Masih Relevankah Anwar Setelah Dikalahkan Oleh Samy Vellu Di Ijok?
Benarkan saya bermula dengan memohon maaf kepada Dato' Seri Samy Vellu, Dato' Seri Najib Tun Razak dan YB K Parthiban atas salah analisa di blog ini tempohari akan peluang kemenangan BN di Ijok. Saya mengaku termakan propaganda tentang perpecahan MIC Ijok akibat iri-hati awal Ketua Bahagian MIC Kuala Selangor kerana tidak dipilih sebagai calon BN pada pilihanraya kecil tersebut.
Namun dalam seminggu sebelum pembuangan undi di Ijok, saya terbaca paparan berikut oleh seorang blogger ulung (http://bigdogdotcom.wordpress.com/2007/04/25/bloggers-bertemu-parthiban/) yang menunjukkan secara nyata yang K Parthiban bukan sahaja calon yang tepat, malah bakal menang akibat aktiviti giat beliau di peringkat akar-umbi MIC mahupun NGO pemuda di Ijok.
Kemenangan BN di Ijok membuktikan sekali lagi yang dari segi kelincahan politik pilihanraya di peringkat akar-umbi, Samy Vellu kekal ulung dikalangan ahli politik kaum India di Malaysia. Ada juga yang mengatakan bahawa beliau jelas terletak di tangga kedua selepas Tun Dr Mahathir dan sebelum Tun Lim Chong Eu dalam kategori tersebut jika dibandingkan semua pemimpin politik tanahair yang masih hidup.
Lihat sahajalah bagaimana dengan pemilihan calon yang tepat sahaja, Samy hampir menjamin kemenangan BN di Ijok, sekaligus membuktikan Dato' Seri Anwar Ibrahim hanyalah sekadar fenomena politik semusim-dua yang kini kian lelah hidup politiknya di luar payung UMNO.
Berbalik kepada perkara asal, ke manakah arah Anwar selepas Ijok. Keputusan Ijok memang telihat seperti bedalan pukul-mati terhadap Anwar. Anwar dan para pembangkang begitu mengharapkan kemenangan sebagai pemangkin masa hadapan mereka. Yang satu sebagai bukti beliau masih layak dilayan (dan mungkin diterima?) UMNO manakala yang ramai kekal mencari-cari bukti inilah pemimpin yang dinanti-nantikan setelah kembalinya KuLi ke pangkuan UMNO.
Dari awal lagi Ijok diwar-warkan sebagai pertembungan Anwar dan Najib. Para penyokong Anwar, termasuklah 'Gerakan Anti-Najib' (GAN) yang kononnya ada juga pemimpin UMNO, begitu yakin akan kemenangan kuda tunggangan Anwar, Tan Sri Khalid Ibrahim, sehinggakan Pak Lah lambat sekali turun padang, mungkin supaya Najib boleh dipersalahkan atas kekalahan BN yang pada awalnya dijangkakan sekaligus memberi modal untuk kembalinya Anwar ke UMNO.
Tidak hairanlah yang kemasukan semula Anwar ke dalam UMNO menjadi topik Mesyuarat Majlis Tertinggi (MKT) UMNO sejurus selepas Ijok. Malang sekali bagi Anwar, dengan kekalahan PKR di Ijok, modal yang rencananya akan diajukan oleh 'teman-teman Anwar' ke MKT UMNO hangus! Tidak hairanlah bila diberitakan yang MKT menolak langsung kemasukan kembali Anwar ke dalam UMNO... http://www.thesundaily.com/article.cfm?id=17789
Mungkin Anwar sendiri menyedari bahawa hidup politiknya terancam apabila pada hari-hari akhir berkempen, Pak Lah tiba-tiba turun padang! Mungkin sekali budak-budak berhingus dalam politik yang betenggek di Tingkat 4 akhirnya sedar Anwar bakal kalah, maka mereka menasihatkan Pak Lah cepat-cepat turun padang kerana takut kemenangan BN di Ijok bakal dilaungkan sebagai kemenangan Najib mengatasi sandiwara bersulam tohmahan bertalu-talu si Anwar.
Seorang pemerhati yang condong kearah pembangkang siap mempersoalkan sama ada tindak-tanduk Anwar dan Khairy yang saling membedil satu sama lain pada hari-hari akhir di Ijok menggambarkan putusnya usaha sulit mereka dan GAN untuk membawa Anwar kembali ke UMNO? http://www.harakahdaily.net/bm/index.php?option=com_content&task=view&id=7566&Itemid=28
Lebih hebat lagi, kelihatan seperti serangan Khairy terhadap Anwar masih tak putus-putus, walaupun di media arus perdana, apabila beliau dipetik mengatakan parti PKR dan Anwar telah menjadi sejarah apabila kalah di Ijok... http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0507&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm
Ijok sebagai sebuah pilihanraya kecil mungkin tidak kelihatan sepenting pilihanraya umum dalam perkembangan politik tanahair. Namun permulaan kehancuran aspirasi politik Anwar dan pendukung-pendukungnya mungkin hanya salah satu dari hasil kekalahannya di Ijok. Mungkin juga dengan pengukuhan kedudukan Najib sekarang, strategi penduduk Tingkat 4 juga akan berubah serta lebih berwaspada akan masa depan mereka pasca zaman Lah.
Jelas sekarang bahawa para pembangkang mahupun para penyokong kerajaan yang kurang senang akan tindak-tanduk rejim Lah tidak boleh lagi menaruh harapan terhadap Anwar sebagai pemangkin perubahan. Mungkinkah Ijok berupaya menggerakkan rakyat Malaysia supaya membuat penilaian kritis terhadap segala isu tanpa diwarnai harapan terhadap seorang pemimpin sahaja, baik Anwar, mahupun Tun Dr M? Kita hanya mampu mendoakannya.
Namun, yang melucukan sekali, kiranya benar kepupusan muktamad politik Anwar Ibrahim bermula di Ijok, ia bukanlah kerana usaha Najib, yang hanya sekadar pelakon gandingan terpenting pada pilihanraya kecil tersebut, tetapi hasil ketokohan calon BN, K Parthiban, dan kebijaksanaan pemimpin ulung kaum India, Samy Vellu.
Jelas Samy sendiri menyedari akan perkara ini apabila beliau berkata,“Saya percaya PKR melakukan kesilapan meletakkan calon pilihan parti itu, Tan Sri Khalid Ibrahim,” sambil tersenyum sendiri agaknya? ... http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0507&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_07.htm