Wednesday, January 28, 2009

Aduhai UMNO... Kawan DiLawan, Lawan DiKawan

Selesai pulang dari Perak tempohari setelah berjumpa dan bercerita dengan teman-teman Pemuda UMNO di sana, saya mengambil peluang menyampaikan khabar, salam serta berita sekitar Darul Ridwan ke Ayah. Amnya berita terhangat dan menghangatkan hati Pemuda merupakan kisah YB Nasarudin Hashim, atau 'YB Nasa', yang baru mengisytiharkan dirinya melompat ke PKR.

Lantaran saya menyampaikan berita ke Ayah, beliau melafazkan kata-kata hikmah yang pernah disebutnya berkali-kali hingga perhimpunan agung UMNO suatu masa dahulu:

Kenapakah kita begitu cepat
BerMusuh dengan Kawan dan
BerKawan dengan Musuh?

Beliau mengakui YB Nasa sebagai kawan, yang setahunya begitu setia dengan perjuangan UMNO. Sebagai kawan lama, beliau tak dapat menerima yang pautan nilai YB Nasa boleh begitu cepat luntur hingga sanggup berpindah parti semata-mata kerana kalah pertandingan UMNO, sebagai pencabar pula! Kerunsingan Ayah dapat dirasakan walau diganggang telefon bimbit saya...

Persoalannya, apakah kita Pemuda UMNO dalam kehangatan suasana terlalu lekas memburukkan nama YB Nasa dengan tuduhan 'kecewa', 'rakus' dan sebagainya. Apakah tidak mungkin yang beliau ikhlas dengan pendapatnya yang lebih mudah untuknya berkhidmat kepada pengundinya dengan menyertai PKR? Apakah yang menyebabkan beliau tidak mampu berkhidmat sebagai ADUN BN? Mungkinkah ketiadaan sumber, peruntukan atau kewangan peribadi?

Gaji kedudukan lama YB Nasa sebagai Pengerusi FELCRA lumayan bukan sahaja untuk keperluan dan kehendak keluarganya, tetapi juga dapat disalurkan sebagai derma dan bantuan peribadi untuk keperluan para pengundinya. Apakah saluran kewangan ini sudah diatur-ganti? Apakah mungkin kekeruhan hasil dari pertandingan merebut jawatan Ketua Bahagian juga tidak ditawas dengan cukup sempurna, maka menyulitkan jalan kerjanya untuk berkhidmat sebagai ADUN?

Ini harus dipantau dengan berhemah. Ternyata, kekalahan dalam pertandingan tidak semestinya menghasilkan jauh hati, dengki dan kemarahan sehingga seorang pemimpin yang sudah lama setia tiba-tiba meninggalkan parti. Seperti YB Nasa, YB Datuk Hamdi Abu Bakar, atau 'YB Hamdi', seorang lagi kawan lama Ayah dan ADUN Pengkalan Baharu, juga kalah dalam pertandingan UMNO. Malah beliau kalah dicabar setelah memimpin Bahagian Beruas selama 5 penggal.

Tetapi YB Hamdi tetap setia dengan parti. Kenapa? Apakah perbezaan keadaan YB Nasa dan YB Hamdi. Kedua-duanya orang yang sudah lama berkhidmat dengan setia untuk parti dalam pelbagai peringkat. Kedua-duanya tidak pernah menyertai kem Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam UMNO, malah merupakan seteru-seterunya di Perak. Orang-orang seperti YB Hamdi mahupun YB Nasa amnya dihormati, walaupun kalah bertanding, kerana mereka berbudi pada parti.

Saya rasa analisa yang menyatakan keperibadian YB Nasa comot dan bermotif 'pembelot' berdasarkan kepentingan diri adalah suatu pemerhatian yang cetek lantas tidak membantu UMNO menyelesaikan masalah. Apa, adakah mungkin rakyat Bota memilih YB Nasa kembali sebagai ADUN DENGAN MAJORITI YANG MENINGKAT pada masa calon-calon BN lain ditolak bulat-bulat oleh Tsunami Politik Mac 2008 jika keperibadiannya begitu comot dan rakus sekali?

