Terlalu ramai kawan, apatah lagi lawan, yang bakal marah kepada jurublog ini kerana menulis bagaimana seharusnya BN kalah di Bagan Pinang. Tetapi ada baiknya ini ditulis oleh orang UMNO, supaya dilihat sebagai sebahagian dari renungan dan usaha memperbaiki parti dari dalam dan bukan propaganda politik semata-mata. Kenapakah BN seharusnya kalah di Bagan Pinang?
- Fitnah berganding layanan buruk terhadap seorang jaguh politik UMNO tempatan yang walau masih disayangi rakyat sehinggakan mendahului calon lain dalam pilihan, dibiar nama baiknya comot tanpa pembetulan.
MIC kekal porak-peranda termasuklah di Teluk Kemang, di mana pemimpinnya, walau bertelingkah dengan Presidennya, masih tak lalu dipilih masyarakat India, apatah lagi meraih undi untuk calon UMNO!
UMNO masih lagi dibuai mimpi yang ia,"Bukan asyik kalah, tetapi masih belum menang... ?!?!?!" Buaian mimpi ini membuat UMNO cuai dan berlaku acuh-tak acuh tentang keputusan yang harus diambil untuk menghembuskan nyawa baru ke dalam parti.
Kalau nak diikutkan, keputusan siapakah calon di Bagan Pinang seharusnya mudah, tetapi yang itu pun tertangguh bersabit perkara di atas! Padahal permainan propaganda Pakatan Rakyat sudah berjalan dengan rancak sekali! Lagi ditunda keputusan calon, lagi melaratlah situasi untuk BN. Oleh itu, sebelum mengupas fasal-fasal tersebut, ingin saya mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Isa Samad kerana dipilih juga akhirnya dan syabas kepada kepimpinan UMNO.
Hero Linggi Kewibawaan Dicabuli, Pemimpin Dah Berganti Bila Nak Diampuni?

Kenapakah Tan Sri Isa Samad masih popular dalam UMNO. Malah, kenapakah beliau masih dipilih calon ADUN, sejurus selepas melangkah tanpa halangan ke jawatan Ketua Bahagian Teluk Kemang tempohari? Kerana amnya orang UMNO tahu, Tan Sri Isa sepatutnya tak dihukum gantung keahlian dan dilucutkan jawatannya kerana rasuah oleh Lembaga Disiplin UMNO beberapa tahun lalu. Ini kerana beliaulah calon Naib Presiden paling bersih pada Pemilihan UMNO 2004!
Kenapa beliau dihukum jua dan dengan berat sekali memandangkan 'kesalahannya' adalah sudi hadir majlis penyokongnya yang dibiaya sendiri oleh para penganjur, memandangkan ada orang yang sogok duit dan bagi kontrek kelas F baru-baru ini kena 'amaran' sahaja, ada dihuraikan di sini, sini, sini dan sini. Tak perlulah kita persoalkan lagi konspirasi menjatuhkan Tan Sri Isa dahulu. Pendek kata, ada orang takut beliau naik menjadi Timbalan Presiden parti kelak!
Tetapi, memandangkan kepimpinan UMNO pun dah berubah, kenapakah kes beliau tidak dibuka semula untuk memberi keadilan sebenar kepada beliau? Malah, banyak kes Lembaga Disiplin UMNO zaman Pak Lah patut dibuka semula. Ada yang kerana yang dihukum 'bersalah' seperti Tan Sri Isa... bukan bersalah rasuah, tetapi menjadi saingan politik kepada Ikon-Ikon Korupsi. Ada pula hukuman terlalu ringan dikenakan Ikon Korupsi dan yang bersekutu dengannya...
Hasilnya, orang luar mahupun beberapa kerat ahli yang baru masuk UMNO, yang tak tahu menahu tentang hal konspirasi dalaman sebegini, semua memikirkan TS Isalah antara perasuah besar dalam UMNO! Ini adalah fitnah kepada peribadi TS Isa yang harus diperbetulkan. Apabila dia terlihat calon ADUN terbaik untuk bahagiannya, barulah terfikir, terhegeh-hegeh memikirkan macam mana nak mengubat dosa ini! Kerana dosanya bakal mengancam masa depan parti!
