Tuesday, September 28, 2010

Too Good Not To Share: That Okay Song

Some things are too good not to share! Youths of today expressing themselves. Sit up and listen oh siapa perasan are 'leaders'! Don't judge, just listen, and TRY to understand!

Monday, September 27, 2010

Mengenal Antara Betul Dengan Batil Dalam Hujah Pemimpin

Tempohari saya melihat pelbagai contoh di mana anak-anak muda, Belia, dikelirukan oleh tabiat sesetengah pemimpin. Media-masa hari ini ghairah menceritakan tentang bagaimana pemilihan pemimpin PKR melalui pelbagai rintangan dan kepincangan. Namun mana-mana orang muda yang berlaku salah sering dipimpin oleh pemimpin-pemimpin lama yang sepatutnya berlaku lebih matang, terutama sekali kerana segala gelagat mereka bakal dicontohi.

Melihat pula tuduhan YB Lim Kit Siang terhadap TS Muhyiddin Yassin baru-baru ini. YB Lim KS mungkin berniat baik, menuntut supaya salah-laku di kalangan pendidik di sekolah-sekolah kebangsaan ditangani dengan segera, tetapi dalam keghairahannya, beliau juga terlanjur. Apabila menjawab, TS Muhyiddin menjelaskan bahawa mengikut undang-undang, beliau tidak boleh menghukum guru-guru yang tertuduh kerana ia di luar bidang kuasa Menteri Pelajaran!

Jawapan TS Muhyiddin mantap antara lain kerana ia penuh dengan kebenaran dan menangani pelbagai kebatilan yang timbul hasil tuduhan YB Lim KS. Kebatilan apa? Bukankah tuduhan YB Lim KS cuma sekadar tuduhan dan mainan politik sahaja? Pada saya tidak, kerana YB Lim KS seorang pemimpin pembangkang yang unggul di Malaysia. Oleh itu, sudah tentu ramai orang muda yang meneladaninya. Malangnya, dengan tuduhan beliau:

  1. YB Lim KS memberi gambaran seolah-olah Menteri-Menteri kerajaan semua begitu berkuasa, sehingga boleh sedia menguburkan periuk nasi mana-mana pegawai kerajaan tanpa selesai perjalanan soal-siasat yang wajib dilaksanaan demi mencapai keputusan adil untuk semua pihak. Orang-orang muda harus dididik yang seorang menteri sekalipun haruslah mematuhi undang-undang dan peraturan.

  2. YB Lim KS memberi gambaran seolah-olah asal adanya suara bantahan lantang tentang salah-laku seorang pekerja kerajaan sudah memadai untuk dipecat! Alangkah zalimnya sekiranya demikian! Tidakkah lebih baik penyiasatan dijalankan dahulu untuk mendapatkan keputusan yang lebih adil. Lagi pun, penerimaan suara yang paling deras sahaja selalu seolah menerima, malah memaafkan kekerasan!

  3. YB Lim KS memberi gambaran seolah-olah sekiranya tindakan lambat diambil dari yang beliau harapkan, ianya kerana kehendak menteri semata-mata dan beragenda politik. Mungkinkah ini memberi gambaran keperibadian beliau sendiri sebagai pemimpin politik? Adakah semua tata-bicara YB Lim KS untuk merebut kuasa politik sahaja? Di manakah kebenaran?

Hidup penuh peraturan, walau cara berjalan atau makan-minum. Untuk orang Islam, sunatnya ada, kepada yang bukan, kelazimanlah setidak-tidaknya menjadi aturan. Kalaulah begitu, sudah tentu peraturan mesti wujud untuk mengadili sesuatu kesalahan, kerana kalau tidak, kebatilan akan membawa kezaliman sebelum pun kebenaran dapat bersua muka! Yang diperlukan adalah sabar. Ini yang sepatutnya dididik oleh YB Lim KS, bukan tohmahan sembarangannya.

Sebenarnya, mungkin tak patut saya menggunakan salah-laku YB Lim KS sebagai contoh di sini. Beliau seorang ahli politik pembangkang yang belum berpengalaman mentadbir. Lebih baik saya mempersoalkan kepada seorang pemimpin kerajaan yang pernah menjalankan tugas sebagai menteri.