Dan kini, kita melihat BN Perak diura-urakan dalam proses menarik ADUN-ADUN Pakatan Rakyat pula untuk melompat menyertai parti komponen-komponen. Apakah tidak membingungkan apabila terlihat kita bersedia berkawan dengan lawan-lawan, para musuh kita ini, untuk merebut kuasa? Padahal, kawan yang sedia ada dengan sewenang-wenangnya dimusuhi?

Apakah mungkin yang TINDAKAN YB NASA BERNIAT LEBIH MURNI, YAKNI SEBAGAI USAHA BELIAU MENCELIKKAN MATA PEMIMPIN, PENGGERAK MAHUPUN AKAR UMBI UMNO? Sudah pernah kan pemimpin UMNO meninggalkan kita untuk mencelikkan mata...

Setidak-tidaknya, tindakan YB Nasa haruslah membuka minda Pemuda UMNO, jika bukan UMNO secara amnya, yang zaman kita selesa hingga berupaya bercarik-carik berkelahi dalam pertandingan dalam parti sudah berakhir. Sudah tiba masanya kita kembali ke zaman pertandingan yang berhemah, bersopan dan tidak berdendam antara yang kalah-menang.

Kalaulah benar ura-ura Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali bersedia meletakkan jawatan Ketua Perhubungan Negeri Perak akibat kejadian ini, semestinya ada pengajaran dan iktibar yang harus ditimba. Sebelum kita anak-anak muda terlupa kata-kata hikmah orang-orang tua tentang kawan...

Maklum-Balas Awal Cadangan Pembubaran Sayap UMNO

Saya amnya lebih suka membuat komentar sendiri tentang isu, tetapi saya menerima maklumbalas awal yang cukup cantik dari Ketua Pemuda saya, saudara Nor Saidi Nanyan, tentang cadangan pembubaran sayap-sayap UMNO, termasuklah Putera, oleh YM Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen.

Komen KP Langkawi:

Pengerusi Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen, mencadangkan supaya sayap-sayap UMNO (Puteri & Putera; Pemuda & Wanita juga kah?) dihapuskan untuk membenteras politik wang.

Camana nak terbang kalau tak ada sayap? Apa punya cadangan ni? Inilah tikus yang cuba memperbaiki labu...

Isunya, adakah punca politik wang daripada sayap ataupun tanpa sayap kita bebas dari politik wang? Siapakah yang menyuburkan politik wang? Siapakah sebenarnya yang beriya menghebohkan politik wang?

Apakah sakit kepala, kaki yang menjadi mangsa?

Sudah terlalu cantik rasanya hujah KP saya ni... :-) Namun kerana ini blog saya, ingin saya tambah lagi di sini:
  1. Bukankah tugas Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen dengan Lembaga Disiplin pimpinannya untuk membenteras politik wang? Maka adakah beliau melihat kebanyakan kes datang dari sayap atau dari induk parti?

  2. Apakah pendapat Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen apabila melihat kerjanya sekarang kelihatan dikerjakan oleh MACC? Adakah ini wajar ataupun lojik? MACC di bawah bidang kuasa siapa? Mengapakah pendapat tentang ini tidak dikeluarkan dahulu? Kami ahli UMNO semua kebingungan Tan Sri...

  3. Apakah motif mediamasa yang mengeluarkan pendapat ini? Adakah ia bakal disusuli oleh tindakan ganas MACC terhadap calon-calon sayap pula? Akan bakal adilkah tindakan ini kelak?

  4. Mungkinkah ini usaha untuk memperlekehkan Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen sendiri, secara langsung melumpuhkan lagi Lembaga Disiplin selepas peranannya dirampas MACC yang dikatakan juga dipengaruhi parti pembangkang di Parlimen?

Maaf YM Tan Sri dan sanak saudara yang mungkin terkilan memandangkan bapa serta anak saling berkawan dalam UMNO mahupun NGO, tetapi walau ahli biasa, kami juga bertanggungjawab memantau, mendesak dan menegur...