Lebih buruk lagi, ada pula orang yang untung dari konspirasi dahulu, tak sedar diri! Yelah, orang tak reti politik, naik tinggi dalam Bahagian pun kena 'parachut' oleh Pak Lah! Yang tak sedar diri, berkempen ke sana-sini di Negeri mengata TS Isa pilihan calon yang buruk! Apa, dia tak sedar ke yang orang Teluk Kemang, pengundi Bagan Pinang, ramai GERAM sebab TS Isa kena pejatuh dahulu! Diorang tahu, kalau tak, mungkin pemimpin kampung mereka inilah sekarang jadi TPM!
Maka pada hemah saya, orang Bagan Pinang, sebagai pengundi Teluk Kemang yang mesra dengan TS Isa sehingga sekarang, memang tak ada sebab untuk menyokong BN. Hero mereka dijatuhkan dengan hina sekali! Kenapalah rasanya di Teluk Kemang khususnya, kubu BN yang menyaksikan pelbagai pembangunan, BN kalah begitu banyak kerusi, termasuk Parlimen? Kenapakah Negeri Sembilan pun BN hampir kalah? Rasanya, unsur marah atas nasib TS Isa di antaranya...
Mengetahui ini, patutkah kita hairan yang tiada pilihan lain selain TS Isa untuk mengubati sedikit luka penduduk Teluk Kemang, termasuk Bagan Pinang? Itu pun ramai masih sedar dan tertanya-tanya, bilakah fitnah rasuah TS Isa ini akan dibersihkan dari terus menghantui politik beliau? Yang tak reti politik tapi membenci TS Isa tu sekarang terduduk la...
MIC Porak-Peranda, Masyarakat India Nak Pilih Siapa?
Sebenarnya, di atas adalah faktor yang mempengaruhi penyokong UMNO khususnya dan masyarakat Melayu serta Teluk Kemang amnya, tetapi ia cuma sebahagian sebab kenapa BN seharusnya kalah di Bagan Pinang. Maklumlah, orang UMNO ni, kadang-kadang, marah macam mana pun terhadap kepimpinan, tunggul diletak jadi calon pun diundinya! Taklah seteruk PAS, tetapi cukup supaya mungkin walaupun marah tentang hal di atas, tak cukup lari untuk kalah BN. Yang menyebabkan BN seharusnya pasti kalah di Bagan Pinang adalah faktor Samy Vellu yang masih terus menyengkam nyawa dari masa depan tubuh politik MIC! Di Teluk Kemang, situasi MIC malah lebih teruk! Ketua MIC-nya adalah Dato S. Sothinathan, yang baru-baru ini kalah bertanding Timbalan Presiden MIC atas agenda yang anti-Samy! Dahlah di Teluk Kemang sendiri Sothinathan sekarang sudah tak popular, sampai kalah PRU-12! Alamat berpecahlah MIC Teluk Kemang!
Memandangkan masyarakat India berpotensi menyumbang 19% dari jumlah undi di Bagan Pinang dan pada PRU-12 sudah pun menunjukkan kesanggupan memilih calon PAS, faktor kesediaan masyarakat India mengundi calon BN amatlah penting! Soalnya sekarang, calon UMNO manakah yang popular di kalangan masyarakat India Bagan Pinang, yang terdiri dari pekerja estet dan keluarga. Sekiranya tiada, alamat kalahlah BN akibat kepincangan MIC untuk membantu!
Alhamdulillah, ada seorang pemimpin UMNO tempatan yang terkenal sentiasa sedia menyelesaikan masalah masyarakat India di estet. Malah, walaupun berada di luar bidang kuasa politik seketika, kemesraan beliau dan kebolehannya berkomunikasi serta bergaul dengan berseloroh telah mengekalkan dirinya dalam ingatan masyarakat India yang kalau tidak, amnya cukup tak puas hati dengan BN! Pemimpin UMNO yang dimaksudkan tersebut adalah TS Isa Samad!
Menarik sekali! Nampak gaya kesediaan masyarakat India menerima semula keterbukaan, keikhlasan dan khidmat-bakti TS Isalah yang mungkin menghidupkan kembali nyawa politiknya! Terduduk lagilah musuh-musuh UMNO TS Isa yang pengundi Melayu pun tak tentu dapat dicapai kesetiaannya, apatah lagi masyarakat bukan Melayu! TS Isa berpeluang membuktikan masih ada pemimpin UMNO yang semulajadi 1Malaysia perwatakannya...
