Tidak boleh dinafikan yang DS Anwar Ibrahim bijak dalam memilih dan mengasah bakat kepimpinan muda. Di UMNO sendiri, terlalu ramai pemimpin generasi DS Najib ke bawah yang bertunas bakat kepimpinan organisasinya di bawah didikan DS Anwar. Ini termasuklah mereka yang kini berada dalam barisan kabinet, seperti Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Dr Puad Zarkashi, Datuk Shabery Cheek dan DS Ahmad Zahid Hamidi mahupun Menteri Besar seperti DS Dr Zambry Kadir.
Malah, adalah menarik dilihat yang pemimpin bawahan DS Anwar yang berkualiti dan celik mata seperti disebut tidak menurutnya keluar dari UMNO apabila beliau dipecat dahulu. Pemimpin seperti ini berpegang kepada prinsip perjuangan lebih dari setiakawan, maka apabila timbul percanggahan pendapat tentang halatuju agama, bangsa dan negara, tak hairanlah apabila mereka berpecah barisan dengan DS Anwar memandangkan beliau mula berlaku terlalu liberal dan populis.
Kemudian dilihat, DS Anwar mampu mengumpulkan barisan baru yang berbakat, lebih muda serta cukup bertenaga untuk menggerakkan agenda Reformasinya pada suatu masa dahulu. Namun, tulang belakang barisan tersebut, seperti para pemimpin ABIM veteran seperti Dr Siddiq Fadzil dan Dr Mohd Noor Manuti serta anak-anak buah mereka, mahupun pemimpin politik muda seperti YB Zulkifli Nordin, kini tidak kelihatan di sisi Anwar menghadapi Sodomi II. Kenapa?
Hilangnya sokongan terhadap DS Anwar pada hemah saya adalah kerana pendirian beliau yang kalimah 'Allah' boleh dikongsi oleh umat Islam di Malaysia dengan para penganut agama lain. Malah, DS Anwar memberi hujah bertubi-tubi, menyatakan pendapat yang memesongkan hujah dari para ulama terkemuka atau lebih buruk lagi, seolah-olah bersekongkol dengan Islam Liberal Indonesia pimpinan Nurcholish Majid yang tiada kredibiliti di kalangan umat Islam Malaysia.
Pada masa yang sama, kepimpinan PKR yang benar-benar membawa nilai yang disokong oleh rakyat kebanyakkan, seperti YB Tan Tee Beng, YB DS Zahrain Mohd Hashim, YB Wee Choo Keong, YB S. Manickavasagam dan juga YB Zulkifli Noordin semakin menjauhkan diri dari kepincangan kepimpinan DS Anwar yang merugikan PKR. Ia semakin menjadi-jadi apabila Ketua Menteri DAP, Lim Guan Eng, tertuduh sebagai 'diktator bersifat perkauman' di negeri DS Anwar sendiri, Pulau Pinang.
Sekiranya YB Saifuddin Nasution terbuka hatinya untuk berpaling tadah, maka tak mungkin mereka yang mencengkam kuasa semata-mata kerana kasih DS Anwar, seperti YB Azmin Ali, Tian Chua, Sivarasa Rasiah, mahupun Syed Husin Ali, dapat kekal ditampuk kuasa parti, apatah lagi menyelamatkan PKR untuk Anwar. Menarik sekali, PKR mungkin kemudian akan ada masa depan sebagai sebuah parti politik berdasarkan prinsip, bukan sebagai pentas peribadi DS Anwar!
Lebih menarik lagi, mungkin sudah ada pun pengganti kepada DS Anwar sebagai pemimpin ulung yang diakui walau di peringkat antarabangsa ... YBM Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (KuLi)! Dan DS Anwar juga yang tak semena-mena membuka jalan untuk KuLi dengan menjemputnya untuk memimpin 'kaukus' royalti minyak!
Menarik...
No comments:
Post a Comment