Monday, January 19, 2009

Kuala Terengganu: Antara Mitos Dan Fakta Di Sebalik Kekalahan

Ada pelbagai teori kenapa BN kalah di Kuala Terengganu. Saya sendiri hanya hadir menyumbang 'atas padang' pada 10-11 September melalui program kerjaya untuk pelajar serta lepasan IPT anjuran Kementerian Pengajian Tinggi. Namun, dari pengalaman tersebut, digandingkan dengan aktiviti media dan perbincangan dengan kawan-kawan, kita dapat menilai serta menjangkakan kekalahan yang bakal melanda.

Kini jari menuding ke sini-sana kononnya pemimpin UMNO ini dan itu menyumbang kurang atau lebih dalam usaha di Kuala Terengganu. Sebagai seorang profesional, saya rasa lebih penting saya ajukan fakta untuk dinilai, kemudian ajukan beberapa teori, termasuklah pemerhatian di manakah kempen BN kelihatan melopong dari segi perisiannya.

Statistik

PRU-12: Undi BN - 32,562 Undi PAS - 31,934 Undi Bebas - 685 Undi Rosak - 931
PRK KT: Undi BN - 30,252 Undi PAS - 32,883 Undi Bebas - 193 Undi Rosak - 665

Ditambah lagi beberapa cebis maklumat kepada statistik di atas:
  1. Pengundi pada PRK KT dan PRU 12 adalah sama, sebab tidak banyak yang mungkin berubah pada daftar selain kematian.

  2. Pengundi Cina lebih ramai mengundi BN.

Berdasarkan statistik di atas, yang saya dapat terjemahkan sedikit adalah:

  1. Undi PAS meningkat dari PRU-12, tetapi sebahagian besar boleh dijelaskan oleh faktor kebanyakan pengundi Bebas beralih kepadanya serta pengundi PAS yang ramai sedikit keluar memandangkan mereka kalah dengan majoriti kecil sahaja dahulu. Tambah pula, calon PAS kali ini bukannya 'orang luar'.

  2. Hanya segelintir pengundi UMNO dahulu yang mengundi PAS kali ini, kalaupun ada. Ini kerana selepas dikira peningkatan undi PAS berdasarkan faktor di atas, peralihan undi dari UMNO boleh dicongak hanyalah sekitar 100-200 undi. Ini juga memberi petanda menarik tentang pengaruh calon.

  3. Yang mengalahkan BN adalah PENGUNDI BN YANG RAMAI TAK KELUAR MENGUNDI BERBANDING PRU-12. Terlihat jumlah undi BN yang berkurangan hampir sama jumlahnya dengan majoriti kemenangan PAS. Memandangkan undi Cina meningkat, AHLI DAN PENYOKONG UMNOLAH YANG TAK KELUAR MENGUNDI WAN FARID DI KT.

Kenapakah Ahli Dan Penyokong UMNO KT Tidak Keluar Mengundi Ketua Bahagian Mereka?

Orang yang paling banyak dituduh membawa kekalahan kepada BN di KT adalah calon sendiri, yakni Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh. Sewaktu diumumkan sebagai calon, sms di antara ahli-ahli UMNO amnya meluahkan kekecewaan atas pemilihan beliau yang kelihatan sebagai usaha Pak Lah dan menantunya memperkasakan penyokong setia mereka sebelum peralihan kuasa.

Namun perasaan ahli dan penyokong UMNO di KT terhadap beliau patutlah diutamakan. Memandangkan beliau Ketua Bahagian yang tak tercabar di peringkat Bahagian, mungkin difikirkan tiada calon lain yang lebih sesuai darinya. Tetapi malang sekali, penerimaan seseorang sebagai calon bukan tergantung pada dirinya sahaja, tetapi juga keterampilan atau tidak orang di sekelilingnya.

Tetapi sebelum dikupas dengan lebih lanjut, mari kita perjelaskan logik di sebalik pendapat yang faktor calon merupakan faktor penentu (walaupun ramai di antara kita cuba menidakkannya sewaktu kempen PRK KT). Apakah yang berbeza di P036 di antara PRU-12 dan PRK KT?

