Monday, September 03, 2007

Gara-Gara Kesombongan Menteri, Bakal Putus Talian Rumpun Akibatnya?

Saya baru kembali dari kenduri meraikan pernikahan seorang sepupu di Jakarta. Dalam kemeriahan sambutan, tiada seorang pun dari wakil rumpun keluarga kami dari Malaysia yang bisa lari dari persoalan yang kini menjadi tanda-tanya kebanyakan rakyat Indonesia,”Kenapakah orang Malaysia begitu sombong terhadap orang Indonesia?"

Dalam selok-belok bicara yang merapatkan silaturahim keluarga, sudah tentu soalan tersebut di utarakan dengan penuh sopan dan kebingungan yang ikhlas. Namun, di sekitar Jakarta pada hujung minggu, rata-rata terlihat sepanduk, lakaran di dinding malah sayup-sayup masih terdengar pekikan yang mengutuk sikap sombong Malaysia terhadap Indonesia dengan nada yang lebih perit.

Mungkin ada yang menuding jari kearah kejadian pemukulan hakim karate dari Indonesia oleh anggota Polis DiRaja Malaysia tempohari sebagai punca kemarahan. Mungkin ada juga yang percaya rasa tidak puas hati jiran serumpun kita adalah hasil dari pemaparan media Indonesia akan pelbagai kes yang kurang enak seperti pemukulan Nirmala Bonat, isu Ambalat atau pembuangan pekerja haram Indonesia.

Walaupun benar mungkin terlalu banyak insiden kurang enak yang sudah berlaku terutama sekali dalam tempoh beberapa tahun ini di antara dua Negara. Semestinya benar juga yang pemukulan Donald Luther telah menjadi tunas kemarahan yang baru. Namun, yang menimbulkan kemarahan meluap-luap hingga hari ini, hampir 2 minggu selepas kes pemukulan tersebut bukanlah kejadian tersebut.

Yang menjadi punca kemarahan tidak terhingga masyarakat Indonesia terhadap Malaysia hingga ke hari ini tidak lain dan tidak bukan, kesombongan Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Syed Hamid Albar, yang dengan angkuhnya, enggan memohon maaf secara rasmi bagi pihak kerajaan Malaysia atas kejadian tersebut!

Rakyat Indonesia majoritinya serumpun Melayu dengan majoriti rakyat Malaysia. Malah, hubungan kekeluargaan juga wujud di antara rakyat bukan pribumi kedua-dua Negara. Maka seharusnya nyata pada hemah Datuk Seri Syed Hamid yang rumpun Melayu sedia bermaaf-maafan.

Pada masa yang sama, Melayu pantang dilayan sombong. Kalau ada salah dan silap, terutama sekali antara keluarga, yang bersalah haruslah terus memohon maaf, walaupun jika kesilapan tersebut tidak disengajakan. Yang penting tata-susila, sopan-santun dan budi-pekerti antara kita. Ketua Polis Tan Sri Musa Hassan sendiri mengakui kesalahan polis kita dan sudah pun meminta maaf kepada Donald.

Apa yang nak ‘eksyen’ sangat Datuk Seri Syed Hamid, bukankah ternyata kita pada pihak yang salah. Bukannya Indonesia itu Negara yang tidak berkait dengan kita. Indonesia bukan sahaja jiran terdekat, malah tunas rumpun Melayu berlegar di antara kepulauannya berpantulan bumi Champa. Rakyat Indonesia juga tak habis-habis berbudi kepada Malaysia dan pembangunannya.

Sekarang akibat angkuh, bongkak sombong dan eksyennya Datuk Seri Syed Hamid, Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) sudah mempertikaikan silaturahim Indonesia terhadap Malaysia sebagai Negara ‘serumpun’.



Sewaktu Singapura membantah pembinaan Jambatan Bengkok mengganti Tambak Johor, Datuk Seri sedia akur kehendak Singapura, walaupun darah bapa Datuk Seri mungkin panas sebentar. Ya lah, kalau dengan Singapura tu, mungkin akur bukan kerana bebal atau dayus seperti ada yang menuduh, tetapi akibat Datuk Seri Syed Hamid merasakan hormat sekali terhadap Lee Kuan Yew. Mana boleh sombong.

