Setelah melihat segala drama serta usaha jijik bagi membuang DS Mukhriz Mahathir dari jawatan MB Kedah oleh barisan pemimpin UMNO Kedah yang Korup lagi Kenyang dari Putrajaya, jurublog ini telah membuat rumusan. Rasanya tindakan ini, yang ura-uranya didalangi dari pejabat DS Najib sendiri, terlalu cetek akal dan tergesa-gesa kiranya memang niat sebenarnya adalah untuk membuang DS Mukhriz. Maka melihat senario nasional, usaha ini sebenarnya digerakkan untuk mengalih perhatian Rakyat dari isu TPPA!
DS Najib, dengan bantuan DS Mustapa Mohamad, DS Wahid Omar serta (sudah tentu) Datuk Ahmad Maslan, sedang berusaha memaksa Ahli Parlimen kita untuk menyetujui penyertaan Malaysia ke dalam Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA). TPPA merupakan usaha terkini Amerika Syarikat untuk mengikat Malaysia serta negara lain yang terlibat dengan lebih erat kepadanya sekaligus menjauhi pesaing-pesaingnya seperti negara China dan Rusia yang tak dijemput pun menyertai TPPA!
Maka melalui 'Trade Agreement' atau 'Perjanjian Perniagaan' konon, di mana 88% dari perjanjian 6000+ mukasurat tersebut tak ada kena mengena pun tentang perniagaan! Punyalah power TPPA ini sehingga Tok Pa sendiri terpaksa mengakui lebih 20 Akta akan terpaksa dipinda sekiranya Malaysia bersetuju menyertai TPPA! Itu yang beliau akui... lagi benda-benda lain apa lagi yang kita tak ketahui? Yang jelas, DS Najib nampak begitu ghairah inginkan Malaysia menandatangani TPPA dengan tergesa-gesa seawal bulan depan!
Malang bagi DS Najib, kredibilitinya sudah tiada, sehinggakan tak kiralah berapa banyak gambar beliau berdoa dalam ihram di Mekah dikongsi ramai, Rakyat malah lebih meluat dan tertanya-tanya, DS Najib, DS Rosmah dan kawan-kawan pergi Mekah tu dengan Riba 1MDB ke, dengan derma Pak Arab mana-mana ke atau dengan duit Rakyat! Maka alangkah terkejut DS Najib yang kumpulan yang bertentangan sebelum ini seperti Perkasa dan Bersih, sudi turun padang berarak membantah TPPA bersama-sama pada esok, Sabtu, 23 Januari, bermula jam 2 petang di Dataran Merdeka.
DS Najib pada awalnya ingin mengembirakan rakan main golfnya di Hawaii masa banjir besar dahulu, Presiden Obama, dengan menunjukkan Malaysia menyokong TPPA dengan memaksa persetujuan Parlimen terhadap perjanjian tersebut. Tapi kini, bukan sekadar parti pembangkang semua bersatu hati ingin menolak TPPA, tetapi Ahli Parlimen BN pun dah goyang, memandangkan kelihatan Rakyat Malaysia jelas kebanyakkan menolaknya! Malah, Malaysialah negara di mana Rakyatnya paling ramai menolak TPPA berbanding negara lain!
Kiranya penolakkan TPPA dilihat jelas dari perhimpunan esok, macam mana DS Najib nak eksyen, menayang kepada Obama yang TPPA sudah dipersetujui Parlimen Malaysia? Kalau pun beliau dapat memaksa majoriti Ahli Parlimen BN menerima TPPA, takkah nampak pelik serta tak demokratik bila Parlimen membuat keputusan bertentangan dengan hasrat Rakyat! Maka dalam kegawatan inilah, minda-minda yang sebelum ini cukup bijak melaksanakan GST, ucapan Kangkung, selain pelbagai ide hebat lain, mencadangkan agar politik Kedah diganggu...
Ya, Politik Kedah diganggu bukan nak jatuhkan DS Mukhriz sebenarnya, tapi saja nak alih pandang Rakyat dari isu lebih besar, yakni TPPA!
Oleh itu, jurublog ini sarankan, kalaulah betui hangpa semua dok geram pasai celaru hak geng Datuk Bashah ni dok buat kat kepimpinan DS Mukhriz di Kedah, berilah balasan setimpal kepada dalang-dalang sebenar isu ini di Putrajaya. Turunlah beramai-ramai ke Dataran Merdeka, Sabtu, 23 Januari 2016, 2 petang untuk bersama-sama menolak ide tebaru dan terbusuk DS Najib yakni TPPA!
Kita berjumpa di sana... insya Allah...