  1. PM? Sama. Peralihan kuasa belum pun berlaku dan ini jelas dari pilihan calon. Sudah tentu Datuk Seri Najib akan memilih calon yang kurang pincang sekiranya beliau sudah pun berkuasa. Pak Lah sahaja yang dalam keadaan genting sekalipun bersedia memilih penyokongnya sebagai calon.

  2. Barisan Kepimpinan UMNO? Juga Sama. Paling tidak pada peringkat Pemuda, selain Ketua-Ketua Pemuda Bahagian baru, barisan kepimpinan Pemuda Negeri dan Nasional ternyata serupa dengan PRK-PRK lepas.

  3. MB? Lain, tetapi ini tidak dilihat sebagai faktor penting kerana kalau ia mempengaruhi keadaan, sudah tentu lebih ramai pengundi UMNO dahulu kini memangkah PAS. Tetapi, menurut congakkan dari statistik di atas, hanya segelintir para pengundi UMNO dahulu yang tergamak untuk beralih ke PAS, maka pengundi UMNO amnya masih ada kesetiaan kepada kepimpinan BN dan UMNO Terengganu.

  4. Calon? Yang ini sahajalah banyak bezanya. Dari segi umur, keperibadian, persahabatan dan lain-lain lagi... termasuk gelagat keluarga...

Telah dikatakan antara nasib malang yang menimpa Dato' Wan Farid adalah tindak-tanduk abangnya Wan Hashim, termasuklah dalam merebut jawatan Naib Ketua Bahagian KT dari arwah Dato' Razali Ismail beberapa bulan sebelum PRK KT. Tindakan Wan Farid 'meredhakan' tindakan abangnya ditafsirkan sebagai usaha mematikan riwayat politik Dato' Razali yang popular di kalangan guru. Memandangkan beribu para guru merupakan pengundi Kuala Terengganu...

Wan Farid juga banyak dikaitkan kepada isu-isu pedih untuk rakyat Terengganu dan ada yang mengatakan yang keperibadian beliau juga tidak menyenangkan! Tak kenal maka tak sayang, tetapi kekadang dah ketemu pun cemuh juga! Semua ini mungkin dibilang oleh orang sebagai serangan peribadi terhadap Wan Farid, tetapi kita harus akui yang dalam mana-mana pilihanraya, keperibadian calon menjadi tumpuan dan haruslah dipantau...

Kesilapan PRK KT = Kesilapan PRU-12

Sebagai pemerhatian akhir, saya melihat banyak kelemahan BN di KT yang membawa kekalahan sebenarnya sama seperti sewaktu PRU-12 - ya lah, calon lemah macam mana pun, kalau strategi rapi, setidak-tidaknya bolehlah menutup jurang. Di kebanyakan tempat di mana BN kalah padahal sepatutnya menang pada PRU-12 dan dialami juga di PRK KT:

  1. Calon yang dipilih tidak sesuai dengan kehendak pengundi mahupun akar-umbi UMNO di kawasan Parlimen atau DUN tersebut. (Ni 2nd lasy time saya sebut!)

  2. Perjalanan kempen dan jentera ditambat semangat kerana faktor pertandingan dalaman parti. Semasa PRU-12 kerana faktor pemilihan Bahagian menjelang. Di PRK KT, masing-masing hero-hero UMNO bersaing tonjolan demi Mesyuarat Agung Mac ini.

  3. Jentera atas padang di PRK KT mungkin tidak serancak PRK lain, tetapi setidak-tidaknya bergerak untuk menambat hati pengundi yang ada dalam kawasan dan di persekitaran. Malangnya, ia gagal menambat hati pengundi yang menetap di luar kawasan dan pulang untuk mengundi! Pengundi-pengundi ini juga harus dipantau dengan lebih rapi.

  4. BN gagal memikat hati pengundi muda. Ini mungkin kerana cara yang kurang sesuai, gerak-kerja media yang tidak menyeluruh dan mengabaikan sedikit media baru serta penonjolan pemimpin Pemuda yang kurang kredibiliti sebagai penarik minat pengundi muda.

