Thursday, January 28, 2010

Sayunya Pabila Adab Melayu Pudar Di Alam Maya...

Difikirkan episod hilang peradaban Melayu dengan penghinaan Al-Marhum DYMM Tuanku Iskandar Syah, Sultan Johor, yang mangkat pada 22/1/2010, berakhir dengan penangkapan blogger Aduka Teruna. Namun, diperlihatkan oleh teman-teman blogger bahawa fenomena hilang adab di kalangan warga web Melayu memang menjadi-jadi. Tak kiralah penghinaan tersebut terhadap Sultan mahupun arwah Presiden negara jiran yang juga beragama Islam, semua ini tak beradab!

Bila difikirkan lagi, hilangnya adab terhadap Sultan Johor merupakan kemuncak penghakisan adab para penulis blog, terutama sekali blog politik, dalam sepak-terajang di alam maya. Mungkinkah ada baiknya kita semua merenung penulisan sendiri. Kiranya penghakisan adab ini juga sudah tertera di laman blog sendiri, mungki kita juga telah menyumbang kepada hilangnya adab Melayu sehinggakan Sultan yang mangkat boleh dicerca begitu rupa.

Ini menyalahi adab Melayu, mahupun Akhlak Islam melarang kata-kata buruk terhadap arwah, tak kiralah Sultan yang disemadi beristiadat mahupun si papa yang mayatnya berhari terbujur kaku di kaki lima.

Walaupun peribadi sudah membenci, mungkin cara meluahkan perasaan harus berpada-pada, diiringi fakta semata-mata. Contohnya, pembaca lazim blog ini mengetahui yang saya 'kurang setuju' dengan 'kepimpinan' Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda UMNO. Namun, dari saya menghetamnya seperti dahulu sejurus setelah beliau dilawan exconya sendiri, lebih baik saya menyatakan yang dia sudah tidak relevan lagi dan beredar ke topik lain.

Kembali ke topik pokok yakni adab Melayu di alam maya yang kelihatan terhakis; marilah kita bertekad yang apabila sudah arwah seseorang, maka haruslah dikenang dengan hormat, baik dan penuh teladan, tak mengira kawan atau lawan. Kalau ada yang ingin mempelajari dengan bercontoh, sudilah membaca warkah mengenang Al-Marhum Sultan Iskandar nukilan seorang rakyat dan sahabat Baginda.

2 comments:

Goldman said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Akhramsyah Muammar Ubaidah bin Sanusi said...

Komen Goldman dipadamkan kerana ianya spam.

Tangential Malay Search Results