111 hari (20 Mac - 8 July 1815).

Sebenarnya, dari segi kekerajaan, tempoh 100 hari pertama mentadbir tidaklah semestinya sepenting mana. Malah sebagai seorang ahli UMNO, hari ini, yakni juga hari ke-109 DS Najib menjadi Presiden UMNO adalah lebih penting dari segi politik pentadbiran beliau. Pada hari ini, UMNO berentap dengan PAS di hati pengundi Manek Urai dan walaupun faktor tempatan menjadi tumpuan pada PRK ini, dalam senario politik semasa, isu nasional juga kuat mempengaruhi.

Dari segala segi, DS Najib dan pentadbirannya terlihat setidak-tidaknya berusaha untuk menyelesaikan masalah rakyat. Walaupun ada keputusan yang dibuat menimbulkan kegusaran, pembatalan PPSMI contohnya, namun di sebalik keputusan seumpamanya, ada hujah-hujah jitu yang menunjukkan keutamaan rakyat dalam agenda DS Najib.

Walaubagaimanapun, malang bagi DS Najib dan kepimpinan baru kerajaan BN, segala usaha baik mereka setakat ini mungkin tidak dapat memikat kembali rakyat pengundi dalam masa terdekat oleh kerana beberapa faktor yang masih harus ditangani:
  1. Masih ada ide-ide perosak negara yang muncul di dalam agenda pentadbiran DS Najib, seperti ide membina jambatan ketiga dengan Singapura. Ide beracun seperti yang tersebut mungkin timbul hasil dari wujudnya sisa-sisa pengaruh 'Tingkat Empat' Pak Lah di sisi Najib seperti dikatakan di sini. Ya lah, DS Najib memerlukan teknokrat juga di sampingnya, tetapi diharap beliau menjauhilah jenis yang GAGAL dalam hebat bersuara sebegini...

  2. Dari segi penerangan, terlalu banyak usaha kerajaan dengan mudah dapat diputar-belitkan, menyebabkan rakyat sama ada keliru atau terus memikirkan inisiatif terbaru BN tidak merakyat. Jentera penerangan UMNO dan BN kelihatan masih kurang lincah, terutama di seluruh alam media baru. Yang merunsingkan adalah, apabila ramai mengaku 'ahli' semata-mata untuk mencari nama tapi tak reti! Bagaimana harus masalah pokok ini ditangani?

  3. Idola-idola RASUAH masih ada di dalam barisan kepimpinan UMNO dan menjadi simbol masalah parah yang harus ditangani segera oleh DS Najib untuk mengembalikan kepercayaan rakyat. Walaupun DS Najib dengan penuh bijaksana mengecualikan individu tersebut dari kabinet beliau, namun rakyat memerlukan lebih dari itu. Islam sendiri mengamalkan hukuman sebagai sebahagian dari proses pemaafan, maka... bila nak hukum ni?

Saya ternanti-nanti keputusan Manek Urai dengan penuh harapan. Namun, saya lebih berharap hal-hal di atas ditangani, tak kiralah siapa yang menang di Manek Urai. Kerana hari ini baru hari ke-103 DS Najib menjadi Perdana Menteri dan ke-109 berjawatan Presiden UMNO. Ada masa lagi... dan sasaran kita haruslah PRU-13...

4 comments:

Detguaq said...

Salam Bro

Mungkin kerana terikat dengan janji sesama elitis, maka apa yang menjadi kegundahan marhein jelas ditelan, dikunyah, dicerna dan akhirnya dikumbah.....hanya kerna janji yang menyebabkan UMNO semakin goyah....

Macamana nak sembang pasal moral?

wanbaki said...

kalau nak bagi rambut cantik kena la botak kan dulu
kalau nak kebun elok kena lah bajak balik dulu
kalau nak bagi bendang elok kena bakaq jerami bagi habih kena tinggai 1 musim dulu
kalau nak rumah baru elok kena robohkan yang lama

kalau nak UMNO ni elok biaq kalah PRU13 ni kena BANGUN SEMULA

Kalau tak mau kalah PRU13 ni kena la berani berubah.......

Quantum Metal Consultant said...

Jika media berpesta 100 hari Najib sebagai PM tentulah masih normal kerana para Ketua Pengarangnya memanglah dibayar ufti untuk itu dan juak2 ini bekerja menyembah bakti.

Dari segi persediaan sambutan media dan jabatan kerajaan termasuk Rais Yatim wajar diperi permarkahan 'A'+ kerna 'berani' berubah.

Tetapi yang peliknya Najib sendiri ghairah, teruja dan kemaruk sangat untuk merayakannya, untuk apa? Berpuluh projek dan program dilancarkan dalam 100 hari sesuatu yang tidak logik dari segi perlaksanaan kerana keberkesanan datangnya dari fokus dan bukannya carca marba.

Bagaimana pula projek yang paklah lancarkan dulu, kalau sudah berkubur, di mana batu nesannya?

Apapula jawapannya untuk kes Altantuya dan cerita Rosmah - apakah semua itu dapat dipadamkan dengan cerita dongeng 100 hari, bukakah semua itu akan jadi kudis dan menjalar jadi kurap dan akhirnya kanser.

Paklah pada peringkat awalnya juga menafikan kepentingan anak menantu tetapi akhirnya dihambat turun atas perkara yang sama.

Pendekata, 100 hari Najib sebagai PM tentulah tidak banyak beza andainya Lim Eng Guan juga berkesempatan menjadi Perdana Menteri - di mana untuk Melayunya?!

Alizul said...

Keputusan rasmi PRK Manek Urai: PAS menang dengan 65 undi majoriti. Undi majoriti merosot tidak penting dan tidak boleh digembar-gemburkan, hakikatnya UMNO kalah juga! Inikah kesannya hadiah-hadiah 100 hari pemerintahan DS Najib?

Amat sukar bagi sesiapa yang berfikir untuk menerima hadiah-hadiah berkenaan dengan hanya kata-kata. Walau pun boleh diberi "benefit of the doubt", kita perlu tunggu dan lihat. Sekarang kita dah pun lihat kesan pertama dengan kekalahan di Manek Urai. Apakah akan ada kesan-kesan lain selepas ini?

Sepatutnya DS Najib tumpukan perhatian sepenuhnya kepada masalah rasuah kerana rasuah dalaman UMNO masih tersemat tanpa apa-apa tindakan konkrit. Rasuah jugalah yang telah menjadi senjata berbisa yang dieksploitasikan oleh pihak pembangkang. Rasuahlah yang masih mendominasi persepsi rakyat.

UMNO wajib membersihkan diri dahulu. Pembersihan ini mesti juga melibatkan agen-agen perosak dan duri dalam lipatan di dalam kerajaan DS Najib. Apa yang masih dilihat ialah, masalah rasuah masih belum dapat ditangani dan agen-agen perosak masih dikekalkan. Amat mudah mereka bermain politik tetapi amat liat hendak membersih diri.

Tangential Malay Search Results