Contohnya semalam, YB TS Syed Hamid menuduh saya dan teman-teman berlaku salah kerana tak mengikut perlembagaan MAYC dalam menjalankan Mesyuarat Agung MAYC Kebangsaan pada 31 Julai. Tetapi masalahnya, TS Syed Hamid mengajar kami, kerana MAYC pimpinannya melanggar perlembagaan selama 5 tahun dengan tidak mengadakan Mesyuarat Agung! Nasib baiklah kami tak menerima pengajarannya yang ini dihalalkan oleh kedudukan menterinya dahulu.


Mungkinkah YB Lim KS belajar atau mengambil iktibar tentang pentadbiran dari TS Syed Hamid? Melihat TS Syed Hamid gembira menerajui MAYC tanpa berMesyuarat Agung, tanpa perlu menyediakan kunci kira-kira setiap tahun, tanpa menghormati apa-apa peraturan, sekadar berlandaskan kedudukan dan kuasa menterinya, apakah mungkin YB Lim KS mendapat didikan pentadbiran dari orang yang seumpama TS Syed Hamid dalam hal tersebut?

Alhamdulillah, Menteri Pelajaran kita, TS Muhyiddin Yassin, bukan begitu orangnya. Saya bersyukurlah yang sekolah-sekolah kebangsaan yang ada di bawah penjagaannya pasti mendidik anak-anak tentang peraturan hidup, termasuklah kebenaran yang membawa keadilan, agar menjauhi kebatilan benih kezaliman. Pegawai kerajaan yang begitu hina dipandang rakyat pun boleh diadili dengan saksama di bawah kementeriannya. Inilah yang harus diteladani Belia.

Monday, September 20, 2010

Alternative Of What Namewee And Other Youths Should Think Of Building With New Media

Honestly, this acapella rendition of Katy Perry's and Bruno Mar's original seems so much better... at least inspirationally!

Monday, September 06, 2010

Namewee, Hassan Skodeng Dan Realiti Media Belia Pasca 53 Tahun Merdeka


Saya mengunjung halaman blog Namewee apabila diberitahu tentang bidasan terhadap video terbarunya. Kelihatan Namewee sendiri terasa terhimpit selepas dibidas lebih sehari, sehingga beliau menarik balik video tersebut dari paparan Youtube. Saya telah membuat tiga pemerhatian, yakni:

  1. Namewee kelihatan seakan tidak menyedari kesilapan yang dilakukannya. Beliau dari awal lagi menyatakan niatnya adalah untuk menentang perkauman menerusi kepakaran medianya.

  2. Namewee menulis dalam bahasa Cina dahulu. Malah, blognya memang mengamalkan bahasa Cina sebagai bahasa utama. Ini mungkin boleh dibilang rasis kerana ia mengecualikan mereka yang bukan berbahasa Cina untuk menikmati penulisannya, namun ia juga ironis memandangkan pernyataan Namewee yang beliau anti-perkauman. Lagipun, ini pilihan peribadi untuk blog sendiri.

  3. Melalui link ke Facebook, terlihat beliau mempunyai >230,000 pengikut. Apa? Namewee ada >230,000 pengikut di Facebook! Rasanya Puteri UMNO ahlinya pun tak seramai itu! Itu dah ~0.8% rakyat Malaysia, boleh menentukan keputusan pilihanraya di banyak tempat!

Selang seminggu, Namewee menerima pelbagai teguran, amaran, malah terpapar dalam TV serta ditemuramah Polis berjam-jam. Namun Namewee tak kelihatan seperti beliau sedar akan kesalahannya. Walaupun beliau belum lagi diberikan apa-apa hukuman, jumla pengikut Facebooknya semakin mendadak meningkat. Namewee kini mempunya >300,000 pengikut (1.1% penduduk Malaysia!) di halaman Facebooknya.