  5. Kempen PAS dan yang bersekutu dengannya kian hari semakin rancak, tetapi kempen BN pasang-surut sepanjang tempoh yang ditetapkan. Ini merbahaya.

Maaflah kiranya pedih, tetapi Qulil haq walau ka nal muran... dan kalau kita tidak berubah...

Meleraikan Mitos Penolakkan Kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak

Pada masa sekarang ada pelbagai mitos yang timbul mengaitkan kekalahan BN di PRK KT sebagai petanda penolakkan rakyat terhadap kepimpinan DS Najib. Rasa saya ini adalah propaganda pembangkang dan para peminat Pak Lah yang lain. Sekiranya DS Najib ditolak, sudah tentu lebih ramai penyokong UMNO yang lama memangkah PAS, sepertimana sekiranya MB baru ditolak, tetapi ini tidak berlaku. Seperti dihujahkan di atas, faktor calon menjadi faktor utama di PRK KT.

Lagipun, rasanya kurang sesuai untuk kita nilai sokongan penduduk seluruh negara terhadap DS Najib dari keputusan satu PRK sahaja. Kalau kita lihat secara amnya, rakyat lega sedikit dengan adanya pelan peralihan kuasa. Malah pembangkang pun menunjukkan kebimbangan mereka yang UMNO dan BN akan kembali tegar selesai peralihan kuasa pada bulan Mac. Kalau tidak, kenapakah pemimpin pembangkang beria-ia mahukan Pak Lah kekal di tampuk kuasa?

Saya berharap analisa saya di atas dapat diterima dan saya sedia menerima teguran, tambahan, kritikan dan pengajaran melalui komen. Janganlah kita cetek fikiran seperti ahli propaganda pembangkang, dan 'penganalisa media' luar negara yang kini beria-ia membaca pelbagai mitos dari keputusan PRK KT ini...

Sunday, January 11, 2009

Gaza - Kenapakah Israel Menyerang Sekarang? Apakah Tindakan Susulan Yang Sesuai?

Pembunuhan beramai-ramai masyarakat Palestine di Gaza oleh rejim Zionis Israel yang berhelah serangan balas terhadap Hamas bermula dengan agak mengejut. Kenapakah ia berlaku sekarang, padahal kegiatan Hamas memperjuangkan hak rakyat Palestine tak pernah putus-putus, cuma sekadar berubah kehangatan serangannya sesekala? Sudah tentu ada sesuatu yang mencetuskan keganasan terbaru ini.

Blogger ini mula-mula memikirkan pemimpin rejim Israel, Ehud Olmert, tidak perlu mempopularkan diri sebagai membunuh 'pengganas' kerana beliau tidak akan terlibat lagi pada pilihanraya umum Israel pada 10 Februari ini. Namun kini tercetus pula pemikiran yang mungkin peperangan ini akan digunakan beliau untuk kekal di tampuk kuasa. Selain itu, ada juga kemungkinan keganasan tersebut didalangi para perebut jawatan Perdana Menteri (PM) Israel yang lain.

Buat pengetahuan, Menteri Luar Tzipi Livni, Menteri Pertahanan Ehud Barak dan Ketua Pembangkang, Benjamin Netenyahu semua bakal merebut kerusi PM tersebut. Malah rakyat Israel sendiri berfikir keganasan terbaru di Gaza akibat kemelut politik dalaman Israel, yang kini menyebabkan parti Buruh pimpinan Ehud Barak semakin popular! Alangkah sedihnya yang kematian ratusan anak-anak kecil tak berdosa di Gaza semata-mata kerana rebutan kedudukan PM Israel!

Selain sebab politik, ada juga kemungkinan besar tindakan terkini rejim Israel adalah akibat tekanan ekonomi Amerika Syarikat (AS). Kenapa? Ini bukan soal sumbangan senjata mahupun bantuan lain seperti penyelidikan dan dana dari AS ke Israel. Ini soal kesempitan ekonomi tersebut kini mengancam sumbangan dana AS ke negara Mesir bernilai ribuan juta USD setahun!

