Wednesday, November 25, 2020

Bila Berkecuali Tidak Memadai: Belanjawan 2021

Penulis melihat keputusan YBM Tengku Razaleigh Hamzah, atau KuLi, untuk berkecuali dalam pengundian Belanjawan 2021 sebagai tertib beradab namun tetap mnengecewakan. Secara simboliknya, penangan tindakan berkecuali YBM memang sesuai, juga melukakan usaha kerajaan PN, tetapi ia tidaklah memadai sebagai tanda penolakkan beliau terhadap keabsahan kerajaan tersebut.

Tinjauan rambang yang dilakukan penulis bersabit harapan Rakyat terhadap tindakan Ahli-Ahli Parlimen adalah untuk memutuskan sesuatu sesuai dengan mandat mereka sebagai wakil rakyat, terutama bagi undian Belanjawan 2021. Walau ada yang melihat Titah Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong (DYMM YDPA) seolah-olah mewajibkan sokongan terhadap kerajaan, tetapi LEBIH RAMAI mahukan undian tersebut lebih mengambil kira musibah yang kini menghadapi Rakyat yang mengundi Ahli-Ahli Parliament tersebut.

Malah ada sesetengah pihak yang dahulunya bersemangat menyokong KuLi apabila YBM mula bersuara mengkritik kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) dan kemudian mencabar keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini keliru dan tertanya-tanya, bukankah mengalahkan undian Belanjawan 2021 merupakan cara paling sesuai serta segera untuk menamatkan riwayat kerajaan tersebut? Sekiranya seseorang Ahli Parlimen ikhlas membangkang dan mengkritik Belanjawan 2021 sekaligus keabsahan kerajaan PH, semestinya wajib mereka menolaknya!

Tindakan berkecuali sebagai bantahan simbolik akhirnya malah mungkin membawa kepada berjayanya Belanjawan 2021 diluluskan walaupun dengan jumlah undi kurang dari separuh Dewan Rakyat!

Ahli-Ahli Parliamen tak perlu risau pendapat Rakyat yang amnya kecewa dengan Belanjawan 2021 yang mensesiakan jumlah gergasi yang diperuntukan dengan menyalurkan kepada peluang-peluang projek besar selain perbelanjaan yang terang-terangan berunsur politik. Malah, Belanjawan 2021 juga jelas tidak berpandukan Titah DYMM YDPA yang  menekankan Kelangsungan Hidup Rakyat dan Pemulihan Ekonomi seiring dengannya! Bukan pembinaan bangunan kerajaan baru atau menghidupkan agensi politik!

Tambahan pula, sejak malam tadi, ura-ura menular yang Peruntukan Ahli-Ahli Parliamen akan ditambahkan lagi sehingga melebihi RM4 Juta bagi setiap Parlimen yang menyokong Belanjawan 2021 ini! Benarkah perkara ini? Inikah rahsia di sebalik ''peruntukan khas'' Jabatan Perdana Menteri bernilai RM 1 Ribu Juta?  Bukankah initiative sesuatu yang berbaur rasuah? Adakah yang BERKECUALI JUGA DAPAT sekiranya ia membawa kepada kelulusan Belanjawan 2021 dengan undi kurang separuh Dewan? 

Akhir kata, Belanjawan 2021 haruslah DITOLAK oleh semua Ahli Parlimen yang ikhlas menolaknya, selain mencabar keabsahan kerajaan PN pimpinan TSMY. Berkecuali buat undian ini merupakan pilihan yang menderhakai mandat Rakyat.

Monday, November 02, 2020

3 November Tarikh Awal Ujian Keikhlasan Dan Keupayaan Kerajaan PN: Mesyuarat Bank Negara Dan OPR

Walaupun seluruh dunia pada hari ini, 3 November 2020, menanti permulaan undian Pilihanraya Presiden di Amerika Syarikat, Rakyat Malaysia seharusnya menumpukan perhatian kepada sebuah mesyuarat penting yang hanya berlaku setiap 2 bulan di Bank Negara Malaysia. Malah pada hemah penulis, keputusan Bank Negara hari ini terhadap apa-apa perubahan kepada OPR merupakan ujian jitu pertama akan keikhlasan dan keupayaan kerajaan Perikatan Nasional.

Tidak terlalu ramai Rakyat Malaysia mungkin menyedari yang setiap 2 bulan, Kadar Pinjaman Dasar Semalaman atau Overnight Policy Rate (OPR) boleh diturunkan, dinaikkan atau dikekalkan oleh Bank Negara. Mesyuarat tersebut penting bukan sahaja untuk diperhatikan institusi-institusi kewangan dan perniagaan-perniagaan besar, tetapi memberi kesan kepada seluruh Rakyat. Ini kerana perubahan OPR ini memberi kesan kepada naik-turunnya kadar pinjaman oleh bank-bank dan semua institusi kewangan kepada seluruh Rakyat!

Maka dengan Covid19 kini melanda, sehinggakan Baginda Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong (DYMM YDPA) menitahkan perlunya Parlimen meluluskan Belanjawan 2021 yang menumpukan Kelangsungan Hidup termasuk dalam pemulihan ekonomi, penetapan OPR pada hari ini jelas sebagai ujian pertama Kerajaan PN. Ini memandangkan penurunan OPR akan memberi panduan jelas kepada semua institusi peminjam di Malaysia untuk mempertimbangkan penurunan kadar pinjaman mereka kepada semua pelanggan. Ia juga sekaligus membuka ruang untuk pinjaman baru diluluskan dengan secara teorinya memudahkan kelayakan meminjam dengan penurunan kadar bayaran balik bulanan. 

Oleh itu, sekiranya kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal mempengaruhi keputusan Bank Negara pada hari ini untuk menurunkan OPR, apakah ada keupayaan pada mereka untuk mendapatkan sokongan Parlimen untuk Belanjawan 2021? Malah pasti akan ada yang bakal mempersoalan keikhlasan Kerajaan PN dalam usaha ini, padahal kadar OPR Malaysia sekarang pada tahap 1.75% boleh dikatakan masih tinggi berbanding negara-negara lain, malah ada negara lain, terutama Negara OECD tetapi termasuk juga Singapura, yang kini mengamalkan atau diambang pengamalan kadar negatif!

Ramai yang dirujuk Penulis berpendapat yang Bank Negara sendiri bersedia menurunkan OPR, mungkin juga secara lebih mendadak, sebanyak 0.5%, namun lebih berkemungkinan sekadar 0.25% buat kali ini ke 1.5%, berdasarkan keputusan-keputusannya sejak Covid19 melanda. Namun, yang merunsingkan ramai adalah desas-desus melalui media yang bersifat acah-acah dan juga keputusan Bank Negara untuk mengekalkan kadar OPR 1.75% pada mesyuarat bulan September 2020 kerana kononnya keredaan senario Covid19 di Malaysia, padahal ekonomi, terutama kedudukan kewangan Rakyat masih parah!

Maka, adalah harapan seluruh Rakyat yang menyedari kepentingan keputusan hari ini yang OPR akan diturunkan. Malah, ia seharusnya dilihat sebagai penurunan pertama yang memulakan rentetan penurunan OPR, yang pada hemah Penulis seharusnya disasarkan ke paras 0.5% menjelang pertengahan ke akhir 2021 demi Kelangsungan Hidup Rakyat. Inilah cabaran keikhlasan dan keupayaan kerajaan Perikatan Nasional menjelang Belanjawan 2021.

Ikhlas,
Akhramsyah M U Sanusi
Ahli Ekonomi Tenaga
(Energy Economist)

Tangential Malay Search Results