Sunday, March 02, 2008

Yang Ku Ingin Menjelang 8-3-8

Ku ingin anakku berlari selamat di taman,
Ku ingin isteriku tersenyum belanja lumayan di pasaran,
Ku ingin kocekku tak kerana hutang beratnya,
Ku ingin zuriatku Islam tanpa had harinya,
Ku rindu sekali rasa percaya terhadap pemimpinku,
Ku tak mahu lagi hina ditertawa musuh bangsa, negaraku,
Apakah akan ku nikmati ini semua menjelang tarikh keramat tilik Cina 8/3/2008?

Nukilan di atas hasil rasa gelisah saya sebagai seorang ahli UMNO yang melihat Barisan Nasional seolah terkapar-kapar pada pilihanraya ini. Di antara yang membimbangkan saya adalah:
  1. Kebimbangan terhadap peningkatan kos hidup belum ditangani dengan efektif sepanjang musim pilihanraya ini. Hanya harga minyak yang diperbicarakan, tetapi kebimbangan sedia ada hasil isu gula, minyak masak dan tepung yang saling berganti. Usaha kerajaan menangani ini sama ada diketahui tidak berkesan atau menimbulkan kebingungan.
  2. Perasaan tentang kehilangan berterusan adik Sharlinie berubah dari kebimbangan menjadi kerunsingan apabila dimaklumkan bahawa usaha polis terpaksa dikurangkan supaya perjalanan pilihanraya boleh dipantau. Sudah tentu ini bukan menggambarkan niat pemerintah? Bukankah keselamatan anak-anak murapakan antara tanggungjawab utama.
  3. Sebagai anak Kedah, terguris hati bila diisytiharkan yang peperangan politik paling sengit sedang berlaku di Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan. Tidakkah para pemimpin teratas sedar akan keadaan yang melanda Kedah kini, terumbang-ambing hasil penamaan calon yang kurang sesuai dan ketiadaan para ulama UMNO yang berupaya mempertahankan Islam Hadhari?

Namun dari segi politik, UMNO dan BN mungkin sekali bernasib baik yang para pembangkang di negara kita ini masih agak pincang idea, upaya dan pengalamannya. Ya lah, niat sendiri-sendiri mungkin baik, tetapi keikhlasan dan kewibawaan mereka terus menjadi tanda-tanya. Contohnya:

  1. Sejauh manakah upaya rakyat Melayu menerima DAP yang ternyata mewar-warkan niat untuk membawa keadilan sejagat antara kaum dan menjayakan Bangsa Malaysia sebagai muslihat untuk melupuskan hak istimewa orang Melayu. Bayangan hubungan erat mereka dengan dalang PAP Singapura tetap menimbul kesangsian...
  2. Yang si Anwar pula, tak habis agenda untuk memastikan paling kurang adalah satu kerusi Parlimen yang bakal dipegang PKR untuk diambil-alih olehnya sejurus tamat tempoh pengharaman beliau dari politik. Sekali lagi terlihat ini perjuangan Anwar, bukan perjuangan rakyat. Sampai Hidraf yang ekstrimis pun ditunggang olehnya.
  3. Di arena web pula, usaha murni Raja Petra Kamaruddin mengeluarkan Deklarasi Rakyat menjadi bahan tertawa. Pembangkang tertawa sebab mereka dapat tumpang gratis usaha besar yang tidak mampu dihasilkan oleh mereka sendiri. Yang Kerajaan tertawa sebab senang sahaja mereka berkata..."kalau pembangkang berkuasa, mereka pun mahu terus menggunakan ISA, memasang kaki sebagai hakim, dapat kontrek"...

Walaubagaimanapun, BN harus waspada. Kini ada kemungkinan pengundi mengundi bukan kerana parti, bukan kerana sayang pembangkang, bukan kerana perkiraan untung-rugi pembangunan. Agenda pengundi sekarang mungkin melonjak menyokong pembangkang kerana marah terhadap kerajaan.

Marah pengundi kepada kerajaan kali ini bukan kerana marah kalah pemimpin seperti pilihanraya "Semangat 46" pada 1990. Bukan kerana marah kerana kesian "faktor Anwar" pada 1999. Marah kali ini kerana marah peribadi, marah yang dibara emosi yang membawa dan tak putus dibawa diri. Inilah yang patut ditangani pemimpin UMNO dan BN dalam beberapa hari ini... sebelum tarikh 8/3/2008 menjelma hakikatnya keramat buat siapa...

1 comment:

Dominic yee said...

i think your views are very honest and unbiased, we need more people like you to shade some truth about this country. Thank You.

Tangential Malay Search Results