Kalau ada pendapat yang ini tidak cukup merangkumi pendapat pengundi Cina, jangan bimbang! Jurublog ini mengesahkan maklumat ini dari sumber akar-umbi Cina dari Teluk Kemang la! Kaum Cina pun nampak gaya bersedia mengundi... TS Isa! BN belum tentu lagi, tetapi TS Isa... mungkinlah!
Mimpi UMNO Tidak Kalah, 'Belum Menang' Menjadi Helah...
Strategi UMNO sepanjang PRK-PRK yang lepas di Semenanjung, di mana semuanya KALAH, dan yang memang nak kalah, KALAH TERUK(!), semuanya rapuh. Sebabnya yang nyata adalah tiga:
Pilihan calon yang tak dapat diterima pengundi. Ini jelas berlaku terutama sekali di 2 PRK, Kuala Terengganu dan Permatang Pasir. Yang di Kuala Terengganu tu bolehlah salahkan Pak Lah, tetapu Permatang Pasir menunjukkan masalah pilihan calon melarat... mungkin yang memilih calon di Permatang Pasir tu tak reti kut?
Apabila calonnya baik dan BN berpeluang menang, mulalah perosak harapan datang 'berkempen' sama untuk menumpang nama 'penyebab' kemenangan! Contohnya, di Bukit Selambau, bila nampak nak menang, tiba-tiba terbitlah Samy Vellu dan lain-lain pemimpin yang dibenci, mengingatlan pengundi India khususnya serta seluruh masyarakat akan kenapa BN patut kalah! Calon Manek Urai pula dikait dengan Ikon Korupsi... konon Pemuda kan?!
UMNO masih dilamun mimpi kemenangan lama, kerap terlupa akan kekuatan yang ada pada Pakatan Rakyat sekarang. Di Bukit Gantang, petanda BN bakal kalah sepatutnya tampak dari jauh! DS Nizar merupakan calon tepat bagi PAS bukan kerana beliau baru dijatuhkan dari jawatan MB Perak pada masa itu. Ibu berketurunan Cina beliau memang dari Bukit Gantang, sebahagian masyarakat minoriti terbesar di sana. Susah BN nak menang!
Lamunan mimpi seperti inilah mungkin antara penyebab kenapa, sementara Pakatan bukan sekadar berusaha menang, malah sudah menyediakan alasan atau 'spin' mereka akan sebab mereka bakal kalah, ada pula pemimpin UMNO yang sibuk menunjukkan pengaruh mereka dalam memilih calon. Ini bukan seperti Tun Dr M yang memberi pendapat yang jitu, kaya dengan makna tak kiralah baik-buruknya. Ini pemimpin yang sibuk mencari keuntungan dari pastinya menang BN.
Tabiat 'mengelamun' seperti inilah meyakinkan jurublog ini yang BN tidak mengharapkan kemenangan dari perlaksanaan apa-apa strategi untuk Bagan Pinang. Mungkin lamunan ini berterusan kerana mereka tidak sedar yang seharusnya BN kalah di Teluk Kemang atas sebab-sebab di atas.
Maka Kembalilah Hero 'Comot' Yang Dianiaya... Sebagai Penyelamat!

Namun alhamdulillah, pemimpin teratas BN, DS Najib dan TS Muhyiddin Yassin, ternyata tidak dilamun mimpi lagi. Mereka faham yang BN harus menjamin kemenangan di Bagan Pinang, bukan sahaja untuk menunjukkan keupayaan BN untuk menang kembali, tetapi untuk mempertahankan majoriti tipis BN di DUN Negeri Sembilan. Sekarang bukan masa lagi pun untuk memikirkan imej BN buat jangkamasa panjang, tetapi untuk memastikan BN menang.
Alhamdulillah mereka juga tidak hidung tinggi memikirkan BN pasti menang di kubunya di Bagan Pinang. Syukur mereka mengetahui yang atas sebab-sebab di atas, BN seharusnya kalah di mana-mana PRK sekitar Teluk Kemang. Syabas kerana mereka sedar yang Tan Sri Isa Samad adalah calon tepat untuk mengesyorkan kemenangan di Bagan Pinang. Usaha masih perlu ada, tetapi mungkin BN sudah kembali ...
Wallahualam... kita sama-sama perhatikan...