Friday, December 08, 2017

Sahkah Perhimpunan Agung UMNO 2017 Bila Ahli PPBM Jadi Perwakilan?

Sepanjang minggu ini, malah sudah berminggu, saham-saham di KLSE teruk merudum. Memandangkan tiada berita buruk rasanya di peringkat antarabangsa yang mungkin menjejaskannya sekaligus harga minyak pun masih utuh, cuma satu sahaja peristiwa yang mungkin sekali merudumkan suasana; Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 la! Manalah taknya KLSE merudum kalau para pemimpin parti pemerintah Negara membuktikan melalui mesyuarat agung tahunannya betapa jauh pemahaman mereka dari realiti ekonomi Negara!

Namun, ini mungkin bukan berita yang paling sensasi bakal terbit dari PAU kali ini. Sebagai Ketua Pendaftar Keahlian PPBM, jurublog ini baru menerima laporan yang ada ahli PPBM yang hadir sebagai Perwakilan di PAU2017... Perwakilan! Saya telah diminta merujuk sama ada orang berkenaan masih ahli kita yang sah, dan menurut maklumat kita, beliau masih lagi ahli sah! Jadi bagaimana boleh beliau menjadi ahli sah kedua-dua parti? Sememangnya tak boleh!

Saya kemudian merujuk kepada Ketua Bahagian ahli PPBM berkenaan untuk mendapatkan pengesahan sama ada ahli tersebut masih setia dengan kita, khabarnya beliau masih setia! Siap memaklumkan lagi kepada Ketua Bahagian PPBMnya apabila dipilih menjadi antara wakil 'G7' Bahagiannya ke PAU2017 dan menghantar mesej sebelum masuk ke dewan persidangan! Saya juga difahamkan ahli tersebut tidak dilarang kerana 'rezeki' dipilih ke PAU2017 ni!

Rezeki? Ya ka? Wallahualam... syukur sahajalah ahli PPBM yang setia masih dapat rezeki dari UMNO walaupun dah keluar dari parti lama untuk menyertai kita... tetapi...

Eh, betul lah, kalau ikut Perlembagaan UMNO, bukankah ahli PPBM tersebut sudah gugur keahlian UMNOnya bila menyertai parti kita? Kalau dah gugur keahlian UMNOnya, macam mana dengan kesahihannya sebagai Perwakilan di PAU2017? Bagaimana pula kesahihan mesyuarat agung Bahagiannya, sekaligus status Cawangannya, sebab untuk dipilih menjadi wakil ke PAU2017, semestinya ahli tersebut juga wajib menjadi perwakilan Cawangannya ke Masyuarat Bahagiannya?

Bagaimana kalau ada ahli2 PPBM lain sebagai Perwakilan TIDAK SAH di PAU2017 ni? Rasanya ada la...

Sahkah PAU2017 kalau ada perwakilan yang tak sah macam ini? ROS? Oh ROS... ni ni ha, UMNO Nampak macam dah nak haram SEKALI LAGI ni...

Monday, December 04, 2017

Terima Kasih Barisan Najib Atas RCI Forex Yang 'Berguna'

Sebagai penggerak sebuah parti baru seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), antara cabaran terbesar yang kami hadapi adalah bagaimana untuk terus-menerus menarik perhatian serta sokongan Rakyat kepada perjuangan kita. Alhamdulillah, kita berkali-kali dibantu oleh seorang insan bernama Mohd Najib bin Abdul Razak yang dalam beria-ianya memburukkan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, seringkali menghadapi 'backfire'!

Terkini, cybertrooper-cybertrooper UMNO seiring dengan media-masa BN sedang menjaja cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja atas kerugian pertukaran wang asing Bank Negara Malaysia (RCI Forex) agar Tun Dr Mahathir serta DS Anwar Ibrahim disiasat sebagai PM serta Menteri Kewangan pada masa tersebut. Alasan RCI Forex atas keperluan siasatan dilaksanakan adalah kerana kononnya para pemimpin ini 'pecah amanah' atau 'menipu' tentangnya.

Masalah besar remusan RCI Forex tersebut adalah, satu siasatan ke atas kerugian tersebut sudah pun dilaksanakan pada tahun 1993, dipimpin oleh Ketua Juruaudit Negera (Auditor General), Tan Sri Ishak Tadin, yang mengesahkan kerugian RM5.7Billion berlaku akibat kejatuhan Pound Sterling pada 'Black Wednesday 1992. Hasil siasatan telah dibentangkan ke Kabinet Tun Dr M pada 1993 dan diumumkan oleh DS Anwar sendiri di parlimen pada 1994!

Walaupun ada tuntutan dari YB Lim Kit Siang pada masa itu untuk RCI diadakan bagi melaksanakan siasatan berkecuali, usaha ini ditidakkan apabila Tun Dr M membenarkan laporan Audit Forex 1993 dilaporkan secara terbuka ke khalayak ramai tanpa dikekang Akta Rahsia Rasmi. Ketelusan Tun Dr M tersebut, walau pahit dan mendedahkan kelemahan-kelemahan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) pada masa itu, telah membantu meleraikan impak negatif kejadian.

Makanya, apabila RCI Forex merumuskan Tun Dr M dan DS Anwar Ibrahim berbohong tentang skandal forex awal 90-an, ia sekaligus menuduh Tan Sri Ishak Tadin serta anggota pasukan auditnya, Dato' Ir Lim Siang Chai (Timbalan Menteri Kewangan di bawah DS Anwar), para pegawai Bank Negara Malaysia serta sejumlah besar lagi para penjawat awam pada masa itu terlibat dalam satu konspirasi besar!

