Sebagai penggerak sebuah parti baru seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), antara cabaran terbesar yang kami hadapi adalah bagaimana untuk terus-menerus menarik perhatian serta sokongan Rakyat kepada perjuangan kita. Alhamdulillah, kita berkali-kali dibantu oleh seorang insan bernama Mohd Najib bin Abdul Razak yang dalam beria-ianya memburukkan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, seringkali menghadapi 'backfire'!
Terkini, cybertrooper-cybertrooper UMNO seiring dengan media-masa BN sedang menjaja cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja atas kerugian pertukaran wang asing Bank Negara Malaysia (RCI Forex) agar Tun Dr Mahathir serta DS Anwar Ibrahim disiasat sebagai PM serta Menteri Kewangan pada masa tersebut. Alasan RCI Forex atas keperluan siasatan dilaksanakan adalah kerana kononnya para pemimpin ini 'pecah amanah' atau 'menipu' tentangnya.
Masalah besar remusan RCI Forex tersebut adalah, satu siasatan ke atas kerugian tersebut sudah pun dilaksanakan pada tahun 1993, dipimpin oleh Ketua Juruaudit Negera (Auditor General), Tan Sri Ishak Tadin, yang mengesahkan kerugian RM5.7Billion berlaku akibat kejatuhan Pound Sterling pada 'Black Wednesday 1992. Hasil siasatan telah dibentangkan ke Kabinet Tun Dr M pada 1993 dan diumumkan oleh DS Anwar sendiri di parlimen pada 1994!
Walaupun ada tuntutan dari YB Lim Kit Siang pada masa itu untuk RCI diadakan bagi melaksanakan siasatan berkecuali, usaha ini ditidakkan apabila Tun Dr M membenarkan laporan Audit Forex 1993 dilaporkan secara terbuka ke khalayak ramai tanpa dikekang Akta Rahsia Rasmi. Ketelusan Tun Dr M tersebut, walau pahit dan mendedahkan kelemahan-kelemahan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) pada masa itu, telah membantu meleraikan impak negatif kejadian.
Makanya, apabila RCI Forex merumuskan Tun Dr M dan DS Anwar Ibrahim berbohong tentang skandal forex awal 90-an, ia sekaligus menuduh Tan Sri Ishak Tadin serta anggota pasukan auditnya, Dato' Ir Lim Siang Chai (Timbalan Menteri Kewangan di bawah DS Anwar), para pegawai Bank Negara Malaysia serta sejumlah besar lagi para penjawat awam pada masa itu terlibat dalam satu konspirasi besar!
HEBAT!
Memandangkan cybertrooper UMNO yang terlibat amnya hidup dalam dunia mereka sendiri dan dipimpin oleh Datuk Ahmad Maslan, mungkin mereka tidak menyedari lagi impak tuduhan konspirasi besar-besaran mereka terhadap para penjawat awam. Para penjawat awam di Malaysia sudahpun rasa mual dengan kelaziman terkini di mana biasanya, ahli politik akan terlepas dari tangkapan SPRM walaupun penjawat awam terlibat dalam kes rasuah sama pasti dicekup.
Dalam kes Forex RCI, Barisan Najib memperlihatkan kesediaan mereka untuk memangsai walau penjawat awam yang amat berintegriti lagi dalam persaraan seperti TS Ishak Tadin dalam usaha mengejar kepentingan politik mereka! Selain itu, integriti TS Sidek Hassan, bekas KSN, dan barisan tokoh RCI Forexnya juga pasti tercalar; kalau bukan ditelanjangkan sebagai segerombolan dengan Najib, setidak-tidaknya dilabel sebagai pengecut atau pendedak.
Maka, sebelum dibandingkan pun dengan skandal 1MDB, RCI Forex ini terlihat semakin menjelikkan lagi pendapat Rakyat terhadap Barisan Najib, malah menyentuh kumpulan-kumpulan yang boleh dikatakan sebelum ini, sukar disentuhi perasaan mereka oleh Pakatan Harapan. Para Penjawat Awam ternyata dipandang hina dan keji oleh kepimpinan Barisan Najib, sedia dipergunakan sewenang-wenangnya! Apakah gunanya lagi mereka setia?
Secara peribadi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada panel RCI Forex pimpinan TS Sidek Hassan kerana sekali lagi mempertunjukkan betapa Barisan Najib wajib ditolak rakyat menjelang PRU14.
No comments:
Post a Comment