Mungkinkah terlalu banyak tumpuan telah diberikan kepada perbuatan Namewee sebagai seorang individu dan perlumbaan suara menghentam perbuatannya. Namun beliau masih tidak merasa bersalah. Malah beliau didukung 300 ribu pengikut di Facebook, majoritinya golongan belia Malaysia! Bukankah seharusnya tumpuan diberikan kepada sebab kenapa Namewee boleh begitu popular walau atau mungkin kerana beliau begitu dibidas?

Sekitar masa yang sama, seorang lagi blogger bergelar Hassan Skodeng diheret ke mahkamah atas tuduhan merosakkan nama baik seorang tokoh koprat negara melalui fitnah di internet. Namun apabila dibaca, ternyata coretan kelakar beliau sama-sekali tak masuk akal sehingga pembaca pasti sedar yang ia hanya buat-buatan berunsur sindiran. Apakah mungkin sindiran tersebut terkena sasaran terlalu tepat sehingga tokoh koprat GLC tersebut tergerak untuk bertindak-balas?

Dalam kes Hassan Skodeng juga, terlihat simpati golongan Belia, terutama sekali para pelayar alam maya, lebih kepada Hassan. Amnya, golongan Belia memahami seni bahasa sindiran berjenaka yang digunakan untuk memaparkan kerakusan seorang tokoh koprat. Tidak ada yang merasakan salah tokoh koprat tersebut dipaparkan demikian, kerana ia sesuai dengan imej 'stereotype' atau kelaziman tanggapan Belia terhadap 'tokoh-tokoh koprat' negara.

Dalam kedua-dua kes ini, yang dipersalahkan adalah pempelopor media muda di bawah umur 40 tahun. Yang dipersalahkan adalah mesej mereka yang difikirkan kurang sesuai pemaparannya, sama ada kerana bahasanya terlalu kesat atau sindirannya meruncing tajam. Namun, bahasa dan cara yang digunakan adalah yang sudah menjadi kelaziman dipergunakan oleh Belia untuk menjerit rasa hati serta melontar bantahan ke arah mereka yang 'berkuasa'.

Tindakan pihak berkuasa ke atas Namewee dan Hassan Skodeng tanpa mengakui intipati atau mesej yang dibawa akan dilihat bukan sekadar hukuman terhadap individu berkenaan, tetapi juga penolakkan luahan hati dalam realiti media persekitaran Belia pasca 53 tahun Merdeka. Adakah mungkin dalam apa-apa kesalahan yang dituduh terhadap mereka, ada juga bibit-bibit kebenaran yang harus mengambil kira?

Malah, menurut peraturan MCMC sendiri, kemungkinan besar Hassan Skodeng akan didapati tidak bersalah pun dalam perbuatannya, cuma salah di mata tokoh koprat yang terguris sindirannnya. Manakala Namewee pula... jurublog ini pun sebenarnya tak setuju dengan cara beliau, terutama perbuatan-perbuatannya terdahulu, seperti mengherdik melulu kakitangan TNB dan mempermainkan lagu Negaraku. Namun anggapan 300,000 pengikutnya harus difahami.

Inilah realiti media yang dipelopori oleh golongan Belia pasca 53 tahun Merdeka. Merdeka bukan sekadar mengibar, menaikkan, melukis dan mencatkan Jalur Gemilang sahaja ke mana-mana. Merdeka harus membawa makna lebih dari itu. Makna yang melampaui pembangunan fizikal atau kemakmuran semata-mata. Merdeka membawa peluang untuk masyarakat Malaysia berkembang kematangan dan identitinya.

Identiti Belia Malaysia Merdeka kini sedang diolah menerusi media kita. Soalan bagi pihak berkuasa semestinya adalah, adakah mereka mahu terlihat sebagai penghalang perkembangan identiti ini sehingga ditolak oleh golongan Belia? Atau adakah pihak berkuasa bersedia duduk mencari kesefahaman bersama sebagai 'orang dewasa' yang memimpin tanpa mengekang perkembangan identiti Belia Malaysia Merdeka? 1Malaysia hanya kan tercapai jika kita duduk bersama...

Tangential Malay Search Results