HEBAT!

Memandangkan cybertrooper UMNO yang terlibat amnya hidup dalam dunia mereka sendiri dan dipimpin oleh Datuk Ahmad Maslan, mungkin mereka tidak menyedari lagi impak tuduhan konspirasi besar-besaran mereka terhadap para penjawat awam. Para penjawat awam di Malaysia sudahpun rasa mual dengan kelaziman terkini di mana biasanya, ahli politik akan terlepas dari tangkapan SPRM walaupun penjawat awam terlibat dalam kes rasuah sama pasti dicekup.

Dalam kes Forex RCI, Barisan Najib memperlihatkan kesediaan mereka untuk memangsai walau penjawat awam yang amat berintegriti lagi dalam persaraan seperti TS Ishak Tadin dalam usaha mengejar kepentingan politik mereka! Selain itu, integriti TS Sidek Hassan, bekas KSN, dan barisan tokoh RCI Forexnya juga pasti tercalar; kalau bukan ditelanjangkan sebagai segerombolan dengan Najib, setidak-tidaknya dilabel sebagai pengecut atau pendedak.

Maka, sebelum dibandingkan pun dengan skandal 1MDB, RCI Forex ini terlihat semakin menjelikkan lagi pendapat Rakyat terhadap Barisan Najib, malah menyentuh kumpulan-kumpulan yang boleh dikatakan sebelum ini, sukar disentuhi perasaan mereka oleh Pakatan Harapan. Para Penjawat Awam ternyata dipandang hina dan keji oleh kepimpinan Barisan Najib, sedia dipergunakan sewenang-wenangnya! Apakah gunanya lagi mereka setia?

Secara peribadi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada panel RCI Forex pimpinan TS Sidek Hassan kerana sekali lagi mempertunjukkan betapa Barisan Najib wajib ditolak rakyat menjelang PRU14.

Friday, October 20, 2017

Bila Kita Tahu Kita Bakal Menang?

Bilakah kita tahu bila kita nak menang? Antara caranya kita nak tahu, jika pertarungannya politik, adalah bila musuh tak puas lagi berentap dengan secara 'biasa', yakni berusaha menarik sokongan penyokong atau pengundi terhadapnya dan menghasut agar kita ditolak, tetapi bila musuh mula mencaturkan perbalahan dalaman di pihak kita.

Ironisnya, secara am, ini benar baik bagi musuh luaran mahupun musuh dalaman atau 'saingan' kita dalam parti!

Ironis khusus bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, PPBM, atau lebih dikenali sebutan Bersatu, Parti Tun M mahupun Parti Bunga Raya oleh orang kebanyakan, fenomena musuh yakni UMNO mahupun saingan dalaman mencaturkan perbalahan dalaman sudah pun bermula sejak penubuhan parti lagi!

Ia petanda samar-samar yang dari penubuhannya lagi, PPBM bersama mana-mana parti sebarisan dengannya sudah bakal menang PRU14. Semakin hari, walau pelbagai rintangan serta ranjau dihadapi serta pasti mendatang lagi, PPBM masih tetap mara ke hadapan. Keahlian kian bertambah, cawangan-cawangan semakin kukuh dan ceramah-ceramah kelompok mahupun himpunan bersama Pakatan Harapan jelas meriah.

Namun jurublog ingin melontarkan amaran serentak cabaran kepada mereka-mereka yang masih asyik bersaing di peringkat dalaman parti. Kita in shaa Allah menang, tetapi belum menang lagi. Allah SWT tak akan membuka hati Rakyat untuk memilih Pakatan Harapan mahupun PPBM pada PRU14 sekiranya kelaku atau peradaban kita di dalam parti tidak sesuai atau ikhlas memfokuskan terhadap menjatuhkan kerajaan Barisan Najib, BN, serta United Money Najib Organisation, UMNO.

Persaingan dalaman mungkin bersifat peribadi, ada yang dipacu saingan malah kerakusan kedudukan sama ada jawatan parti mahupun peluang menjadi calon. Persaingan ini boleh berterusan, ia naluri suatu organisasi politik, tetapi lakukanlah dengan sihat! Berlumba-lumbalah menambahkan ahli serentak penyokong-penyokong kamu dalam parti. Berusahalah membantu menubuhkan Cawangan-Cawangan bagi memautkan kesetiaan mereka kepada budi kamu. Ini persaingan sihat yang akan mengukuhkan parti.

PPBM parti yang disertai oleh para pemberontak kezaliman UMNO mahupun kedengkelan fikiran kepimpinan tertinggi PAS. Jiwa pemberontak ini kekadang membawa tabiat yang tidak sesuai dengan usaha membina organisasi. Lihat sahajalah bagaimana pemberontak-pemberontak hebat dari kalangan pengasas parti, yakni Anina serta Cikgu Kamarul, mahupun penjawat tinggi parti, seperti Datuk Hamidah, akhirnya meninggalkan parti. Hormatilah yang perjuangan berparti mungkin tak sesuai dengan naluri sesetengah dari kita.

Tetapi diharap janganlah naluri pemberontak membawa kemusnahan kita sendiri. Lebih buruk lagi, jangan benarkan agen-agen UMNO mendalangi perbalahan yang memusnahkan di kalangan kita. Sentiasa bertanya, adakah persaingan atau perbalahan ini benar-benar untuk kebaikan perjuangan parti atau lebih bersifat peribadi? Faham-fahamlah sendiri... Tujukan tenaga terhadap yang positif agar benar-benar terjamin kemenangan yang kita in shaa Allah sudahpun hampir capai. #MalaysiaIniKitaPunya

Tangential Malay Search Results