Blogger dan Pemuda UMNO ini ingin menggesa kerajaan Malaysia untuk menyiasat dengan seberapa segera pelan membina pusat 1Malaysia Spiritual Tourism di Negeri Pahang oleh kumpulan Enchant (Enchant1MST). Ini kerana usaha tersebut pasti akan mencetuskan kemarahan pelbagai pihak, sekaligus mencemar wadah 1Malaysia yang dibawa oleh kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak, terutama sekali dengan pengakuan pemaju yang projek tersebut telah menerima kelulusan bantuan peruntukan kerajaan Malaysia!
Dalam sejarah Islam, perlumbaan penarikan pelawat ke pusat-pusat keagamaan semata-mata demi menjana ekonomi sesuatu tempat telah terbukti mencetuskan rasa tidak puas hati sehinggalah berlaku peperangan. Menerusi Surah Al-Fil, umat Islam diajar bagaimana Abrahah, seorang pemimpin Habsyah telah menempa kemusnahan apabila beliau menyerang Mekah kerana pusat keagamaan yang dibangunkannya gagal menyaingi Ka'abah di Mekah sebagai daya tarikan para saudagar pada zaman itu.
Ternyata, niat adalah penting dalam pembinaan bangunan-bangunan keagamaan. Ianya haruslah pertamanya berlandaskan niat menunaikan kehendak keagamaan, bukan berdasarkan kehendak perniagaan yang ternyata begitu keduniaan! Sebagai pemimpin beragama Islam, saya bukan sahaja terpanggil untuk mengkritik projek Enchant1MST ini kerana ia tidak sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara, tetapi kerana niat pembinaannya yang melencong jauh dari nilai keagamaan.
Apabila kita melihat penggunaan 1Malaysia serta imej YAB Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri diputar-belitkan untuk mempromosikan, malah seolah-olah menghalalkan program Enchant1MST ini, yang dirisaukan bakal menempah keaiban, saya terpanggil untuk membuat gesaan ini kepada pihak berkuasa; siasatlah program Enchant1MST dan ambilah tindakan dengan seberapa segera terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam memajukannya.
HIDUP MELAYU!
Calon Anda... Akhramsyah Sanusi
Rujukan: http://enchant1mst.com/index.html