Ada yang mengatakan usaha Datuk Seri Syed Hamid mengetengahkan calon Malaysia sebagai Setiausaha Agung OIC dan Komanwel gagal sebab Datuk Seri sombong hingga tak merujuk betul-betul pendapat semua pihak. Tapi ini mungkin tidak benar, mungkin Datu Seri ikhlas memilih, cuma kurang bernasib baik.

Ada yang menuduh yang dengan kebebasan yang diberikan Pak Lah, Datuk Seri Syed Hamid terlalu bersedia mengampu Amerika Syarikat dan kian mangabai teman-teman lama dan setia di ASEAN, OIC dan Komanwel. Sombongnya terserlah apabila beliau lebih bersedia mengutuk Palestin dari membantu. Mungkin Datuk Seri terlalu arif akan kelebihan mengampu kuasa besar lebih dari menngamankan kawan.

Sewaktu Banjir di Kota Tinggi dahulu, Datuk Seri seolah-olah sombong tak melawat, hinggalah hari Pak Lah sendiri melawat kawasan parlimen Datuk. Ya lah kita faham yang Datuk Seri Syed Hamid lebih mementingkan Perdana Menteri dari rakyat kawasan parlimennya. Mungkin bukan kerana sombong, tapi menurut kepentingan.

Apakah ongkos sombong-tidaknya Datuk Seri Syed Hamid dalam insiden yang lain ini?

  1. Mungkin maruah Negara tergadai sedikit dalam hal jambatan bengkok. Tapi tak apa, mungkin Datuk Seri Syed Hamid rasa kita boleh hidup tanpa maruah.

  2. Mungkin kepimpinan Negara di peringkat antarabangsa tergugat akibat kegagalan calon-calon OIC dan Komanwel kita, tetapi tak apa, kita boleh hidup tanpa kepimpinan pada peringkat antarabangsa.

  3. Mungkin Malaysia semakin kehilangan amalan prinsip mengamankan dan manbantu kawan seperti Palestin. Tapi tak apa, hidup Datuk Seri Syed Hamid mungkin lebih senang dan makmur di bawah telunjuk Amerika Syarikat.

  4. Mungkin Datuk Seri Syed Hamid sendiri bakal kalah pilihanraya akibat sombong Datuk Seri pada waktu banjir di Kota Tinggi. Saya agak yakin Negara akan terus membangun tanpa kehadiran Datuk Seri di dalam kabinet.

Namun, apakah bakal ongkos sombongnya Datuk Seri Syed Hamid terhadap Indonesia dalam isu yang seharusnya begitu mudah ditangani ini?

  1. Bersediakan Melayu Malaysia diceraikan dari rumpun terdekatnya di Indonesia?

  2. Bersediakan kaum-keluarga di Malaysia berfungsi tanpa bantuan pengasuh dan pembantu rumah Indonesia?

  3. Bersediakah Malaysia memacu ekonomi tanpa buruh mahir dan kasar dari Indonesia?

  4. Bersediakah Malaysia menanggung kerugian pelaburan di Indonesia, destinasi pelaburan utama negara kita pada hari ini?

Maaflah Datuk Seri Syed Hamid Albar, kos kesombongan Datuk Seri mungkin sudah terlalu tingi untuk ditampung rakyat negara kita.

Pada peringkat awal pemerintahan kerajaan Pak Lah, Tan Sri Abdullah Ahmad telah diberhentikan perkhidmatan dari pengurusan New Straits Times (NST) akibat tindakannya yang dikatakan menghina kerajaan Arab Saudi. Pada masa itu hampir musim haji dan pihanraya pun hampir tiba...

Bulan Ramadhan hampir tiba, bulan yang melihat paling banyak buruh Indonesia meninggalkan negara, lazimnya untuk kembali atau silih-berganti. Pilihanraya pun hampir tiba. Mungkin tiba masanya Pak Lah memecat salah seorang ahli kabinetnya sebelum keadaan melarat. Melayu lazimnya akan tarima sekiranya Datuk Seri Syed Hamid Albar dipecat kerana terlalu sombong...

Tangential Malay Search Results