Mesir merupakan negara teluk yang paling berupaya mengancam atau setidak-tidaknya menumpulkan bilah Israel yang terhunus di leher rakyat Palestin. Tentera Mesir terkenal sebagai satu-satunya tentera Arab moden yang berjaya merebut kembali terusan Suez dari Israel pada Yom Kippur (dikenali juga sebagai perang Ramadhan atau perang Oktober). Namun kemampuannya terkunci sejak pembunuhan Anwar Sadat dengan 'rasuah' dana dari AS.

Malang bagi Israel, rasuah dana AS ke Mesir kini ternyata terancam akibat kemelesetan ekonomi, terutama dengan ketibaan Barack Obama. Memandangkan Presiden Hosni Mubarak semakin terancam kedudukannya akibat kerapatan hubungan kerajaannya dengan negara-negara durjana tersebut, putusnya dana AS pasti akan mengancam hubungan dua hala Mesir<->Israel. Mesir pasti akan lebih bersedia membantu masyarakat Palestin dalam menangani keganasan Israel.

Oleh itu, ada juga kemungkinan yang Israel kini mengganas kerana inilah peluang terakhir untuk melakukan demikian sebelum kekuatan Mesir untuk menangani ancaman ketenteraannya dilepaskan dari gari rasuah dana AS! Oleh itu, ekonomi juga mungkin penyebab pembunuhan beramai-ramai anak-anak kecil yang tak berdosa tersebut.

Beginilah berolah sejarah keganasan Israel dan Barat, di pacu kepentingan politik persendirian ataupun keperluan ekonomi dalaman, tanpa bersifat perkongsian. Mungkinkah kita perlu mengolah cara lain untuk menangani keganasan Israel, selain kecaman, rundingan dan boikot, yang walau murni niatnya, terlihat terbatas kejayaannya sebelum ini? Mari kita fikirkan bersama...

Saturday, January 03, 2009

Penswastaan IJN Nak Diteruskan? HAH! AMENDE NI?!!

Saya dikejutkan dari demam tahun baru dengan sms berteks,"Awas, penswastaan IJN akan diteruskan! Lawatilah Rocky."

Reaksi pertama saya? HAH! AMENDE NI?!! DAH LUPA DARATAN KE MAKHLUK YANG MENGEJAR KERJA NI?

Maka dengan ini, saya pun menyertai jeritan perit masyarakat siber menentang usaha menswastakan IJN, dengan berlencanakan:
Selain itu, siasatan kita tentang angkara siapakah ini berterusan. Dari koridor HQ Sime Darby, kami dibisikkan maklumat:
  1. Sime Darby kini bukan lagi di bawah pengaruh Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang amnya dipimpin dan dipelopori nasionalis berjiwa rakyat. Tetapi kini, PNB menerima arahan langsung dari Jabatan Perdana Menteri! (Tingkat 4 le tu kut?)

  2. Yang betul-betul mengejar cita-cita di Sime Darby sekarang adalah saudara Hisham Hamdan. Hah? Siapa tu? Mari kita perincikan sendiri antara kita siapakah gerangan anak muda ini sehingga terancam kesihatan pegawai kerajaan yang berumur, pesara serta masyarakat miskin hasil angkara beliau... selain sang pendendam dan sang rakus la... Mungkin kalau ada kawan atau saudara dia yang terbaca, boleh cuba tanya dia sedikit?

  3. Dan tak payahlah kita nak cerita tentang manfaat IJN ini diswastakan... macamlah kita ni pandai benar. Padahal, orang yang memulakan dasar penswastaan, Tun Dr M, pun secara jelas menentang usaha tersebut. Yang mencadang tu lebih arif benarkah dari beliau? Orang Sime Darby pun tahu, nak ambil IJN ni sebab nak buat untung! Bukan nak terus menolong masyarakat! Harga minyak sawit dah turun beb...

Cerita ini pasti bersambung...

Tangential Malay Search Results